Category: Semasa

  • 34 motosikal musnah terbakar dipercayai akibat khianat

    34 motosikal musnah terbakar dipercayai akibat khianat

    PIHAK polis sedang melakukan siasatan berhubung satu kes kebakaran dipercayai mempunyai unsur khianat yang memusnahkan 34 buah motosikal di kawasan parkir di Blok G, Projek Perumahan Rakyat Kampung Muhibbah, Bukit Jalil hari ini.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

    “Kita sedang mengesan suspek yang melakukan perbuatan khianat ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu, lapor Sinar Harian.

    Muhammad Idzam berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada pukul 2.21 pagi daripada seorang wanita tempatan memaklumkan berlaku kebakaran membabitkan motosikal.

    “Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat. PIhak polis dengan bantuan Forensik Bomba dari Balai Bomba Sri Rampai telah menjalankan siasatan di tempat kejadian untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut,” katanya.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden kebakaran itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Firdaus Eber ditalian 014-364 9458, Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

  • Tiada peruntukan KPM diguna untuk biaya majlis PIBG di Tanah Merah

    Tiada peruntukan KPM diguna untuk biaya majlis PIBG di Tanah Merah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) hari ini menafikan dakwaan dana yang diperuntukan kerajaan kepada KPM digunakan untuk membiayai majlis perasmian Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah di Tanah Merah, Kelantan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali dan sebaliknya sumbangan serta perbelanjaan bagi program berkenaan dibiayai Ahli Parlimen Tanah Merah.

    “Untuk makluman semua, semakan kementerian mendapati tiada sesen pun peruntukan Kementerian Pendidikan sama ada di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau sekolah digunakan untuk membiayai majlis perasmian PIBG di sekolah-sekolah di Tanah Merah,” katanya dalam kenyataan ringkas menerusi Facebook miliknya, hari ini.

    Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Facebooknya mendakwa sekolah-sekolah di Malaysia sudah kaya raya.

    Dakwanya, setiap kali diadakan mesyuarat PIBG, sekolah akan hidangkan 100 ekor kambing golek serta membuat cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah Perodua Axia, lima buah motosikal, 10 ekor lembu, 10 televisyem, 20 telefon bimbit dan 200 hamper.

    “Jangan buat di Tanah Merah. Buatlah juga di semua sekolah di kebangsaan dalam negara. Ini baru adil,” katanya Najib dalam entrinya itu.

  • Pegawai penyelidik Exco beri keterangan untuk siasatan kes cabul

    Pegawai penyelidik Exco beri keterangan untuk siasatan kes cabul

    PEGAWAI penyelidik kepada Exco kerajaan Negeri Sembilan, Ahmad Shukri Kamarudin dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencabul seorang wanita di sebuah hotel di Negeri Sembilan.

    Menurut beliau, dakwaan yang dilemparkan kepadanya adalah bersifat dendam dan bermotifkan politik.

    “Saya mengesahkan bahawa saya dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan oleh pihak polis pada 4 Julai lalu.

    “Saya memberi kerjasama yang penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia supaya proses siasatan ini dapat dibuat secara telus,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Ahmad Shukri berkata, beliau bersama-sama pasukan peguamnya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

    Beliau sedang mempertimbangkan tindakan mengikut lunas undang-undang bagi membersihkan namanya.

    Media pada Isnin melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian cabul yang dikatakan melibatkan seorang pegawai kepada exco kerajaan Negeri Sembilan di sebuah hotel di Negeri Sembilan.

    Suspek yang merupakan lelaki berusia 30-an itu dikatakan melakukan perbuatan tersebut pada 30 Mac dan 26 April lalu.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis menerima laporan daripada mangsa pada Ahad lalu.

    “Siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk menggunakan khidmat forensik, mengambil keterangan daripada saksi-saksi yang boleh membantu siasatan seterusnya mengesan suspek.

    “Semua pihak diharap tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

  • Rampas minyak masak paket bersubsidi RM1.5 juta di empat negeri

    Rampas minyak masak paket bersubsidi RM1.5 juta di empat negeri

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas minyak masak paket bersubsidi bernilai RM1.5 juta yang cuba diseludup ke negara jiran bagi tempoh Januari lalu hingga semalam.

    Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, rampasan berkenaan membabitkan 61 kes di Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan.

