Category: Semasa

  • Penyokong Nottingham Forest serang ketua pasukan Sheffield United selepas kalah

    Penyokong Nottingham Forest serang ketua pasukan Sheffield United selepas kalah

    POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung serangan ke atas Ketua pasukan Sheffield United, Billy Sharp oleh seorang penyokong Nottingham Forest selepas Sheffield United kalah sepakan penalti 3-2 dengan Nottingham Forest.

    Penyokong tersebut boleh dilihat masuk ke dalam padang dan menuju ke arah Sharp ketika ketua pasukan tersebut berdiri di tepi padang.

    Pengurus kelab, Paul Heckingbottom berkata Sharp cedera sehingga perlu dijahit di bahagian mukanya dan pasukannya ‘terkejut’ dengan kejadian tersebut.

    “Bill (Sharp) ketika itu sedang menarik rakan sepasukan yang lain keluar daripada padang semasa diserang. Ia tindakan pengecut. Dia jatuh di atas padang  dan perlu dijahit,” kata Heckingbottom.

    Penolong Ketua Polis Nottinghamshire, Rob Griffin berkata, “Kami telah memulakan  penyiasatan untuk mengenal pasti penyokong tersebut dan akan membuat tangkapan secepat mungkin.”

    Nottingham Forest mengeluarkan kenyataan mengecam kejadian tersebut dan menegaskan penyokong tersebut akan dilarang seumur hidup daripada sebarang penglibatan dengan kelab mereka.

    Mereka juga turut meminta maaf kepada Billy Sharp dan Sheffield United berikutan  kejadian itu.

    Heckingbottom memberitahu Sky Sports, beliau tidak faham bagaimana seseorang boleh ‘diserang di tempat kerja’.

    “Dah banyak kali kejadian seperti ini berlaku tetapi tiada apa perubahan yang dilakukan dan kami yang terpaksa menghadapinya,” katanya.

    Pada Januari lalu, penguatkuasa di United Kingdom melaporkan kepada BBC bahawa rekod tangkapan keseluruhan daripada 5 liga teratas Inggeris berada di tahap paling tinggi selepas kelakuan penyokong bola sepak “semakin teruk”.

  • Pegawai kanan polis di JSJK Bukit Aman maut di pejabat

    Pegawai kanan polis di JSJK Bukit Aman maut di pejabat

    SEORANG pegawai kanan polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman meninggal dunia di pejabatnya di Menara KPJ di Kuala Lumpur pada pukul 11 malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, pegawai lelaki berusia 42 tahun berpangkat Deputi Superintendan (DSP) dan siasatan di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah.

    “Punca kematian pegawai terbabit disyaki akibat serangan jantung,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, jenazah pegawai terbabit dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

    Katanya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

  • Berjuta ringgit masuk ke dalam akaun Najib tetapi tidak didedahkan semasa mesyuarat 1MDB – Saksi

    Berjuta ringgit masuk ke dalam akaun Najib tetapi tidak didedahkan semasa mesyuarat 1MDB – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mendedahkan dalam mana-mana Mesyuarat Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bahawa beliau menerima wang berjuta-juta daripada syarikat pelaburan strategik negara itu dalam akaun peribadi AmBank beliau.

    Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir berkata beliau juga tidak menyedari sebuah syarikat, Tanore Finance Corporation telah memindahkan wang berjumlah AS$681 juta (AS$1=RM4.38) ke dalam akaun peribadi Najib berakhir dengan 694 antara 21 Mac 2013 hingga 10 April 2013. 

    Saksi ke-12 pendakwaan itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Azmi ditunjukkan satu siri transaksi bank mengenai dana 1MDB antara 2013 hingga 2014 oleh Sri Ram yang kemudiannya menunjukkan RM45.8 juta lagi daripada dana 1MDB dimasukkan ke dalam satu lagi akaun peribadi Ambank yang berakhir dengan 880.

    Sri Ram: Adakah akaun 694 dan 880 itu milik awak?

    Azmi: Tidak. Akaun-akaun itu milik Datuk Seri (Najib)

    Terdahulu, Sri Ram menyoal saksi itu sama ada beliau mendapat manfaat kewangan daripada 1MDB dan jawapan Azmi adalah negatif.

    Azmi juga berkata beliau tidak pernah mendapat satu sen pun daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low sepanjang perkhidmatannya dalam syarikat itu.

