Category: Semasa

  • Maritim Pulau Pinang tahan bot penumpang langgar syarat sah lesen

    Maritim Pulau Pinang tahan bot penumpang langgar syarat sah lesen

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEBUAH bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang di kedudukan 0.5 batu nautika timur Pangkalan Weld, Georgetown pukul 1.20 petang semalam selepas dipercayai melanggar syarat sah lesen.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, turut ditahan ialah nakhoda bot bernombor pendaftaran PPP 02307-P itu iaitu warga tempatan berumur 25 tahun.

    Menurut beliau, nakhoda itu ditahan berikutan namanya tidak terdapat di dalam buku lesen yang dikeluarkan sekali gus disyaki melakukan kesalahan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan pertukaran nakhoda kepada pihak berkuasa.

    “Pemeriksaan dan penahanan dilakukan semasa bot berkenaan dalam perjalanan mengambil penumpang di sebuah kapal tangki yang berlabuh di perairan Pelabuhan Pulau Pinang.

    Pemeriksaan dan penahanan dilakukan semasa bot berkenaan dalam perjalanan mengambil penumpang di sebuah kapal tangki yang berlabuh di perairan Pelabuhan Pulau Pinang

    “Bot serta nakhoda ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Abd. Razak menasihatkan pengusaha-pengusaha bot penumpang mematuhi undang-undang yang telah dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

    Tambah beliau, orang ramai serta komuniti maritim turut diseru memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut.

    “Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya. 

  • Polis Indonesia buru Miss Global Estonia tuduh amal rasuah

    Polis Indonesia buru Miss Global Estonia tuduh amal rasuah

    POLIS Indonesia kini serang memburu seorang ratu cantik yang mewakili negara Estonia setelah menuduh pihak berkuasa di Bali mengamalkan rasuah dan korup.

    Veleria Vasilieva bakal mengikuti pertandingan Miss Global 2022 yang akan berlangsung di pulau berkenaan tidak lama lagi.

    “Namanya Veleria dan dia merupakan perwakilan dari Estonia yang bertanding Miss Global di sini.

    “Kita belum tahu apa aktiviti mereka di sini kerana belum ada maklumat mengenainya,” wakil polis, Nanang Peihasmoko dalam satu sidang media di Denpasar, lapor Satu Berita.

    Setelah tersebarnya video yang menuduh pihak polis terlibat dengan rasuah, mereka terus mencari Veleria untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu berkenaan.

    Pihak polis juga buntu kerana acara tersebut masih lagi belum bermula dan tidak dapat mengesan penganjur acara untuk membantu siasatan.

    “Setelah melakukan siasatan ke atas hotel tempat dia menginap, kami ke sana namun tidak menjumpai wanita tersebut.

    “Dia ada bergambar di sebuah hotel di Bandung namun sudah meninggalkan lokasi berkenaan saat kami tiba. Pihak kami masih lagi mencari lokasi sebenarnya,” tambah Nanang lagi.

    Pihak polis percaya Veleria masih lagi berada di Bali dan masih belum ada rekod dia keluar daripada pulau berkenaan berdasarkan rujukan kepada pihak imegresan.

    Pihak Kementerian Undang-Undang di Bali pula menganggap kes ini mencalarkan reputasi pihak polis di pulau berkenaan.

    “Kes ini sudah viral dan ia memang memberikan reputasi buruk kepada pihak polis,” kata Anggiat Napitulupu pula.

  • 3 keluarga Orang Asli tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran

    3 keluarga Orang Asli tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran

    NASIB malang menimpa ke atas tiga keluarga Orang Asli apabila terpaksa tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kayu didiami mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Galang, Pos Hau, Gua Musang petang semalam.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor, kejadian pada pukul 6 petang itu mengakibatkan dua rumah musnah 100 peratus, manakala sebuah lagi 25 peratus.

    Katanya, seramai sembilan anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 6.36 petang.

    Beliau berkata, pihaknya berjaya mengawal kebakaran tersebut pada pukul 8.45 malam.

