Category: Semasa

  • SPRM bekukan lapan akaun bank, rampas RM700,000

    SPRM bekukan lapan akaun bank, rampas RM700,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan lapan akaun bank milik pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana disyaki digunakan bagi pemindahan wang rasuah membabitkan nilai lebih RM700,000.

    Menurut sumber, siasatan berhubung kegiatan rasuah dikendalikan pegawai Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM diteruskan sejak operasi bermula Isnin lalu.

    Setakat ini seramai tujuh pegawai Imigresen ditahan dan tiada penambahan jumlah tangkapan terkini, lapor Harian Metro.

    “Turut ditahan dua individu yang juga pemilik syarikat yang disyaki memberikan rasuah kepada pegawai JIM terbabit. Terbaru SPRM menemui tambahan RM38,000 disyaki wang rasuah diberikan kepada pegawai JIM ditahan itu.

    “Ia adalah tambahan kepada lebih RM700,000 dirampas SPRM Selasa lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada Rabu lalu, media Metro mendedahkan seramai tujuh pegawai JIM antara sembilan ditahan di negeri ini dan Selangor bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan nilai keseluruhan sebanyak lebih RM700,000.

    Semua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan kes yang dilaporkan berlaku antara 2019 hingga 2021.

    Enam pegawai penguat kuasa terbabit termasuk pegawai kanan dan seorang warga asing ditahan SPRM Sarawak manakala seorang lagi pegawai JIM ditahan bersama seorang wanita tempatan yang juga pemilik syarikat di Selangor.

    Difahamkan wang rasuah berkenaan diterima daripada beberapa individu yang mengaji pekerja asing sebagai balasan untuk memudahkan permohonan pas pekerja yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 serta sudah tamat tempoh.

  • Kapal tangki bawa 170,000 liter diesel ditahan

    Kapal tangki bawa 170,000 liter diesel ditahan

    KAPAL tangki berisi 170,000 liter diesel bernilai hampir RM900,000 ditahan di perairan Kota Kinabalu selepas disyaki membawa muatan itu tanpa kebenaran.

    Penahanan dibuat oleh pasukan bot ronda Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 0.2 batu nautika tenggara Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu pada 2 petang semalam.

    Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, anggota menahan kapal tangki itu selepas dikesan mencurigakan.

    “Kapal tangki itu dikendalikan empat kru termasuk nakhoda warga tempatan berusia antara 24 hingga 72 tahun dan pemeriksaan menemui 170,000 liter diesel yang tidak diisytiharkan dan tiada dokumentasi sah.

    “Pemeriksaan lanjut ke atas sistem navigasi dan rekod pergerakan kapal pula didapati ia sengaja dimatikan hingga menimbulkan kecurigaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohd. Rosli berkata, kapal itu juga melakukan kesalahan lain antaranya, dokumen pertukaran butiran syarikat yang tidak dimaklumkan kepada pendaftar kapal serta ia tidak berdaftar di negara ini.

    “Pengoperasiannya tanpa kru lengkap seperti dalam Daftar Keselamatan Kapal dan nakhoda, ketua jurutera serta kru tidak memenuhi syarat kompetensi sepatutnya, selain peralatan keselamatan tidak mencukupi,” katanya.

    Mohd. Rosli berkata, kapal dan kru ditahan dan diiringi ke Jeti Maritim Sepanggar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) dan Akta Bekalan 1961.

    Beliau meminta warga maritim untuk melaporkan sebarang salah laku di perairan ke Pusat Operasi Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau melalui talian kecemasan MERS 999.

  • Isu loji sembelihan Australia tak jejas bekalan daging Aidiladha

    Isu loji sembelihan Australia tak jejas bekalan daging Aidiladha

    ISU penggantungan kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia tidak akan menjejaskan bekalan daging lembu khususnya untuk sambutan Aidiladha.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ia kerana permintaan tinggi bagi aktiviti korban sempena perayaan itu adalah khusus terhadap lembu hidup.