    Sri Ram kemudian menyoal saksi itu sama ada Najib pernah memanggil Azmi kerana beliau merupakan CFO mengenai perkara yang tidak kena mengenai dana kekayaan berdaulat tersebut selepas perkara itu dilaporkan secara meluas oleh media.

    Sri Ram: Anda tidak pernah membangkitkan mengenai kebimbangan anda (mengenai perkara yang tidak kena) kepada Najib sedangkan kamu boleh melakukannya beberapa kali. Sepanjang perkhidmatan anda di 1MDB, pernahkah Najib menegur kamu?  

    Azmi: Tidak, tidak pernah malahan kontrak saya diperbaharui.

    Sri Ram: Bolehkan tertuduh memanggil kamu mengenai perkara yang tidak kena itu?

    Azmi: Beliau boleh melakukannya tetapi saya tidak ingat beliau memanggil saya apabila isu itu timbul dalam kalangan rakyat dan media. Saya tidak ingat beliau memanggil kami (pengurusan) untuk disoal.

    Sri Ram: Jika beliau memanggil kamu, adakah kamu akan pergi?

    Azmi: Saya tidak nampak bagaimana saya boleh menolaknya.

    Dalam pertanyaan lanjut Sri Ram, Azmi berkata beliau tidak pernah ditegur Najib selepas melaksanakan setiap arahan  Jho Low yang beliau percaya merupakan arahan daripada Najib sendiri.

    Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah bersambung esok.

    — BERNAMA

  • Dr Mahathir dakwa Ahmad Zahid risau kes jenayah dihadapinya di mahkamah

    Dr Mahathir dakwa Ahmad Zahid risau kes jenayah dihadapinya di mahkamah

    TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyuarakan kerisauannya berhubung kes-kes jenayah yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri itu di mahkamah ketika mereka mengadakan beberapa pertemuan.

    Dr Mahathir, 96, dalam pernyataan pembelaan yang difailkan hari ini menerusi Tetuan Haidir & Co mendakwa, pertemuan sebanyak lima kali itu antara 7 Jun 2018 dan 25 Feb 2020 berlaku di beberapa lokasi iaitu kediamannya di Mines Resort City, Seri Kembangan, Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya dan Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra.

    “Sepanjang tempoh Ahmad Zahid berjumpa dengan saya, plaintif (Ahmad Zahid) sememangnya telah menyuarakan kepada saya berkenaan kes-kes jenayah yang sedang dihadapinya.

    Memandangkan saya ketika itu (sepanjang 2018 dan 2020) masih memegang kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Perdana Menteri Interim, Ahmad Zahid sememangnya telah mengambil peluang untuk berbaik-baik dengan saya memandangkan pada ketika itu kes-kes jenayah yang dihadapi Ahmad Zahid mampu membahayakan kerjaya politiknya.

    Maka, semestinya itu yang menjadi kerisauan plaintif pada ketika itu dan ia disuarakan kepada saya,” dakwa Dr Mahathir dalam pernyataan pembelaan bagi menjawab saman difailkan Ahmad Zahid terhadapnya.

    Dr Mahathir mendakwa Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan telah mendedahkan melalui akaun Facebooknya bahawa plaintif sendiri telah memintanya (Khairuddin) untuk mengaturkan pertemuan dengan bekas perdana menteri itu.

    “Saya mengatakan mana-mana individu yang waras akal fikiran dan mempunyai kemampuan intelek untuk berfikir secara munasabahnya dapat melihat bahawa Ahmad Zahid seorang ahli politik yang sedang menghadapi masalah kes-kes jenayah telah pergi berjumpa dengan saya, yang ketika itu memegang jawatan berautoriti, semestinya bertujuan membuat percubaan untuk menyelesaikan kes-kes jenayah dihadapinya,” dakwa Dr Mahathir.

    Dakwa Dr Mahathir, adalah logik untuk diperkatakan bahawa Ahmad Zahid telah datang dan bertemu dengannya selepas beliau menjadi Perdana Menteri dan Ahmad Zahid mempunyai perancangan untuk cuba membersihkan semula nama baiknya yang telah lama tercemar kerana kes jenayah berkenaan.

    “Saya tidak mempunyai sebarang niat jahat terhadap Ahmad Zahid dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan atau pengaruh di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh mahkamah berhubung kes-kes jenayah yang dihadapi Ahmad Zahid,” dakwa Dr Mahathir.