    “Kejadian kebakaran ini tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dan kita menyiasat punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurut Mohd. Arifuddin, anggotanya mengalami sedikit kesukaran ke lokasi kejadian berikutan perlu melalui jalan balak dan ladang sebelum tiba di kawasan berkenaan dengan mengambil masa satu jam setengah.

    Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gua Musang, Azman Ngadiron ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah menyalurkan bantuan segera kepada kepada mangsa terbabit.

  • Didenda buang patung hiasan

    Didenda buang patung hiasan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda RM2,500 setelah dia mengaku bersalah melakukan perbuatan khianat membuang patung hiasan milik individu lain dalam kejadian lebih seminggu lalu.

    Tertuduh, Gabriele Jungkak Anak Steward, 23, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dijatuhkan hukuman itu setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin di Mahkamah Majistret Kulai, hari ini.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan mengambil patung hiasan pancutan air milik seorang lelaki berusia 33 tahun yang bersambung dengan paip kecil sehingga tercabut dan rosak sebelum membuangnya ke dalam tong sampah, menyebabkan kerugian bernilai RM25.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Scientex, Senai, kira-kira pukul 9 pagi, 15 Mei lalu.

    Ekoran itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun dengan denda atau kedua-duanya.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Ketika proses rayuan, Gabriele Jungkak berkata, dia membuang patung berkenaan kerana telah mengganggunya ketika melalui kawasan berkenaan selain turut mengaku pernah membuang dan membakar patung-patung hiasan lain di tempat lain.

    Sebelum hukuman dijatuhkan, Sharifah Maleeha menasihati pemuda itu untuk belajar hidup bermasyarakat dan menghormati barangan milik individu lain.

    Pada 19 Mei lalu, polis mencari suspek yang membuang patung sembahyang agama Hindu ke dalam tong sampah dalam kejadian yang tular melalui rakaman video berdurasi 42 saat di Facebook.

    Polis turut menerima laporan daripada seorang lelaki berkenaan rakaman kejadian terbabit pada pukul 4.30 petang, hari kejadian.

    Selain itu, pengadu mengesahkan patung sembahyang Dewa Ganesh itu diletakkan di luar halaman rumah untuk tujuan hiasan dan bukannya untuk tujuan sembahyang.

  • Tiada satu sen dana Yayasan Akalbudi daripada kerajaan, rakyat

    Tiada satu sen dana Yayasan Akalbudi daripada kerajaan, rakyat

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa tiada satu sen dana Yayasan Akalbudi datangnya daripada kerajaan atau rakyat, sebaliknya wang puluhan juta ringgit dalam yayasan itu adalah miliknya.

    Ahmad Zahid, 69, berkata, sumber dana yayasan tersebut adalah daripada lebihan pendapatannya ketika beliau membabitkan diri dalam sektor korporat sebelum menjawat jawatan sebagai anggota pentadbiran.

    “Sebelum saya menganggotai pentadbiran iaitu timbalan menteri, menteri atau timbalan perdana menteri, saya telah menjalankan urus niaga korporat, saya pernah mengetuai empat syarikat yang tersenarai di Bursa Kuala Lumpur, saya juga pernah menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional.

    “Memang terdapat beberapa sumbangan daripada rakan dan ahli perniagaan yang tiada kena mengena dengan portfolio yang saya pegang, namun tidak ada satu sen pun yang datang dari sumbangan kerajaan atau wang rakyat atau pembayar cukai,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika disoal peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada hari ketiga prosiding membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pendapatan dan elaun sebagai ketua pegawai eksekutif, pengerusi eksekutif dan pengerusi dalam syarikat korporat melebihi perbelanjaan dan keperluan keluarganya.

    “Maka saya berazam atas nasihat bapa saya yang juga seorang mudir atau pengetua sekolah agama di Bagan Datuk untuk menyalurkan lebihan pendapatan saya itu kepada orang yang memerlukan melalui amal jariah, sedekah, infak, wakaf bagi tujuan kebajikan dan keagamaan dalam Yayasan Akalbudi.

