Category: Semasa

  • Kesan lecur Bella daripada penapis air Cuckoo bukan termos

    Kesan lecur Bella daripada penapis air Cuckoo bukan termos

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu, air panas yang tertumpah pada remaja kelainan upaya (OKU) dikenali sebagai Bella hingga mengakibatkan kecederaan bukan daripada termos.

    Sebaliknya kata saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, air panas yang membuatkan Bella melecur berpunca daripada mesin penapis air Cuckoo, lapor Harian Metro.

    Yasmin, 19, berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Zilfinas Abbas pada sesi pemeriksaan semula.

    Zilfinas: Semalam peguam bela ada menyatakan berkaitan air panas termos. Isu ini ditimbulkan ketika pemeriksaan balas Yasmin. Dalam pemeriksaan utama Yasmin cakap air panas dari mesin Cuckoo. Peguam bela mencadangkan air panas daripada termos. Yasmin menjawab tidak bersetuju. Boleh Yasmin jelaskan air panas ini dari mana?

    Yasmin: Sebenarnya air panas ini daripada Cuckoo bukan termos.

    Zilfinas: Lepas itu peguam bela Hafizah ada merujuk kepada dua laporan polis Yasmin. Bila peguam tanya berkenaan air panas tertumpah daripada termos di bilik laundry. Yasmin setuju. Boleh Yasmin jelaskan?

    Yasmin: Bukan, air panas itu tertumpah pada tangan Bella. Maksudnya itu (air panas) tak ada di termos itu.

    Zilfinas: Kenapa Yasmin setuju? Boleh jelaskan?

    Yasmin: Yasmin setuju sebab ada termos di bilik itu, bukannya sebab air panas yang terdapat dalam termos.

    Ketika disoal balas oleh peguam bela, Nurul Hafidzah Hassan, saksi itu memberitahu mahkamah tumpahan berkenaan berlaku ketika Bella bergaduh dengan seorang lagi penghuni Rumah Bonda bernama Balqis.

    Saksi kelima pendakwaan itu selesai memberi keterangan hari ini dan akan dipanggil semula untuk membuat pengecaman terhadap saksi-saksi lain.

    Perbicaraan bersambung semula pada bermula 2.30 petang tadi dengan pihak pendakwa akan memanggil seorang lagi saksi awam iaitu Suhana Zam.

    Semalam, saksi berkenaan menyatakan kecederaan melecur pada tubuh Bella adalah disebabkan air panas daripada penapis air Cuckoo, namun saksi itu memberitahu lecuran berkenaan adalah disebabkan tumpahan air panas daripada termos.

  • Sistem kesihatan Malaysia sudah sedia tangani wabak cacar monyet- Khairy

    Sistem kesihatan Malaysia sudah sedia tangani wabak cacar monyet- Khairy

    SISTEM kesihatan di Malaysia sudah bersedia untuk menangani kehadiran penyakit berjangkit baharu termasuk ‘monkeypox’ yang sudah menular di beberapa negara.

    Astro Awani melaporkan jaminan itu disuarakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menegaskan, berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia akan mula meningkatkan keupayaan mendiagnosis penyakit tersebut.

    “Terdapat nasihat daripada WHO, untuk Malaysia dan negara lain di rantau ini agar mula meningkatkan keupayaan mendiagnosis supaya kita boleh menguji cacar monyet.

    “Hospital dan klinik kita sudah siap sedia. Kita mempunyai yang paling penting, infrastruktur pengesanan kontak yang telah tersedia daripada COVID-19 yang lepas.

    “Ia adalah untuk memastikan bahawa jika terdapat satu lagi penyakit berjangkit di seperti cacar monyet, protokol sudah sedia ada,” katanya ketika diwawancara CNBC Asia, hari ini.

    Dalam pada itu, ketika ditanya adakah Malaysia mempertimbangkan untuk menutup sempadan negara memandangkan masih ada penyakit berjangkit menular di luar negara, Khairy menegaskan Malaysia tidak akan berbuat demikian.

