Category: Semasa

  • Kenal di WhatsApp, akhirnya buruh dituduh rogol pelajar sekolah

    Kenal di WhatsApp, akhirnya buruh dituduh rogol pelajar sekolah

    MENERUSI aplikasi WhatsApp, seorang buruh berkenalan dengan seorang anak gadis yang masih di bangku sekolah.

    Lelaki itu sudah berusia 25 tahun manakala gadis tersebut berumur 14 tahun 5 bulan – hampir separuh daripada usianya.

    Perkenalan mereka kemudian membawa kepada insiden rogol di sebuah rumah pada 9 September tahun lalu.

    Dan hari ini, buruh tersebut, Raja Mohd. Yusof Raja Husin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan merogol mangsa, lapor Berita Harian, hari ini.

    Tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Marang, kira-kira pukul 3 pagi 9 September 2021.

    Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Sejurus pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 12 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

    Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

    Selain itu, tertuduh juga dikenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, dan tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi sepanjang tempoh prosiding berlangsung.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Bekas CEO mengaku tidak bersalah terima rasuah keluarkan sijil, transkrip

    Bekas CEO mengaku tidak bersalah terima rasuah keluarkan sijil, transkrip

    BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah kolej di Jengka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari in atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,000 bagi tujuan mengeluarkan sijil dan transkrip, lapan tahun lalu.

    Tertuduh, Amran Mustaffa, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

    Bapa kepada sembilan anak itu didakwa dengan dua pertuduhan iaitu menerima rasuah RM5,000 daripada Muhammad Izhar Ismail melalui pengurus sebuah syarikat, Noralyra Ismail sebagai upah untuk mengeluarkan sijil dan transkrip program asasi sains di kolej terbabit tanpa mengikut prosedur pembelajaran yang betul.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan olehnya di Bank CIMB Berhad cawangan Jerantut pada 21 dan 24 Oktober 2015, lapor Sinar Harian.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama.

    Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Sebelum itu, Pendakwa Raya SPRM, Kamariah Seman yang mengendalikan kes menawarkan kos ikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

    Namun, peguam mewakili Amran, Ahmad Mawardi Che Hassan memohon pengurangan berikutan anak guamnya itu mempunyai tanggungan isteri dan sembilan anak yang masih bersekolah.

    “Anak guam saya sudah dipecat daripada jawatannya selepas digantung kerja sejak 2019. Sepanjang lima tahun siasatan anak guam saya sudah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak SPRM,” ujarnya.

    Ahmad Zamzani kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

    Mahkamah juga memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap awal bulan bermula April sehingga kes selesai.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Mei depan.

  • Polis sahkan OKT mati mengejut dalam lokap di Kajang

    Polis sahkan OKT mati mengejut dalam lokap di Kajang

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang lelaki warga tempatan, mati mengejut dalam tahanan di lokap Balai Polis Kajang, Selangor, semalam.

    Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata lelaki berusia 45 tahun itu, telah dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

    Beliau berkata, Orang Kena Tahan (OKT) itu tiada penjamin, dan ditumpangkan di Lokap Balai Polis Kajang sebelum dihantar ke Penjara Satelit Beranang, Kuala Lumpur, bagi tahanan reman.

    “(Namun) Pada 13 April (semalam) jam 10.32 pagi, anggota bertugas lokap dimaklumkan OKT disyaki sawan dan telah menghubungi pihak hospital. Pihak hospital telah hadir jam 10.45 pagi bagi membuat pemeriksaan, dan membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

    “Semasa dalam perjalanan ke hospital, penolong pegawai perubatan mengesahkan OKT telah meninggal dunia dan punca kematian masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau juga memaklumkan, Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut. – Bernama

  • Segerakan proses kelulusan permohonan pekerja asing – MPN

    Segerakan proses kelulusan permohonan pekerja asing – MPN

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) menggesa supaya disegerakan proses kelulusan bagi permohonan-permohonan bagi pekerja asing dengan mengurangkan kerenah birokrasi serta mempermudah dan menambahbaik proses kelulusan bagi menampung keperluan pekerja oleh industri-industri yang mendesak.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai langkah jangka pendek, MPN mencadangkan supaya kelulusan bersyarat boleh diberikan kepada permohonan yang sedang diproses untuk menyegerakan bekalan tenaga kerja asing kepada sektor-sektor yang terjejas.

    “Dalam jangka masa panjang, MPN berpandangan isu struktural kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing perlu ditangani secara menyeluruh,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Kuala Lumpur, hari ini.

    Gesaan itu dibuat ekoran penurunan ketara jumlah tenaga kerja asing sebanyak lebih 20 peratus sejak pandemik COVID-19 melanda negara ini.