    “Dana Yayasan Akalbudi adalah daripada pendapatan peribadi saya serta elaun yang saya peroleh daripada aktiviti urus niaga korporat berkenaan,” jelasnya.

    Selain itu, Ahmad Zahid berkata, beliau memperoleh dividen daripada syarikat berkenaan untuk dimasukkan dalam tabung yayasan dan menjalankan urus niaga pasaran saham sama ada dalam saham blue chip atau saham disenaraikan dan saham tawaran permulaan awam (IPO) bagi memperoleh pendapatan.

    Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

    Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

    Perbicaraan sedang berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. – BERNAMA

  • Empat pelajar mengaku salah buli, sebabkan kecederaan

    Empat pelajar mengaku salah buli, sebabkan kecederaan

    EMPAT pelajar lelaki di sebuah sekolah di Seremban didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar Tingkatan Satu sekolah sama pada 13 Mei lepas.

    Sinar Harian melaporkan, semua tertuduh berusia 15 hingga 16 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

    Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 22 Jun ini untuk pendengaran laporan akhlak bagi kesemua tertuduh sebelum hukuman dijatuhkan.

    Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun dengan cara memukulnya di bilik asrama sebuah sekolah di Seremban pada 12 tengah malam pada 13 Mei lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

    Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Kes rogol: Bapa saudara dipercayai mabuk

    Kes rogol: Bapa saudara dipercayai mabuk

    PIHAK polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan rogol seorang tukang besi terhadap anak saudaranya di Bandar Mutiara, Sungai Petani kira-kira pukul 12.30 tengah malam Sabtu lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya tidak menolak sekiranya suspek berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

    Menurutnya, lelaki berusia 34 tahun yang merupakan bapa saudara mangsa melakukan perbuatan itu ketika remaja perempuan berumur 15 tahun itu sedang menumpang tidur di rumahnya.

    “Turut berada dalam bilik tidur sama ialah ibu saudara (isteri suspek) dan dua sepupu mangsa yang berusia tujuh dan lapan tahun.

    “Kita percaya pasangan suami isteri itu berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian berlaku,” kata Zaidy semasa dihubungi Sinar Harian.

    Tambah beliau, meskipun percaya pasangan itu sedang mabuk, pihaknya masih tidak mengetahui jenis minuman yang diambil kedua-dua mereka.

    Dalam kejadian Sabtu lalu itu, suspek dikatakan memasuki bilik tidur sebelum meraba dan merogol mangsa.

    Mangsa difahamkan tidak menjerit disebabkan perasaan takut terhadap tindakan bapa saudaranya sendiri itu.

    Sebelum ini, dilaporkan bahawa terdapat seorang remaja dirogol ketika menumpang tidur di rumah bapa saudara kerana nenek yang menjaga mangsa pulang ke kampung di Pendang selama dua hari.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

  • ‘Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta’, TMJ cabar Sanusi

    ‘Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta’, TMJ cabar Sanusi

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KENYATAAN terbaharu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengenai dakwaan terdapat individu tertentu ‘mengawal’ Liga Malaysia mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor.

    Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman Twitter baginda menggesa Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu untuk mẹmbuat pendedahan tersebut secara terperinci berkaitan dakwaan yang dilakukannya.

    Pemilik kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut mendesak Muhammad Sanusi agar menceritakan segala-galanya serta mendedahkan identiti individu yang dimaksudkan oleh beliau.

    “Dia cakap pasal siapa? Sebut nama. Ceritakan segalanya, ini cakap main sembur badut McDonald pun boleh.

    “Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta. Setiap kali tenggelam, terus buat cerita sensasi nak naikkan rating. Sikap tipikal ahli politik,” titah Tunku Ismail menerusi ciapan tersebut.

    Dalam program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada Sabtu lalu, Muhammad Sanusi mengulangi pendiriannya untuk menolak budaya ‘supreme’ atau memberikan kuasa penuh kepada seseorang individu di dalam sukan bola sepak.

    Beliau mendakwa terdapat individu yang mahu pihak tertentu mengikut telunjuknya.

