Category: Semasa

  • Kerajaan PN peruntuk RM20 bilion subsidi upah selamatkan pekerja

    Kerajaan PN peruntuk RM20 bilion subsidi upah selamatkan pekerja

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) menyalurkan RM20.339 bilion kepada 357,520 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

    PN dalam satu kenyataan memberitahu, tujuannya bagi mengekalkan penggajian 2,953,741 pekerja tempatan dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia.

    “Langkah ini turut disambut baik oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menyifatkan ianya adalah satu inisiatif yang banyak membantu majikan dan perusahaan mereka untuk terus bertahan dalam mendepani impak pandemik Covid-19.

    “Perkeso juga percaya lanjutan inisiatif akan dapat membantu mengurangkan risiko kehilangan pekerjaan atau mata pencarian kepada pekerja yang majikannya terjejas akibat penutupan kebanyakan sector ekonomi,” menurut kenyataan itu, hari ini.

    Menurut PN, PSU merupakan bukti keprihatinan kerajaan PN yang mendengar dan memahami cabaran dan kesukaran dihadapi oleh golongan majikan yang akan memberi kesan secara langsung kepada pekerja.

    “Kerajaan PN juga adalah satu-satunya kerajaan yang telah membenarkan moratorium pinjaman bank selama 12 bulan, iaitu enam bulan pada tahun lepas dan enam bulan lagi melalui pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH),” jelas kenyataan itu.

  • Cukup-cukuplah Najib kelirukan rakyat

    Cukup-cukuplah Najib kelirukan rakyat

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjadi watak penting penubuhan 1MDB hingga menyebabkan syarikat itu hilang berbilion ringgit mahu ‘mengajar’ kerajaan cara membayar hutang ditinggalkan 1MDB.

    Kata Najib, jika wang pokok itu dibayar awal-awal maka tiada faedah yang perlu dibayar.

    Katanya lagi wang hutang itu boleh dibayar dengan dana yang diterima daripada DOJ, Ambank, KPMG dan Deloittes.

    Dalam masa sama, Najib juga mengatakan bahawa tiada satu sen pun dana awam digunakan kerajaan untuk membayar balik hutang 1MDB. Maka, bertepuk sakanlah penyokong taasub Najib kononnya cadangan itu lebih bernas dalam membayar hutang berbilion ringgit yang ditinggalkan syarikat sarat skandal itu.

    Mereka percaya Najib dianiaya sedangkan satu dunia tahu bagaimana wang 1MDB hasil duit rakyat itu dibolot dengan pelbagai bentuk penyelewengan yang tidak tercapai di fikiran manusia biasa.

    Sebaliknya menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan sebelum ini membayar faedah hutang 1MDB sebanyak RM6.5 bilion dan belum membayar hutang pokok memandangkan ia hanya akan matang antara tahun 2022 hingga 2039.

    Tengku Zafrul berkata sehingga akhir Februari 2022, jumlah keseluruhan hutang 1MDB bernilai kira-kira RM38.8 billion merangkumi RM32.3 bilion hutang pokok dan RM6.5 bilion hutang faedah.

    Jelas sekali, duit bayaran itu datang daripada kantung kewangan kerajaan yang pastinya dana awam dan bukannya daripada simpanan peribadi Najib dan penyokongnya.

    Sebenarnya daripada cadangan Najib itu sendiri sudah menunjukkan bahawa tepatlah tindakan mengheret pelaku rasuah dalam 1MDB ke muka pengadilan.

    Jika benar sesebuah syarikat itu tidak bermasalah dan boleh membawa keuntungan, kenapa perlu bagi kerajaan untuk membayar hutang hingga tahun 2039. Nilai yang perlu dibayar juga bukan kepalang iaitu hutang keseluruhan 1MDB sebanyak RM38.8 bilion dan sekiranya diberi kepada kira-kira 29 juta penduduk Malaysia, setiap seorang boleh mendapat lebih RM1,000. Lihatlah betapa besarnya nilai hutang tersebut.

