Category: Semasa

  • KPLB laksana program SKoD di 182 kawasan Parlimen

    KPLB laksana program SKoD di 182 kawasan Parlimen

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan melaksanakan program Sahabat Komuniti Desa (SKoD) di 182 kawasan Parlimen yang berada di luar bandar bermula tahun ini.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program di bawah penyelarasan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu juga bagi menggerakkan lebih banyak aktiviti sukarelawan dengan lebih berkesan.

    “SKoD ini merupakan Kumpulan Tindakan Komuniti yang ditubuhkan di kawasan luar bandar yang mempunyai peranan seperti Komuniti Rukun Tetangga.

    “Cuma bezanya SKoD fokus kepada komuniti di luar bandar iaitu penyertaannya adalah secara sukarela dan terbuka serta membabitkan penghulu, ketua kampung, institusi kepimpinan komuniti, jawatankuasa masjid, surau serta orang awam,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Komuniti Sejahtera dan Iftar Bersama Warga Kemas di Pusat Komuniti Padang Kerasak di Padang Terap malam tadi yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, SKoD menyasarkan sekurang-kurangnya 15 ahli bagi setiap kampung secara sukarela dengan tanpa sebarang bayaran keahlian.

    Beliau berkata, antara program yang dilaksanakan ialah aktiviti kesedaran kesihatan, amalan gaya hidup sihat dan program menangani isu keselamatan serta kebajikan penduduk kampung.

    Selain itu, program yang dianjurkan turut memberi tumpuan kepada memupuk semangat patriotisme seperti sambutan Hari Kebangsaan dan kebesaran Islam.

    “Sebagai contoh apabila berlaku bencana seperti banjir, tanah runtuh atau kebakaran di kawasan mereka, sukarelawan SkoD ini akan menjadi barisan paling pantas untuk membantu mangsa yang terkesan dengan musibah yang berlaku di tempat mereka.

    Sehubungan itu, Mahdzir mengharapkan yang SKoD mampu melahirkan generasi pelapis yang akan menjadi barisan kepimpinan dalam kalangan penduduk kampung. – BERNAMA

  • Peluncur udara warga Bangladesh maut tersangkut atas pokok balak

    Peluncur udara warga Bangladesh maut tersangkut atas pokok balak

    SEORANG peluncur udara warga Bangladesh maut selepas tersangkut di atas sebatang pokok balak ketika melakukan aktiviti berkenaan di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, hari ini.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.56 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi kejadian pukul 5.02 petang.

    “Mangsa, Mohammad Farhad Khalid, 44 yang merupakan warga Bangladesh tidak sedarkan diri ketika ditemui dan cedera patah kaki serta mengalami pendarahan.

    “Orang Asli di kawasan itu bertindak memanjat pokok tersebut dan mengikatnya menggunakan tali paragliding untuk menurunkan mangsa bagi mengelakkan mangsa terjatuh ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, bagaimanapun, pihak ambulans dari Hospital Kuala Kubu Bharu mengesahkan mangsa disyaki meninggal dunia semasa tersangkut di atas pokok tersebut.

  • Kerajaan akan umum kelonggaran tiga SOP utama-PM

    Kerajaan akan umum kelonggaran tiga SOP utama-PM

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mengumumkan kelonggaran tiga prosedur operasi standard (SOP) utama yang diguna pakai sejak negara dilanda Covid-19.

    Jelas Perdana Menteri, melibatkan pemakaian pelitup muka di tempat awam, mengimbas kod QR MySejahtera dan keperluan menjalani Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) di lapangan terbang.

    “Tiga perkara ini sedang dibincangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan diumumkan selepas meneliti kebaikan dan keburukannya.

    “Saya tak pasti bila ia akan diumumkan tapi KKM sedang berbincang, bermesyuarat tentang pelitup muka, MySejahtera dan sama ada perlu melakukan ujian PCR-RTK sebaik tiba di lapangan terbang.