    Malah katanya, lebih dahsyat individu terbabit sanggup memberi bonus kepada mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan Kedah dalam saingan Liga Malaysia.

    “Dia ‘order’ sana, ‘order’ sini, suruh buat ini, suruh buat itu, kawan (ada pihak) nak pergi latihan sana, kena tanya dia dahulu.

    “Lepas itu dia pusing pasukan lain, beri bonus kalau menang dengan Kedah. Saya tahu semua itu, dia ingat orang tak tahu, jangan bagi saya cerita semuanya,” katanya.

    Sebelum ini, Muhammad Sanusi telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa sukan bola sepak untuk semua dan bukannya individu tertentu sehinggakan ada yang perlu menyembah ‘tokong’.

    Beliau mendakwa semua mata kini tertumpu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan terdapat beberapa kejadian yang didakwa sangat pelik pernah berlaku dalam arena bola sepak tanah air.

    Pergeseran antara Muhammad Sanusi dan Tunku Ismail dilihat menjadi punca Johor Darul Ta’zim (JDT) memanggil semula Syafiq Ahmad untuk kembali ke pangkuan pasukan dari Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

    Ini kerana tempoh pinjaman Syafiq kepada Lang Merah belum genap setahun seperti yang dipersetujui sebelum ini, dan dia baru beraksi dalam sembilan perlawanan sahaja.

  • 15 nelayan Vietnam ceroboh perairan ditahan

    15 nelayan Vietnam ceroboh perairan ditahan

    SEBUAH bot nelayan Vietnam bersama-sama 15 kru kerana menceroboh perairan negara ditahan pada pukul 3 petang kelmarin pada kedudukan 100 batu nautika dari Kuala Terengganu.

    Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, bot nelayan asing tersebut ditahan aset maritim dalam rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Naga Barat dan Op Khas Kuda Laut di kawasan terbabit.

    “Pemeriksaan terhadap 15 kru termasuk tekong bot yang merupakan warga Vietnam berumur antara 20 hingga 50 tahun juga gagal menunjukkan pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pihaknya turut merampas peralatan menangkap ikan, hasil laut pelbagai jenis dianggarkan seberat 700 kilogram dan bekalan diesel kira-kira 1,000 liter yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

    Muhammad Suffi berkata, bot dan kesemua kru yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

    Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

  • 6 rakyat Palestin larikan diri dari jel Israel dihukum penjara

    6 rakyat Palestin larikan diri dari jel Israel dihukum penjara

    ENAM penduduk Palestin yang melarikan diri pada tahun 2021 melalui terowong dari sebuah penjara di utara Israel, dijatuhi hukuman penjara tambahan selama lima tahun semalam.

    Menurut peguam mereka, Raslan Mahajana, keenam-enam itu yang sedang menjalani hukuman seumur hidup atas kesalahan melakukan serangan anti-Israel bertindak melarikan diri pada 6 September tahun lalu dari penjara Gilbao melalui terowong yang digali di bawah sinki.

    Tindakan meloloskan diri dari penjara tersebut menyebabkan keenam-enam lelaki tersebut diburu Israel dalam operasi secara besar-besaran dengan menggunakan anggota-anggota tentera dan dron sebelum mereka berjaya ditangkap beberapa minggu kemudian.

    Selain daripada hukuman penjara tambahan, lelaki-lelaki itu masing-masing didenda sebanyak 5,000 shekel (RM6,531).

    “Anak guam saya memberitahu mahkamah dia tidak menyesal kerana melarikan diri,” kata Raslan kepada media Israel menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi, hari ini.

    Antara yang melarikan diri itu ialah Mahmud Ardah yang merupakan seorang anggota kumpulan militan Jihad Islam dan dianggap sebagai dalang operasi itu.

    Selepas ditangkap semula, Ardah berkata dia telah menggunakan sudu, pinggan dan juga pemegang cerek untuk menggali terowong itu.

    Dia melarikan diri bersama Zakaria al-Zubeidi iaitu ketua cabang bersenjata parti Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.