Category: Semasa

  • Kertas cadangan eksport ketum ke Thailand bakal dibincang dalam Mesyuarat Exco Kedah

    Kertas cadangan eksport ketum ke Thailand bakal dibincang dalam Mesyuarat Exco Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERTAS cadangan mengenai permohonan kerajaan negeri Kedah terhadap kerajaan Persekutuan bagi membenarkan urusan pengeksportan ketum ke luar negara bagi tujuan perubatan bakal diangkat ke Mesyuarat Exco kerajaan negeri, tidak lama lagi.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau dimaklumkan kertas cadangan tersebut sudah pun disiapkan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah.

    “BPEN maklumkan kertas cadangan itu sudah siap tetapi saya belum membacanya lagi. Insya Allah selepas ini kertas cadangan itu akan dibawa ke dalam Mesyuarat Exco sebelum dipanjangkan ke Kerajaan Persekutuan untuk pertimbangan lanjut.

    “Kertas itu mungkin akan dibawa untuk dibincangkan pada minggu depan atau minggu yang satu lagi. Kalau Kerajaan Persekutuan benarkan, bolehlah kita buat (eksport) tetapi kalau mereka kata ‘no way’, maka kita terpaksa tunggulah dan berharap ada perubahan selepas ini termasuk penemuan-penemuan baharu melibatkan ketum,” katanya.

    Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Pada Mac lalu, Muhammad Sanusi mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan agar membenarkan Kedah mengeksport ketum ke Thailand sebagai antara langkah membanteras kegiatan penyeludupan melibatkan tumbuhan itu.

    Selain membolehkan kerajaan mengutip cukai, langkah itu juga mampu mengurangkan penggunaan tenaga, komitmen, sumber serta masa yang digunakan untuk membanteras penyeludupan ketum kerana Thailand sudah pun mengkomersialkan tanaman itu terutamanya melibatkan bidang perubatan.

    Sementara itu Muhammad Sanusi menjelaskan, cadangan diutarakannya itu bukanlah bermakna beliau menyuruh rakyat menanam ketum.

    “Saya bukan suruh tanam. Saya cuma minta kerajaan benarkan untuk kita eksport ketum sedia ada.

    “Yang sedia ada itu pun banyak sedang diseludup. Jadi kita selesaikanlah isu ini dengan benarkan ketum dieksport,” katanya.

  • Isu tular jual data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia bukan milik JPN – Hamzah

    Isu tular jual data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia bukan milik JPN – Hamzah

    DAKWAAN  penjualan 22.5 juta data peribadi rakyat Malaysia seperti yang tular menerusi media sosial hari ini, disahkan bukan milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    “Kami (Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai mekanisma untuk mengesahkan data yang dijual itu bukan daripada JPN. Seperti kes-kes sebelum ini, penjualan data melibatkan agensi yang diberi ruang untuk terima maklumat daripada JPN,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu berkenaan selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

    Hamzah berkata satu siasatan sedang dilakukan pihaknya dan mendapati data yang dijual itu adalah koleksi penjual daripada sumber-sumber lain.

    “Semua individu yang terlibat dengan kegiatan penjualan data peribadi ini akan dipanggil bagi membantu siasatan dan hasil siasatan penuh akan dimaklumkan tidak lama lagi,” katanya.

    Sehubungan itu, Hamzah berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi mendapatkan data peribadi melalui agensi di bawah JPN akan dikaji semula.

    “JPN merasakan wujud keperluan untuk data peribadi didapatkan terus daripada jabatan terbabit supaya isu seperti ini tidak timbul,” katanya.

    Terdahulu, sebuah portal teknologi dan telekomunikasi, Lowyat.net melaporkan terdapat penjualan data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia serta swafoto pengesahan kad pengenalan dimiliki 800,000 individu milik JPN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara dalam talian.

    Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

    — BERNAMA

  • Sukan SEA: Pasukan golf lelaki negara tamatkan kemarau emas selepas 21 tahun

    Sukan SEA: Pasukan golf lelaki negara tamatkan kemarau emas selepas 21 tahun

    MALAYSIA akhirnya meraih emas acara berpasukan golf lelaki Sukan SEA selepas dua dekad, menewaskan Thailand 2-1 dalam final hari ini.

