PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menangis ketika melihat enam anak jagaannya yang hadir dalam sesi pengecaman prosiding kes menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Sinar Harian melaporkan, tiga remaja termasuk Bella serta tiga kanak-kanak berusia empat dan tiga tahun hadir dalam sesi tersebut.

Siti bainun mula tidak dapat menahan sebak apabila cuba mengintai anak-anak jagaannya kerana terhalang oleh tirai.

Seorang daripada kanak-kanak itu juga dilihat cuba memegang tangan Siti Bainun namun terhalang oleh penghadang plastik yang menempatkan tertuduh.

Ketika itu saksi pendakwaan kelapan, Pegawai Penyelidik Undang-undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam, 40, membuat pengecaman terhadap enam saksi termasuk Bella.

Turut hadir dalam dalam sesi berkenaan ialah saksi terdahulu iaitu saksi pertama (SP1), rakan baik tertuduh, Zurianty Sudin, 39, dan SP5, bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, 19.

Dalam prosiding ini, mahkamah mengambil maklum bahawa seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun, dikecualikan untuk sesi pengecaman.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun.

Prosiding di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung sebentar lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here