    “Disebabkan itu, kita memperhebatkan penguatkuasaan dan memang ada berlaku kes di sempadan iaitu Sabah, Sarawak sebab dua negeri ini ada sempadan yang panjang dengan jiran kita.

    “Juga di sempadan Kelantan dan Kedah, jadi empat negeri ini ada berlaku penyeludupan (minyak masak paket bersubsidi),” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Carsome Certified Lab, Bandar Bukit Raja, hari ini, lapor Berita Harian.

    Alexander berkata, penguatkuasaan membabitkan minyak masak paket bersubsidi itu sentiasa bergerak dan berterusan sehingga membolehkan pihaknya berjaya mengesan kesalahan itu dan membuat tangkapan seterusnya dikompaun.

    Katanya, KPDNHEP sedang merangka beberapa strategi membabitkan penguatkuasaan dan pemantauan dengan mesyuarat jawatankuasa itu masih berjalan.

    “Kita ada Ops Samar, yang mana penguat kuasa kita tidak memakai uniform, sebaliknya memakai pakaian biasa untuk masuk ke mana-mana tempat bagi memastikan kejadian itu berlaku atau tidak.

    “Kita juga tubuhkan jawatankuasa seperti diumumkan oleh saya dan Perdana Menteri, yang mana agensi penguat kuasa lain akan membantu KPDNHEP seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguat kuasa lain.

    “Kalau di sempadan perairan, kami tidak ada aset yang diperlukan seperti bot, jadi kami juga memerlukan daripada tentera laut, polis marin, kastam dan lain-lain.

    “Ini untuk kami bentuk pasukan lebih mantap dan kukuh,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Dalam pada itu katanya, KPDNHEP terbuka jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjalankan siasatan jika berlaku ketirisan dalam isu berkenaan.

    “Itu bergantung kepada SPRM (siasatan jika berlaku ketirisan), kita tidak kawal mereka.

    “Kalau mereka terima aduan dan hendak siasat, itu terpulang. KPDNHEP tidak ada larangan, tidak ada masalah dengan itu,” katanya.

    Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan melakukan pengauditan dan pemutihan komprehensif membabitkan 22 pengeluar serta 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket di seluruh negara.

    Beliau turut mengarahkan penguat kuasa seperti KPDNHEP, PDRM dan ATM menggempur daripada peringkat kilang pembungkusan hingga ke sempadan negara bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku.

  • Kes rasuah Ahmad Zahid: Hakim akan lawat dua banglo di Country Heights, Kajang

    Kes rasuah Ahmad Zahid: Hakim akan lawat dua banglo di Country Heights, Kajang

    HAKIM Mahkamah Tinggi  yang mendengar perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan melawat dua unit banglo di Country Heights, Kajang yang didakwa dibeli menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB) untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran bagi golongan yang akan bersara dan pelajar tahfiz.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata beliau bersetuju dengan permintaan pihak pembelaan untuk melawat banglo berkenaan demi keadilan dalam perbicaraan kes bekas timbalan perdana menteri itu.

    “Saya fikir demi kepentingan keadilan, saya bersetuju dengan permintaan untuk lawatan tapak, tapi kita boleh tetapkan lain kali. Kita boleh tetapkan tarikh kemudian,” katanya dalam prosiding bela diri Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

    Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata pihaknya menjemput Hakim Sequerah untuk melawat dua banglo berkenaan bagi memberikan gambaran yang jelas kerana pembelian banglo itu terdapat dalam satu daripada 27 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi anak guamnya dan sering diperkatakan dalam perbicaraan.

    Menurut Hisyam, lawatan tersebut dapat memperlihatkan keadaan terkini banglo berkenaan termasuk lokasinya serta jarak banglo itu dengan Surau An-Nur di Country Heights.

    Hakim Sequerah bertanyakan kepada pihak pendakwaan, adakah mereka ingin membantah mengenai lawatan itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata tiada keperluan untuk pihaknya melawat dua banglo tersebut kerana gambar yang menunjukkan keadaan banglo boleh dikemukakan di mahkamah.

    “Jika Yang Arif cenderung untuk pergi melawat, mungkin kita boleh ambil hari lain, bukan kali ini, tidak bertembung (tarikh perbicaraan),” katanya.

    Sebelum itu, Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa dua banglo berkenaan paling dekat dengan Surau An-Nur di Country Heights dan jauh dari kediamannya yang juga terletak di kawasan berkenaan (Country Heights).

