SUSPEK yang memecah mesin juruwang Automatik (ATM) di Chendering, Kuala Terengganu berjaya ditahan polis, petang semalam.

Memetik laporan Berita Harian, suspek berusia 31 tahun yang merupakan seorang lelaki warga asing itu ditahan pada pukul 6 petang semalam di pekan Chabang Tiga, kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar, polis menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 3.55 pagi semalam, sebelum bergegas ke lokasi tersebut.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah mesin ATM sudah dibuka di bahagian penutup atas.

Bagaimanapun katanya, bahagian peti simpanan wang dalam mesin itu gagal dibuka dan tiada kerugian dan kehilangan wang tunai.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana memecah masuk dan Seksyen 427 KK kerana melakukan khianat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan cubaan seorang lelaki mencuri wang di dalam mesin ATM di sebuah bank di Chendering gagal apabila alat penggera premis berkenaan berbunyi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here