    Pasukan negara terdiri daripada  Ervin Chang, Marcus Lim Pang Chuen, K. Rhaasrikanesh dan A. Nateeshvar (pemain simpanan) menampilkan persembahan mantap di Heron Lake Golf Course & Resort di Bangkok, untuk mengetepikan juara bertahan itu, sekali gus menyumbang emas ke-24 pada temasya dwitahunan berkenaan yang sedang berlangsung.

    Ervin, yang baru-baru ini mencipta sejarah sebagai atlet golf negara pertama memenangi acara individu lelaki, mengalahkan Weerawish Narkprachar 2-1, manakala Marcus tewas 0-1 kepada Ratchanon Chantananuwat, menjadikan kedudukan terikat 1-1. 

    Rhaasrikanesh muncul penyelamat buat Malaysia apabila menang 1-0 menentang Pongsapak Laopakdee.

    “Selepas pusingan yang sukar semalam, saya sangat gembira dengan pukulan-pukulan terakhir (yang dilakukan). Hati dah berdebar-debar sikit, akhirnya semuanya bagus,” kata Rhaasrikanesh kepada pemberita.

    Malaysia hanya pernah dua kali memenangi acara berpasukan lelaki iaitu pada 1989 dan 2001.

    Pasukan yang meraih emas pada edisi 2001 di Kuala Lumpur terdiri daripada Airil Rizman Zahari, S. Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin.

    Sementara itu, pasukan wanita yang dibarisi Mirabel Ting Ern Hui dan Jeneath Wong terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, selepas tewas pada Thailand 1.5 – 0.5.

    Mirabel berjaya menjadikan kedudukan seri ketika berentap dengan Natthakritta Vongtaveelap, namun pemenang gangsa individu wanita, Jeneath, ditundukkan 1-0 oleh Eila Galitsky.

    Bantahan oleh pasukan Malaysia yang mendakwa berlaku kesilapan teknikal kedi, bagaimanapun tidak berjaya membawa pertandingan ke pusingan penentuan.

    Keputusan pada edisi kali ini adalah paling cemerlang dihasilkan pasukan golf kebangsaan dalam kempen Sukan SEA, menerusi dua emas, satu perak dan satu gangsa.–Bernama

  • Lelaki gagal larikan wang lepas dua jam tak dapat pecahkan mesin ATM

    Lelaki gagal larikan wang lepas dua jam tak dapat pecahkan mesin ATM

    SEORANG lelaki gagal melarikan wang dalam sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dengan menggunakan mesin pencanai (grinding machine) dalam satu kejadian di sebuah bank, di Tanah Merah, Kelantan pada awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Supt. Wan Zulfikri Wan Othman berkata kejadian itu dilaporkan pihak bank terbabit pada 7.16 pagi selepas menyedari salah sebuah ATM di premis itu rosak serta terdapat kesan dicanai di bahagian bawah.

    Beliau berkata semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di luar premis itu menunjukkan seorang lelaki dilihat berjalan kaki dengan membawa sebuah kerusi plastik memasuki ruang menempatkan mesin ATM pada pukul 1.59 pagi.

    “Suspek turut bertindak menutup CCTV dengan menggunakan pita pelekat selain kertas minyak pada pintu utama ruang berkenaan bagi mengelak perbuatannya dilihat.

    “Suspek didapati berusaha hampir dua jam untuk cuba melarikan wang tunai di mesin ATM terbabit sebelum keluar semula pada 3.15 pagi dengan menggalas beg,” katanya kepada pemberita, di Tanah Merah hari ini.

    Wan Zulfikri berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan.–Bernama

  • Syarikat perlombongan didenda RM147,000 sebabkan pekerja maut

    Syarikat perlombongan didenda RM147,000 sebabkan pekerja maut

    MAHKAMAH Sesyen Klang hari ini menjatuhkan hukuman denda RM147,000 terhadap sebuah syarikat perlombongan kerana gagal memastikan keselamatan pekerja sehingga menyebabkan seorang pekerjanya maut serta empat lagi terbabit kemalangan pada 2021.

    Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor menerusi kenyataan memaklumkan, hukuman denda itu dijatuhkan oleh Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas syarikat itu mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan.