    “Ada tiga perkara besar, tunggulah kita akan umum. Kita doakan berita gembira,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Seremban, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

    Menurutnya, sebagaimana dimaklumkan sebelum ini kerajaan tidak akan kembali mengetatkan SOP dan kelonggaran akan diberi dari semasa ke semasa.

    Jelas beliau, kelonggaran diberi sememangnya menggembirakan rakyat tetapi pada masa sama ada yang bimbang jika terlampau diberi kebebasan.

    “Itu sebabnya kena seimbangkan. Jika kita terlampau bebas, rakyat takut tapi seperti saya kata, kerajaan tidak akan mengundur ke belakang dan beri kelonggaran dari semasa ke semasa.

    “Sekarang ini kita dah boleh balik kampung beraya dan sebagainya tapi masih perlu memakai pelitup muka, walaupun tiada lagi penjarakan fizikal seperti dulu yang menyebabkan tindakan boleh diambil jika ada melanggarnya ” katanya.

    Sebelum ini, media melaporkan lebih banyak kelonggaran SOP yang diguna pakai sejak negara dilanda Covid-19 dijangka diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.

    Difahamkan, antara lain ia membabitkan kelonggaran terhadap arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat awam yang dikuatkuasakan sejak 1 Ogos 2020.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berikutan kejayaan pengurusan Covid-19 dalam negara yang kini menyaksikan jangkitan semakin terkawal selain penurunan kes kemasukan ke hospital, KKM dijangka mengumumkan sedikit kelonggaran dari semasa ke semasa.

  • Ibu tunggal bekas kakitangan kerajaan diperdaya lebih RM1 juta

    Ibu tunggal bekas kakitangan kerajaan diperdaya lebih RM1 juta

    SEORANG ibu tunggal kerugian lebih RM1.1 juta diperdaya sindiket Macau Scam selepas didakwa mempunyai tunggakan cukai dan namanya terbabit dengan pengubahan wang haram, bulan lalu.

    Sebelum itu wanita warga emas berusia 77 tahun yang berasal dari Seremban itu menerima panggilan daripada seorang wanita ketika berada di rumahnya kira-kira 10 pagi, 21 Mac lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya bernama Noraini Tan Abdullah.

    “Sindiket mendakwa warga emas itu mempunyai hutang cukai atas nama syarikat Nilam Kenari Trading sebanyak RM18,336.

    “Pesara kerajaan itu kemudiannya menafikan mempunyai syarikat berkenaan sebelum sindiket menyambungkan panggilan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kononnya untuk membuat laporan memandangkan syarikat didaftarkan di Kedah,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Jelas Aibee, mangsa kemudiannya bercakap dengan seorang lelaki yang mengaku sebagai Sarjan Amir Hamzah sebelum disambungkan kepada Inspektor Fazli Yusuf.

    “Inspektor itu memaklumkan mangsa mempunyai waran tangkap kerana syarikat milik warga emas itu ditubuhkan untuk tujuan pengubahan wang haram, namun mangsa menafikannya.

    “Mangsa lalu bercakap pula dengan seorang pegawai bernama Koh Eng Guan daripada bahagian risik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang memaklumkan akan membantu mangsa menyelesaikan masalah dihadapinya.

    “Mangsa diperdaya supaya memberikan semua sembilan maklumat akaun miliknya termasuk satu akaun bersama anaknya. Mangsa juga diminta memberikan salinan MyKad dan gambar melalui WhatsApp,” katanya.

    Aibee berkata, pada 22 Mac pegawai itu menghantar surat mengenai penyerahan dan penyiasatan aset mangsa kononnya daripada Mahkamah Persekutuan dan mendakwa semua wang mangsa perlu dimasukkan ke akaun Bank Negara untuk tujuan siasatan.

    “Mangsa lalu memasukkan semua wang ke dua akaun miliknya sebelum sindiket dipercayai memindahkan wang itu ke enam akaun yang tidak dikenali dengan jumlah keseluruhan RM1,174,589.

