Category: Semasa

  • Dua pelajar sekolah merempit, buat aksi Superman

    Dua pelajar sekolah merempit, buat aksi Superman

    PERBUATAN dua orang pelajar berlumba dengan melakukan aksi bahaya ketika umat Islam menunaikan solat tarawih di Jalan Bandar Baru Kuala Nerus, malam tadi membawa padah.

    Ini kerana, remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun itu akhir ditahan polis ketika memberhentikan motosikal di Kampung Padang Kemunting, Kuala Nerus pada pukul 9.06 malam.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man, Skuad 42 JSPT sebelum itu melakukan pemantauan di Bandar Baru Kuala Nerus sebelum terlihat dua penunggang terbabit yang berlumba sesama sendiri, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kedua-dua pelajar itu turut melakukan aksi bahaya dengan menundukkan kepala selari dengan meter disamping menunggang secara zig- zag.

    Katanya, mereka dikesan membuat aksi itu sejauh 700 meter dari Bandar Baru Kuala Nerus menghala ke Taman Kemunting, Kuala Nerus sebelum Skuad 42 JSPT bertindak mengekori dua penunggang terbabit.

    Ujarnya, kedua-dua remaja itu berjaya ditahan ketika memberhentikan motosikal.

    Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Selain menyita dua motosikal suspek, kita turut mengeluarkan sembilan saman membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tidak memakai topi keledar dan tiada nombor pendaftaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Dalam operasi berasingan, Ismail memberitahu, seorang remaja lelaki ditahan selepas dikesan melakukan aksi merbahaya dengan bersaing sesama sendiri dan menunggang motosikal dengan aksi superman secara berulang kali membabitkan jarak kira-kira 600 meter.

    Menurutnya, suspek berusia 17 tahun itu dikesan melakukan kesalahan tersebut pada pukul 2.45 pagi tadi.

    “Skuad 42 JSPT bertindak mengekorinya sehingga ke Jalan Gong Kijang, Kuala Terengganu sebelum ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987,” jelas beliau.

  • Dua diplomat kanan Malaysia diarah pulang selepas PM lawat UAE, apa sebabnya?

    Dua diplomat kanan Malaysia diarah pulang selepas PM lawat UAE, apa sebabnya?

    DUA diplomat kanan Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dikatakan telah diarahkan pulang dan ‘direhatkan’ berikutan isu sambutan ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke sana bulan lalu.

    Memetik laporan FMT, sumber dalaman berkata, Duta Besar Malaysia ke UAE, Mohd Tarid Sufian dan Konsul Jeneral di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid, merupakan satu-satunya pegawai kanan yang hadir di lapangan terbang untuk menyambut Ismail Sabri ketika penerbangannya mendarat di Dubai.

    Tiada pegawai tertinggi UAE hadir, sebagaimana menjadi protokol biasa bagi seorang menteri kanan negara tuan rumah ditugaskan secara rasmi untuk menerima tetamu kenamaan asing.

    “Tidak ada pegawai kanan kerajaan dari UAE yang menerima ketibaan mereka. Sambutan itu tidak sesuai dengan status seorang perdana menteri,” kata sumber terbabit kepada FMT, sambil menambah bahawa tidak diketahui sama ada Ismail Sabri menyedari arahan untuk memanggil balik itu.

    Sumber tersebut memberitahu FMT bahawa Mohd Tarid dan Mohd Hasril telah ditugaskan untuk menyertai sekumpulan penjawat awam di Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya, yang dikatakan menjadi tempat untuk memindahkan pegawai tidak disenangi sementara menunggu arahan seterusnya.

    Sumber lain berkata, pegawai kanan di kementerian terbabit berang dengan layanan terhadap dua diplomat itu.

    Salah satu sumber berkata, duta itu telah memaklumkan Wisma Putra mengenai keraguan kerajaan UAE mengenai masa lawatan Ismail Sabri tetapi ia tidak diendahkan.

    Sumber berkenaan berkata, kerajaan UAE telah memberitahu perwakilan Malaysia bahawa ia bukan masa yang sesuai untuk mengadakan lawatan rasmi memandangkan beratus-ratus orang kenamaan datang dari seluruh dunia setiap hari sempena Ekspo Dunia Dubai 2021.