    “Masalah (terjejas) bekalan tidak timbul kerana selalunya kalau (daging) permintaan tinggi pada musim perayaan Aidilfitri, (manakala) Aidiladha orang tunggu lembu hidup.

    “Jadi insya-Allah tidak ada isu dan (bekalan daging terjejas) pun ditampung oleh tempat lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2022 di Johor Bahru malam tadi.

    Beliau diminta mengulas mengenai sama ada penggantungan kelulusan loji sembelihan itu akan menjejaskan bekalan daging ketika Aidiladha atau sebaliknya.

    Mengenai status penggantungan itu, Idris berkata, perkara itu masih dalam proses siasatan.

    Pada 14 Mei lepas, dilaporkan bahawa kelulusan penyembelihan yang diberikan kepada syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, Thomas Foods International Lobethal digantung serta-merta sehingga suatu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

    Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dipetik sebagai berkata, keputusan itu dibuat hasil sidang khas antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jakim dengan pihak berkuasa Australia iaitu ‘Department of Agriculture, Water and the Environment’ (DAWE) pada 13 Mei lepas. – BERNAMA

  • Lelaki berjubah putih, berkopiah cuba culik budak perempuan

    Lelaki berjubah putih, berkopiah cuba culik budak perempuan

    SEORANG bapa mendakwa anak perempuannya berusia enam tahun hampir diculik dalam kejadian di Kampung Krubong, Melaka, petang semalam.

    Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian oleh bapa kanak-kanak itu berusia 45 tahun yang mendakwa anaknya hampir diculik ketika pulang mengaji kira-kira pukul 6 petang.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian anaknya bersama-sama kakak serta seorang anak saudaranya sedang berjalan untuk pulang ke rumah sebelum ditegur seorang lelaki memakai jubah putih serta berkopiah menaiki kereta dipercayai Proton Persona berwarna perak.

    “Ketika tengah berjalan, tiga kanak-kanak itu ditegur seorang lelaki tidak dikenali sebelum menarik tangannya masuk ke dalam kenderaan itu.

    “Terkejut dengan tindakan itu, kakak dan sepupunya segera merentap baju lelaki terbabit menyebabkan suspek terus beredar meninggalkan lokasi berkenaan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, terkejut dan takut dengan kejadian itu, ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan kemudian berlari menyelamatkan diri ke rumah saudara yang terletak di kawasan berhampiran.

    Sementara itu, Christopher berkata, bapa mangsa memaklumkan ada orang awam yang sempat melihat nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek namun semakan mendapati adalah ia palsu.

    “Semakan dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati nombor pendaftaran diberikan didaftarkan atas kenderaan jenis Nissan Cefiro serta motosikal jenis Honda.

    “Sehubungan itu, pihak polis meminta kerjasama orang awam yang ada melihat kejadian atau mempunyai rakaman untuk tampil menyalurkan maklumat,” katanya.

  • Nenek tekad jaga empat cucu kematian ibu

    Nenek tekad jaga empat cucu kematian ibu

    “NENEK reda dengan ujian ini dan selagi ada kudrat, keempat-empat cucu ini akan nenek jaga,” demikian tekad wanita warga emas Jawi Boyak, 76, yang kini perlu mengambil alih tanggungjawab menjaga empat cucunya selepas kematian ibu mereka, Norhafizah Mohd Yahya dua hari lepas.

    Meskipun hanya bergantung kepada pendapatan yang tidak menentu sebagai tukang urut, Jawi yang menghidap darah tinggi berkata beliau akan berusaha menjaga Ahmad Hairul, Nor Azwa, Ahmad Norhafiz dan Ahmad Norhakim, kesemuanya berusia antara enam dan 17 tahun.

    “Arwah anak saya (Norhafizah) memang dah lama sakit buah pinggang dan perlu dialisis. Sejak tiga tahun lepas, keadaannya semakin merosot hingga meninggal dunia pada Rabu,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Bukit Rambai di sini hari ini.

    Jawi berkata Norhafizah pernah melahirkan kebimbangan mengenai kebajikan anak-anaknya sekiranya dia meninggal dunia memandangkan suaminya kini masih dalam tahanan, namun Jawi berjanji mengambil alih tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada cucu-cucunya itu.