    “Warga emas itu memaklumkan perkara itu kepada anaknya sebelum menyedari ditipu sindiket. Semua wang diambil dari Mac hingga 18 April lalu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seremban, semalam.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • 3,350 karton rokok seludup pelbagai jenama dirampas

    3,350 karton rokok seludup pelbagai jenama dirampas

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 3,350 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM305,348 dalam dua serbuan berasingan di sekitar Seri Kembangan dan Kajang, semalam.

    Dalam serbuan pertama pada pukul 10.30 pagi, dua lelaki tempatan berusia 22 dan 24 tahun serta seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun ditahan.

    Pegawai Pemerintah Batalion 4 (Bn4) PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, turut dirampas enam buah kenderaan yang di parkir di Pangsapuri Putra Impian, Seri Kembangan.

    “Hasil pemeriksaan menemui sejumlah rokok tidak bercukai pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan dan merampas 3,030 karton rokok tidak bercukai dengan anggaran nilai sebanyak RM268,764.

    “Nilai cukai berjumlah RM409,570. Nilai keseluruhan rampasan barang kes dianggarkan bernilai RM943,054,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, memetik laporan Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Rizal berkata, dalam serbuan kedua pula, pihaknya berjaya menahan seorang lagi ahli sindiket yang merupakan lelaki tempatan berusia 30 tahun di sebuah rumah di Taman Berlian, Sungai Jelok, di Kajang sekitar jam 6 petang.

    “Hasil pemeriksaan, polis telah menjumpai 247 karton rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam rumah terbabit serta 73 karton lagi disembunyikan dalam kenderaan.

    “Turut dirampas adalah kenderaan terbabit dan telefon bimbit pelbagai jenama. Anggaran nilai rampasan sebanyak RM36,584 manakala anggaran nilai cukai rokok pula berjumlah RM42,836.00,” katanya.

    Beliau berkata, nilai cukai kesemua 3,359 karton rokok yang dirampas berjumlah RM452,496 manakala nilai keseluruhan rampasan barang kes dianggarkan bernilai RM943,054 termasuk tujuh kenderaan dan lima telefon bimbit.

    Sindiket tersebut katanya, disyaki aktif mengedar rokok seludup berkenaan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

    Katanya, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan IPD Kajang untuk membantu siasatan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.

  • Muhyiddin sampaikan bantuan masjid, surau, asnaf

    Muhyiddin sampaikan bantuan masjid, surau, asnaf

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyantuni penduduk Pagoh pada Majlis Ihya Ramadan bersama-sama penduduk Bukit Pasir di Masjid As Syakur, Kampung Tengah, Muar, petang semalam.

    Pada majlis itu Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada 22 buah masjid, 47 buah surau dan 28 asnaf.

    “Semoga sumbangan ini dapat membantu masjid dan surau di parlimen ini meneruskan aktiviti sepanjang bukan Ramadan dan meringankan beban asnaf terlibat.

    Muhyiddin menyampaikan sumbangan kepada pihak masjid dan surau pada Majlis Ihya Ramadan di Masjid As Syakur, Kampung Tengah, Muar, petang semalam.

    “Sempena 10 malam terakhir Ramadan ini, marilah kita sama-sama mempertingkatkan ibadah dan berdoa semoga Allah menerima segala amal kebaikan kita, insya-Allah.

    “Sudah menjadi kebiasaan setiap kali tiba bulan Ramadan, masjid dan surau di sekitar Parlimen Pagoh akan mengadakan program seperti ini.
    Sebelum berbuka puasa dan solat maghrib bersama-sama masyarakat setempat,” katanya dalam hantar terbaharu menurusi Facebook miliknya.

  • Kes Macau Scam di N.Sembilan meningkat, catat kerugian lebih RM4 juta

    Kes Macau Scam di N.Sembilan meningkat, catat kerugian lebih RM4 juta

    KES Macau Scam di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan dengan 144 kertas siasatan dibuka melibatkan kerugian kira-kira RM4.56 juta bagi tempoh Januari hingga 21 April lepas, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Ab Ghani.

    Beliau berkata kes tersebut menunjukkan peningkatan 336 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan 33 kertas siasatan dibuka melibatkan jumlah kerugian RM930,000 bagi tempoh sama.