    Itu belum dikira berapa banyak sekolah, hospital, jalan raya yang dapat dibina dengan wang rakyat itu jika tidak perlu membayar hutang yang ditinggalkan oleh 1MDB.

    Cukup-cukuplah Najib mengelirukan rakyat terutama orang kampung yang mudah percaya dengan segala angka yang mengelirukan mereka. Cadangan untuk menutup bangkai gajah dalam 1MDB itu tidak sesekali akan memadamkan apa yang telah diputuskan mahkamah.

    Lebih baik tumpukan masa dan tenaga untuk membela diri di mahkamah untuk kes lain antaranya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu yang menolak permohonan Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, untuk dilepaskan tanpa dibebaskan daripada enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion membabitkan International Petroleum Investment Company (IPIC).

    Najib juga sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

    Kerana kesalahan-
    kesalahan itu, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Namun disebabkan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman berkenaan, dia tidak perlu ke penjara dan masih bebas.

    Semoga penyokong Najib dapat buka mata dan tidak terlalu percaya dengan setiap apa yang dikatakannya.

    • Penulis adalah penganalisis politik. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

  • PRN Johor: Penganjuran debat secara bersemuka tidak dibenarkan – Polis

    PRN Johor: Penganjuran debat secara bersemuka tidak dibenarkan – Polis

    POLIS tidak membenarkan sebarang penganjuran program perdebatan secara bersemuka dilakukan oleh mana-mana pihak sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata ia bagi mengelakkan daripada timbul suasana yang tidak tenteram, sekali gus memecahkan keamanan di negeri ini.

    “Berdebat secara berdepan (bersemuka) kita tidak benarkan. Tolong faham keadaan (kerana) sekarang ini, keadaan adalah tenang dan masing-masing boleh berkempen dan semua parti politik yang hendak berkempen boleh lakukan dengan aman. Jadi kita tidak mahu ada satu perkara yang boleh memecahkan keamanan yang menyebabkan rosak habis semua tidak boleh berkempen,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sesi perdebatan antara pemimpin MCA dan DAP yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis.

    Sesi debat membabitkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dibatalkan setelah tidak mendapat kebenaran pihak polis, yang mana ia dijadualkan berlangsung pada hari ini di Dewan Persatuan Tiong Hua Johor Bahru, serta akan membincangkan mengenai isu membabitkan sebuah sekolah.

    Kamarul Zaman berkata setakat ini pihaknya hanya membenarkan program berbentuk ceramah.

    “Kita benarkan ceramah sahaja dan permit ceramah memang kita luluskan…kita bantu kecuali ada beberapa yang kita tidak luluskan kerana demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat di Johor,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah meluluskan sebanyak 1,411 permit bagi ceramah dan kempen sejak hari penamaan calon sehingga semalam dan menjelaskan hanya enam permohonan ditolak, antaranya atas faktor pertindihan waktu dan lokasi ceramah berada berdekatan antara satu sama lain.

    Jelas beliau, sepanjang PRN Johor seramai 806 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah ditugaskan untuk melakukan pemantauan dan tiada kekecohan berlaku melibatkan mana-mana pihak setakat ini.

    Kamarul Zaman pada masa sama berkata pihaknya setakat ini telah menerima sebanyak 152 laporan polis dan telah membuka 10 kertas siasatan yang antaranya membabitkan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

    “Kertas siasatan yang dibuka ini antaranya melibatkan ceramah tanpa permit, khianat dengan api iaitu membakar bahan-bahan kempen, siasatan terhadap posting di laman Facebook yang membangkitkan kemarahan dan ada juga posting berbaur lucah,” katanya.

