SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk memastikan ia mempunyai prosedur dan tatacara penyimpanan dan pengendalian barang yang lebih sistematik.

Perkara ini perlu bagi mengelakkan isu membabitkan bekas Ketua Pengarah Operasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Majid melibatkan tuduhan pecah amanah RM50.4 juta, mengikut laporan Astro Awani.

Gesaan tersebut disuarakan Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah (TIA) Dewan Negara berikutan mesyuarat yang diadakan hari ini.

Katanya, gesaan dibuat bagi memastikan SPRM mampu meningkatkan kredibiliti sebagai sebuah agensi penguatkuasaan antirasuah yang lebih dihormati di negara ini.

“Dalam mesyuarat tersebut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut hadir memberi penjelasan berkenaan isu-isu rasuah dan antirasuah terkini yang dilaksanakan SPRM.

“Semua ahli jawatankuasa berpuas hati dengan tugas-tugas pendakwaan dan penyiasatan yang telah dijalankan,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim juga memberitahu Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan mewujudkan satu jawatankuasa bersama berkaitan antirasuah dan perkara itu telah dipersetujui Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Tan Sri Rais berharap penubuhan jawatankuasa bersama ini dapat meningkatkan sistem pemantauan terhadap agensi penguatkuasaan antirasuah dalam negara.

Selain itu, Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara berkata jawatankuasa TIA juga membangkitkan mengenai pewujudan semula Mahkamah Khas Antirasuah bermula daripada peringkat Mahkmah Sesyen hingga ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Katanya, syor tersebut diputuskan bagi menyelesaikan isu peningkatan jumlah kes yang tertunggak serta mempercepatkan proses pendakwaan dan pembicaraan berkaitan rasuah mengikut jadual dan takwim yang ditetapkan.

Pada masa sama, mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam itu turut mencadangkan agar SPRM diletakkan di bawah pengawasan Parlimen, terutama dari aspek pembuatan dasar dan pemurnian nilai-nilai perkhidmatan berkaitan antirasuah.

Ini supaya semua tindakan yang dijalankan agensi tersebut sentiasa mengikut lunas undang-undang.

“Cadangan ini adalah salah satu daripada strategi Transformasi Parlimen yang telah diluluskan oleh Kabinet bulan lepas,” tambahnya.

Selain itu, isu lain yang turut ditimbulkan adalah berkenaan kekurangan pegawai di SPRM dan Jabatan Peguam Negara dalam menjalankan tugas penguatkuasaan dan pendakwaan.

Jawatankuasa tersebut memutuskan untuk mengundang Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah pada pertengahan Julai ini untuk berbincang dan memperhalusi perkara tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here