EMPAT sahabat didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas satu pertuduhan membunuh seorang lelaki awal bulan ini.

Tertuduh, M. Mukuntan, 33, yang memakai baju T bewarna maroon hitam, S. Mahadevan, 40 (putih), A. Chandramani, 36 (merah) dan S. Tharma, 30 (biru) mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Namun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua lelaki itu kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh M. Danesh, 30, di Jalan BS 6/8, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Petaling Jaya pada pukul 5.27 pagi pada 3 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 20 Julai depan untuk serahan dokumen dan laporan bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 30 tahun ditemukan mati dengan kesan tetakan di muka, leher dan tangan dipercayai dibunuh.

Mangsa dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam, pada pukul 5.56 pagi di hadapan sebuah kedai makan di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.

Susulan kejadian itu, pihak polis menahan empat lelaki berusia 30 hingga 40 tahun di tepi Jalan Songket, Taman Maznah, dekat Klang bagi membantu siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here