    Perhimpunan perdagangan tahunan yang merupakan acara global yang besar ditangguhkan sejak tahun lalu kerana pandemik.

    “Wisma Putra atau menteri luar sepatutnya menasihatkan perdana menteri untuk menjadualkan semula lawatan itu. Ini adalah kelemahan besar kerana melibatkan diplomasi dan reputasi kerajaan,” kata sumber.

    Satu lagi sumber berkata, pegawai kanan amat marah dengan menteri kerana tidak mempertahankan pegawainya daripada tindakan sedemikian.

    “Sudah tentu pegawai mereka akan menjawab ini adalah pemindahan biasa dan tidak ada kaitan dengan lawatan perdana menteri. Tetapi kakitangan tidak akan mempercayainya,” katanya.

    Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, telah mengiringi Ismail dalam lawatan itu. FMT cuba mendapatkan ulasan daripada Saifuddin.

  • Jumlah subsidi diputuskan setelah kuota haji Malaysia muktamad

    Jumlah subsidi diputuskan setelah kuota haji Malaysia muktamad

    KEMUDAHAN jumlah subsidi bagi menunaikan ibadah haji tahun ini akan diputuskan setelah jumlah kuota haji negara diketahui dan dimuktamadkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

    “Apabila kita sudah dapat bilangan kuota (haji) sebenar, insya-Allah kita akan duduk (berbincang) untuk muktamadkan jumlah subsidi yang diberikan,” katanya ringkas ketika diminta mengulas berhubung perkembangan subsidi haji selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Infaq Kasih Ramadan Kawasan Kapar, di Klang hari ini.

    Jumaat lepas, Idris memaklumkan kerajaan memberi jaminan kemudahan subsidi bagi menunaikan ibadah haji diteruskan tahun ini, bagaimanapun kadar yang akan ditanggung masih belum diputuskan.

    Sementara itu, mengulas mengenai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Idris berkata, titah itu sudah jelas.

    Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi MKI bertitah bahawa sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa tersebut adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja. – BERNAMA

  • Kian Meng-Pei Jing juara Terbuka Korea

    Kian Meng-Pei Jing juara Terbuka Korea

    BEREGU campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengakhiri kemarau lima tahun tanpa gelaran apabila muncul juara kejohanan badminton Terbuka Korea hari ini.

    Lebih manis, pasangan Malaysia itu meraih kejuaraan tersebut selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won dalam aksi final yang berlangsung selama 50 minit di Stadium Palma, Suncheon.

    Merupakan pertemuan kali ketiga buat kedua-dua pasangan itu, Kian Meng-Pei Jing beraksi cemerlang untuk melebarkan rekod dua kemenangan sebelum ini apabila sekali lagi menundukkan pasangan Korea Selatan itu dengan straight set.

    Turun selaku wakil negara yang masih meneruskan cabaran pada kejohanan itu, Kian Meng-Pei Jing ternyata unggul apabila sentiasa berada di hadapan sebelum mencatat kemenangan 21-15 di set pertama.

    Ketinggalan satu set, Sung Hyun-Hye Won cuba bangkit di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun usaha mereka gagal apabila pasangan Malaysia itu terus mendominasi perlawanan untuk merekodkan kemenangan 21-18.

    Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Kian Meng-Pei Jing muncul beregu Malaysia pertama meraih gelaran di Terbuka Korea. – BERNAMA

  • Seorang lelaki mati akibat penyakit anjing gila di Selangor

    Seorang lelaki mati akibat penyakit anjing gila di Selangor

    JABATAN Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan terdapat satu kes kematian melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang disahkan menghidap rabies atau penyakit anjing gila pada Isnin (4 April).

    Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan di Facebook rasmi JKNS memaklumkan, mangsa yang berusia 40 tahun dan menetap di daerah Petaling itu, meninggal dunia di rumah pada 10 Mac lepas.

    “Mendiang telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan keputusan ujian makmal bagi spesimen otak didapati positif virus rabies,” katanya.

    Dr Sha’ari berkata hasil siasatan dalam kalangan masyarakat setempat mendapati mendiang dilihat masih berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan dua hari sebelum meninggal.

