Category: Semasa

  • Treler 30 tan rempuh rumah, pemandu positif dadah

    Treler 30 tan rempuh rumah, pemandu positif dadah

    SEBUAH treler 30 tan yang sedang membawa muatan besi guna semula dikatakan berhenti secara tiba-tiba sebelum menggelongsor secara mengundur dan merempuh sebuah rumah dalam satu kemalangan di Jalan Peringkat 4, Kampung Felda Sendayan, Seremban malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 9.15 malam apabila treler yang dipandu lelaki berusia 32 tahun itu mengalami kerosakan enjin, menyebabkan ia berhenti secara tiba-tiba.

    Beliau berkata, treler yang dalam perjalanan dari Melaka menuju Sungai Pelek, Sepang itu kemudiannya menggelongsor, sebelum bahagian belakangnya tergelincir ke kiri bahu jalan dan merempuh sebuah rumah.

    Nanda dalam kenyataan hari ini berkata, tiada kecederaan dilaporkan, dan ujian saringan awal mendapati pemandu treler itu positif dadah jenis methamphetamine. – BERNAMA

  • Isteri ADUN Pengkalan Kubor meninggal dunia

    Isteri ADUN Pengkalan Kubor meninggal dunia

    ISTERI kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, meninggal dunia, petang tadi.

    Allahyarham Wan Norihan Wan Ab Rahman, 54, menghembuskan nafas terakhir jam 6.55 petang di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

    Pengawai Khas Wan Roslan, Anas Karimi Ahmad Thani berkata, arwah sebelum ini menghidap penyakit jantung dan baru sahaja menjalani pembedahan pintasan (bypass) di sebuah hospital swasta.

    “Arwah mengalami masalah paru-paru berair selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dan dimasukkan ke unit rawatan rapi sebuah hospital swasta selama 26 hari sebelum dipindahkan ke HUSM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Anas Karimi berkata jenazah Allayarham akan dikebumikan di Kampung Kutan, di Tumpat, malam ini.

    Terdahulu pengendali laman Facebook Wan Roslan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, turut memaklumkan mengenai pemergian Wan Norihan. – BERNAMA

  • Program derma darah anjuran TSMCGF kumpul 15,000 beg darah

    Program derma darah anjuran TSMCGF kumpul 15,000 beg darah

    SEBANYAK 15,000 beg darah berjaya dikumpul sejak program derma darah anjuran Yayasan TSM Charity Golf (TSMCGF) bersama Pusat Darah Negara dan IGB Real Estate Investment Trust bermula sembilan tahun lalu.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan menderma darah serta memberi sokongan kepada Pusat Darah Negara bagi memastikan bekalan darah negara mencukupi.

    “Saya ingin merakamkan penghargaan kepada penganjur program derma darah TSMCGF, Kementerian Kesihatan serta Pusat Darah Negara, para sukarelawan dan juga penderma-penderma darah.

    “Aktiviti menderma darah secara berkala merupakan satu amalan gaya hidup sihat dan saya menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk menderma darah bagi memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Beliau juga berkongsi tentang program derma darah tersebut yang dirasmikannya di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur hari ini.

    Turut menyertai Muhyiddin pada program itu ialah Presiden TSMCGF, Datuk Zainuddin Radzi; Pengerusi Jawatankuasa Blood Donation Drive, Datuk Mohammad Maidon; Pengarah Pusat Negara, Dr Afifah Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif IGB REIT, Antony Barragry.

    Beliau memberitahu, program itu menyasarkan untuk mengumpul 700 beg darah selama dua hari bermula hari ini.

    “Saya mengajak orang ramai ke Centre Court, Mid Valley Megamall untuk bersama-sama menderma darah kerana ia mampu menyelematkan nyawa mereka yang memerlukan,” jelasnya.