    Dalam saman yang difailkan pada 20 April lepas, Ahmad Zahid, 69, berkata pada 19 Okt 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, bagi 12 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

    Ahmad Zahid mendakwa Dr Mahathir telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti PEJUANG sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Feb 2022.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan serta menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr Mahathir bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri penyiasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya.

    Sementara itu, Ahmad Zahid turut memfailkan permohonan inter-parte (kedua-dua pihak) untuk perintah injunksi interim supaya defendan sama ada secara diri sendiri, pegawai dan wakilnya untuk menarik balik kenyataan fitnah tersebut dan menghalang mereka menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan itu atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana platfom media sosial.

    Permohonan injunksi interim itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff pada 17 Jun ini.

    — BERNAMA

  • Kerajaan, NFC masih bincang selesai kes saman RM253.6 juta

    Kerajaan, NFC masih bincang selesai kes saman RM253.6 juta

    KERAJAAN Malaysia dan National Feedlot Corporation (NFC) masih lagi berbincang untuk menyelesaikan kes saman yang menuntut syarikat itu membayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

    Syarikat itu diuruskan oleh suami dan tiga anak bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

    Peguam Kanan Persekutuan, Asliza Ali berkata, pihak-pihak yang turut terlibat dalam perbincangan itu ialah Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

    “Namun, sama ada penyelesaian itu boleh dimuktamadkan hanya boleh ditentukan oleh Kabinet. Mahkamah menetapkan 23 Ogos ini untuk pengurusan kes bagi memaklumkan status penyelesaian,” katanya ketika dihubungi, selepas prosiding kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Anand Ponnudurai, hari ini.

    Menurut Asliza, sekiranya penyelesaian tersebut gagal dicapai, perbicaraan kes akan bersambung pada 7 Nov ini dan dijangka suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail akan memberi keterangan.

    Perbicaraan kes saman itu bermula 13 Jan 2020 dan seramai tujuh saksi plaintif dan seorang saksi defendan, telah selesai memberi keterangan.

    Kerajaan selaku plaintif tunggal menfailkan saman itu menamakan NFC sebagai defendan pertama, manakala Mohamad Salleh dan tiga anaknya, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing merupakan defendan kedua hingga kelima.

    Defendan lain adalah enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.

    Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFC pada 6 Dis, 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional, selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

    Dakwa plaintif, pinjaman itu disalurkan kepada NFC dalam tiga peringkat, dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Jan 2008 hingga 3 Jan 2011.

    Kerajaan mendakwa daripada RM180.51 juta yang dikeluarkan, hanya RM8.32 juta dibayar secara terus kepada pihak ketiga untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Nasional, manakala baki dana yang dikeluarkan telah dipindahkan ke akaun NFC yang lain dan sejumlah RM118.04 juta daripada baki itu didakwa telah disalahgunakan.

    Dakwa plaintif, dana sebanyak RM9.76 juta digunakan untuk membeli dua unit kediaman di One Menerung Residence oleh defendan keenam iaitu National Meat & Livestock Corp dan pada masa sama, sebanyak RM300,000 dipercayai digunakan untuk membuat bayaran kepada seorang individu bagi tujuan yang tidak didedahkan, manakala RM1.8 juta lagi dibayar kepada individu sama.

    Kerajaan mendakwa keluarga Mohamad Salleh telah menggunakan dana yang dipinjam daripada kerajaan itu untuk membayar sewa bulanan RM28,000 bagi satu lot pejabat di Solaris Mont Kiara dan membeli dua bidang tanah di Putrajaya, membuat bayaran kepada dua firma guaman, serta membeli sebuah rumah kedai empat tingkat di Solaris Mont Kiara. – BERNAMA

  • Kes jenayah seksual: Pengadu tarik balik laporan terhadap Da’i Syed

    Kes jenayah seksual: Pengadu tarik balik laporan terhadap Da’i Syed

    DA’I Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful akan mengetahui pada 31 Mei ini sama ada dua pertuduhan jenayah seksual yang dihadapinya akan diteruskan dengan perbicaraan atau ditarik balik.

    Timbalan Pendakwa Raya, P. Vitiya Monisha memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen, Jamaludin Mat bahawa pengadu dalam kes itu telah menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap tertuduh.