    “Bagi pertuduhan pertama, syarikat itu didenda RM45,000 selepas gagal menjalankan kewajipan yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja, dengan gagal membekalkan jaket keselamatan kepada pekerja-pekerjanya yang melakukan aktiviti berulang alik dari darat ke kapal korek sehingga menyebabkan berlaku kemalangan maut terhadap seorang pekerja akibat lemas.

    “Bagi pertuduhan kedua, syarikat itu didenda RM28,000 bagi setiap kesalahan yang sama di mana, gagal membekalkan jaket keselamatan kepada pekerjanya yang melakukan aktiviti berulang alik dari darat ke kapal korek sehingga menyebabkan berlaku kemalangan kepada empat pekerjanya.

    “Kesalahan dilakukan pada pukul pagi, 24 Februari 2021 di kawasan lombong pasir milik syarikat itu di Mukim Tanjung Dua Belas, Banting, Selangor,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Menurutnya, syarikat perlombongan itu dituduh mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Selangor, Dr. Rasyimawati Mat Rashid manakala siasatan dijalankan Pegawai Penyiasat JKKP Selangor, Mohamad Firdaus Abu Hassan.

    Katanya, kes itu diharap memberi pengajaran kepada semua majikan dan pekerja agar pematuhan kepada undang-undang perlu diambil berat demi kepentingan awam dan keselamatan pekerja.

  • Minta suapan RM80,000: Penolong jurutera direman empat hari

    Minta suapan RM80,000: Penolong jurutera direman empat hari

    SEORANG penolong jurutera di sebuah agensi kerajaan direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan berjumlah kira-kira RM80,000.

    Perintah reman terhadap lelaki berusia 35 tahun itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Lelaki itu dikatakan telah meminta suapan bagi membantu untuk mendapatkan kerja-kerja pembaikan sebuah sekolah di satu daerah di Selangor.

    Suspek ditahan oleh sepasukan pegawai SPRM Selangor setelah menerima wang tunai RM10,000 daripada seorang individu lain di sebuah restoran di Bangi kira-kira jam 4 petang semalam. – Bernama

  • Tiga lelaki pukul warga emas, samun rumah sarang burung

    Tiga lelaki pukul warga emas, samun rumah sarang burung

    SEORANG warga emas cedera di bahagian kepala dan kaki kanan selepas dipukul tiga penyamun di sebuah rumah sarang burung di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, pukul 4 pagi semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, sebelum itu suspek memecah masuk dan mencederakan mangsa yang merupakan penjaga rumah sarang burung berkenaan.

    “Suspek mengikat mangsa dan mencederakannya menggunakan senjata dipercayai besi.

    “Seterusnya suspek melarikan tiga guni sarang burung dianggarkan seberat tiga kilogram dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM11,500.

    “Mangsa yang mengalami kecederaan luka di bahagian belakang kepala sebelah kanan mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi dan menerima 10 jahitan di jari kaki kanan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Nik Azaham berkata, keadaan mangsa stabil dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar serta dibenarkan pulang selepas dirawat.

    “Polis membuka siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun hingga mendatangkan cedera.

    “Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

  • Bot nelayan tempatan ditahan tunda pukat di kawasan larangan

    Bot nelayan tempatan ditahan tunda pukat di kawasan larangan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 4.6 batu nautika barat Kuala Sungai Pinang, Pulau Pinang malam tadi dipercayai sedang menunda pukat di kawasan larangan.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot ronda Maritim Malaysia berjaya mengesan sebuah bot nelayan yang bergerak dalam keadaan gelap disyaki sedang menjalankan operasi menangkap ikan menggunakan pukat tunda kira-kira pukul 10.55 malam.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan yang berpangkalan di Batu Maung itu dikendalikan tekong warga tempatan berusia 51 tahun bersama tiga kru warga Indonesia berumur antara 44 hingga 55 tahun.

    Jelasnya, bot terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

    “Bot berkenaan bersama tekong dan tiga kru yang mempunyai permaustatin tetap kemudiannya dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

    “Kita turut menyita semua peralatan dan hasil tangkapan ikan campur dengan anggaran 100 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia demi kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara.

    Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam supaya melaporkan sebarang penemuan dan kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Siasatan video tular anggota polis trafik iring anak Ahli Parlimen selesai

    Siasatan video tular anggota polis trafik iring anak Ahli Parlimen selesai

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SIASATAN berhubung tindakan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang baru-baru ini telah lengkap sepenuhnya.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kertas siasatan itu juga sudah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

    “Pegawai penyiasat telah mengambil keterangan pemandu kenderaan tersebut pada 9 Mei lalu dan kertas siasatan juga telah dirujuk kepada TPR untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sebelum ini, satu klip video yang menunjukkan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen tular di dalam media sosial Facebook.

    Video itu mendapat kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan individu berkenaan yang didakwa menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan di Pulau Pinang.

    Siasatan dalaman polis kemudiannya mendapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi daripada mana-mana pegawai kanan, Ibu Pejabat atau Kontinjen Pulau Pinang untuk tugasan itu dilaksanakan.

    Susulan itu, dua anggota polis trafik terlibat telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sehingga siasatan tatatertib berkaitan kes itu selesai.

    Kes itu turut disiasat menurut Seksyen 230 Akta Komunikasi dan  Multimedia (AKM) 1998 kerana ia melibatkan kesalahan menggunakan media sosial.

  • ‘’Najib minta saya bertemu bekas Pengerusi PAC sebelum beri keterangan’’ – Bakke

    ‘’Najib minta saya bertemu bekas Pengerusi PAC sebelum beri keterangan’’ – Bakke

    BEKAS Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah memintanya supaya bertemu bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Hasan Arifin bagi mendapatkan ‘garis panduan’ berhubung keterangannya kepada PAC pada 2016.

    Mohd Bakke, 68, berkata beliau menerima panggilan daripada bekas perdana menteri itu kira-kira dua minggu sebelum prosiding PAC pada 11 Feb 2016.

    “Saya menerima panggilan daripada Najib meminta saya berjumpa dengan Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin. Beliau mengajak saya berjumpa di rumah Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan, bekas pengarah urusan TV3. Dan kalau saya boleh ingat, panggilan telefon daripada PM, pastinya sebelum prosiding PAC.

    “Beliau mahu saya berjumpa dengan Hasan Arifin dan juga Datuk Farid Ridzuan, hanya untuk memastikan kita semua memahami secara kasar apa yang perlu dikongsi atau diperkatakan di PAC, dan itulah intipatinya, semacam keharmonian. Pada masa itu yang menjadi perhatian adalah untuk menjaga reputasi PM, bimbang akan kejatuhan daripada perkara 1MDB ini, saga 1MDB.

    “Saya kata ok, tetapi saya juga sebutkan kepada PM, kebimbangannya akan reda jika saya tidak dipanggil ke prosiding ini, itu lebih baik, tetapi bukan itu yang berlaku, saya dipanggil,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

    Saksi itu selanjutnya berkata beliau bertemu Hasan dua kali pada dua hari berbeza di rumah Farid di Kiara Hills, dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir pada mesyuarat pertama dan kemudian Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy hadir pada mesyuarat kedua.

    “Saya beranggapan bahawa Hasan dan Ahmad Farid hanya cuba untuk membuat saya menjadi lebih akomodatif, jangan terlalu keras dengan keterangan atau jawapan kepada PAC, jangan cuba mengelak perkara tertentu kerana ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau nama Jho Low pun dianggap tabu, tidak boleh sebut,” katanya.

    Muhammad Shafee: Tan Sri, apakah perkara yang dianggap “sensitif”?

    Mohd Bakke: Dua perkara, satu, nama Jho Low, satu lagi PM… cuba jangan buat sebarang rujukan kepada PM, cuba cakap dari segi pengurusan, lebih kepada usaha pengurusan.

    Mohd Bakke berkata beliau hanya mendengar kerana beliau tahu apa yang akan beliau perkatakan pada siasatan PAC dan beliau tidak akan menjejaskan keterangannya pada siasatan PAC.

    “Saya tidak akan membenarkan sesiapa mempengaruhi saya. Jadi saya hanya akan mengaitkan perkara itu, kerana itu adalah perkara yang benar, jadi saya akan berterus terang,” kata saksi itu.

    Menjawab soalan lain, saksi itu berkata Jho Low adalah perantara antara 1MDB dan Najib dan bukan nomini kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

    Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

    — BERNAMA