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong berkenaan jarak antara dua banglo berkenaan dengan kediaman Ahmad Zahid.

    Harris Ong: Setuju dengan saya, Datuk Seri nak solat jemaah boleh ke Surau An-Nur Country Heights?

    Ahmad Zahid: Saya memberitahu tanpa rasa riak, sombong, bahawa saya adalah pengerusi surau itu (Surau An-Nur). Ikut kesempatan boleh solat di sana atau surau lain dan rumah saya pun ada surau.

    Mengenai pembelian dua banglo di Country Heights bernilai RM5.9 juta, Ahmad Zahid berkata beliau menyatakan secara terus kepada peguam di Tetuan Lewis & Co iaitu B. Muralidharan tentang pembelian banglo tersebut.

    “Saya tidak pasti siapa yang menyediakan cek pembelian banglo itu yang ia boleh diuruskan sendiri oleh Muralidharan, pegawai akaun atau kerani firma itu,” katanya.

    Kepada soalan Harris Ong, daripada mana Ahmad Zahid memperoleh nilai banglo itu, Ahmad Zahid menjawab: “Laporan penilaian. Banglo itu dibeli di bawah harga pasaran yang bertujuan untuk kebajikan dan perkembangan ilmu, selaras dengan kehendak Yayasan Akalbudi”.

    Sementara itu, Ahmad Zahid berkata tiada surat rasmi dalam melantik Lewis & Co sebagai pemegang amanah dana Yayasan Akalbudi, sebaliknya pelantikan itu atas dasar persefahaman dan kepercayaan terhadap firma guaman berkenaan.

    “Pelantikan itu (Lewis & Co) selepas saya hilang kepercayaan kepada Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly (bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid) ketika itu, kerana terlalu cuai dan membuat kesilapan berulang kali dalam pengendalian akaun Yayasan Akalbudi,” tegasnya.

    Harris Ong: Setuju dengan saya bahawa surat pelantikan perlu dibuat bagi memastikan perkara sama (kecuaian) tidak berulang?

    Ahmad Zahid: Tiada surat rasmi. Saya kenal Muralidharan begitu lama, saya percaya beliau, selain mendapatkan nasihat rakan Muralidharan serta bekas peguam. Setakat ini tiada kecuaian yang dilakukan oleh firma itu dalam mengendalikan dana YAB.

    Ahmad Zahid berkata surat pelantikan tersebut tidak penting jika ada persefahaman dan persetujuan dan beliau tidak diminta oleh Muralidharan dan rakan kongsi untuk membuat surat berkenaan.

    Harris Ong: Atas alasan itu, Datuk Seri boleh mengambil kesempatan untuk memanipulasi firma itu untuk kepentingan sendiri?

    Ahmad Zahid: Tiada niat, apatah lagi berbuat demikian.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung.

    — BERNAMA

  • Sindiket pernikahan ‘Ustaz Zul’ tumpas

    Sindiket pernikahan ‘Ustaz Zul’ tumpas

    JABATAN Agama Islam Perak (JAIPk) menumpaskan sindiket nikah tanpa tauliah yang menggunakan surat nikah Thailand disyaki palsu di kawasan Chepor, Ipoh, Perak baru-baru ini.

    Serbuan kira-kira pukul 9.30 malam yang dilakukan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah itu membawa kepada penahanan lelaki dikenali ‘Ustaz Zul’ berusia 50 tahun.

    Menurut Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin, hasil serbuan pihaknya telah menahan 16 individu termasuk isteri dan anak kepada lelaki terbabit yang mendakwa dirinya sebagai jurunikah yang mempunyai tauliah.

    “‘Ustaz Zul’ ditahan ketika sedang menikahkan sepasang pengantin yang berasal dari Klebang di sini.

    “Pernikahan tersebut yang dibuat tanpa melalui prosedur yang betul kerana ingin mengelak daripada pengetahuan isteri pertama,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu, lapor Astro Awani.

    Tambah Mohd. Yusop, sebanyak 15 keping surat nikah Thailand atas nama pelbagai pasangan juga telah dirampas hasil serbuan berkenaan.

    “Siasatan awal mendapati sindiket itu mengenakan bayaran antara RM4,500 hingga RM6,000 untuk menguruskan pernikahan secara rahsia dan menggunakan surat nikah Thailand untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 40 Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 atas kesalahan akad nikah tanpa kebenaran yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara.