  • ‘’Saya tak perlu simpati dia, jawab dulu kertas Pandora’’ – kata Anwar kepada Daim

    ‘’Saya tak perlu simpati dia, jawab dulu kertas Pandora’’ – kata Anwar kepada Daim

    DATUK Seri Anwar Ibrahim menggesa bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin memberi penjelasan berkaitan isu Kertas Pandora sebelum mendesaknya meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang

    Presiden PKR itu turut menyindir sesetengah pemimpin yang kononnya mahu membanteras rasuah namun sebaliknya terlibat dengan rasuah yang mengaut sehingga berbilion ringgit.

    “Sudah tentu Tun Daim Zainuddin adalah orang terakhir yang melihat saya sebagai Perdana Menteri. Walaupun saya yakin tidak ada perkara peribadi tetapi saya tahu kerana saya mengambil alih Kementerian Kewangan selepas dia.

    “Apabila saya bercakap tentang skandal Pandora dan semua skandal kewangan yang lain, orang menggunakan jawatan mereka untuk mengumpul kekayaan serta mengaut berbilion ringgit. Dia perlu menjawab hal ini.

    “Saya tidak perlukan simpati atau sokongan dari dia, dan ada kalangan mereka ini telah mendapat hasil daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Mereka menganggap rakyat Malaysia bodoh,” katanya pada sidang media di Kongres PKR, lapor FMT.

    Anwar mengambil alih Kementerian Kewangan daripada Daim pada 1991, yang merupakan Penasihat Ekonomi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

    Dalam wawancara bersama The Malaysia Insight, Daim berkata Anwar adalah antara ahli politik veteran yang sepatutnya memberi peluang kepada pemimpin muda untuk menyinar.

    Jelas Daim, selagi tokoh politik berkenaan masih kekal, generasi baharu tidak boleh naik.

    Kertas Pandora adalah laporan yang mendedahkan senarai urusniaga melibatkan tokoh politik, ahli perniagaan dan selebriti yang membuka akaun di pusat kewangan luar pesisir di serata dunia.

    Beberapa nama ahli politik dan ahli perniagaan Malaysia turut disebut dalam laporan itu, antaranya Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Daim; Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa dan keluarga ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau pernah mempersoal bekas Perdana Menteri mengenai lantikan Daim sebagai ketua penasihat ekonomi.

    “Jadi berbalik kepada soal itu, saya tidak menyerang Daim secara peribadi tetapi dia jangan anggap saya boleh ditakutkan sekiranya saya memilih untuk mendedahkan skandal ini.

    “Soal dia terselamat selama ini, tanyalah perdana menteri sebelum ini, malah dia dilantik sebagai ketua penasihat ekonomi Pakatan Harapan (PH). Saya keluar penjara dan saya nasihat Mahathir Mohamad, bagaimana orang yang terlibat dengan semua ini boleh dilantik namun Mahathir cakap itu keputusan dia,” katanya.

  • Kanak-kanak ditemukan mati dengan kesan jerut bukan mangsa dera

    Kanak-kanak ditemukan mati dengan kesan jerut bukan mangsa dera

    KANAK-KANAK perempuan berusia 11 tahun yang ditemukan mati dengan kesan jerut di leher dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng di sini, Khamis lepas didapati bukan mangsa penderaan.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan tidak mempunyai kecederaan lampau pada badannya.

    “Tiada tanda-tanda mangsa mengalami penderaan kerana tidak mempunyai kesan kecederaan lampau di tubuh badannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata berdasarkan siasatan, punca kematian kanak-kanak itu adalah akibat dijerut di lehernya.

    Katanya, kes berkenaan masih dalam siasatan.

    Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, polis menerima maklumat awam mengenai kejadian itu pada 4.55 petang Khamis sebelum menahan ibu mangsa berusia 34 tahun bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Dakwaan warga emas cabul kanak-kanak disahkan polis tidak benar

    Dakwaan warga emas cabul kanak-kanak disahkan polis tidak benar

    POLIS mengesahkan dakwaan terdapat kejadian cabul kanak-kanak perempuan melibatkan seorang warga emas di Taman Semilang, Seberang Jaya, Pulau Pinang melibatkan warga emas seperti yang tular di media sosial Facebook adalah tidak benar.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya menerima dua laporan yang dibuat suspek sendiri yang menafikan dakwaan tersebut selain siasatan lanjut yang dijalankan polis.