    Kerajaan pada 15 Februari lalu telah memberi kebenaran permohonan pengambilan pekerja asing bagi semua sektor.

    Namun, hanya 163 dari 4,561 permohonan kuota pekerja asing telah diproses sehingga kini.

    MPN juga menyedari keluhan dan kerugian yang dialami pengusaha-pengusaha industri terutamanya dalam sektor perladangan, perkilangan dan perkhidmatan akibat kekangan tenaga kerja yang mendesak setelah ekonomi dibuka sepenuhnya.

    Muhyiddin menambah, mesyuarat tersebut turut mengambil maklum inisiatif-inisiatif yang telah diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan bencana banjir.

    Namun beliau berkata, MPN berpandangan bahawa inisiatif disediakan secara optimum mengikut keutamaan.

    “Justeru, Mesyuarat mencadangkan supaya pihak kementerian mengenal pasti sektor-sektor yang paling terjejas bagi memastikan inisiatif-inisiatif boleh diubah suai dan
    disasarkan.

    “Ini bagi memastikan sektor-sektor ini tidak ketinggalan dalam usaha pemulihan negara,” jelasnya.

    Muhyiddin berkata, dalam kemelut COVID-19, turut menjadi mangsa adalah golongan pelajar dan kanak-kanak.

    Beliau memberitahu, isu-isu seperti ketinggalan dan keciciran pembelajaran pelajar serta penjagaan kanak-kanak masih dirasai.

    “Dalam hal ini, MPN telah memberi pertimbangan dan pada dasarnya menyokong cadangan-cadangan yang dibentangkan bagi menangani isu-isu yang dihadapi golongan pelajar dan kanak-kanak kesan penularan COVID-19,” katanya.

    Selain itu, MPN mengesyorkan agar penggunaan aplikasi MySejahtera sebagai alat pengesanan kontak dikaji bagi penggunaan yang berkesan dalam peralihan ke fasa endemik.

    Muhyiddin juga mengumumkan dua ahli MPN yang baharu iaitu Rakan Kongsi Urusan PricewaterhouseCoopers Malaysia, Soo Hoo Khoon Yean dan Ketua Saintis Data, Techna-X Berhad, Dr Wan Muhammad Hasni Wan Sulaiman.

  • Banjir Durban ragut 259 nyawa

    Banjir Durban ragut 259 nyawa

    BANJIR buruk mengorbankan 259 orang di bandar Durban, Afrika Selatan dan sekitarnya dengan lereng bukit hanyut, rumah runtuh dan lebih ramai dikhuatiri masih hilang.

    Hujan paling lebat dalam tempoh 60 tahun melanda perbandaran Durban, yang dikenali sebagai eThekwini.

    “Pada masa ini angka disahkan terkorban semasa bencana ialah 259 orang di seluruh wilayah KwaZulu-Natal (KZN),” kata jurucakap jabatan pengurusan bencana wilayah Nonala Ndlovu, lapor agensi berita asing.

    Presiden Cyril Ramaphosa menyifatkan banjir itu sebagai ‘bencana’ dan ‘malapetaka’

    “Jambatan runtuh. Jalan raya runtuh. Orang sudah mati. Ini malapetaka besar,” katanya yang berjanji berusaha menangani bencana itu.

    Ramphosa berkata, bencana itu adalah sebahagian daripada perubahan iklim.

    ‘’Kita tidak lagi boleh menangguhkan apa yang perlu kita lakukan… untuk menangani perubahan iklim. Ia di sini, dan keupayaan pengurusan bencana kita perlu berada pada tahap yang lebih tinggi,” katanya.

    Gereja United Methodist di perbandaran Clermont pula menjadi timbunan runtuhan dengan empat kanak-kanak daripada keluarga tempatan maut apabila tembok runtuh menimpa mereka.

    Rumah lain tergantung tidak menentu di lereng bukit, namun masih utuh selepas banyak tanah di bawahnya dihanyutkan dalam banjir lumpur.

    Antara rumah milik Nokuthula Ntantiso yang terselamat, namun nasib berbeza menimpa ramai yang lain di perbandaran Umlazinya.

    “Ia menakutkan. Malam tadi pun saya tidak tidur kerana saya tertanya-tanya sama ada (rumah) yang saya tidur ini boleh runtuh pada bila-bila masa,” kata pengendali pusat panggilan berusia 31 tahun itu.

    Dia cuba keluar bekerja semalam, tetapi terpaksa berpatah balik disebabkan jambatan runtuh.

    Ribut itu memaksa pelabuhan terpenting Afrika sub-Sahara untuk menghentikan operasi, kerana jalan masuk utama mengalami kerosakan teruk.