    “Tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dan akan dibawa ke muka pengadilan.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan pernikahan sindiket yang kononnya sebagai jalan mudah untuk mendapatkan pernikahan terutamanya secara poligami,” katanya.

    Jelasnya, kesan terhadap jalan ringkas yang diambil itu bukan sahaja pada kerugian wang, tetapi ia turut merosakkan nasab keturunan.

  • 90 rakyat Malaysia jadi agen sindiket penipuan dalam talian di Kemboja

    90 rakyat Malaysia jadi agen sindiket penipuan dalam talian di Kemboja

    SEORANG lelaki berusia 25 tahun ditipu sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja yang kononnya memberikan gaji lumayan.

    Bapa mangsa dikenali sebagai Christopher, 56, berkata, anaknya kini berada di negara itu dan bimbang dengan keselamatannya serta berharap mangsa dapat kembali ke tanah air.

    “Anak saya ke luar negara pada 7 Mei lalu, beberapa hari kemudian saya menerima panggilan daripadanya memaklumkan dia telah ditipu sindiket dan dipaksa bekerja di Kemboja.

    “Selepas seminggu, sindiket itu menghubungi dan meminta wang sebanyak RM100,000 untuk membebaskan anak saya,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Christopher, dia telah meminta bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang bagi membolehkan anaknya dapat pulang ke tanah air.

    Sementara itu Chon Siang berkata, beliau berjaya menghubungi pihak berkuasa di Kemboja untuk membantu menyelamatkan mangsa.

    “Mangsa kini ditempatkan di depoh Imigresen Kemboja kerana masuk ke negara itu secara haram,” katanya.

    Chon Siang menambah, pihaknya menjangkakan mangsa akan pulang dalam tempoh tiga bulan setelah semua urusan termasuk imigresen selesai.

    “Saya juga telah pergi ke Kemboja pada minggu lalu dan berjaya menemui mangsa. Saya berterima kasih atas bantuan daripada pihak berkuasa Kemboja serta Kedutaan Malaysia di negara itu,” ujarnya.

    Beliau memberitahu, berdasarkan maklumat diterima, pada masa ini dianggarkan hampir 90 rakyat Malaysia berada di Kemboja dan dikerah untuk menjadi agen sindiket penipuan dalam talian.

    Katanya, mangsa disyaki akan diseksa dengan renjatan elektrik sekiranya gagal mencapai sasaran sindiket.

  • Kelantan sumbang RM50,000 bantu mangsa banjir di Kedah

    Kelantan sumbang RM50,000 bantu mangsa banjir di Kedah

    KERAJAAN Kelantan menyalurkan bantuan berjumlah RM50,000 kepada Kerajaan Kedah melalui sumbangan Tabung Serambi Mekah bagi membantu penduduk yang terkesan dengan banjir di kawasan Baling.

    Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sumbangan tersebut merupakan tanda solidariti dan kebersamaan antara dua kerajaan negeri.

    “Kami (kerajaan Kelantan) merakamkan ucapan takziah kepada mangsa bencana banjir di Kedah yang menyebabkan kehilangan jiwa dan kemusnahan harta benda.

    “Semoga usaha-usaha pasukan keselamatan dan sukarelawan dipermudahkan oleh Allah SWT bagi melancarkan operasi pemulihan pasca bencana,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu Kelantan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Semalam media melaporkan seramai 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di Baling dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran banjir melanda kawasan berkenaan.

    Dalam kejadian itu, tiga sekeluarga ditemui maut dalam tragedi banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang, Baling.

    Ketiga-tiga jenazah, Salmah Mat Akib, 54, menantunya Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang hamil empat bulan dan anaknya Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charuk Bemban, pada awal pagi ini

  • Netizen kecam sekolah jemput Haqiem Stopa

    Netizen kecam sekolah jemput Haqiem Stopa

    NETIZEN mempersoalkan kewajaran sebuah sekolah di Kuala Lumpur, menjemput personaliti media sosial, Haqiem Stopa untuk memberi motivasi kepada para pelajar di sekolah tersebut.

    Persoalan itu timbul selepas Haqiem Stopa memuatnaik sebuah video pada Selasa di aplikasi TikTok, berkenaan program berkenaan yang dikatakan berlaku di salah sebuah sekolah di Sungai Besi Kuala Lumpur.

