Category: Semasa

  • Polis tahan pelajar Tingkatan Enam pecah rumah

    Polis tahan pelajar Tingkatan Enam pecah rumah

    SEORANG pelajar lelaki Tingkatan Enam ditahan selepas disyaki terbabit dengan kegiatan pecah rumah di Kuala Selangor, semalam.

    Suspek berusia 20 tahun ditahan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 6 petang.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, tangkapan itu susulan laporan polis daripada pelajar perempuan sebuah kolej swasta yang mendakwa rumahnya dipecah masuk di Taman Warisan pada 7 Februari lalu.

    “Mangsa mendapati telefon bimbit miliknya hilang. Selain itu, rakannya juga dimaklumkan barang miliknya turut hilang.

    “Barangan yang hilang itu ialah dua telefon bimbit, dua komputer riba, sebuah beg mengandungi komputer riba dan fon telinga,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Ramli berkata, berdasarkan maklumat dan risikan pihaknya menahan sebuah Proton Iswara di Taman Meranti.

    “Hasil pemeriksaan di kenderaan itu menemui barangan yang disyaki dicuri oleh suspek.

    “Semakan mendapati pelajar itu masih lagi bersekolah di sebuah sekolah menengah di Kuala Selangor,” katanya.

    Menurutnya, soal siasat masih dijalankan terhadap suspek atas pembabitan kes itu.

    “Kita tidak menolak kemungkinan modus operandi suspek adalah dengan masuk ke dalam rumah pelajar yang disewa oleh pihak kolej.

    “Suspek direman bermula semalam sehingga 15 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

  • Pelajar perempuan dicabul lelaki gila seks

    Pelajar perempuan dicabul lelaki gila seks

    SEORANG pelajar perempuan yang dalam perjalanan pulang dari sekolah di Taman Connaught, Kuala Lumpur, berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa rakus lelaki gila seks, pukul 2 petang Rabu lalu.

    Gadis berusia 17 tahun terbabit berjalan kaki untuk pulang ke rumahnya di lorong belakang sebuah sekolah berdekatan Jalan Ahliman.

    Harian Metro melaporkan, tiba-tiba datang seorang lelaki memeluknya dari belakang dan menutup mulut mangsa dengan tangan.

    Menurut sumber, suspek kemudian bertindak mencabulnya menyebabkan mangsa yang ketakutan terus menjerit meminta pertolongan.

    “Akibat jeritan mangsa itu, suspek terus melarikan diri sebelum mangsa yang trauma dengan kejadian itu memaklumkan kepada keluarganya dan tampil membuat laporan di Balai Polis Cheras untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan sedang dijalankan.

    “Setakat ini masih belum ada tangkapan dan mangsa juga tidak dapat mengecam muka suspek,” katanya.

  • Remaja perempuan maut terjatuh dari tingkat 10

    Remaja perempuan maut terjatuh dari tingkat 10

    SEORANG remaja wanita maut selepas terjatuh dari tingkat 10 sebuah flat di Persiaran Tun Teja 3, Taman Tun Teja di Rawang, hari ini.

    Insiden melibatkan remaja perempuan berusia 14 tahun itu laporkan pada pukul 3.17 petang.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berada di lokasi kejadian sebelum bomba tiba.

    “Sejurus tiba, anggota bomba menemui mayat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan sudah meninggal dunia,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

  • Pengasuh ditahan cederakan bayi 10 bulan

    Pengasuh ditahan cederakan bayi 10 bulan

    SEORANG pengasuh kepada bayi perempuan berusia 10 bulan ditahan kelmarin kerana disyaki mencederakan bayi terbabit di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bentong.

    Wanita berusia 26 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di bandar Bentong kira-kira pukul 12.30 pagi.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, hasil siasatan awal, suspek telah menarik telinga mangsa dan menyebabkan kecederaan ringan di telinga kiri bayi terbabit pada 8 Februari lalu.

    “Mangsa dirujuk ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan susulan.

    “Pusat jagaan itu juga didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Ujarnya, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 14 Februari dan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    “Ibu bapa juga dinasihatkan supaya memastikan menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan yang memiliki kelulusan,” tambahnya lagi.

