Category: Semasa

  • Perkeso gantung RM423 juta bayaran PenjanaKerjaya

    Perkeso gantung RM423 juta bayaran PenjanaKerjaya

    PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menggantung bayaran Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) sebanyak RM423 juta susulan terdapat penyelewengan dan tuntutan palsu membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan.

    Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tindakan penggantungan bayaran dibuat berdasarkan analisis data dan pemantauan berterusan oleh Bahagian AntiFraud, Etika & Integriti agensi itu.

    Katanya, siasatan berhubung kes tuntutan palsu PenjanaKerjaya itu dibuat melalui Ops Hire, yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula Rabu lepas, setelah pemantauan dan risikan sejak Mei mendapati ada majikan mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana PenjanaKerjaya.

    “Perkeso amat menekankan nilai integriti, kejujuran dan amanah dalam pengagihan bantuan kewangan kerajaan kerana ia melibatkan dana awam.

    “Perkeso mengingatkan para majikan supaya jujur dan dan berintegriti dalam mengemukakan permohonan untuk apa-apa program bantuan kerajaan termasuk PenjanaKerjaya yang dilaksanakan oleh agensi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohammed Azman berkata, majikan yang telah menyalah guna dana program berkenaan atau telah mengemukakan permohanan tanpa mengikut syarat yang ditetapkan, diminta membuat bayaran balik secara sukarela atau berhubung dengan pihaknya sebelum sebarang tindakan diambil.

    “Perkeso memandang serius isu penyelewengan ini kerana bantuan kewangan kerajaan bertujuan untuk meringankan beban pihak yang layak serta benar-benar memerlukan, mengikut syarat dan kaedah yang ditetapkan,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan Perkeso telah membuat bayaran sebanyak RM1.72 bilion kepada 45,379 majikan bagi menempatkan 327,789 pencari kerja ke dalam pekerjaan melalui PenjanaKerjaya sehingga kini. – BERNAMA

  • Beli barang lain lebih RM10 baru boleh beli minyak peket 1kg

    Beli barang lain lebih RM10 baru boleh beli minyak peket 1kg

    SEORANG peniaga kedai runcit di Jalan Pesara Claimant, Georgetown disiasat Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPNDHEP) Pulau Pinang selepas didapati mengenakan pembelian bersyarat bagi minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) di kedainya.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPNDHEP Pulau Pinang, A Mogan berkata, peniaga itu didapati hanya menjual minyak masak peket bersubsidi itu sekiranya pelanggan membeli barangan lain bernilai lebih RM10 di kedai runcitnya.

    Menurut beliau, pihaknya menyerbu kedai runcit itu pukul 11 pagi semalam hasil aduan orang ramai dan risikan yang dijalankan penguat kuasa agensi berkenaan sejak beberapa hari lalu.

    ”Kami berjaya menumpaskan kegiatan seorang peniaga yang didapati mengenakan pembelian bersyarat tanpa kebenaran pengawal bekalan terhadap minyak masak peket sekilogram dalam menjalankan perniagaan.

    “Lelaki tempatan berusia 37 itu didapati mengenakan pembelian bersyarat kepada pelanggan yang mana pelanggan perlu membeli barangan melebihi RM10 ke atas sebelum layak membeli dua peket minyak masak bersubsidi, ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya, kes itu disiasat menurut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihaknya akan terus giat menjalankan pemantauan serta pemeriksaan terhadap bekalan minyak masak dan barangan di sekitar Pulau Pinang.

    Tambah beliau, pihaknya turut menyita sebanyak 187 minyak masak paket  bersubsidi bernilai RM467.50 dalam serbuan itu dan lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

  • Sanusi mohon maaf kepada penduduk terkesan tragedi banjir di Baling

    Sanusi mohon maaf kepada penduduk terkesan tragedi banjir di Baling

    MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini secara terbuka memohon maaf kepada semua penduduk yang terjejas akibat tragedi banjir dan kepala air yang berlaku di Kupang, di sini 4 Julai lepas.

    Beliau berkata permohonan maaf itu dibuat atas sifat kemanusiaan serta rasa tanggungjawab yang dipikulnya sebagai ketua kerajaan berhubung kejadian yang turut mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang ibu yang hamil empat bulan.

