SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menerima maklumat berhubung kes pencerobohan balak di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

Sehubungan itu kata Pengarahnya, Rosli Husain, pihaknya sedang meneliti maklumat berkenaan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“SPRM Kelantan ada menerima maklumat dan sedang meneliti bagi melihat kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas sama ada pihaknya melakukan siasatan berhubung dakwaan mengatakan berlaku pencerobohan balak di HSK Nenggiri.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes pencerobohan balak yang didakwa berlaku di HSK Nenggiri.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo dilaporkan berkata, laporan itu dibuat oleh pengawas hutan pada 2 Jun lalu.

Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa sebelum ini mendedahkan berlaku pembalakan di beberapa kawasan termasuk kompartmen 26, 29 dan 41 di HSK Nenggiri.

Husam mendakwa, keluasan hutan simpan kekal yang diceroboh di kawasan terbabit seluas 80 hektar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here