  • Jit Murad meninggal dunia

    Jit Murad meninggal dunia

    PENGGIAT teater dan pelakon Jit Murad, 62, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kuala Lumpur hari ini.

    Berita pemergian Allahyarham disampaikan oleh beberapa aktivis teater dan rakan industri yang mengucapkan takziah dan berkongsi perkara tersebut melalui media sosial mereka.

    Tidak dapat dipastikan apakah punca kematian Jit memandangkan belum ada kenyataan yang diberikan oleh pihak keluarga.

    Allahyarham merupakan anak kepada pasangan bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Murad Mohamed Noor dan tokoh pendidik Puan Sri Sherina Aris.

    Sepanjang bergiat dalam bidang seni, Jit Murad atau nama sebenarnya Aziz Mirzan pernah popular dengan filem Selubung, Mat Gelap, Mimpi Moon, 1957: Hati Malaya dan banyak lagi.

    Dalam dunia teater pula, dia pernah terlibat dan menerbitkan banyak naskhah termasuklah Caught In The Middle, Gold Rain & The Hailstones dan Full Of Jit.

  • Suspek disyaki pecah mesin ATM ditahan polis

    Suspek disyaki pecah mesin ATM ditahan polis

    SUSPEK yang memecah mesin juruwang Automatik (ATM) di Chendering, Kuala Terengganu berjaya ditahan polis, petang semalam.

    Memetik laporan Berita Harian, suspek berusia 31 tahun yang merupakan seorang lelaki warga asing itu ditahan pada pukul 6 petang semalam di pekan Chabang Tiga, kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar, polis menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 3.55 pagi semalam, sebelum bergegas ke lokasi tersebut.

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah mesin ATM sudah dibuka di bahagian penutup atas.

    Bagaimanapun katanya, bahagian peti simpanan wang dalam mesin itu gagal dibuka dan tiada kerugian dan kehilangan wang tunai.

    “Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana memecah masuk dan Seksyen 427 KK kerana melakukan khianat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan cubaan seorang lelaki mencuri wang di dalam mesin ATM di sebuah bank di Chendering gagal apabila alat penggera premis berkenaan berbunyi.

  • Sesi persekolahan, peperiksaan SPM diteruskan walaupun kes Covid-19 meningkat

    Sesi persekolahan, peperiksaan SPM diteruskan walaupun kes Covid-19 meningkat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak akan mengarahkan sesi persekolahan dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 ditangguhkan walaupun kes Covid-19 naik mendadak ketika ini.

    Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, perkembangan kes pada ketika ini menunjukkan peratusan pesakit baharu wabak itu yang melibatkan kategori empat atau lima adalah kecil.

    “KPM komited untuk memastikan pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar, teratur dan selamat dengan memastikan kesemua Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dipatuhi.

    “Komitmen ini dibuat dengan mengambil kira pengalaman pelaksanaan SPM 2020 pada Februari tahun lalu berjalan dengan lancar dan kita juga sudah mempunyai SOP yang lengkap berhubung perkara itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar, di Trove Hotel, Johor Bahru, hari ini.

    Radzi berkata, peperiksaan SPM tiada masalah untuk diteruskan kerana lebih 90 peratus pelajar Tingkatan 5 sudah lengkap divaksin, berbeza dengan pelajar yang menduduki SPM pada tahun lalu.

    “Kita juga mengambil pertimbangan ini dengan melihat konteks kesihatan lebih besar iaitu jumlah kes baharu tidak memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara,” katanya.

    Pihaknya bagaimanapun tidak menafikan terdapat jangkitan Covid-19 melibatkan guru-guru dan pelajar di kawasan sekolah namun peratusan itu terlalu kecil.

    “Kluster sekolah terlalu kecil iaitu hanya melibatkan 0.5 peratus daripada keseluruhan jumlah sekolah tidak berasrama iaitu sebanyak lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara,” ujarnya.

    Beliau berkata, KPM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan perjalanan operasi persekolahan dilakukan dengan mematuhi SOP ditetapkan.