    Kontena perkapalan pula dilihat bertindih-tindih, dihanyutkan sehingga menjadi seperti gunung-gunung logam tinggi melebihi lebuh raya bertingkat.

    Bahagian jalan juga dihanyutkan, meninggalkan kesan rosak yang besar melebihi trak besar.

    Lebuh raya utama pula dipenuhi pokok dan lumpur yang dalam sehingga jentolak terpaksa dipanggil untuk membantu membersihkannya.

    Penghadang lebuh raya juga dilihat berpintal seperti pembersih paip di sepanjang tepi jalan.

    “Kami melihat tragedi sebegitu melanda negara lain seperti Mozambique, Zimbabwe, tetapi kini kami pula yang terjejas,” kata Ramaphosa ketika dia bertemu keluarga yang kesedihan berhampiran runtuhan gereja.

    Afrika Selatan mengalami bencana alam seperti ribut tropika hampir setiap tahun, namun negara industri di benua itu sebahagian besarnya terlindung daripada ribut yang terbentuk di Lautan Hindi.

  • Empat sahabat didakwa bunuh seorang lelaki

    Empat sahabat didakwa bunuh seorang lelaki

    EMPAT sahabat didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas satu pertuduhan membunuh seorang lelaki awal bulan ini.

    Tertuduh, M. Mukuntan, 33, yang memakai baju T bewarna maroon hitam, S. Mahadevan, 40 (putih), A. Chandramani, 36 (merah) dan S. Tharma, 30 (biru) mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

    Namun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua lelaki itu kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh M. Danesh, 30, di Jalan BS 6/8, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Petaling Jaya pada pukul 5.27 pagi pada 3 April lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 20 Julai depan untuk serahan dokumen dan laporan bedah siasat.

    Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 30 tahun ditemukan mati dengan kesan tetakan di muka, leher dan tangan dipercayai dibunuh.

    Mangsa dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam, pada pukul 5.56 pagi di hadapan sebuah kedai makan di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.

    Susulan kejadian itu, pihak polis menahan empat lelaki berusia 30 hingga 40 tahun di tepi Jalan Songket, Taman Maznah, dekat Klang bagi membantu siasatan.

  • Suspek terlibat dua kes langgar lari dikenal pasti

    Suspek terlibat dua kes langgar lari dikenal pasti

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS sudah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes langgar lari melibatkan sebuah kereta dan motosikal di Kilometer 16, Jalan Johor Bharu-Air Hitam, Iskandar Puteri, pada pukul 9 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, laporan polis kejadian tersebut sudah dibuat terhadap suspek yang memandu kereta jenis Toyota CH-R merah.

    “Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

    “Suspek sudah dikenal pasti dan sedang dikesan untuk diambil keterangan. Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tular video berdurasi 34 dan 23 saat memaparkan sebuah kereta melanggar sebuah motosikal sebelum bertindak melarikan diri.

    Selain itu katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri sedang menyiasat satu lagi kes langgar lari melibatkan suspek di Persiaran Ledang, Iskandar Puteri pada pukul 9.30 malam Isnin.

    Tambah beliau, laporan polis juga sudah dibuat terhadap kes berkenaan.

  • Jangan politikkan isu panggil balik diplomat – Syed Hamid

    Jangan politikkan isu panggil balik diplomat – Syed Hamid

    Oleh ROSMALIS ANUAR

    LANGKAH Kementerian Luar (Wisma Putra) memanggil balik Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai kerana gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik semasa lawatan Perdana Menteri ke UAE akhir bulan lepas, perlu diselesaikan secara berhemah di peringkat dalaman.

    Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar menegaskan, tindakan mempolitikkan isu berkenaan oleh mana-mana pihak bukan sahaja menjejaskan imej kementerian dan kerajaan, malah reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

    “Amalan memanggil balik diplomat apabila berlaku kesilapan yang besar semasa lawatan rasmi adalah normal, negara lain juga ada yang memanggil balik duta mereka dalam tempoh 24 jam, jadi bukanlah sesuatu yang pelik kepada Malaysia.

    “Tetapi dalam kes ini, saya tahu saya tidak boleh bercakap bagi pihak Menteri Luar atau Pejabat Perdana Menteri, tetapi bagi saya, ia sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Wisma Putra dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan kegagalan menyelaraskan protokol menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai semasa lawatannya ke UAE pada 29-31 Mac lepas.

    Selain itu, Wisma Putra berkata liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk Perdana Menteri seperti amalan Prosedur Operasi Tetap (SOP) biasa juga tidak ada.

    Berdasarkan pengalamannya, Syed Hamid berkata, terdapat protokol asas dalam mengendalikan lawatan ketua kerajaan yang dilaksanakan Wisma Putra sejak sekian lama, namun beliau berpandangan, terdapat isu komunikasi sehingga menyebabkan kegagalan berkenaan.