    Katanya, permohonan maaf itu juga adalah mewakili kerajaan negeri semasa serta pentadbiran sebelum ini sekiranya wujud kesilapan secara tidak langsung yang dikatakan menjadi sebab kepada tragedi yang berlaku pada minggu lepas.

    “Sebagai manusia, atas sifat kemanusiaan…bagi pihak kerajaan negeri sekarang ini, saya mohon maaf kepada semua penduduk yang terjejas.

    Tiada siapa berniat untuk mendatangkan bencana kepada sesiapapun tetapi kesannya di luar jangkaan… takkan nak berkeras sampai bila-bila, orang sudah hadapi bencana walaupun pada pandangan kita, kita dah ambil keputusan yang terbaik,” katanya dalam sidang media di Baling  hari ini.

    Terdahulu beliau menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Sewa Rumah kepada 17 mangsa banjir yang kehilangan rumah akibat bencana banjir dan kepala air di Pejabat Daerah Baling.

    Muhammad Sanusi berkata, permohonan maaf itu bukanlah bermaksud beliau mengakui keseluruhan kesilapan berpunca daripada kerajaan negeri semasa, sebaliknya ia dibuat atas rasa tanggungjawab terhadap rakyat negeri ini.

    “Tidak bermaksud saya mengakui kesilapan secara keseluruhannya, tidak ada siapa yang minta bencana ini terjadi, termasuklah tragedi yang berlaku di Gunung Jerai, Yan tahun lalu…bagi pihak kerajaan negeri, kita minta maaf kerana sebagai kerajaan kita patut melindungi rakyat.

    Kita tak dapat jangka perkara itu akan berlaku…saya tidak fikir siapa yang salah, cuma sebagai manusia setinggi manapun kedudukan dan pangkat kita, kita sangat kerdil sebagai makhluk dan sangat terbatas, atas kelemahan-kelemahan sebagai manusia, kita minta maaf tak dapat melindungi rakyat sepenuhnya,” katanya.

    Terdahulu, pada majlis itu kesemua 17 keluarga yang rumah mereka musnah dalam tragedi berkenaan, masing-masing menerima wang ihsan tunai RM3,000 sebagai bantuan sewa rumah dan utiliti untuk tempoh enam bulan.

    — BERNAMA

  • 37 individu ditahan bantu siasatan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerja

    37 individu ditahan bantu siasatan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerja

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman 37 individu bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya melibatkan RM100 juta.

    Semua suspek membabitkan 26 lelaki dan 11 wanita direman secara berasingan di Mahkamah Majistret Putrajaya, Selangor, Johor, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

    Di Putrajaya, seramai 11 individu direman selama empat hari mulai hari ini sehingga 17 Jul. Di Selangor pula, permohonan reman selama tiga hari dibenarkan terhadap lima individu mulai hari ini sehingga 16 Jul 2022, lapor portal FMT.

    Sementara di Johor, perintah reman selama tujuh hari terhadap seorang suspek dan enam hari terhadap dua suspek dibenarkan, mulai hari ini, sehingga 19 dan 20 Jul.

    Bagi penahanan di Kedah, Pahang dan Perak pula, perintah reman selama tujuh hari sehingga 20 Jul dibenarkan terhadap seorang individu di Kedah dan masing-masing dua orang individu di Pahang dan Perak.

    Di Pulau Pinang, perintah reman selama enam hari dibenarkan terhadap dua suspek mulai hari ini sehingga 19 Jul.

    Penjana Kerjaya berperanan sebagai program insentif pengambilan pekerja dan latihan, dilaksanakan sejak 2020 untuk golongan perantis, mereka yang berumur bawah 40 tahun serta mereka dalam segmen 40 tahun dan ke atas.

    Dalam pada itu, perintah reman selama lima hari dikeluarkan terhadap dua individu masing-masing di Melaka dan Perlis, tiga individu di Kuala Lumpur dan empat individu di Negeri Sembilan, mulai hari ini, sehingga 18 Jul.