    Beliau berkata siasatan antara lain turut dijalankan mengenai perbuatan yang membangkitkan perasaan jahat atau permusuhan dan pelanggaran prosedur operasi standard. – Bernama

  • Penuntut universiti rugi RM42,500 beli mata wang permainan video

    Penuntut universiti rugi RM42,500 beli mata wang permainan video

    GARA-GARA terlalu teruja bermain permainan video, seorang penuntut universiti awam di Kuantan mendakwa kerugian RM42,500, bagi membeli mata wang permainan video yang diiklankan di laman sosial Instagram.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 22 tahun itu, telah menghubungi pemilik akaun Instagram berkenaan pada Jumaat lepas (4 Mac) selepas tertarik dengan harga mata wang itu yang ditawarkan lebih rendah berbanding ‘kedai’ permainan video dalam talian lain.

    “Mangsa mendakwa harga yang ditawarkan di laman sosial itu hanya RM600 bagi 38,400 mata wang, menyebabkan dia terus membuat pemindahan wang secara dalam talian pada petang hari yang sama ke akaun diberikan suspek.

    “Bagaimanapun, suspek dikatakan telah menghubungi pemuda itu untuk meminta lebih banyak wang atas pelbagai alasan termasuk bagi penukaran mata wang tersebut, sebelum ia boleh dikreditkan ke akaun permainan video mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Mohd Wazir berkata pemuda itu mendakwa telah menggunakan wang simpanan sendiri berjumlah RM1,705, namun masih diminta untuk membuat bayaran bagi mendapatkan akses kepada mata wang itu, menyebabkan dia menggunakan wang simpanan ibunya. 

    Beliau berkata ibu mangsa yang merupakan pesara kerajaan, dikatakan pernah memberi kata laluan bagi transaksi perbankan dalam talian miliknya kepada anaknya itu untuk urusan transaksi peribadi sebelum ini. 

    “Pemuda itu hanya menyedari dirinya ditipu dalam penjualan mata wang permainan video itu setelah membuat 10 pemindahan wang secara dalam talian ke tiga akaun berbeza selama dua hari bermula Jumaat lepas,” katanya.

    Sehubungan itu, menurutnya mangsa membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading di Kuantan, semalam dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan. – Bernama

  • JIM sedia terima kemasukan pengembara

    JIM sedia terima kemasukan pengembara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) kini sudah bersedia sepenuhnya untuk beroperasi di pintu masuk negara selepas pengumuman Perdana Menteri bahawa sempadan akan dibuka tidak lama lagi.

    Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, persediaan itu dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru.

    “Kesemua sistem laluan automatik (autogate) terutama di KLIA juga sudah diaktifkan.

    “Malah, pegawai-pegawai bertugas di pintu masuk yang sebelum ini dihantar ke depoh sementara yang dibuka sepanjang pandemik ini juga akan dipanggil semula untuk kembali ke tugas asal mereka,” katanya selepas mengetuai Op Mega Imigresen di Kulai, malam tadi.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi dan langkah itu katanya, membolehkan ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tidak bersua muka dapat pulang terutama ketika Aidilfitri pada Mei nanti.

    Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan Perdana Menteri dijangka mengumumkan tarikh pembukaan sempadan negara pada minggu depan.

    Menurut Khairy, mesyuarat Kabinet kelmarin sudah mencapai kata sepakat mengenai pembukaan sempadan negara dan kini menunggu hal itu diumumkan oleh Perdana Menteri.

    Pintu sempadan negara ditutup sepenuhnya pada 18 Mac 2020 ekoran penularan kes Covid-19 di seluruh dunia ketika itu yang secara tidak langsung memberi kesan terhadap penduduk negeri ini berulang alik ke Singapura.

    Malah, aktiviti ekonomi juga turut terjejas ekoran penutupan pintu sempadan yang kini hanya dibuka mengikut kategori tertentu seperti inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

  • JIM tahan 64 warga India dalam serbuan di sebuah kilang

    JIM tahan 64 warga India dalam serbuan di sebuah kilang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari beberapa negara ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Op Mega JIM yang diadakan sekitar daerah Kulai malam tadi.

    Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, operasi tersebut dilakuan bermula pukul 10.30 malam di sebuah kilang dan spa yang dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral.

    Beliau berkata, menerusi serbuan di sebuah kilang di Senai, pihaknya menahan 64 lelaki PATI warganegara India dan mendapati semua PATI tersebut didaftarkan di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

    “Mengikut dasar kerajaan, pekerja negara terbabit hanya dibenarkan bekerja di bawah sektor pembinaan, perkhidmatan, pertanian dan perladangan.

    “Tidak pernah lagi dalam serbuan di kilang sebelum ini, begitu ramai warganegara India diambil bekerja. Kita syak mungkin kilang ini guna perkhidmatan ejen untuk mendaftarkan pekerja-pekerja di bawah rekalibrasi.

    “Berdasarkan slip pendaftaran RTK, pekerja ini didaftarkan pada April 2021 dan sekarang sudah Mac 2022 maknanya hampir setahun (pekerja India) bekerja di situ,” katanya selepas mengetuai Op Mega JIM, malam tadi.

    Katanya, alasan pemilik kilang berkenaan kononnya tidak tahu pekerja warganegara India tidak boleh bekerja di kilang tidak dapat diterima pihak JIM.

    Beliau berkata, selain 64 pekerja India terbabit, JIM turut menahan 16 warganegara Nepal, tiga warganegara Myanmar dan dua warganegara Bangladesh yang tidak mempunyai sebarang dokumen.

    Menurutnya, semua PATI lelaki berumur 25 hingga 40 tahun itu dibawa ke lokap Imigresen di Setia Tropika, Johor Bahru untuk siasatan lanjut.

    “Sekiranya majikan boleh membuktikan pekerja yang tidak mempunyai sebarang dokumen tadi memiliki dokumen sah mereka akan dibebaskan.

    “Namun, siasatan lanjut akan dibuat terhadap PATI warga India bagaimana mereka boleh diambil bekerja di sini, sekiranya kesalahan dapat dibuktikan maka majikan perlu hantar mereka pulang ke negara asal,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, JIM sebelum itu turut menahan 16 wanita warga asing yang terdiri daripada 14 warga Thailand dan masing-masing seorang warga Laos dan Myanmar yang bekerja di sebuah spa.

    “Mereka sebenarnya masuk ke negara kita sebagai pelancong pada 2019 tetapi atas faktor Covid-19 mendakwa terkandas kerana tiada penerbangan, pintu masuk negara masing-masing ditutup.

    “Imigresen memang beri kemudahan kepada pelancong asing yang sah dan tidak dapat pulang ke negara asal untuk terus kekal sehingga bulan ini tetapi saya percaya wanita-wanita yang ditahan ini mengambil kesempatan,” katanya.

    Kata beliau, mereka yang bekerja di pusat kecantikan terbabit turut menawarkan perkhidmatan pelacuran dengan harga antara RM200 hingga RM350 setiap pelanggan.

  • Muhyiddin,PN  mula jadi sasaran fitnah

    Muhyiddin,PN  mula jadi sasaran fitnah

    ADALAH amat jahil dan boleh dianggap sudah benar-benar terdesak apabila ada pihak cuba menjadi satu majlis makan malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin di Johor Bharu sebagai bahan bagi memfitnah Perikatan Nasional (PN) khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Paling malang ada pihak yang merasakan ‘inilah peluru terbaik’ untuk memburukkan Muhyiddin dengan mengingatkan kembali bahawa  bekas Perdana Menteri itu pernah bercakap soal malu sebahagian daripada iman kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Kelompok yang dianggap penyebar fitnah dan ‘ejen propaganda’ ini mengambil kesempatan daripada tarian yang dipersembahkan pada majlis tersebut.