    “Adalah dimaklumkan punca jangkitan masih dalam siasatan. Tiada gejala dan tanda penyakit rabies dilaporkan pada kes yang berlaku di Selangor ini,” katanya.

    Dr Sha’ari berkata, berikutan kejadian kes tersebut, beberapa langkah pencegahan dan kawalan telah dijalankan secara bersepadu oleh JKNS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Petaling antaranya penangkapan anjing liar yang dijalankan di lokaliti terlibat bermula 7 April lalu.

    “Spesimen haiwan yang ditangkap dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI),” katanya.

    Dr Sha’ari berkata, siasatan lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Program Active Case Detection (ACD) dalam lingkungan radius satu kilometer dari rumah mendiang.

    Katanya lagi, surat peka kepada semua fasiliti kesihatan awam dan swasta telah dikeluarkan bagi meningkatkan kesedaran dan pengesanan awal kes gigitan anjing atau haiwan liar oleh pengamal perubatan di Selangor.

    “Selain itu, pelantikan dua hospital rujukan kes gigitan anjing di negeri ini iaitu Hospital Shah Alam dan Hospital Serdang. Ini bagi membolehkan penilaian risiko dan kategori luka bagi pemberian vaksin rabies serta rawatan immunoglobulin rabies sekiranya perlu,” katanya.

    Susulan itu, Dr Sha’ari turut menasihati orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan apabila digigit oleh anjing atau haiwan liar iaitu segera membersihkan bahagian tubuh yang digigit atau dicakar dan mendapatkan rawatan.

    “Segera laporkan kepada DVS Selangor atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah sekiranya peliharaan berubah tingkah laku termasuk menjadi agresif atau pihak PBT jika terdapat anjing atau haiwan liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal,” katanya. – BERNAMA

  • Pelajar UUM putus kaki di Caribbean, selamat pulang ke tanah air

    Pelajar UUM putus kaki di Caribbean, selamat pulang ke tanah air

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PELAJAR Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Nabilah Mohd Azahar, 25, yang putus kaki kanan akibat terkena kipas bot ketika menjalani latihan industri di Curacao, Caribbean pada 28 Disember lalu, akhirnya kembali ke tanah air, kelmarin.

    Pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan UUM itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan disambut Naib Canselor Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah serta ibu, Nor Manira Khalib, 57, dan bapanya, Mohd Azahar Zakaria, 58.

    Menurut Haim Hilman, Nur Nabilah terus dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk menerima rawatan susulan.

    “Alhamdulillah, pelajar ini telah selamat kembali ke tanah air dan kita akan terus membawanya ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan susulan.

    “Kita berharap agar keluarganya tabah dan kuat. Dalam masa sama, kita juga mengharapkan Nur Nabilah sendiri akan kuat semangat untuk melalui proses rawatan lanjut,” katanya.

    Sementara itu Nor Manira berkata, beliau amat bersyukur dapat melihat Nur Nabilah kembali ke tanah air dengan selamat.

    “Tak terucap dengan kata-kata dapat melihat dia kembali ke sini. Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya warga UUM, Wisma Putra, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) media dan orang ramai yang banyak memberi sokongan moral selain bantuan dari segi kewangan buat Nur Nabilah,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, kemalangan itu berlaku ketika Nur Nabilah menjalani latihan menyelam di Dive Division Curacao, Caribbean pada 28 Disember lalu.

    Susulan itu UUM memberi jaminan untuk menanggung pembiayaan kos rawatan pelajar yang putus kaki tersebut yang ketika kejadian, sedang menjalani latihan industri selama empat bulan bermula 13 September hingga 13 Januari 2022.

  • Pemimpin masyarakat patut tolong orang miskin sebelum jadi isu tular

    Pemimpin masyarakat patut tolong orang miskin sebelum jadi isu tular

    PEMIMPIN masyarakat setempat diharap dapat menyalurkan maklumat berkenaan kehidupan miskin dan daif individu atau keluarga di kawasan masing-masing kepada agensi kerajaan agar bantuan sewajarnya dapat disalurkan kepada mereka.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketua kampung, penghulu atau ahli jawatankuasa kariah masjid boleh membantu golongan miskin ini kerana ada antara mereka yang tidak tahu cara mendapatkan bantuan.