    Semua suspek berusia antara 28 hingga 70 tahun terdiri daripada pemilik, pengarah, pengurus dan pemilik saham syarikat serta jurutera dan kakitangan eksekutif tersebut ditahan dalam Op Hire yang dilancarkan di seluruh negara semalam dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

    Setakat ini, operasi dijalankan itu melibatkan 66 syarikat dengan nilai akaun dibekukan melebihi RM7 juta daripada 36 akaun.

    Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim turut mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Katanya, beberapa tangkapan akan dibuat lagi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes sama.

  • 11 individu ditahan, 141.4kg dadah bernilai RM8.07 juta dirampas

    11 individu ditahan, 141.4kg dadah bernilai RM8.07 juta dirampas

    SATU  sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah tumpas apabila polis menahan 11 individu dan merampas 141.4 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM8.07 juta di sekitar Lembah Klang, pada Jumaat lepas.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata kesemua mereka berusia 22 hingga 38 tahun yang ditahan dalam lima serbuan itu terdiri daripada sembilan lelaki tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga asing.

    Beliau berkata dadah yang dirampas melibatkan 106.3kg ketamin, 18.6kg pil eramin 5 dan 16.5kg pil ekstasi dan dipercayai boleh digunakan oleh seramai 502,257 penagih dadah.

    “Sindiket ini mula aktif sejak Februari lepas. Modus operandi mereka adalah menjadikan premis kediaman sebagai tempat memproses dan stor simpanan dadah, sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan terutama di sekitar Lembah Klang.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek direman tujuh hari bermula 9 Julai. Dua daripada mereka mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah dan jenayah yang disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata tindakan juga diambil di bawah ADB (pelucuthakan harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM582,331 yang terdiri daripada lapan kenderaan bernilai RM522,800, wang tunai berjumlah RM20,330 dan barang kemas bernilai RM39,201.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM8.65 juta. Dengan operasi ini, PDRM telah menumpaskan satu sindiket memproses serta mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki ahli sindiket,” katanya.

    Beliau berkata PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah dan berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah yang berlaku melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222.

    — BERNAMA

  • Pengasas Kelab Komedi Crackhouse ditahan

    Pengasas Kelab Komedi Crackhouse ditahan

    POLIS  menahan pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse, Rizal van Geyzel berhubung insiden seorang wanita menghina agama Islam dalam satu persembahan komediri di kelab itu, baru-baru ini, tengah hari tadi.

    Sumber memaklumkan, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi di sebuah lokasi di ibu negara dan akan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.

    Difahamkan, lelaki berkenaan akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman oleh pihak polis pagi esok.

    “Tangkapan dan siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” kata sumber.

    Difahamkan, penahanan ke atas lelaki itu dilakukan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.

    Sementara itu, pihak Bukit Aman dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan dalam masa terdekat.

    Semalam, Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dilaporkan berkata operasi kelab komedi terletak di Taman Tun Dr Ismail itu digantung sementara kerana didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

    Katanya, pemilik premis berkenaan hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras, tetapi tiada lesen hiburan.

    Dalam pada itu, Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam Pulau Pinang (GNIPP) semalam, membuat laporan polis terhadap pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse dan meminta pihak berkuasa menyiasat sama ada wujud unsur penyebaran dakyah liberalisme di kelab itu selama ini.

    Laporan polis turut dibuat oleh Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) bersama lebih 50 badan bukan kerajaan (NGO) terhadap lelaki terbabit dan kelab komedinya atas dakwaan menghina agama Islam dan orang Melayu dalam persembahannya.

  • Pelawak wanita hina Islam akan didakwa di Mahkamah Syariah

    Pelawak wanita hina Islam akan didakwa di Mahkamah Syariah

    SEORANG wanita yang membuat persembahan menghina agama Islam di sebuah kelab komedi pada minggu lalu, Siti Nuramira Abdullah, 26, akan didakwa di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary mengesahkan perkara itu dan memaklumkan Siti Nuramira akan didakwa di bawah Seksyen 7 (Menghina atau menyebabkan dipandang hina dalam agama Islam) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559).

    “Untuk makluman, Siti Nuramira Abdullah (Amy) akan didakwa di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur dan pendakwaan di mahkamah syariah akan dibuat dalam masa terdekat.

