Category: Semasa

  • Lelaki mengamuk di lebuh raya ditahan

    Lelaki mengamuk di lebuh raya ditahan

    POLIS  telah menahan lelaki yang dipercayai mengamuk selepas memberhentikan kereta di lorong kanan KM 253 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Kuala Kangsar pada Ahad lepas.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata suspek berusia 36 tahun itu ditahan di kediamannya di Taman Setapak Permai, Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 9 malam pada Isnin.

    “Suspek dipercayai mengamuk kerana hilang kawalan emosi di bawah pengaruh dadah.

    “Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak pada hari ini untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Beliau berkata suspek telah direman pagi semalam dan difahamkan akan dituduh di mahkamah esok.

    Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 283 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat dan melakukan galangan di jalan awam serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu galangan disebabkan kenderaan di jalan.

    Turut tular gambar lelaki itu berdiri di lorong kanan lebuh raya yang dimuat naik pengguna media sosial yang mendakwa suspek memberhentikan kereta sebelum turun dari kenderaan lalu mengamuk sambil memegang rantai emas dan memanjat kereta berdekatan selain menendang kereta pengguna lebuh raya itu.

    — BERNAMA

  • Najib lantik diri sendiri sebagai Pengerusi BOA 1MDB

    Najib lantik diri sendiri sebagai Pengerusi BOA 1MDB

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu oleh bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa, bahawa Datuk Seri Najib Razak melantik dirinya menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat (BOA) 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Siti Zauyah yang memberikan keterangan sebagai saksi ke-26 pendakwaan berkata, dalam syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) selain 1MDB, menteri kewangan tidak terbabit secara langsung.

    “Saya sahkan, dalam syarikat MKD yang lain, hal seperti ini tidak berlaku,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya, lapor Harian Metro.

    Menurut saksi itu, tiada mana-mana pegawai Kementerian Kewangan atau daripada bahagian MKD dilantik untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah dalam 1MDB.

    Sementara itu, Siti Zauyah berkata bidang kuasa MKD secara jelas dinyatakan di dalam Undang-Undang Malaysia, Akta 375, Akta Menteri Kewangan (Diperbadankan) 1957.

    Beliau berkata seksyen 3 (1) akta itu menyatakan, menteri kewangan bertanggungjawab dalam hal kewangan atas nama badan korporat dibawah MKD, oleh itu mengikut seksyen 3(2) akta sama, ia boleh menyaman dan disaman.

    Katanya, apabila terdapat satu dokumen atau apa-apa resolusi, persetujuan atau arahan yang dibuat oleh seseorang Menteri Kewangan (Diperbadankan) kepada sesebuah syarikat MKD, ia dianggap sah dan adalah satu bentuk kelulusan.

    “Selain itu, MKD sebagai pemegang saham tunggal kepada sebuah syarikat milik Kerajaan adalah tertakluk kepada Akta 125, Akta Syarikat 1965. Oleh demikian, kuasa MKD sebagai pemegang saham tertakluk juga kepada perincian di dalam akta syarikat berkenaan,” katanya.

    Siti Zauyah memberikan keterangan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

  • Tatacara penyimpanan barang SPRM perlu lebih teratur – Dewan Negara

    Tatacara penyimpanan barang SPRM perlu lebih teratur – Dewan Negara

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk memastikan ia mempunyai prosedur dan tatacara penyimpanan dan pengendalian barang yang lebih sistematik.

    Perkara ini perlu bagi mengelakkan isu membabitkan bekas Ketua Pengarah Operasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Majid melibatkan tuduhan pecah amanah RM50.4 juta, mengikut laporan Astro Awani.

    Gesaan tersebut disuarakan Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah (TIA) Dewan Negara berikutan mesyuarat yang diadakan hari ini.

    Katanya, gesaan dibuat bagi memastikan SPRM mampu meningkatkan kredibiliti sebagai sebuah agensi penguatkuasaan antirasuah yang lebih dihormati di negara ini.

    “Dalam mesyuarat tersebut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut hadir memberi penjelasan berkenaan isu-isu rasuah dan antirasuah terkini yang dilaksanakan SPRM.

    “Semua ahli jawatankuasa berpuas hati dengan tugas-tugas pendakwaan dan penyiasatan yang telah dijalankan,” menurut kenyataan tersebut.

    Sementara itu, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim juga memberitahu Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan mewujudkan satu jawatankuasa bersama berkaitan antirasuah dan perkara itu telah dipersetujui Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

    Tan Sri Rais berharap penubuhan jawatankuasa bersama ini dapat meningkatkan sistem pemantauan terhadap agensi penguatkuasaan antirasuah dalam negara.

    Selain itu, Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara berkata jawatankuasa TIA juga membangkitkan mengenai pewujudan semula Mahkamah Khas Antirasuah bermula daripada peringkat Mahkmah Sesyen hingga ke peringkat Mahkamah Rayuan.