    Aibee berkata terbaharu, polis menerima dua laporan penipuan daripada dua wanita melibatkan kerugian RM1.58 juta pada tiga hari lepas.

    “Kes pertama melibatkan warga emas berusia 77 tahun mengalami kerugian RM1.186 juta, pengadu merupakan pesara kerajaan menerima panggilan daripada seorang wanita yang menyamar sebagai petugas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya, ” katanya dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini.

    Beliau berkata wanita tersebut dikatakan mempunyai tunggakan cukai atas nama syarikat milik mangsa sebanyak RM18,336 namun telah dinafikan, kemudian panggilan tersebut disambung kepada beberapa individu lain yang menyamar sebagai polis.

    Wanita itu telah diperdaya sehingga menyebabkan mangsa memberikan maklumat lengkap sembilan akaun bank serta nombor kad pengenalan kepada individu tidak dikenali itu.

    Aibee berkata kes kedua melibatkan seorang guru berusia 39 tahun berasal dari Sabah dan menetap di Nilai, ditipu oleh individu yang menyamar sebagai pegawai LHDN sebanyak RM394,358.

    “Wanita itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dia mempunyai tunggakan cukai RM38,000, kemudian panggilan itu disambung kepada individu lain dan mendakwa mangsa juga terlibat dalam kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram,” katanya.

    Beliau berkata wanita itu turut membuat pinjaman peribadi dengan beberapa bank bagi menyelesaikan tunggakan cukai dan segala kesulitan yang dimaklumkan tersebut sehingga melakukan beberapa kali transaksi ke empat akaun bank berlainan.

    Justeru, polis mengingatkan orang awam supaya tidak melayan sebarang panggilan yang meminta maklumat diri terutamanya akaun peribadi. – Bernama

  • Lagi 80 tahanan Rohingya masih diburu

    Lagi 80 tahanan Rohingya masih diburu

    SERAMAI 80 orang baki tahanan entik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu, Rabu lalu masih dikesan pihak polis.

    Ketua Polis Kedah CP Wan Hassan Wan Ahmad berkata, seramai 65 lelaki dewasa, lapan wanita dewasa dan tujuh kanak-kanak perempuan belum ditemukan setakat malam tadi.

    “Setakat ini, seramai 448 tahanan etnik Rohingya telah ditemukan iaitu 229 lelaki dewasa, 89 wanita dewasa, 69 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Satu Berita.

    Beliau menambah, sehingga kini jumlah tahanan yang brada di dalam depot berkenaan adalah 15 orang dengan kerja-kerja dokumentasi sedang dilakukan sebelum mereka dihantar ke depot tahanan lain.

    Seramai 528 warga asing etnik Rohingya melarikan diri pada awal pagi Rabu lepas, bagaimanapun enam daripada mereka maut dirempuh kereta ketika cubaan melarikan diri di lebuh raya.

  • Kerajaan kaji semula pemberian pemegang Kad UNHCR kepada pelarian etnik Rohingya – Hamzah

    Kerajaan kaji semula pemberian pemegang Kad UNHCR kepada pelarian etnik Rohingya – Hamzah

    KERAJAAN akan mengkaji semula pemberian kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kepada pelarian etnik Rohingya di negara ini.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kajian itu perlu dilakukan susulan ratusan tahanan etnik itu yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu, Rabu lepas.

    “Kita tidak boleh memberi ruang supaya mereka dengan mudah memasuki negara tanpa dokumen dan terus mendapat kad UNHCR.

    “Ia sesuatu yang tidak betul…ini bukan negara untuk pendaftaran UNHCR sebab itu kita ambil sikap tegas bahawa pemegang kad bukan bermakna boleh tinggal di negara kita.

    “Jadi kerana itu perlu kaji semula punca pelarian UNHCR duduk di sini dengan bebas dan bagi kad dengan bebas kerana tiada bantuan diberikan kepada kita. Kita sebagai negara yang bersikap perikemanusiaan kepada sesiapa pun tidak bermakna mereka boleh memasuki negara dengan sewenangnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan asnaf Parlimen Larut kepada 1,000 orang kurang berkemampuan di Dewan Astaka Batu Kurau, Larut, hari ini.

    Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata kerajaan telah memberi keperluan yang mencukupi kepada pelarian etnik Rohingya malah menempatkan mereka di sesuatu tempat iaitu depoh tahanan atas sifat keperimanusiaan disebabkan ketiadaan dokumen negara asal untuk dihantar pulang.

    “Mereka sepatutnya tidak melarikan diri. Itu maknanya mereka hendak melakukan kesalahan untuk bebas dalam negara yang mereka sendiri tidak ada dokumen diri,” katanya sambil menambah tiada tempoh ditetapkan bagi tahanan yang ditempatkan di depoh.

    Ditanya mengenai dakwaan kesesakan di depoh dipercayai antara punca tahanan melarikan diri, beliau berkata ia hanya sekadar pendapat sesetengah pihak.

    Dalam kejadian awal pagi Rabu lepas, 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya melarikan diri, bagaimanapun enam daripada mereka maut dirempuh kereta ketika cubaan melarikan diri di lebuh raya. – Bernama

  • Kastam rampas arak bernilai RM1.6 juta

    Kastam rampas arak bernilai RM1.6 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN sebuah lori kargo 10 tan melarikan diri membawa 22,400 liter minuman keras tidak bercukai semasa dikejar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak berhasil apabila berjaya ditahan, semalam.

    Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, lori berkenaan berjaya ditahan di Kilometer (KM) 13, Lebuhraya Link Kedua (Arah Utara), Johor Bahru.

    “Seorang lelaki berusia 44 tahun yang merupakan pemandu kepada lori berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

    “Sebelum itu, bertindak atas maklumat, kastam Johor telah mengesan sebuah lori kargo 10 tan yang disyaki membawa muatan tidak bercukai dan pasukan kita mengekori lori itu dari Lebuhraya Sultan Iskandar serta mengarahkannya untuk berhenti.

    “Bagaimanapun pemandu lori itu terus bertindak agresif dengan memecut laju untuk melarikan diri. Pemandu lori juga beberapa kali cuba mengancam keselamatan pasukan dengan berhenti lalu mengundurkan kenderaannya bagi melanggar kenderaan jabatan.

    “Seorang daripada pasukan serbuan telah melepaskan tujuh das tembakan untuk memaksa pemandu berkenaan berhenti sebelum dia akhirnya ditahan selepas kira-kira 30 minit dikejar pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan pihak berkuasa terpaksa melepaskan beberapa tembakan bagi menahan sebuah lori dipercayai membawa muatan minuman keras tidak bercukai dalam satu kejadian di Jalan Tuas-Lima Kedai di sini.

    Pemeriksaan mendapati lori terbabit sedang membawa muatan minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM1.8 juta di Iskandar Puteri, semalam

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, sebanyak tiga kereta polis terlibat bersama kenderaan kastam terlibat untuk menghentikan lori berkenaan daripada terus melarikan diri.

    Kejadian berkenaan turut menjadi tular menerusi sebuah video berdurasi 1 minit 22 saat yang menyaksikan sebuah lori berkenaan sedang dikejar sebuah kenderaan kastam selain beberapa das tembakan turut dilepaskan.

    Dalam pada itu, Abdul Latif berkata, pemeriksaan lanjut dalam lori berkenaan mendapatinya membawa sebanyak 36,708 botol dan tin minuman keras dipercayai baharu diseludup masuk dari negara jiran.

    “Pemandu lori tersebut gagal mengemukakan dokumen yang sah berkaitan dagangan yang dibawa masuk itu. Kita anggarkan kesemua minuman keras ini adalah bernilai RM284 dengan nilai cukai dilarikan sebanyak RM1.6 juta.

    “Hasil daripada tangkapan ini, kita juga akan melakukan siasatan lanjut untuk mengesan sekiranya terdapat suspek lain atau pun dalang terlibat dengan kegiatan ini,” katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 136 (a) Akta Kastam 1967.