    “Tidak, semestinya tidak (tutup sempadan negara). Amaran adalah berkaitan Deltacron, sesuatu yang sangat mudah ditularkan dan sangat berbahaya.

    “Begitupun, kita harus memberi isyarat kepada dunia bahawa sebaik sahaja kita membuka perniagaan, sebaik sahaja kita membuka semula dengan selamat, kita tidak akan berpatah balik,” ujarnya.

    Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali pada Sabtu lepas juga berkata kerajaan tidak bercadang untuk menutup semula pintu sempadan meskipun berlaku penularan virus cacar monyet (monkeypox) di beberapa negara.

    Khamis lepas, Khairy mengumumkan ‘Health Alert monkeypox’ akan dilaksanakan menerusi aplikasi MySejahtera mulai 27 Mei 2022.

    Menerusi ciapan di Twitternya pada Khamis beliau berkata, aplikasi MySejahtera akan membolehkan pengguna memperoleh amaran kesihatan sekiranya mereka dijangkiti virus ‘monkeypox’.

  • Bongkar sindiket jual petrol, diesel bersubsidi ke Thailand

    Bongkar sindiket jual petrol, diesel bersubsidi ke Thailand

    EMPAT individu termasuk seorang pemilik stesen minyak ditahan menerusi dua serbuan di Kangar dan Padanga Besar, Perlis, semalam, selepas mereka terlibat dalam sindiket penyelewengan bahan api bersubsidi ke negara Thailand.

    Serbuan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis itu dilakukan serentak pada pukul 12.45 tengah hari di sebuah stesen minyak di Kangar dan stor tanpa nombor di Kampung Kolam, Padang Besar.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perlis, Mohamad Amir Abdullah berkata, empat warga tempatan yagn ditahan itu berusia antara lewat 30-an hingga 50-an.

    “Serbuan berkenaan dibuat berdasarkan hasil maklumat orang ramai dan risikan anggotanya selama dua minggu.

    “Serbuan pertama dilakukan di stesen minyak berjaya menemui dua kereta jenis Proton Iswara dan Proton Waja yang sarat dengan bekas atau ‘jerry can’ petrol 500 liter dan 420 liter dari jenis RON95 dan diesel.

    “Ketika serbuan dilakukan, dua lelaki dilihat sedang mengisi minyak bersubsidi di dua buah pam petrol berasingan di stesen minyak itu.

    “Siasatan kita mendapati pemilik stesen minyak itu bersekongkol dan berkompromi dengan dua lelaki dipercayai anggota sindiket penjualan minyak petrol RON95 dan diesel bersubsidi ini dan transaksi pembayaran bagi pembeliannya dibuat secara tunai di stesen minyak itu,” katanya di Pejabat KPDNHEP Perlis, hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, ketiga individu termasuk wanita yang juga pemilik stesen minyak itu berusia lewat 50-an kemudiannya ditahan untuk membantu siasatan.

    “Serbuan itu turut membawa anggota ke sebuah sebuah stor tanpa nombor yang menjalankan perniagaan sejuk beku di Kampung Kolam, Padang Besar yang dijadikan tempat pengumpulan petrol bersubsidi untuk dijual kepada kenderaan asing.

    “Kita turut menemukan beberapa buah tong dram yang disyaki berisi petrol bersubsidi dan siasatan mendapati pemilik premis itu tidak mempunyai kebenaran bertulis untuk memiliki serta menyimpan barang kawalan berjadual daripada pengawal bekalan dan dalam hal ini, seorang wanita turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kedua-dua kes berkenaan adalah dari sindiket yang sama dengan modus operandi mereka adalah pemandu kereta akan mencari stesen minyak di sekitar daerah ini untuk membeli petrol bersubsidi RON95 dan diesel sebelum diisi ke dalam bekas minyak atau ‘jerry can’ yang dibawa dalam kereta mereka.

    Mohamad Amir berkata, rampasan petrol dan diesel bersubsidi berkenaan dianggarkan bernilai RM19,056 dan kes itu disiasat mengikut Seksyen Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala denda tidak lebih RM2,000,000 bagi syarikat yang didapati terbabit dalam kesalahan itu.

