PENGUAT KUASA Awam Sepanyol dan polis wilayah Navarre di utara negara itu pada Rabu mengesahkan mereka berjaya mengesan sebuah ladang ganja haram terbesar di Eropah, lapor Xinhua.

Ladang itu ditemui di antara bandar Artajona dan Olite di Navarre, seluas 67 hektar dan mengandungi hampir 415,000 pokok tumbuhan itu.

Pemilik ladang berkata, ia mengeluarkan rami untuk kegunaan industri. Bagaimanapun, penyiasat berasa curiga apabila melihat destinasi akhir tumbuhan itu adalah ke negara seperti Switzerland dan Itali, di mana tumbuhan itu boleh diproses untuk menghasilkan kanabis (CBD).

Dalam operasi itu, tiga suspek ditahan kerana mengendalikan sebuah gudang besar di Artajona, dilengkapi sistem pengudaraan dan kawalan suhu untuk mengeringkan tanaman itu.

Anggota polis memintas sebuah trak yang hendak berlepas ke Itali membawa 23,000 pokok ganja kering, manakala kira-kira 13,000 pokok ditemui di dalam gudang itu.

Kredit video: Saluran YouTube Reuters

Polis berkata semua tanaman itu dimusnahkan, termasuk pokok yang masih hidup di ladang ganja itu, dengan nilai anggaran sekitar 30 juta euro selepas diproses menjadi CBD. -BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here