    “Namun arahan lanjut berhubung perkara itu belum diperoleh daripada ibu pejabat (Jabatan Peguam Negara), maka saya mohon satu tarikh lain ditetapkan dalam tempoh sebulan,” kata Vitiya Monisha.

    Peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Syed Shah Iqmal berkata, kes itu telah dipertimbangkan sebelum ini dan tidak akan mengambil masa yang lama untuk diputuskan.

    Pada 20 April lepas, mahkamah menangguhkan perbicaraan kes itu kepada hari ini berikutan saksi yang juga mangsa dalam kes itu tidak hadir pada prosiding itu (20 April 2022).

    Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal, 27, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita berumur 22 tahun (ketika itu) dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di sini, antara 3 hingga 4 pagi, 17 Okt 2020.

    Da’i Syed didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

    Bagi kes menggunakan kekerasan jenayah, pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Syed Amirul ketika ditemui pemberita berkata walaupun pengadu telah menarik balik laporan polis, pihak pendakwaan masih mempunyai kuasa meneruskan pendakwaan terhadap anak guamnya.

    “Kes itu masih boleh didengar (perbicaraan) kerana pihak pendakwaan boleh memaksa saksi ke mahkamah untuk memberi keterangan dengan meminta sapina dan waran tangkap dikeluarkan.

    “Sama ada pihak pendakwaan akan meneruskan kes atau tidak, kami bersedia dalam kedua-dua keadaan,” kata peguam itu yang ditemani Syed Shah Iqmal. – BERNAMA

  • Mahkamah tolak permohonan ibu Jamaluddin Jarjis

    Mahkamah tolak permohonan ibu Jamaluddin Jarjis

    IBU Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Mohd Jarjis gagal dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengemukakan keterangan lanjut dalam rayuannya berhubung saman sivil untuk memasukkan saham syarikat sebagai sebahagian daripada harta pusaka anak lelakinya.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk M Gunalan menolak permohonan Aminah Abdullah dengan kos RM5,000.

    Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Lee berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan Aminah untuk mengemukakan keterangan Datuk Zakri Afandi Ismail dalam rayuan itu.

    Beliau berkata, Aminah mempunyai peluang untuk memanggil Zakri dan telah subpoena beliau tetapi memilih untuk tidak memanggilnya atas sebab-sebab yang hanya beliau (Aminah) sahaja yang mengetahuinya.

    Hakim Lee berkata keterangan yang diperlukan oleh Aminah hanya dalam bentuk pernyataan afidavit yang difailkan oleh Zakri dalam tuntutannya terhadap dua cucu Aminah sambil menambah bahawa mahkamah belum menilai bukti itu kerana perbicaraan masih belum dimulakan.

    Beliau berkata Aminah mempunyai peluang untuk memanggil Zakri memberi keterangan dalam perbicaraan itu tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian.

    Terdahulu, peguam Wan Zafran Pawancheek yang mewakili Aminah, memohon mahkamah menerima afidavit Zakri yang memfailkan saman berasingan terhadap dua anak Jamaluddin — Ikhwan Hafiz dan Nur Anis — apabila bekas rakan perniagaan Allahyarham itu mahu pemulangan saham dalam tiga syarikat termasuk Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insights Sdn Bhd.

    Beliau berkata, keterangan Zakri menyokong keseluruhan kes Aminah sambil menambah bahawa perbicaraan kes saman Aminah terhadap cucunya telah berakhir selepas Mahkamah Tinggi menyampaikan keputusannya pada Ogos tahun lepas.

    Wan Zafran memberitahu mahkamah, mereka telah cuba menghubungi Zakri, orang kepercayaan Allahyarham Jamaluddin untuk memberi keterangan sebagai saksi tetapi memutuskan sebaliknya selepas beliau meminta bayaran yang terlalu tinggi iaitu RM24,800 untuk memberi keterangan.

    Beliau berkata, saman yang difailkan oleh Zakri menunjukkan saham Alpine Motion dan Ivory Insights sepatutnya menjadi sebahagian daripada harta pusaka Jamaluddin.

    Peguam Saheran Suhendran yang mewakili Ikhwan Hafiz berhujah, keterangan Zakri tidak harus diterima kerana perkara itu masih belum dibicarakan.

    Pada 13 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Aminah untuk pengisytiharan bahawa tiga juta saham Rantai Wawasan Sdn Bhd dimasukkan dalam senarai harta pusaka Jamaluddin.

    Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak permohonan Aminah untuk pengisytiharan bahawa enam juta saham dalam syarikat Alpine Motion dan dua saham dalam Ivory Insight adalah sebahagian daripada harta pusaka peninggalan Allahyarham.

    Ibu berusia 87 tahun itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk pengisytiharan bagi memasukkan saham Alpine Motion and Ivory Insight sebagai sebahagian daripada harta pusaka anaknya manakala dua cucunya pula membuat rayuan balas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan saham Rantai Wawasan dimasukkan dalam harta pusaka itu.

    Dalam saman yang difailkan pada 3 Jan 2019, Aminah mendakwa Nur Anis dan Ikwan Hafiz sebagai pentadbir bersama harta pusaka peninggalan Jamaluddin, telah gagal memasukkan saham ketiga-tiga syarikat sebagai harta pusaka dalam senarai aset di dalam surat kuasa mentadbir selepas Allahyarham meninggal dunia pada 4 April 2015, dan juga gagal memasukkan saham itu sebagai liabiliti sejak 6 Julai 2017.

    Dalam penyataan tuntutannya, Aminah mendakwa cucunya gagal memasukkan saham tiga syarikat – Rantai Wawasan, Alpine Motion dan Ivory Insight sebagai sebahagian daripada harta pusaka anaknya dengan niat untuk menafikan hak dan kepentingannya sebagai waris.

    Jamaluddin bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi terkorban dalam nahas helikopter pada 4 April 2015.

    Sementara itu, Zakri telah memfailkan tiga saman berasingan terhadap Ikhwan Hafiz dan Nur Anis bagi pemulangan saham tiga syarikat yang ditubuhkannya bersama Jamaluddin ketika mereka bekerja di EPE Power Corporation Bhd. – BERNAMA

  • Pemandu treler mengaku tidak bersalah sebab kematian lima pelajar USAS

    Pemandu treler mengaku tidak bersalah sebab kematian lima pelajar USAS

    SEORANG pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di Kuala Kangsar, hari ini atas lima pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dalam nahas membabitkan pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) pada Khamis malam Khamis lalu.

    Mohammad Amirul Aznizam Razali, 28, membuat pengakuan itu sejurus semua lima pertuduhan terbabit dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

    Memetik laporkan Berita Harian, berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu treler jenis Volvo bernombor pendaftaran JPL 9925 di jalan raya dengan cara yang setelah mengambil perhatian tentang segala hal keadaan, adalah berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian

    Kesalahan itu menyebabkan kematian kepada lima individu iaitu Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19 dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

    Semua lima pertuduhan itu didakwa dilakukan tertuduh di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di Kuala Kangsar kira-kira jam 1 pagi pada tengah malam Khamis lalu.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000 untuk setiap pertuduhan.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad, manakala tertuduh diwakili peguam, G Ravishankar.

    Nur Asmaniza memohon jumlah jaminan tinggi dikenakan terhadap tertuduh memandangkan kes membabitkan kepentingan awam, serta mendapat liputan media secara meluas, selain memohon lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai melalui perbicaraan.

    Terdahulu, Ravishankar membuat bantahan awal apabila pihak pendakwaan membuat lima pertuduhan berbeza bagi kes ini, sekali gus meminta nama kelima-lima mangsa dimasukkan hanya dalam satu kertas pertuduhan.

    Ravishankar berkata, ia atas alasan alasan faktor kesalahan, tarikh, masa dan tempat adalah sama yang mana semua lima mangsa itu berada dalam satu kenderaan yang sama ketika kejadian, di mana bilangan pertuduhan yang banyak dilihat kelak akan memberi kesan kepada jumlah wang jaminan dikenakan.

    Selain itu, pembelaan turut memohon jaminan rendah atas faktor tertuduh kehilangan pendapatan apabila lesen memandunya digantung, selain mengambil kira isteri tertuduh yang hanya berniaga kecil-kecilan serta menanggung tiga anak berusia antara dua hingga 14 tahun.

    Mahkamah menetapkan wang jamin keseluruhan RM20,000 atau RM4,000 bagi setiap daripada lima pertuduhan itu dengan seorang penjamin, selain menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

  • Tiga kontraktor didenda, guna penyata akaun palsu dapatkan tender

    Tiga kontraktor didenda, guna penyata akaun palsu dapatkan tender

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIGA kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas pertuduhan menipu dokumen bagi melayakkan mereka bersaing dan mendapatkan tender pengutipan sampah serta pembersihan awam bernilai puluhan ribu ringgit sebulan pada 2019.