  • Bekalan ayam semakin stabil sejak 10 hari lalu-Ronald

    Bekalan ayam semakin stabil sejak 10 hari lalu-Ronald

    KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan memaklumkan bekalan ayam di pasaran seluruh negara semakin stabil apabila tidak menunjukkan pengurangan ketara sejak 10 hari lalu.

    Keadaan itu didorong langkah proaktif dilakukan kerajaan antaranya dengan pemberian subsidi dan pemberhentian eksport ayam.

    Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pemerhatian dilakukan juga mendapati pengusaha ternakan ayam telah mengambil tindakan yang perlu bagi memastikan keperluan harian ayam tempatan antara 1.8 hingga 2 juta ekor dapat ditampung.

    Kata beliau, dalam tempoh 10 hari kebelakangan ini pihkanya tidak melihat sebarang kekurangan bekalan ayam yang ketara di pasar raya, pasar tani dan pasar-pasar keseluruhan.

    “Saya rasa pihak pengusaha ternakan ayam telah mengambil tindakan yang perlu untuk memastikan bekalan itu mampu dibekalkan.

    “Kita juga telah memberhentikan eksport ayam pada ketika ini untuk memastikan keperluan tempatan dapat dipenuhi,” katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Perak di Manjung, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Dalam lawatan itu, Ronald meninjau pengoperasian pengeluaran ayam skala besar di Perak iaitu Dindings Poultry Development Centre Sdn. Bhd. (DPDC) di Segari dan ladang skala kecil, Ladang Sin Ling Cheong di Sitiawan.

    Menurut beliau, harga siling ayam yang ditetapkan masih pada kadar RM8.90 sekilogram dan perbezaan harga yang berlaku di pasaran itu ditampung oleh subsidi diberikan kerajaan.

    “Kalau kita lepaskan harga di pasaran sekarang, mungkin mencecah antara RM10 hingga RM11 sekilogram kerana itu kita putuskan pemberian subsidi untuk memastikan kos inflasi bahan makanan ini dapat ditampung,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Ronald memberitahu, sebanyak RM71 juta subsidi telah dibayar daripada keseluruhan RM730 juta yang disediakan di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia sejak 5 Februari lepas.

    Melihat perkembangan itu, pihaknya meminta lebih ramai pemain industri ternakan ayam tampil ke hadapan untuk membuat tuntutan subsidi masing-masing.

    “Tuntutan subsidi ini akan berakhir pada 5 Jun ini, bagaimanapun selepas tarikh itu ia masih boleh diproses.

    “Proses ini telah dipercepatkan sekarang ini. ‘Task force’ juga telah dibentuk dengan lebih ramai kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dilibatkan sama,” katanya.

  • Sedia beri kerjasama siasatan penyelewengan projek KVMRT

    Sedia beri kerjasama siasatan penyelewengan projek KVMRT

    MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong meminta mana-mana pihak tidak membuat andaian atau spekulasi berhubung siasatan pihak berkuasa Perancis terhadap projek Klang Valley Mass Rapid Transport (KVMRT).

    Beliau menegaskan, pihaknya sedia memberi kerjasama dan membantu siasatan kes itu yang dikaitkan terhadap dakwaan penipuan dan rasuah.

    “Saya juga menerima dan membaca laporan oleh pengendali KVMRT, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengenai kes itu pada Mac lalu dan syarikat itu menyatakan kesediaan untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Saya terbuka dan tiada masalah sekiranya perkara itu disiasat, tidak rasa gentar. Saya sudah baca dan mengikuti perkembangan kes ini (dakwaan pihak berkuasa Perancis),” katanya.

    Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Putrajaya, hari ini, lapor Harian Metro.

    Wee berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang didapati melakukan perkara menyalahi undang-undang seperti dakwaan.

    Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, pihak berkuasa Perancis sedang menyiasat dakwaan penipuan dan rasuah melibatkan projek KVMRT, yang mana skandal itu difahamkan berkait projek MRT 2 bernilai kira-kira RM692 juta.