    “Memang ada yang mahu menjaga mereka terutama yang bongsu tetapi saya tidak benarkan sebab tidak yakin. Biarlah mereka ini berada di depan mata.

    “Saya memang menjaga mereka sejak dari kecil sebab tinggal serumah dengan arwah. Lagipun Ahmad Norhafiz dan Ahmad Norhakim mempunyai masalah berkaitan jantung walaupun sudah mendapat rawatan,” katanya.

    Jawi berkata Ahmad Hairul, sebelum ini bekerja separuh masa sebagai pembantu katering bagi menambah pendapatan keluarga namun terpaksa berhenti apabila kesihatan Norhafizah semakin merosot.

    “Kami tetap bersyukur. Setakat ini, kami cukup makan… pakai, tidak pernah keputusan bekalan makanan. Dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan upah mengurut sekitar RM600 sebulan, kami dapat bertahan,” katanya.

    Sementara itu, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Kalsom Nordin yang hadir menziarahi keluarga itu berkata pihaknya akan membantu memastikan kebajikan empat beradik itu terjamin.

    “Kita telah terima kes ini melalui JKM dan menukarkan bantuan penjagaan sakit terlantar sebanyak RM500 sebulan kepada bantuan kanak-kanak RM600.

    “Kita juga akan cuba mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi memastikan kebajikan anak-anak ini terbela terutama dari aspek pendidikan,” katanya. – Bernama

  • Enam individu ditahan samun, menyamar pegawai imigresen

    Enam individu ditahan samun, menyamar pegawai imigresen

    ENAM individu tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun dan menyamar sebagai penjawat awam di sekitar ibu negara, semalam.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kesemua mereka yang ditahan, terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita tempatan berusia lingkungan 23 hingga 43 tahun serta disyaki menyamar sebagai pegawai imigresen.

    Beliau berkata, penahanan mereka ini dipercayai mempunyai kaitan dengan satu laporan polis mengenai kejadian samun melibatkan mangsa, dua lelaki warga asing yang mengalami kerugian telefon bimbit dan wang tunai anggaran RM300.

    “Hasil risikan, sepasukan polis dari Balai Polis Salak Selatan bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, telah membuat tangkapan terhadap satu lelaki warga tempatan pada kira-kira 10 pagi itu.

    “Hasil daripada tangkapan pertama telah membawa kepada penahanan susulan iaitu tiga lelaki dan dua wanita tempatan serta rampasan terhadap pelbagai alatan dan barang kes yang, dipercayai hasil dari kegiatan samun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, antara barangan yang dirampas adalah lapan telefon bimbit, dua bilah parang panjang anggaran 60 sentimeter, lima komputer riba, dua senjata menyerupai pistol dan lain-lain barangan berharga.

    “Turut dirampas adalah ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 32.4 gram dan pil disyaki dadah jenis Erimin 5 anggaran berat 0.7 gram.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan serta permohonan reman,” katanya. – Bernama

  • RM1.5 juta ‘terbang’ terpedaya skim pelaburan palsu

    RM1.5 juta ‘terbang’ terpedaya skim pelaburan palsu

    SEORANG lelaki kerugian RM1.5 juta, selepas terpedaya dengan pelaburan penanaman pokok yang akan membuahkan ‘X-Fruit’ seluas 30 hektar, yang dikatakan boleh diproses menghasilkan minyak untuk kegunaan sebagai bahan api kapal terbang.

    Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata, mangsa berusia 38 tahun itu telah dijanjikan akan memperolehi keuntungan tiga kali ganda daripada modal pelaburan, dalam jangka masa tiga tahun.

    “Mangsa telah bersetuju dan dapat mencari pelabur daripada Kemboja dengan wang pelaburan dikumpulkan sebanyak USD500,000, yang dimasukkan ke akaunnya, sebelum dipindahkan ke akaun bank suspek dengan tiga transaksi berjumlah RM1.5 juta,” katanya menambah kesemua transaksi dilakukan pada pertengahan tahun 2015.