    Katanya, syor tersebut diputuskan bagi menyelesaikan isu peningkatan jumlah kes yang tertunggak serta mempercepatkan proses pendakwaan dan pembicaraan berkaitan rasuah mengikut jadual dan takwim yang ditetapkan.

    Pada masa sama, mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam itu turut mencadangkan agar SPRM diletakkan di bawah pengawasan Parlimen, terutama dari aspek pembuatan dasar dan pemurnian nilai-nilai perkhidmatan berkaitan antirasuah.

    Ini supaya semua tindakan yang dijalankan agensi tersebut sentiasa mengikut lunas undang-undang.

    “Cadangan ini adalah salah satu daripada strategi Transformasi Parlimen yang telah diluluskan oleh Kabinet bulan lepas,” tambahnya.

    Selain itu, isu lain yang turut ditimbulkan adalah berkenaan kekurangan pegawai di SPRM dan Jabatan Peguam Negara dalam menjalankan tugas penguatkuasaan dan pendakwaan.

    Jawatankuasa tersebut memutuskan untuk mengundang Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah pada pertengahan Julai ini untuk berbincang dan memperhalusi perkara tersebut.

  • PATI maut, terjun kolam cuba lari dari JIM

    PATI maut, terjun kolam cuba lari dari JIM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia maut setelah terjun ke dalam kolam dalam usaha melarikan diri dari ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.40 oagi semalam.

    “Difahamkan PATI tersebut terjun ke kolam berkenaan yang terletak dalam ladang kelapa sawit, bagi melarikan diri ketika pihak JIM melakukan serbuan. Pihak JIM cuba memujuk lelaki tersebut naik ke tebing namun dia enggan berbuat demikian sebelum tiba-tiba hilang,” katanya.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya hanya ditemukan kira-kira pukul 10 pagi tadi oleh pihak bomba.

    “Setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

  • Cari langkah sesuai atasi masalah kekurangan ubat

    Cari langkah sesuai atasi masalah kekurangan ubat

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mencari langkah lebih sesuai bagi menangani isu kekurangan bekalan ubat seperti ubat batuk, selesema, ubat tahan sakit, ubat anti radang dan sebagainya yang kini didakwa kehabisan stok di pasaran.

    Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, isu kekurangan bekalan ubat bukan sekadar dihadapi fasiliti kesihatan swasta, malah hospital kerajaan, farmasi, klinik dan fasiliti kesihatan lain turut berdepan masalah tersebut.

    Menurut beliau, kekurangan bahan mentah merupakan antara sebab utama yang menyebabkan isu kekurangan bekalan ubat berlaku di negara ini.

    ”Ini telah menyebabkan pengilang farmasi tempatan tidak dapat membekalkan ubat-ubatan mereka mengikut jadual.

    ”Dengan itu, kerajaan disarankan memberi pertimbangan untuk mengimport bahan mentah atau ubat alternatif dari negara yang berbeza bagi menangani isu kekurangan ubat,” katanya.

    Dalam pada itu, turut mempersoal keberkesanan cadangan KKM untuk membenarkan fasiliti kesihatan swasta memohon pinjaman bekalan ubat-ubatan dari fasiliti kesihatan swasta lain atau fasiliti kesihatan kerajaan susulan masalah kekurangan bekalan ubat yang berlaku kerana pendekatan itu bukan langkah berkesan secara jangka panjang.

    “Kerajaan perlu mengambil berat tentang isu itu kerana ia membabitkan keselamatan rakyat dan harus diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

  • SPRM teliti maklumat pencerobohan balak di hutan Nenggiri

    SPRM teliti maklumat pencerobohan balak di hutan Nenggiri

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menerima maklumat berhubung kes pencerobohan balak di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

    Sehubungan itu kata Pengarahnya, Rosli Husain, pihaknya sedang meneliti maklumat berkenaan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    “SPRM Kelantan ada menerima maklumat dan sedang meneliti bagi melihat kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Beliau mengulas sama ada pihaknya melakukan siasatan berhubung dakwaan mengatakan berlaku pencerobohan balak di HSK Nenggiri.

    Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes pencerobohan balak yang didakwa berlaku di HSK Nenggiri.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo dilaporkan berkata, laporan itu dibuat oleh pengawas hutan pada 2 Jun lalu.

    Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa sebelum ini mendedahkan berlaku pembalakan di beberapa kawasan termasuk kompartmen 26, 29 dan 41 di HSK Nenggiri.

    Husam mendakwa, keluasan hutan simpan kekal yang diceroboh di kawasan terbabit seluas 80 hektar.

  • Klinik terbakar:Perkhidmatan klinik bergerak diwujudkan

    Klinik terbakar:Perkhidmatan klinik bergerak diwujudkan

    SEBUAH klinik perkhidmatan bergerak ditubuhkan untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk yang terkesan akibat kejadian kebakaran Klinik Kesihatan mansiat di Jalan Tulid, Kota Kinabalu, lewat petang semalam.

    Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Rosa Nani Mudin berkata fasiliti lain juga akan dikenal pasti bagi tujuan itu, seperti dewan masyarakat untuk dijadikan sebagai fasiliti alternatif untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.