    Difahamkan juga tumpuan siasatan kes kepada sebuah syarikat di Malaysia yang dikaitkan dengan syarikat konglomerat Perancis.

    Projek MRT 2 atau fasa kedua KVMRT turut dikenali sebagai Laluan Putrajaya dan diluluskan kerajaan pada 2015.

  • Kakitangan JPJ mengaku guna resit palsu didenda RM4,000

    Kakitangan JPJ mengaku guna resit palsu didenda RM4,000

    MAHKAMAH Sesyen Ipoh hari ini menjatuhikan hukuman denda RM4,000 terhadap seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas didapati bersalah menggunakan resit palsu sebagai tulen dua tahun lalu.

    Mohamad Helmi Ahmad Cabi mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.

    Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara sebulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda, lapor Harian Metro.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Unit Institut Memandu Bahagian Perlesenan JPJ Perak, didakwa dengan curang telah menggunakan dokumen palsu untuk Resit Rasmi Kerajaan Malaysia JPJ Malaysia, berjumlah RM2,000 bagi perkara Buku Teks KPP baru Kelas Motosikal (B.M).

    Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat JPJ Ipoh, 17 Februari 2020.

    Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • Ibu, nenek dan rakan lelaki tidak mengaku dera 2 kanak-kanak

    Ibu, nenek dan rakan lelaki tidak mengaku dera 2 kanak-kanak

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    TIGA individu masing-masing ibu, nenek dan rakan lelaki warga emas itu mengkau tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan mendera dan menganiaya dua kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun pertengahan bulan lalu.

    Di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid, tertuduh pertama yang juga ibu kepada mangsa, Jenny Oon Wei Wei, 28, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Di Mahkamah Sesyen berasingan pula, seorang wanita yang juga nenek kepada mangsa Ng Hang Moon, 52, dan Lim Kim Boon, 42, turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan sama selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan penderaan dan penganiayaan kepada dua kanak-kanak iaitu lelaki berusia tiga tahun dan perempuan berusia lima tahun sehingga mengakibatkan kecederaan.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan mereka antara 13 hingga 27 Mei lalu di Blok J-13-8 Flat Rifle Range, Jalan Air Itam, Georgetown.

    Mereka didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pertuduhan ke atas Jenny Oon yang merupakan ibu mangsa dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pertuduhan ke atas Hang Moon dan Kim Boon yang dalam kes ini merupakan penjaga kepada mangsa dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sementara itu, mahkamah membenarkan Jenny Oon diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

    Selain itu, mahkamah turut mengarahkan Jenny Oon menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa atau saksi sehingga kes tersebut selesai dibicarakan.

    Hakim Mazdi turut menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh serahan laporan perubatan dan dokumen serta sebutan semula kes.

    Sementara itu bagi kes Hang Moon dan Kim Boon pula, mahkamah membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin sebanyak RM12,000 seorang dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi kes tersebut selain perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga perbicaraan kes selesai.

    Mahkamah turut menetapkan 4 Julai depan sebagai tarikh serahan laporan perubatan dan dokumen serta sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan polis menahan dua wanita iaitu ibu kandung serta ibu wanita berkenaan bagi membantu siasatan kes dua kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa penderaan.

    Kedua-dua suspek ditahan di sebuah flat di Air Itam, Georgetown oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) kira-kira pukul 11.15 pagi Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kedua-dua waniat berkenaan ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan di Balai Polis Air Itam, kira-kira pukul 8 pagi ini.

    Jelas beliau, laporan itu berkaitan satu hantaran di media sosial Facebook mengenai gambar dua anak-kanak yang sedang makan di sebuah restoran dengan kesan kecederaan pada bahagian muka.

    “Pengadu membuat laporan polis kerana mengesyaki kedua-dua kanak-kanak berkenaan berkemungkinan mangsa kepada penderaan.

    “Hasil serbuan dan pemeriksaan polis di sebuah rumah flat telah berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak perempuan dan lelaki yang masing-masing berusia lima dan tiga tahun.