    Tertuduh, Suhaimi Mohd, 47, Arman Yani Anuar, 51, dan Shafizawati Shafiee, 48, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa di depan Hakim, Harmi Thamri Mohamad.

    Mengikut kertas pertuduhan, Suhaimi didakwa dengan curang menggunakan penyata palsu bagi akaun Affin Bank Berhad milik Syarikat Cahaya Venture Enterprise dan Akaun Maybank Islamic milik syarikat Bumi Emas Prestige Sdn. Bhd. untuk memohon mendapatkan tender tersebut.

    Berikutan penggunaan penyata palsu itu, kedua-dua syarikat terbabit berjaya memperolehi tender tersebut selama tiga tahun bermula 1 Julai 2019.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 1 Julai 2019.

    Shafizawati pula didakwa secara curang menggunakan penyata akaun palsu Bank CIMB milik syarikat ADF Teguh Sdn. Bhd. untuk mendapatkan tender terbabit.

    Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 14 hingga 20 Januari 2019.

    Manakala Arman Yani pula didakwa secara curang menggunakan penyata akaun palsu CIMB Bank milik syarikat Perniagaan Nafas Abadi bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 untuk mendapatkan tender sama.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 15 hingga 17 Januari 2019.

    Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Idaman, Enviroment Idaman (Kedah&Perlis), Alor Setar.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Rehab Abdul Shukur dan Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

    Suhaimi diwakili peguam, Khoo Wai Tuck, manakala Shafizawati dan Arman Yani, tidak diwakili peguam.

    Harmi Thamri menetapkan hukuman denda sebanyak RM80,000 terhadap Suhaimi manakala Shafizawati dan Arman Yani masing-masing didenda RM45,000.

    Jika gagal membayar denda ditetapkan itu, kesemua mereka diarahkan untuk menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

    Ketiga-tiga mereka bagaimanapaun difahamkan menyelesaikan denda ditetapkan itu.

  • Sindiket isi semula syabu dalam krayon sebelum dihantar ke luar negara tumpas

    Sindiket isi semula syabu dalam krayon sebelum dihantar ke luar negara tumpas

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    ISI semula serbuk syabu dalam pensel pewarna krayon untuk dihantar ke luar negara.

    Bagaimanapun, taktik yang digunakan satu sindiket penyeludupan dadah di Pulau Pinang untuk mengaburi mata pihak berkuasa itu gagal selepas berjaya ditumpaskan polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komissioner Soffian Santong, sindiket yang mula aktif pertengahan tahun lalu itu terbongkar ekoran penahanan seorang suspek lelaki di tepi jalan di pusat bandar Georgetown, Khamis lalu.

    Jelasnya, siasatan lanjut mendapati lelaki berusia 25 tahun dan penganggur itu bertindak memotong bahagian bawah krayon tersebut untuk diisi dengan sebanyak tujuh gram syabu bagi setiap batang krayon.

    Difahamkan, terdapat tiga parcel yang dihantar ke luar negara berisi krayon yang dimasukkan dengan syabu bernilai RM30,000 setiap satu kini ditahan selepas berjaya dikesan pihak berkuasa negara berkenaan.

    ”Krayon berisi syabu itu dihantar kepada penerima di luar negara dalam bentuk parcel yang mana satu kotak mengandungi 48 batang krayon,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis Daerah Timur Laut, Georgetown hari ini.

    Menurut Soffian, ekoran penahanan suspek, polis turut menyerbu sebuah rumah di Lebuh Sungai Pinang dan merampas dadah jenis syabu seberat 1.02 kilogram bernilai RM36,666.

    Dalam serbuan sama ujarnya, sebanyak 77 gram dadah jenis ketamin bernilai RM11,550 turut dirampas bersama-sama peralatan membungkus semula dadah dan sebuah kereta.

    ”Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu sekirany terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh lebih 5,000 penagih manakala nilai keseluruhan rampasan dadah serta sitaan adalah RM82,636,” katanya.

    Tambah beliau, hasil ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah dan kini ditahan reman selama enam hari bermula 12 Mei lalu untuk siasatan lanjut.

    “Kita juga percaya terdapat beberapa lagi ahli sindiket ini selain daripada suspek yang ditahan polis dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan,” katanya.