POLIS menahan seorang lelaki dan merampas lebih tujuh kilogram (kg) dadah jenis syabu menerusi dua serbuan di Jalan Stephen Tan dan Batu 3, Jalan Apas, Tawau pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Husin berkata, suspek tempatan berusia 20 tahun itu ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan rangkaian sindiket pengedaran dadah.

“Serbuan pertama dijalankan pada pukul 2.10 petang di sebuah premis di Jalan Stephen Tan dan berjaya merampas dua kotak bungkusan plastik ‘teh cina’ dengan tertera tulisan ‘Guanyinwang’ yang disembunyikan dalam alat pembesar suara.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua bungkusan tersebut berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di IPD Tawau, Tawau, hari ini, lapor Astro Awani.

Katanya, suspek yang merupakan seorang penganggur terus dibawa ke IPD Tawau untuk soal siasat dan kemudian membawa kepada serbuan kedua.

Jasmin berkata, hasil siasat berkenaan, pasukan operasi terus melakukan satu lagi serbuan di sebuah rumah kedai yang disewa oleh suspek di Batu 3, Jalan Apas pada pukul 3.40 petang hari yang sama.

Menuru, dalam serbuan berkenaan, pasukan operasi berjaya merampas lima bungkusan yang berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran berat lima bungkusan itu adalah 5,156.92 gram. Keseluruhan tujuh bungkusan yang dirampas berisi dadah syabu ini dianggarkan seberat 7,193.33 gram bernilai RM248,500.

“Hasil siasatan lanjut mendapati, semua bungkusan berisi dadah jenis syabu berkenaan dibawa masuk ke Sabah menggunakan perkhidmatan kurier servis untuk pasaran tempatan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati, suspek terbabit adalah rangkaian kepada satu sindiket pengedaran dadah dan polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti sindiket-sindiket yang terbabit dalam kes ini.

“Polis juga telah membuat semakan dan suspek mempunyai dua kesalahan lampau membabitkan kes jenayah.

“Siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya lagi. Suspek kini direman sehingga 1 Jun depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here