    “Dalam serbuan tersebut, kita juga menahan dua wanita tempatan iaitu ibu dan nenek saudara mangsa bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya.

    Menurut Soffian, pemeriksaan awal pada tubuh badan kedua-dua kanak-kanak terbabit menjumpai kesan luka dan lebam pada bahagian muka dan badan disyaki akibat penderaan.

    Sehubungan itu katanya, mangsa telah dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.

  • UNIRAZAK-JHEV ATM meterai MoU, pertingkat akses pendidikan anak veteran

    UNIRAZAK-JHEV ATM meterai MoU, pertingkat akses pendidikan anak veteran

    UNIVERSITI Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan taraf pendidikan anak dari keluarga veteran yang kurang berkemampuan.

    MoU bagi tempoh lima tahun itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif UNIRAZAK Amil Izham Hamzah dan Ketua Pengarah JHEV ATM Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad dengan disaksikan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hashim Abdul Aziz dan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, di Kuala Lumpur.

    Ikmal Hisham dalam ucapannya berkata, melalui MoU berkenaan, seramai 500 anak-anak veteran ATM lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang layak akan ditawarkan mengikuti Program Pengajian Asasi Sastera secara percuma setiap tahun dan pengambilan pertama akan memulakan pengajian pada Julai depan.

    “Melalui MoU ini UNIRAZAK akan membiayai sepenuhnya yuran pengajian berjumlah RM12,500 bagi setiap pelajar manakala Yayasan ATM membiayai caj pentadbiran sebanyak RM100 setiap pelajar dengan kos keseluruhan dianggarkan berjumlah RM16 juta,” katanya.

    Beliau berkata, objektif MoU berkenaan adalah untuk membolehkan anak veteran dari golongan kurang berkemampuan mendapat pendidikan tinggi formal dan seterusnya memperoleh peluang kerja lebih baik bagi meningkatkan sosio ekonomi keluarga mereka.

    “Pelajar yang berjaya menamatkan pengajian mereka di peringkat asasi ini kemudian boleh melanjutkan pengajian ke UNIRAZAK atau di universiti dan institut pengajian tinggi yang lain,” katanya.

    Menurut Ikmal Hisham, peluang yang ditawarkan kepada anak-anak veteran ATM berkenaan sangat luar biasa, menarik dan secara langsung melambangkan keprihatinan Kementerian Pertahanan terhadap kebajikan veteran ATM khasnya dalam skop peningkatan pendidikan anak-anak veteran ATM.

    Dalam pada itu, Ikmal Hisham turut berharap lebih banyak institusi pendidikan tinggi tempatan dan swasta menjalinkan kolaborasi dengan Kementerian Pertahanan agar lebih ramai anak-anak veteran dapat menikmati kemudahan serupa. – BERNAMA

  • Sasterawan Zaharah Nawawi meninggal dunia

    Sasterawan Zaharah Nawawi meninggal dunia

    SASTERAWAN Zaharah Nawawi meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ Rawang, Selangor pada 7.55 pagi tadi dipercayai akibat penyakit barah.

    Berita itu dikongsikan anak saudara Allahyarham, Mohd Fadhil Jaffar, menerusi hantaran di Facebook hari ini.

    Mohd Fadhil menyifatkan ibu saudaranya itu sebagai seorang yang disenangi dan selalu berfalsafah serta antara seorang yang berjaya di kalangan adik-beradiknya, selain banyak memberi inspirasi.

    “(Beliau) Banyak memberi inspirasi atas kejayaan beliau yang banyak mendapat pengiktirafan, novelis tersohor dan sasterawan disegani… namun terselit juga kisah duka di sebalik suka.

    “Bertarung ke akhir hayat melawan penyakit barah yang dihadapi… Alhamdulillah… dua minggu lepas sempat kami datang menziarah, terpancar senyuman dan kegembiraan dalam menahan kesakitan melihat generasi dan legasi sekarang walaupun sekadar menumpang kasih sayang anak-anak dan cucu-cucu saudara,” katanya.

    Mohd Fadhil juga mendoakan semoga ibu saudaranya ditempatkan bersama orang yang beriman.