    “Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan menghina agama yang akan menggugat keharmonian dan perpaduan kaum. Tindakan akan diambil berasaskan undang-undang sedia ada,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Semalam, Siti Nuramira telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam.

    Mengikut pertuduhan, Siti Nuramira didakwa mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran kemudian membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas di Restoran Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Brickfields pada 4 Jun lalu, pukul 6 petang.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu perbuatan berkenaan boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan agama, di antara orang yang menganut agama sama.

    Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

  • Rampas arak tidak bercukai di persisir pantai

    Rampas arak tidak bercukai di persisir pantai

    SEORANG lelaki tempatan ditahan bersama 327.24 liter minuman keras tidak bercukai di kawasan pesisir pantai Tanjung Kupang, Iskandar Puteri pada pukul 1 tengah hari semalam

    Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan semasa anggotanya membuat pemantauan di kawasan itu selepas mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan

    “Setelah ditahan dan diperiksa dijumpai pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak bercukai kastam di bahagian tempat duduk belakang dan but belakang kenderaan. Anggaran nilai keseluruhan rampasan arak dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM131,728,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, penyeludupan minuman keras sekiranya tidak dibanteras boleh mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dengan ketirisan nilai cukai yang besar.

    “Masyarakat diminta segera menghubungi dan berkerjasama dengan pihak berkuasa dalam menangani isu-isu penyeludupan. Penyeludup adalah musuh negara. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pasukan Polis Marin Wilayah Dua di talian 07-2372221,” katanya.

  • Mayat kanak-kanak ditemukan dipercayai dibaham buaya

    Mayat kanak-kanak ditemukan dipercayai dibaham buaya

    SEORANG budak lelaki yang dilaporkan hilang di sungai pada Selasa lalu ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat dibaham buaya di Kampung Batu Putih, di Kinabatangan, hari ini.

    Kanak-kanak berkenaan yang berusia lapan tahun ditemukan pada pukul 1.50 petang dalam keadaan anggota badannya tidak sempurna kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga dimulakan pada pukul 7.40 pagi.

    “Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan separuh badannya tiada iaitu kedua belah tangan, kaki kiri dan kepala berkemungkinan dibaham buaya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Operasi SAR kemudian ditamatkan pada pukul 2.05 petang,” katanya.

    Media pada Selasa lalu melaporkan mangsa dikhuatiri lemas selepas mandi di sungai berkenaan.

  • ‘’Kalau ada undilah apa hal, saya tak takut’ – Sulaiman

    ‘’Kalau ada undilah apa hal, saya tak takut’ – Sulaiman

    KETUA  Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, beliau bersedia menghadapi apa juga kemungkinan berikutan terdapat ura-ura beliau akan wujud undi tidak percaya pada sidang Dewan Undangan Negeri bulan ini.

    Bercakap kepada wartawan di Melaka, Sulaiman berkata,  angin politik yang sengaja ditiupkan dengan spekulasi seumpama itu merupakan suatu perkara biasa dan mencabar mana-mana wakil rakyat untuk mengemukakan usul berkenaan.

    “Spekulasi itu perkara biasa, saya tidak mahu komen (kerana) pada saya tidak ada apa yang berlaku pun.

    I want to see, is it happen or not (Saya nak tengok, perkara itu berlaku ataupun tidak), kalau ada undilah apa ada hal, saya tak takut apa-apa,” katanya ringkas.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Ketua Menteri Melaka 2022-2025 dan Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam negeri Melaka tahun 2022 di Bandar Hilir.

    Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu turut mempersoalkan bagaimana spekulasi berkenaan boleh timbul sedangkan pentadbirannya berada dalam keadaan aman.

    “Saya tidak tahu dari mana perkara ini datang dan mungkin ada orang tak suka melihat kita berada dalam keadaan aman dan tenteram,” tambahnya.

    Sebelum ini angin politik Melaka bertiup kencang kononnya Sulaiman bakal berdepan undi tidak percaya dalam persidangan DUN yang akan bersidang mulai 25 Julai ini.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut dilaporkan memberi jaminan tidak akan ada sebarang tindakan mengkhianati mandat rakyat seperti didakwa.

    Beliau berkata mandat yang diperolehi ketika Pilihan Raya Negeri pada November tahun lepas perlu dihormati.