    Berdasarkan amalan biasa, katanya, terdapat perbezaan antara pengurusan lawatan rasmi, lawatan kerja atau lawatan peribadi kerana setiap jenis lawatan akan mendapat respon berlainan daripada pihak tuan rumah.

    “Untuk lawatan peribadi pun, biasanya duta kita di negara tuan rumah, kerana kaliber mereka, mereka akan menyelaraskan protokol asas untuk perdana menteri seperti keselamatan dan sebagainya. Apa yang terjadi ini perkara asas yang tidak patut terjadi.

    “Episod begini, menteri perlu bertanggungjawab menangani dan mengurus dengan bijaksana. Ianya adalah persoalan tanggungjawab dan akauntabiliti. Banyak yang perlu ditambah baik.

    “Dahulu amalan lazim apabila ada lawatan perdana menteri, menteri akan pergi dahulu. Amalan saya, saya akan sampai sehari atau dua hari awal dan kita memastikan semua persediaan berjalan lancar. Saya tidak tahu macam mana amalan sekarang,” katanya.

    Mengenai hubungan dua hala Malaysia-UAE, Syed Hamid berkata pada peringkat awal dan jangka pendek, isu berkenaan mungkin akan memberi kesan negatif kepada hubungan kedua-dua negara.

    Bagaimanapun, oleh kerana hubungan sebenar Malaysia dan UAE adalah mesra dan mendalam, isu itu secara keseluruhannya tidak menjejaskan hubungan jangka panjang kedua-dua negara. – BERNAMA

  • Kontraktor wanita rugi hampir RM300,000 diperdaya ‘pegawai insurans’

    Kontraktor wanita rugi hampir RM300,000 diperdaya ‘pegawai insurans’

    SEORANG kontraktor wanita dari Beaufort kerugian RM294,118 selepas terpedaya dengan panggilan telefon yang menggunakan taktik ‘Macau Scam’, lima bulan lalu.

    Mangsa yang juga warga emas menyedari ditipu apabila cuba membuat pengeluaran dari bank akaun miliknya, semalam.

    Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, berdasarkan laporan, mangsa, 60, mendakwa menerima panggilan daripada orang tidak dikenali pada 12 November lalu.

    Katanya, pemanggil berkenaan mengaku sebagai pegawai insurans dan mendakwa mangsa ada membuat tuntutan insurans sebanyak RM75,000 yang mencurigakan.

    “Panggilan kemudiannya disambung kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai polis dan memberitahu nama mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram.

    “Untuk ‘membersihkan’ nama, mangsa diminta membuka satu akaun bank yang baharu kononnya untuk tujuan siasatan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Yusoff Zaki berkata, mangsa turut diminta mendaftarkan nombor telefon yang diberikan selain diarahkan supaya memberikan nombor akaun, nombor PIN dan kata laluan bank milik mangsa.

    Katanya, mangsa turut diberi peringatan supaya tidak mengemas kini akaun milik mangsa serta tidak berhubung dengan orang lain kononnya bagi tujuan supaya tidak mengganggu siasatan polis.

    “Bagaimanapun, selepas lima bulan, mangsa akhirnya menyedari ditipu apabila mendapati wang miliknya lesap ketika cuba membuat pengeluaran wang dari akaun bank, semalam.

    “Mangsa terus membuat laporan polis dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Upah RM800 seludup masuk mercun, seluar jeans

    Upah RM800 seludup masuk mercun, seluar jeans

    SEORANG lelaki mengaku menerima upah sebanyak RM800 bagi penghantaran sejumlah 264 kotak mercun dan 425 helai seluar jeans bernilai RM52,500, dari pangkalan haram di Pasir Mas ke Kota Bharu.

    Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, perkara itu didedahkan suspek ketika soal siasat selepas ditahan di Sekatan Pintas Serongga dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.

    Beliau berkata, sebelum itu suspek berusia 30 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra dalam keadaan mencurigakan itu ditahan pada pukul 4.45 petang.

    “Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas MPV itu telah menjumpai mercun sebanyak 264 kotak dan 425 helai seluar jeans.

    “Semua barangan seludup itu telah disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang dan bonet belakang kenderaan tersebut.

    “Hasil siasatan awal mendapati suspek menerima upah sebanyak RM800 bagi satu trip penghantaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, kesemua barangan tersebut dipercayai di seludup dari Thailand melalui pangkalan haram untuk dipasarkan di sekitar Kota Bharu.

    “Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM69,500.

    “Kesemua rampasan termasuk suspek telah dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut. Kes disisat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan ini,” katanya.