    Katanya, jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya selepas Zohor tadi.

    Zaharah, 82, yang merupakan anak kelahiran Kampung Parit Jawa, Mukim Empat, Batu Pahat Johor, dilahirkan pada 5 Mei 1940 dan mula mengasah bakat dalam penulisan pada usia 12 tahun.

    Pencapaian tertinggi yang diraih Zaharah adalah Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A Write Award) pada September 1996 di Bangkok, Thailand menerusi novel Anugerah serta Hadiah Karyawan Sastera Johor, Hadiah Sastera Johor Darul Ta’zim pada 1999.

    Dalam kerjayanya, beliau pernah berkhidmat di Utusan Melayu sebagai wartawan di Mingguan Malaysia dan Anggota Sidang Pengarang majalah WANITA dari 1968 hingga 1976 dengan jawatan terakhir Zaharah di Utusan Melayu adalah sebagai Ketua Redaksi majalah MASTIKA.

    Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Editor Umum Penerbitan Berbahasa Malaysia di Berita Publishing (anak syarikat Kumpulan The New Straits Times) dari 1976 hingga 1985.

    Beliau turut pernah menjadi Editor Urusan di Pustaka Cipta Sdn Bhd pada 1985 hingga 1986 selain pernah menjadi Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka dari 1997 hingga 1998.

    Antara novel dihasilkan beliau adalah Panglima Salleh, Selempang Merah; Jalur Sinar di Celah Daun; Azah Aziz: Kartika di Langit Seni; Anugerah; Sehelai Daun Yang Gugur; Haruman Kencana; Bulan dan Mentari; Di Hujung Penantian; Semangat Bunga; Wangian Bukit Peranginan serta Warna dan Wajah. – BERNAMA

  • Polis rampas 7kg syabu dikirim melalui perkhidmatan kurier

    Polis rampas 7kg syabu dikirim melalui perkhidmatan kurier

    POLIS menahan seorang lelaki dan merampas lebih tujuh kilogram (kg) dadah jenis syabu menerusi dua serbuan di Jalan Stephen Tan dan Batu 3, Jalan Apas, Tawau pada Rabu lalu.

    Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Husin berkata, suspek tempatan berusia 20 tahun itu ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan rangkaian sindiket pengedaran dadah.

    “Serbuan pertama dijalankan pada pukul 2.10 petang di sebuah premis di Jalan Stephen Tan dan berjaya merampas dua kotak bungkusan plastik ‘teh cina’ dengan tertera tulisan ‘Guanyinwang’ yang disembunyikan dalam alat pembesar suara.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua bungkusan tersebut berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di IPD Tawau, Tawau, hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, suspek yang merupakan seorang penganggur terus dibawa ke IPD Tawau untuk soal siasat dan kemudian membawa kepada serbuan kedua.

    Jasmin berkata, hasil siasat berkenaan, pasukan operasi terus melakukan satu lagi serbuan di sebuah rumah kedai yang disewa oleh suspek di Batu 3, Jalan Apas pada pukul 3.40 petang hari yang sama.

    Menuru, dalam serbuan berkenaan, pasukan operasi berjaya merampas lima bungkusan yang berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

    “Anggaran berat lima bungkusan itu adalah 5,156.92 gram. Keseluruhan tujuh bungkusan yang dirampas berisi dadah syabu ini dianggarkan seberat 7,193.33 gram bernilai RM248,500.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati, semua bungkusan berisi dadah jenis syabu berkenaan dibawa masuk ke Sabah menggunakan perkhidmatan kurier servis untuk pasaran tempatan,” katanya.

    Menurutnya, siasatan awal juga mendapati, suspek terbabit adalah rangkaian kepada satu sindiket pengedaran dadah dan polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti sindiket-sindiket yang terbabit dalam kes ini.

    “Polis juga telah membuat semakan dan suspek mempunyai dua kesalahan lampau membabitkan kes jenayah.

    “Siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya lagi. Suspek kini direman sehingga 1 Jun depan,” katanya.