Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

TIGA individu masing-masing ibu, nenek dan rakan lelaki warga emas itu mengkau tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan mendera dan menganiaya dua kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun pertengahan bulan lalu.

Di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid, tertuduh pertama yang juga ibu kepada mangsa, Jenny Oon Wei Wei, 28, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Di Mahkamah Sesyen berasingan pula, seorang wanita yang juga nenek kepada mangsa Ng Hang Moon, 52, dan Lim Kim Boon, 42, turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan sama selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan penderaan dan penganiayaan kepada dua kanak-kanak iaitu lelaki berusia tiga tahun dan perempuan berusia lima tahun sehingga mengakibatkan kecederaan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan mereka antara 13 hingga 27 Mei lalu di Blok J-13-8 Flat Rifle Range, Jalan Air Itam, Georgetown.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ke atas Jenny Oon yang merupakan ibu mangsa dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pertuduhan ke atas Hang Moon dan Kim Boon yang dalam kes ini merupakan penjaga kepada mangsa dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, mahkamah membenarkan Jenny Oon diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan Jenny Oon menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa atau saksi sehingga kes tersebut selesai dibicarakan.

Hakim Mazdi turut menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh serahan laporan perubatan dan dokumen serta sebutan semula kes.

Sementara itu bagi kes Hang Moon dan Kim Boon pula, mahkamah membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin sebanyak RM12,000 seorang dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi kes tersebut selain perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga perbicaraan kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 4 Julai depan sebagai tarikh serahan laporan perubatan dan dokumen serta sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan dua wanita iaitu ibu kandung serta ibu wanita berkenaan bagi membantu siasatan kes dua kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa penderaan.

Kedua-dua suspek ditahan di sebuah flat di Air Itam, Georgetown oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) kira-kira pukul 11.15 pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kedua-dua waniat berkenaan ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan di Balai Polis Air Itam, kira-kira pukul 8 pagi ini.

Jelas beliau, laporan itu berkaitan satu hantaran di media sosial Facebook mengenai gambar dua anak-kanak yang sedang makan di sebuah restoran dengan kesan kecederaan pada bahagian muka.

“Pengadu membuat laporan polis kerana mengesyaki kedua-dua kanak-kanak berkenaan berkemungkinan mangsa kepada penderaan.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan polis di sebuah rumah flat telah berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak perempuan dan lelaki yang masing-masing berusia lima dan tiga tahun.

“Dalam serbuan tersebut, kita juga menahan dua wanita tempatan iaitu ibu dan nenek saudara mangsa bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya.

Menurut Soffian, pemeriksaan awal pada tubuh badan kedua-dua kanak-kanak terbabit menjumpai kesan luka dan lebam pada bahagian muka dan badan disyaki akibat penderaan.

Sehubungan itu katanya, mangsa telah dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here