    Ramli berkata selepas hampir tiga tahun, mangsa telah cuba bertanyakan tentang perkembangan pelaburan itu namun panggilan telefonnya disekat malah usaha mengesan suspek juga gagal.

    Mangsa yang berasa telah diperdaya dengan pelaburan tidak wujud itu telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Pada masa yang sama, polis mengingatkan orang ramai jangan terpedaya dengan pujuk rayu melalui media sosial berikutan pelaku jenayah menggunakan pelbagai muslihat untuk memperdaya mangsa. – Bernama

  • Ahli Parlimen Jelutong terlibat kemalangan

    Ahli Parlimen Jelutong terlibat kemalangan

    AHLI Parlimen Jelutong, RSN Rayer terlibat kemalangan jalan raya di Batang Kali ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Wakil rakyat daripada DAP itu kini dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan, lapor Sinar Harian.

    Insiden tersebut disahkan oleh pegawainya ketika dihubungi.

  • Siti Bainun menangis lihat anak jagaan di mahkamah

    Siti Bainun menangis lihat anak jagaan di mahkamah

    PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menangis ketika melihat enam anak jagaannya yang hadir dalam sesi pengecaman prosiding kes menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

    Sinar Harian melaporkan, tiga remaja termasuk Bella serta tiga kanak-kanak berusia empat dan tiga tahun hadir dalam sesi tersebut.

    Siti bainun mula tidak dapat menahan sebak apabila cuba mengintai anak-anak jagaannya kerana terhalang oleh tirai.

    Seorang daripada kanak-kanak itu juga dilihat cuba memegang tangan Siti Bainun namun terhalang oleh penghadang plastik yang menempatkan tertuduh.

    Ketika itu saksi pendakwaan kelapan, Pegawai Penyelidik Undang-undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam, 40, membuat pengecaman terhadap enam saksi termasuk Bella.

    Turut hadir dalam dalam sesi berkenaan ialah saksi terdahulu iaitu saksi pertama (SP1), rakan baik tertuduh, Zurianty Sudin, 39, dan SP5, bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, 19.

    Dalam prosiding ini, mahkamah mengambil maklum bahawa seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun, dikecualikan untuk sesi pengecaman.

    Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

    Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun.

    Prosiding di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung sebentar lagi.

  • Lapan individu bolos masuk di tebing Selat Tebrau

    Lapan individu bolos masuk di tebing Selat Tebrau

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS sedang mengesan lapan individu yang telah masuk negara ini secara haram di tebing Selat Tebrau berhampiran di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, video berkenaan kejadian itu sejak Khamis dan pihkanya kini sedang melakukan siasatan selain sudah mengambil tindakan sewajarnya.

    “Hasil siasatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian berhampiran BSI itu
    mendapati lima lelaki dan tiga perempuan memasuki sempadan negara secara haram.

    “Pihak polis telah mengambil tindakan awal dengan mendirikan kaopi dan menempatkan kawalan anggota 24 jam di kawasan kejadian.

    “Polis juga mengambil tindakan memasang kawad berduri di tepi pagar tebing Selat Tebrau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1969/63 dan sekiranya disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Jelasnya, mereka juga boleh dikenakan tidak melebihi lima sebatan atau kompaun sehingga RM3,000.

    “Individu yang terbabit diminta ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk diambil keterangan.

    “Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Nizam Ramon di talian 011-116086119,” katanya.

    Video tular berkenaan dirakam oleh netizen yang berulang-alik dari Johor ke Singapura, menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang khuatir dengan tahap keselamatan sempadan negara.

    Sementara itu, Menteri Besar Johor,
    Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut.

    “Perkara ini juga saya bincangkan dengan pihak Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan isu-isu di CIQ yang tidak berkesudahan.

    “Saya berharap pihak kementerian akan lebih serius menangani isu yang memberi kesan kepada imej negara dan negeri Johor,” katanya menerusi perkongsian dalam Facebook miliknya hari ini.