    “Yang saya bimbang itu dia tidak dapat sampaikan info dia miskin kepada orang lain. Dia miskin lepas itu tidak ada siapa yang ambil kisah mengenai dia, tiada siapa yang ambil tahu. Akhirnya pemberita (media) yang dapat tahu.

    “Kalau pemberita dapat tahu pun tidak mengapa, boleh bagi maklumat kepada kita (kerajaan). Kadang-kadang saya tengok yang tular itu yang jumpa dulu media,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar bersama Warga Felcra Padang Terap di Naka, semalam.

    Beliau diminta mengulas mengenai isu kehidupan daif seorang remaja Wan Akid Afham Wan Mohd Ruhsemadi, 13, yang tinggal di sebuah rumah yang sudah rosak dan separuh roboh bersama keluarganya di Kampung Banggol, Kota Bharu, Kelantan.

    Kisah kehidupan Wan Akid Afham atau lebih dikenali dengan panggilan Akid itu tular sejak beberapa hari lepas dan mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pendakwah bebas Ebit Lew yang tampil membantu remaja itu dan keluarganya.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata kementeriannya menerusi beberapa agensi mempunyai pelbagai program bagi membantu keluarga miskin termasuk membaik pulih atau membina rumah baharu untuk mereka.

    Menurutnya, di Kelantan, program baik pulih atau membina rumah untuk rakyat termiskin dilaksanakan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang boleh dipohon sekiranya rumah rosak akibat ribut, banjir ataupun telah uzur.

    “Kita ada peruntukan untuk baiki rumah, tapi siapa yang nak tolong dia? Yang nak tolong dia ini sama ada ketua kampung, penghulu mukim dan pejabat daerah untuk bawa maklumat itu kepada agensi kita,” katanya.

    Sementara itu, Mahdzir berkata, Felcra memperuntukkan sejumlah RM4.3 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan tanah rancangannya di seluruh negara pada tahun ini.

    “Program itu termasuk pembangunan wanita, pembangunan ameniti sosial, ternakan dan tanaman, latihan kemahiran dan pembangunan rohani yang semuanya membabitkan RM4.3 juta yang diuruskan oleh Felcra,” katanya. – BERNAMA

  • 6 rumah terbakar, RM26,000 disimpan bawah katil hangus

    6 rumah terbakar, RM26,000 disimpan bawah katil hangus

    SUDAH jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib malang dialami seorang wanita apabila bukan sahaja rumahnya terbakar, tetapi wang tunai RM26,000 miliknya turut hangus dalam kebakaran membabitkan enam buah rumah di Kampung Dalam Rhu, Tumpat, Kelantan tengah hari tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 1.40 tengah hari itu menyebabkan empat keluarga tinggal sehelai sepinggang, manakala dua kediaman lagi terbakar 90 dan 10 peratus.

    Mangsa, Nur Nisha Farahin Mohd. Yuzairi, 29, berkata, wang tunai berkenaan hasil jualan runcitnya secara dalam talian dan disimpan di bawah katil.

    “Saya baru keluarkan duit itu semalam dan ingin memasukkannya ke dalam akaun Tabung Haji esok.

    “Saya menerima panggilan daripada jiran memaklumkan mengenai kebakaran ketika berada di Kota Bharu, apabila pulang rumah sudah hangus dan saya hanya mampu mengenangkan duit yang tersimpan di bawah katil,” katanya, lapor Harian Metro.

    Sementara ibunya, Mahani Abdul Rashid, 52, berkata, ketika kejadian dia berada di halaman rumah untuk menyiram bunga sebelum terdengar bunyi letupan kecil dari bahagian dapur.

    “Saya tidak mengendahkannya tapi selepas itu kedengaran sekali lagi letupan yang sama sebelum saya bergegas ke dapur dan alangkah terkejutnya apabila melihat api di dinding.

    “Saya terus menjerit memanggil jiran memberitahu kejadian itu dan dalam masa yang sama mengambil saluran paip getah untuk cuba memadamkan api namun gagal disebabkan ia marak dengan cepat,” katanya.