    Tarian yang dianggap kurang sopan itu cuba mengaitkan PN sebagai penganjur majlis berkenaan. Seperti mana kelompok tersebut cuba ‘memekak telinga’ dan ‘membutakan mata’ berhubung fakta bahawa Najib sudah didapati bersalah oleh dua mahkamah dan empat hakim dalam kes SRC International, begitu juga mereka tidak dapat mendengar dan melihat fakta di sebalik majlis itu.

    Malaysiakini melaporkan kenyataan Pengerusi Eksekutif TCH Resources Group Tan Choon Hwa yang turut hadir pada majlis itu bahawa acara berkenaan bukanlah dianjurkan oleh PN sebaliknya mereka dijemput oleh ‘komuniti Cina Tempatan’. Dan Lau juga menegaskan, mereka tidak mengetahui mengenai persembahan pada majlis itu kerana ia telah diatur oleh penganjur lebih awal.

    Turut memberi penjelasan, ialah Setiausaha Eksekutif PN, Saiful Adli Mohd Arshad yang menjelaskan kehadiran pemimpin PN adalah atas jemputan manakalan persembahan yang dibuat adalah anjuran penganjur.

    Bagaimanapun penulis yakin, semua fakta ini tidak akan dipedulikan kerana kelompok yang ‘otak sudah berulat’ dengan politik akan melihat ia ‘peluang keemasan’ untuk menaburkan fitnah terhadap Muhyiddin. Mereka berbuat demikian kerana memahami, berdasarkan maklumat di lapangan sambutan terhadap PN semakin meningkat dan di sesetengah kawasan, PN mula menggugat kawasan putih BN.

    Kelompok tersebut juga melihat pengaruh Muhyiddin di Johor masih kuat dan ‘boleh menjadi ancaman’ kepada parti yang mereka sokong justeru pelbagai isu cuba dicetuskan bagi memburuk-burukkan Ahli Parlimen Pagoh itu walaupun ia sudah menjuruskan kepada fitnah.

    Mengaitkan kenyataan Muhyiddin berhubung sifat malu yang patut ada kepada Najib adalah ‘hujah yang cukup dangkal’, persembahan di majlis itu bukan diatur oleh PN atau Muhyiddin, tetapi oleh penganjur.

    Portal Malaysiakini melaporkan,’’ Ahli perniagaan yang hadir berkenaan duduk sebaris bersama pemimpin PN di meja panjang di hadapan pentas. Ketika persembahan berlangsung, ahli-ahli perniagaan tersebut dapat dilihat sedang asyik berbual dengan pemimpin politik terbabit.’’

    Muhyiddin dan pemimpin hadir sebagai tetamu, tak kan kerana tarian yang mereka sendiri tidak tahu akan dipersembahkan itu, kesemua mereka perlu meninggalkan majlis tersebut…tak kan mereka hendak memalukan penganjur yang membuat jemputan?

    Sebenarnya, ‘terjebak’ dalam persembahan seumpama itu dalam pilihan raya bukanlah kali pertama berlaku. Jangan lupa suatu ketika dahulu, dalam PRK Tenang, pemimpin parti kerajaan pernah dipertikaikan  apabila satu majlis makan malam dihiasi dengan tarian menjolok mata begitu juga di PRK Bukit Gantang tidak lama dulu. Walaupun pembangkang ketika itu cuba mengaitkan dengan pemimpin parti kerajaan namun ia tidak ke mana.

    Semua orang tahu tidak ada mana-mana pemimpin politik apatah lagi daripada parti Melayu ‘sebodoh’ itu mahu menganjurkan majlis sedemikian.

    Kalaupun tidak ada modal untuk mencemarkan imej Muhyiddin, tidak payahlah sampai ke tahap fitnah, lebih baik hentikanlah ‘kerja-kerja bodoh’ tersebut… tiada faedahpun! – ZULKIFLEE BAKAR

  • Bayi perempuan 24 hari maut di rumah

    Bayi perempuan 24 hari maut di rumah

    SEORANG bayi perempuan berusia 24 hari ditemui tidak sedarkan diri di rumah keluarganya di Kampung Batu 1, Pedas Tengah, Remnbau, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Rembau, tengah hari tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, anak bongsu daripada enam beradik itu disedari tidak memberi respons ketika kakaknya mahu membetulkan kain bedung, pukul 1 tengah hari.

