PENANG Front Party (PFP), sebuah parti politik yang berpangkalan di Pulau Pinang, merancang bertanding di sekurang-kurangnya 10 kerusi di negeri itu dan Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Datuk Patrick Ooi berkata, mengikut perancangan, mereka akan bertanding enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen di Pulau Pinang.

“Bagi kerusi DUN, kami mungkin bertanding di bahagian pulau di negeri ini (Pulau Pinang) manakala Parlimen pula masih belum ditetapkan lagi. Untuk Kedah pula dua kerusi Parlimen di Kulim dan Alor Setar.

“PFP ketika ini mempunyai kira-kira 5,000 ahli di seluruh negara dan kami harap akan mendapat sokongan kerana kami mahu memberi pembaharuan kepada rakyat di kawasan utara terutama di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang di George Town hari ini.

PFP ditubuhkan pada 2014 bagi menentang DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor dan PRU14 merupakan penampilan sulung parti itu dalam pilihan raya umum.

Pada PRU-14, PFP bertanding di 12 kerusi DUN dan satu kerusi parlimen di Pulau Pinang namun parti itu kalah di semua kerusi ditandingi malah turut hilang deposit.

Ooi berkata, pihaknya akan mengetengahkan barisan muka lama dan baharu dalam dunia politik sebagai pilihan kepada pengundi pada PRU-15 nanti.

Beliau berkata, PFP juga bersedia membuka ruang kerjasama bersama parti lain termasuk Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan.

“Kalau BN perlukan parti yang boleh diharap, PFP ada dan kami sentiasa bekerja membantu rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ooi menyerahkan beberapa dokumen dan video kepada SPRM bagi meminta agensi itu menyiasat seorang ahli perniagaan yang menggunakan media sosial Facebook dan mendedahkan projek diperolehnya daripada pihak kerajaan dipercayai mempunyai unsur rasuah.

”Ahli perniagaan itu mendakwa dia turut mendapat tender-tender daripada kerajaan dengan harga yang mahal, jadi kami meminta SPRM menyiasat dakwaan lelaki ini kerana bimbang ada unsur rasuah dan dakwaannya berniat memburuk-burukkan kerajaan,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here