    Dia yang masih trauma berkata, tiada apa yang dapat diselamatkan kecuali sebuah motosikal yang di parkir di halaman rumah.

    Sementara itu, Ketua Zon Kota Bharu, Penguasa Bomba Suhaimi Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.43 tengah hari dan seramai 21 pegawai dan anggota daripada tiga balai di Tumpat bergegas ke lokasi kejadian.

    Suhaimi berkata, sebaik tiba, api sedang marak dan kejadian itu membabitkan enam unit rumah jenis separuh kekal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    “Api marak dengan cepat disebabkan cuaca agak panas dan berangin namun dengan tindakan pantas anggota berjaya menghalang api daripada merebak ke rumah yang lain memandangkan kedudukan agak rapat,” ujar beliau.

  • 16 rakyat Malaysia ditahan di Kemboja – Saifuddin

    16 rakyat Malaysia ditahan di Kemboja – Saifuddin

    MENTERI Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah hari ini mengesahkan 16 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Kemboja kini berada di balai polis di Phnom Penh untuk siasatan.

    Tanpa menjelas lanjut mengenai jantina, usia, asal, bila atau punca ditahan, Saifuddin berkata, kesemua rakyat Malaysia itu kini berada dalam keadaan baik.

    “Pegawai kita di sana sudah ke pejabat polis untuk bertemu mereka. Kita sentiasa ikuti rapat perkembangan terkini dan akan membantu mereka, jika perlu dicarikan peguam atau bantuan lain,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-42 Persatuan Hindu Sanggam Kuantan, di Kuantan, hari ini.

    Ditanya sama ada 16 rakyat itu, adalah sebahagian mangsa penipuan tawaran kerja yang diterima oleh Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA seperti pada sidang media Rabu lalu, Saifuddin berkata, perkara itu masih belum dapat dipastikan.

    Bagaimanapun, beliau menasihatkan rakyat Malaysia untuk berhati-hati apabila menerima tawaran kerja dari negara asing dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran gaji besar, sebaliknya membuat semakan dengan Kementerian Luar atau pejabat perwakilan Malaysia atau Malawakil negara terbabit.

    “Semak juga visa kerja dan pasport supaya memenuhi peraturan diwajibkan…dan jika dirasakan ada kemusykilan bila tiba ke negara terlibat, kita mohon segera hubungi Malawakil. Ini sangat penting untuk mengelakkan timbul masalah kemudian hari,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Saifuddin juga meminta rakyat Malaysia yang berdepan masalah atau terkandas di Thailand ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, untuk segera ke pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

    “Kita tidak menafikan mungkin masih ada sejumlah lain yang masih tidak berhubung dengan pejabat Konsulat Jeneral, dan kita harap mereka dapat segera berbuat demikian supaya bantuan sewajarnya dapat diberikan untuk membolehkan mereka pulang,” katanya.

    Saifuddin juga sekali lagi menafikan dakwaan terdapat 10,000 rakyat Malaysia menjadi pendatang asing tanpa izin di negara itu kerana setakat ini rekod Konsulat Jeneral menyatakan 2,439 warga Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke tanah air, telah dibantu.

    Rekod juga menyatakan sehingga kini, hanya terdapat 72 warganegara Malaysia yang berdaftar dengan pihak Konsulat Jeneral dan memegang Pas Sempadan dan bilangan itu adalah sebahagian daripada 444 warganegara Malaysia yang telah mendaftarkan diri dengan pihak Konsulat Jeneral. – Bernama

  • Pegawai kanan polis maut dalam kemalangan di NKVE

    Pegawai kanan polis maut dalam kemalangan di NKVE

    SEORANG pegawai kanan polis disahkan maut selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada pukul 12.30 tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, berkata, kejadian berlaku apabila pemandu hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan.

    Katanya, mangsa merupakan pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden yang berkhidmat di Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras.

    “Mangsa dari arah Kuala Lumpur menghala Klang dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas.

    “Mangsa berumur 39 tahun mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Shah Alam dan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya memetika laporan Satu Berita, hari ini.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 41 APJ 1987.

    Dalam pada itu, Mohd. Iqbal berkata, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

    Orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami ditalian 011-31215697.