    Katanya, berdasarkan siasatan awal, ibu bayi itu yang berusia 42 tahun menyusukannya pukul 12.30 tengah hari tadi.

    “Selepas ditidurkan bayi itu diletakkan di ruang tengah rumah. Kira-kira 30 minit kemudian kakak bayi itu ingin membetulkan kain bedung sebelum mendapati adiknya tidak bertindak balas,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Hazri berkata, bayi itu dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Rembau sebelum doktor bertugas mendapati tiada nadi dikesan dan badannya sejuk.

    Beliau berkata, prosedur kecemasan dengan memberikan bantuan pernafasan dijalankan, namun tiada tindak balas sebelum doktor mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia.

    “Bedah siasat belum dijalankan kerana masih menunggu laporan keputusan ujian COVID-19. Satu laporan polis berhubung kejadian dibuat ibu bayi berkenaan pukul 5 petang tadi,” katanya.

  • Remaja maut selepas kepalanya putus tersangkut enjin bot

    Remaja maut selepas kepalanya putus tersangkut enjin bot

    SEORANG remaja lelaki maut selepas kepalanya putus akibat tersangkut pada enjin bot ketika sedang menghidupkannya di Kampung Panji, Semporna pada pukul 10.30 pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Faisal Ahmad berkata, mangsa berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan akibat parah di bahagian kepala.

    “Lima anggota dikejarkan ke lokasi dan terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer berikutan tiada laluan bot ke lokasi kejadian.

    “Menurut ahli keluarga mangsa, kejadian berlaku ketika mangsa menghidupkan enjin dan mahu menangkap ikan di laut. Dipercayai lengan baju jaket dipakainya terbelit pada ‘shaft’ penyambung enjin pam bot yang sedang bergerak itu.

    “Akibatnya, tangan mangsa turut terbelit lalu mangsa terjatuh sebelum rambut dan kepalanya turut tersangkut pada alat berkenaan,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Bagaimanapun Faisal berkata, ketika pasukannya tiba di lokasi, mangsa sudah dikeluarkan oleh penduduk kampung dan disahkan meninggal dunia.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Semporna untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada pukul 12.19 tengah hari,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd. Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi berkata, setakat ini pihak polis belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

    “Kita tiada terima sebarang laporan dari mana-mana pihak berkaitan kes ini,” katanya.

  • Lelaki mati ditembak suspek tidak dikenali

    Lelaki mati ditembak suspek tidak dikenali

    SEORANG lelaki mati akibat ditembak individu tidak dikenali di tepi jalan Kampung Pasir Tinggi, Kuala Terengganu awal pagi tadi.

    Mangsa berusia 40-an disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, sebelum kejadian mangsa bersama-sama dua rakannya menaiki kereta pergi berjumpa dengan seorang lelaki di tepi jalan Kampung Pasir Tinggi pukul 2.30 pagi.

    “Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa menemui suspek bagi membincangkan beberapa perkara tidak jauh dari tempat mereka meletak kereta.

    “Selepas itu rakan mangsa mendengar dua bunyi letupan dipercayai tembakan sebelum suspek bersama-sama seorang rakan melarikan diri dengan sebuah motosikal,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Mohd. Marzukhi berkata, mangsa yang rebah kemudian di bawa ke Klinik Kesihatan Bukit Payong oleh rakannya untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

    Katanya, polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian namun tidak menolak kemungkinan ada kaitan dengan dadah.

    “Kita sedang menunggu hasil laporan bedah siasat mengenai jumlah sebenar tembakan. Kita juga minta kerjasama orang awam yang ada maklumat supaya maklumkan kepada polis bagi membantu siasatan,” katanya.

    Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.