    Dalam pada itu, Radzi berkata, KPM menggalakkan lebih ramai ibu bapa mendaftar anak-anak mereka yang berusia antara 5 hingga 11 tahun untuk mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).

  • Muhyiddin tempelak  Najib penggunaan RM42 juta wang SRC

    Muhyiddin tempelak  Najib penggunaan RM42 juta wang SRC

    NAJIB (Datuk Seri Najib Tun Razak)  kata RM42 juta duit SRC yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya digunakan untuk tujuan sedekah dan Corporate Social Responsibility (CSR).

    Mari kita lihat bukti-bukti sahih tentang penggunaan duit ini yang telah dikemukakan di mahkamah.

    Najib kecewa bertanding Shafee

    Antaranya:

    RM449,586.95 untuk bayar Kad Kredit Visa Platinum Najib;

    RM2,833,147.21 untuk bayar kad kredit Mastercard Platinum Najib;

    RM240,000 dibayar kepada Vital Spire Sdn Bhd milik seorang ADUN UMNO Johor untuk mengendalikan sebuah portal online;

    RM2.5 juta dibayar kepada sebuah firma guaman untuk kerja-kerja “political intelligence”;

    RM238,914 dibayar kepada seorang Tan Sri untuk kerja-kerja mempromosi Ah Jib Gor kepada masyarakat Cina;

    RM100,000 dibayar kepada seorang kontraktor untuk membina bilik stor kediaman peribadinya di Kuala Lumpur;

    RM56,500 dibayar kepada sebuah syarikat plumbing untuk kerja-kerja pemasangan tangki air di kediaman peribadinya di Kuala Lumpur;

    RM77,300 dibayar kepada seorang kontraktor untuk membaiki kediaman peribadinya di Pekan; dan

    Puluhan juta ringgit lagi untuk lain-lain kegunaan peribadi dan politik.

    ​Ya, adalah juga duit yang diberi kepada anak-anak yatim. Tetapi jumlahnya tak seberapa jika dibandingkan untuk kegunaan peribadi dan politik. Ini tak termasuk RM4 bilion duit Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang dipinjamkan kepada SRC yang lesap entah ke mana.

    Akhirnya, kerajaan terpaksa membayar hutang SRC kepada KWAP kerana hutang ini dijamin oleh kerajaan ketika Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

    Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mendapati Najib merompak syarikat SRC daripada wang KWAP, iaitu wang rakyat, wang orang pencen.

     Ini kata hakim Mahkamah Rayuan dalam kes SRC:

    “Hence, we agree with the learned trial judge that the all important element of misappropriation of entrusted property by the Appellant had been clearly established. The evidence clearly shows that the appellant not only misappropriated RM42 million, the subject of the 3 CBT charges, but also converted to his own use that which he had dishonestly misappropriated.

    ‘’The RM42 million, contrary to the appellant’s assertion that he used it for corporate social responsibility (CSR) programs of the company, had in fact been used for his personal benefit and for his political purposes”.

    [Terjemahan: “Oleh yang demikian, kami bersetuju dengan Yang Arif hakim perbicaraan bahawa semua elemen penting penyalahgunaan harta yang diamanahkan oleh Perayu (Najib) telah dibuktikan.

    ‘’Bukti menunjukkan dengan jelas bahawa perayu bukan hanya menyalahgunakan RM42 juta, iaitu mauduk 3 dakwaan jenayah pecah amanah, tetapi juga telah memindahkan kepada kegunaan dirinya sendiri harta yang dia telah salah guna secara tidak jujur.

    ‘’ RM42 juta itu, berlawanan dengan dakwaan perayu bahawa dia menggunakannya untuk tujuan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, telah sebenarnya digunakan untuk manfaat peribadinya dan untuk tujuan politiknya.”

    Kata hakim lagi:

    “This is definitely not something that can be said to have been done in the national interest. There is no national interest here, just national embarrassment”.

