Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman 37 individu bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya melibatkan RM100 juta.

Semua suspek membabitkan 26 lelaki dan 11 wanita direman secara berasingan di Mahkamah Majistret Putrajaya, Selangor, Johor, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Di Putrajaya, seramai 11 individu direman selama empat hari mulai hari ini sehingga 17 Jul. Di Selangor pula, permohonan reman selama tiga hari dibenarkan terhadap lima individu mulai hari ini sehingga 16 Jul 2022, lapor portal FMT.

Sementara di Johor, perintah reman selama tujuh hari terhadap seorang suspek dan enam hari terhadap dua suspek dibenarkan, mulai hari ini, sehingga 19 dan 20 Jul.

Bagi penahanan di Kedah, Pahang dan Perak pula, perintah reman selama tujuh hari sehingga 20 Jul dibenarkan terhadap seorang individu di Kedah dan masing-masing dua orang individu di Pahang dan Perak.

Di Pulau Pinang, perintah reman selama enam hari dibenarkan terhadap dua suspek mulai hari ini sehingga 19 Jul.

Penjana Kerjaya berperanan sebagai program insentif pengambilan pekerja dan latihan, dilaksanakan sejak 2020 untuk golongan perantis, mereka yang berumur bawah 40 tahun serta mereka dalam segmen 40 tahun dan ke atas.

Dalam pada itu, perintah reman selama lima hari dikeluarkan terhadap dua individu masing-masing di Melaka dan Perlis, tiga individu di Kuala Lumpur dan empat individu di Negeri Sembilan, mulai hari ini, sehingga 18 Jul.

Semua suspek berusia antara 28 hingga 70 tahun terdiri daripada pemilik, pengarah, pengurus dan pemilik saham syarikat serta jurutera dan kakitangan eksekutif tersebut ditahan dalam Op Hire yang dilancarkan di seluruh negara semalam dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Setakat ini, operasi dijalankan itu melibatkan 66 syarikat dengan nilai akaun dibekukan melebihi RM7 juta daripada 36 akaun.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim turut mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Katanya, beberapa tangkapan akan dibuat lagi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here