    Daripada video itu dapat dilihat kehadiran Haqiem Stopa disambut oleh guru sebelum dibawa ke dewan yang dipenuhi pelajar. 

    Menjengah di ruangan komen, lebih 80 peratus daripada hampir 6,000 komen di video tersebut mempersoalkan kewajaran tindakan sekolah berkenaan.

    Netizen berpendapat tindakan sekolah tersebut kurang bijak dan tersilap memilih personaliti untuk membuat sesi motivasi di sekolah berkenaan.

    Netizen turut berpendapat individu seperti itu tidak sepatutnya diberikan tempat dan dijadikan contoh kepada remaja bimbang mendatangkan pemahaman negatif dalam pemikiran mereka.

    “Siapa pengetua, cikgu sekolah ni? Banyak soalan nak tanya dekat cikgu-cikgu ni,” soal Insan Kerdil.

    “Pelik-pelik la, nanti semua ikut merempit,” kata Aadham Zaini.

    “Mungkin nak jemput pakar motivasi tak ada modal, ambilla yang tak seberapa nak pakar,” kata Mrfximxn.

    “Berlumpa di highway adakah patut jadi ikon di sekolah?,” soal Templer54.

    “Harap Kementerian Pelajaran Malaysia dapat beri penjelasan kenapa ikon yang macam ni dijemput, walhal tiada langsung sumbangan dan benda yang dia sumbangkan pada negara dan yang dapat dicontohi oleh pelajar,” kata Azri Hamdan.

    “Sekolah apa yang buat benda macam ni? Macam mana boleh pengetua lepaskan benda macam ni jadi dekat sekolah? Buat malu!” tegas Hanis Hadi.

    “Kesian pelajar-pelajar sekolah dapat pengurusan sekolah yang macam ni,” kata Farah Anis.

    “Nak hantar anak pergi sekolah pun dah tiada fungsi sekarang. Tenat sangat dah,” kata Mohd. Fawzan Kamarudin.

    Sebelum ini Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, turut dikecam netizen dan warta dunia permotoran negara ekoran tindakannya melabelkan Haqiem Stopa sebagai ikon permotoran negara.

  • SPRM serbu syarikat ambil pekerja Bangladesh milik ‘Datuk Seri’

    SPRM serbu syarikat ambil pekerja Bangladesh milik ‘Datuk Seri’

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa syarikat milik seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk Seri” yang terbabit dalam pengambilan pekerja asing dari Bangladesh.

    Portal Berita FMT memetik sumber memberitahu, serbuan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, serta syarikat berkenaan terbabit dalam membangunkan satu sistem pengurusan pendaftaran pekerja asing.

    Tiada tangkapan dibuat setakat ini, tetapi sumber tidak menolak kemungkinan beberapa individu akan ditahan bagi membantu siasatan.

    Sumber itu berkata, Putrajaya pada 2015 bersetuju menggunakan sistem berpusat yang dibangunkan syarikat terbabit dan ini membabitkan memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa negara, termasuk Bangladesh.

    Katanya, ahli perniagaan itu dipercayai mengawal majoriti 25 agensi Bangladesh yang baru-baru ini dipilih untuk pengambilan pekerja asing di sana.

    “Kebanyakan pekerja asing yang ingin bekerja dikenakan bayaran terlalu tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Isu ini telah dibangkitkan beberapa NGO dan ahli politik yang tidak puas hati dengan kegiatan monopoli suspek terbabit.

    “Dengan hanya mengehadkan 25 syarikat, maka ia menutup peluang syarikat-syarikat lain untuk berniaga. SPRM telah menerima beberapa aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa daripada beberapa NGO berkaitan,’’ kata sumber itu.

    Sumber itu berkata, siasatan SPRM akan memfokuskan rasuah serta penyalahgunaan kuasa, dan akan membabitkan dua kementerian terlibat dalam pengambilan pekerja asing.

    Terdahulu, The Business Post di Bangladesh melaporkan SPRM menyerbu pejabat salah sebuah syarikat itu dan menahan beberapa pegawai.

    Menurut laporan itu, pegawai SPRM ke Suruhanjaya Tinggi Bangladesh semalam untuk menyiasat peranannya dalam pemilihan 25 agensi yang dibenarkan mengambil pekerja asing.