    Beliau berkata, penduduk terlibat terutama di kawan Mansiat juga boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan di klinik kesihatan terdekat iaitu Klinik Kesihatan Tulid terletak kira-kira 30 kilometer dari pekak Sook.

    “Semua perkhidmatan (kesihatan) akan dipindahkan ke fasiliti itu (Klinik Kesihatan Tulid),” katanya, menurut laporan Bernama.

    Mengulas kejadian petang semalam, Dr Rosa Nani berkata seluruh bangunan klinik berstruktur kayu dan aset dalam fasiliti klinik itu termasuk sebuah ambulans musnah sepenuhnya, namun lima unit kuarters staf terletak kira-kira 50 meter dari klinik itu tidak terjejas.

    Semalam, Klinik Kesihatan Mansiat yang terletak kira-kira 40 kilometer dari pekan Keningau dan memberi khidmat kepada penduduk sejak 1970an musnah dalam kebakaran dan kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa manakala punca kejadian dan kerugian masih disiasat.

  • Tokoh korporat Rozali Ismail mahu ceburi dunia politik wakili suara peneroka Felda

    Tokoh korporat Rozali Ismail mahu ceburi dunia politik wakili suara peneroka Felda

    TOKOH korporat Tan Sri Rozali Ismail menyuarakan hasrat untuk menyertai bidang politik melalui penubuhan parti baharu bagi mewakili generasi peneroka terutamanya penduduk Felda.

    Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd itu berkata hasrat itu timbul selepas mesyuarat agung tahunan Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) semalam, yang mengusulkan untuk persatuan itu mengkaji bagi menubuhkan parti Keluarga Felda SeMalaysia yang akan menjadi suara dan naungan kepada masyarakat peneroka.

    “Usul ini akan dibawa ke majlis tertinggi pengurusan GWGF minggu hadapan kerana kita mempunyai 17 persatuan di bawah GWGF bagi membincangkan dengan teliti sama ada usul ini dapat dilaksana bagi kebaikan masyarakat Felda dan golongan buruh di Malaysia,” katanya kepada media.

    Beliau berkata parti yang dicadangkan itu lebih kepada berdasarkan parti buruh disebabkan majoriti penduduk Felda adalah golongan buruh dan penubuhannya bermatlamat untuk membela generasi buruh yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan sederhana.

    “Saya rasa masalah yang dihadapi generasi Felda hari ini adalah disebabkan banyak program-program yang dilaksanakan untuk masyarakat Felda tidak menepati sasaran, seperti penyenaraian Felda yang gagal, cadangan penubuhan Felda sebagai Bank Makanan pun tidak terlaksana, malah pelaburan beratus juta ringgit di luar negara juga gagal,” katanya.

    Selain itu katanya terma dan syarat-syarat perjanjian tanam semula yang berat sebelah serta masalah buruh yang membebani masyarakat Felda gagal ditangani dengan baik menjadi titik tolak GWGF menubuhkan parti baharu bagi mewakili suara masyarakat peneroka.

    “Sebanyak 54 kawasan Parlimen merupakan kawasan-kawasan yang majoriti pengundi-pengundi adalah masyarakat Felda sendiri.

     “…dan saya sebagai Presiden GWGF telah diminta untuk bertanding terutamanya di kawasan yang saya telah bangunkan iaitu Felda Bukit Cerakah di Kuala Selangor yang kini dikenali sebagai Bandar Baru Puncak Alam,” kata Rozali yang dibesarkan di Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

    — BERNAMA

  • Gagal memotong, pegawai polis maut digilis lori

    Gagal memotong, pegawai polis maut digilis lori

    SEORANG anggota polis pangkat inspektor maut selepas digilis sebuah lori di Kilometer 11 Lebuhraya Grandsaga arah Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, pukul 4.45 petang semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, mangsa, Mohd. Farhan Zahari dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Gombak selepas mengikuti kursus di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Siasatan mendapati semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa cuba memotong sebuah lori di bahu kiri jalan namun keadaan jalan berpasir menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu terjatuh di hadapan tayar lori.

    “Akibatnya, mangsa digilis oleh lori yang sedang bergerak terus di laluan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Berikutan kejadian itu, Azman berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia.

    Katanya, mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Buruh dituduh cuba bunuh rakan sekampung

    Buruh dituduh cuba bunuh rakan sekampung

    SEORANG buruh didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan cuba membunuh rakan sekampungnya pada 15 Mei lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh, Amri Faisa Sauti, 39, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan cubaan bunuh hingga menyebabkan kecederaan kepada Mohd. Zailuddin Hart, 50.

    Memetik laporan Harian Metro, perbuatan itu dilakukan di hadapan Masjid Kampung Bukit Temalong, Gunong dekat Bachok, pukul 8.45 malam, pada 15 Mei 2022.

    Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan serius dan pertuduhan itu juga tidak boleh dijamin.

    Tertuduh memaklumkan bahawa dia tidak akan melantik peguam dan akan menjalani prosiding perbicaraan sendiri.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.