SEORANG ibu tunggal kerugian lebih RM1.1 juta diperdaya sindiket Macau Scam selepas didakwa mempunyai tunggakan cukai dan namanya terbabit dengan pengubahan wang haram, bulan lalu.

Sebelum itu wanita warga emas berusia 77 tahun yang berasal dari Seremban itu menerima panggilan daripada seorang wanita ketika berada di rumahnya kira-kira 10 pagi, 21 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya bernama Noraini Tan Abdullah.

“Sindiket mendakwa warga emas itu mempunyai hutang cukai atas nama syarikat Nilam Kenari Trading sebanyak RM18,336.

“Pesara kerajaan itu kemudiannya menafikan mempunyai syarikat berkenaan sebelum sindiket menyambungkan panggilan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kononnya untuk membuat laporan memandangkan syarikat didaftarkan di Kedah,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Jelas Aibee, mangsa kemudiannya bercakap dengan seorang lelaki yang mengaku sebagai Sarjan Amir Hamzah sebelum disambungkan kepada Inspektor Fazli Yusuf.

“Inspektor itu memaklumkan mangsa mempunyai waran tangkap kerana syarikat milik warga emas itu ditubuhkan untuk tujuan pengubahan wang haram, namun mangsa menafikannya.

“Mangsa lalu bercakap pula dengan seorang pegawai bernama Koh Eng Guan daripada bahagian risik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang memaklumkan akan membantu mangsa menyelesaikan masalah dihadapinya.

“Mangsa diperdaya supaya memberikan semua sembilan maklumat akaun miliknya termasuk satu akaun bersama anaknya. Mangsa juga diminta memberikan salinan MyKad dan gambar melalui WhatsApp,” katanya.

Aibee berkata, pada 22 Mac pegawai itu menghantar surat mengenai penyerahan dan penyiasatan aset mangsa kononnya daripada Mahkamah Persekutuan dan mendakwa semua wang mangsa perlu dimasukkan ke akaun Bank Negara untuk tujuan siasatan.

“Mangsa lalu memasukkan semua wang ke dua akaun miliknya sebelum sindiket dipercayai memindahkan wang itu ke enam akaun yang tidak dikenali dengan jumlah keseluruhan RM1,174,589.

“Warga emas itu memaklumkan perkara itu kepada anaknya sebelum menyedari ditipu sindiket. Semua wang diambil dari Mac hingga 18 April lalu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seremban, semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here