    [Terjemahan: Ini bukanlah sesuatu yang boleh dikatakan sebagai telah dilakukan demi kepentingan negara. Tiada kepentingan negara di sini, (yang ada) hanyalah keaiban negara]

    Inilah CSR Najib – Crook’s Self en-Richment! Sedekah kepada diri sendiri. Najib berulang kali tuduh saya khianat. Tapi tak ada satu mahkamah pun menjatuhi hukuman bersalah ke atas saya.

    Dia juga tanya saya berapa wang yang saya belanjakan untuk rakyat? Sepanjang saya jadi PM, RM530 bilion saya sediakan untuk rakyat dalam macam-macam bentuk pakej bantuan dan rangsangan ekonomi. Satu sen pun tak masuk akaun saya.

    Bukan macam dia, berbilion masuk akaun sendiri. Itulah dia boss awak.

    *Artikel adalah kenyataan media Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipetik dalam Facebook beliau dan ia tidak mestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat

  • Pengguguran Khairuddin tidak jejas persiapan Pas hadapi PRN Johor

    Pengguguran Khairuddin tidak jejas persiapan Pas hadapi PRN Johor

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERSIAPAN Pas untuk menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Johor pada Mac depan tidak terjejas dengan
    isu pengguguran Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas.

    Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, ini kerana parti itu sudah melakukan persiapan awal terutama membabitkan strategi yang akan digunakan untuk PRN tersebut.

    “Pengguguran itu tidak memberi kesan apa apa dan apabila masuk PRN, PRU atau PRK, semua parti yang mahu masuk, sudah tentu kita bersedia, dengan strategi. Tapi apabila kita maklum mengenai strategi, kita buat ini, buat itu, itu bukan strategi, itu sudah tragedi. Sudah tentu juga kita ada calon dari parti Pas tapi berapa jumlah calon kita tak akan dedahkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Sijil Program EmpowerNCER di Dewan Cenderawasih, di Pendang, hari ini.

    Terdahulu, Khairuddin digugurkan daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berkuat kuasa kelmarin selepas tidak sampai sebulan digugurkan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Pas Pusat pada Rabu lalu berikutan masalah disiplin.

    Abdul Hadi juga turut menjelaskan bahawa PAS sudah mempunyai anggaran kerusi yang akan ditandingi menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac nanti.

    Pihaknya bagaimanapun akan mendapatkan perincian lanjut daripada Pas Johor sebelum penilaian dilakukan.

    Sementara itu, Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, berkata, kerajaan mengambil serius untuk menangani amalan buruh paksa di negara ini walaupun kes itu terpencil.

    Katanya, ia bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang buruh dapat dipertingkatkan dalam setiap sektor.

    Beliau berkata, pindaan Akta Kerja 1955 yang akan dibaca kali kedua di Parlimen pada bulan depan pula membuktikan komitmen kerajaan yang mahu undang-undang buruh diperkasa

  • Anggota Kastam akan dipasang kamera badan Jun ini

    Anggota Kastam akan dipasang kamera badan Jun ini

    BAGI menangani kes salah laku dalam kalangan anggota dan penguat kuasanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijangka memulakan pemasangan kamera badan melibatkan anggota bertugas pada Jun ini.

    Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir, pemasangan kamera melibatkan seluruh anggota dan pegawai JKDM yang bertugas di lapangan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat kerana membabitkan peruntukan besar.

    Ini kerana katanya, kamera berkenaan bukan hanya digunakan untuk penguat kuasa, ia juga melibatkan pegawai yang bertugas terutama mereka yang berada di barisan hadapan (frontliner) seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kawasan sempadan negara.

    “Dijangkakan lebih 100 anggota kastam termasuk penguat kuasa akan terlibat dalam pemasangan kamera badan untuk fasa pertama,” katanya pada Majlis Jalinan Kasih Keluarga Malaysia (Corporate Social Responsibility) JKDM Terengganu bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) hari ini.

    Sebelum ini, Penguat kuasa JKDM disaran supaya memakai kamera pada badan sebagai inisiatif menangani kes salah laku dalam kalangan kakitangan agensi berkenaan.

    Selain meningkatkan lagi integriti pasukan, ia turut dilihat dapat membantu dijadikan bukti kepada anggota kastam yang kerap dituduh terbabit dalam aktiviti rasuah.