    Jelasnya, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki warga tempatan berusia 80 tahun itu tinggal di Taman Semilang, Seberang Jaya.

    “Keterangan lanjut daripada saksi-saksi kemudian mengesahkan suspek telah nyanyuk dan tidak boleh berkomunikasi dengan baik selain tinggal di taman (perumahan) yang sama dengan kanak-kanak terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, tular di media sosial Facebook dakwaan terdapat seorang lelaki yang dikatakan berkelakuan tidak senonoh terhadap kanak-kanak perempuan.

    Dalam hantaran tersebut, penulis mendakwa suspek memegang bahagian dada dan kemaluan mangsa selain menasihatkan semua pihak berhati-hati dengan lelaki tersebut yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsanya.

    Sementara itu, Cheng San berkata, ibu kepada kanak-kanak terbabit juga telah diambil keterangan dan wanita tersebut memaklumkan lelaki berkenaan dianggap sebagai ahli keluarga sendiri.

    Katanya, wanita itu juga telah mengesahkan perkara yang tular itu tidak benar dan menafikan suspek melakukan perkara tidak senonoh terhadap anaknya.

    “Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak terus menularkan perkara ini kerana boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan kepada masyarakat khususnya yang tinggal di Seberang Jaya,” katanya.

    Tegas beliau, tindakan menularkan (viral) sesuatu maklumat daripada sumber yang tidak sahih dan sah merupakan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Jika sabit kesalahan ujarnya, boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

  • Anggota polis cedera dilanggar lari penyeludup minyak

    Anggota polis cedera dilanggar lari penyeludup minyak

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang anggota polis pengsan akibat mengalami kecederaan di bahagian kepala setelah dilanggar lari oleh sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Frontier di Kulim, Kedah hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.15 pagi ketika anggota tersebut yang menaiki motosikal, cuba menghentikan kenderaan tersebut di simpang berdekatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kulim.

    “Berikutan kejadian itu, siasatan terus dijalankan dan suspek yang berusia 40 tahun dan berasal dari Sungai Petani, Kedah, ditahan di Butterworth, Pulau Pinang.

    “Semakan lanjut mendapati dia memiliki tiga rekod jenayah dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis THC,” katanya.

    Mengulas lanjut katanya, pemeriksaan terhadap kenderaan pacuan empat roda itu mendapati kenderaan tersebut telah diubah suai.

    “Terdapat tangki minyak di bahagian belakang kenderaan itu dengan suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak,” katanya.

    Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 42(1) dan 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Seksyen 6(1) APJ 1987,” katanya.

  • Jabatan Peguam Negara sahkan tolak tawaran Jho Low

    Jabatan Peguam Negara sahkan tolak tawaran Jho Low

    PEGUAM Negara Tan Sri Idrus Harun mengesahkan bahawa ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho atau Jho Low telah membuat percubaan untuk mencari penyelesaian dengan kerajaan berhubung pertuduhan keatasnya.

    Bagaimanapun Idrus berkata semua tawaran itu ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

    Dalam kenyataan hari ini beliau berkata semua percubaan itu dibuat tahun ini menerusi wakil Jho Low.

    “Dalam percubaan itu wakil-wakil Jho Low berjumpa dengan pelbagai agensi Kerajaan Malaysia, termasuk Pejabat Peguam Negara.

    “Semua tawaran bagi penyelesaian berkenaan daripada wakil Jho Low ditolak oleh AGC,” katanya yang merujuk kepada laporan berita berhubung perkara itu.

    Semalam media The Edge yang memetik sumber melaporkan Jho Low menawarkan RM1.5 billion kepada kerajaan bagi menyelesaikan pertuduhan terhadapnya.

    ‘’Saya hanya fasilitator’’ – Apandi

    SEMENTARA itu, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini cuba menjelaskan peranannya dalam rundingan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dengan kerajaan berhubung tawaran untuk menyelesaikan dakwaan berkait 1MDB.

    Dalam jawapan ringkasnya kepada portal MalaysiaNow beliau berkata peranannya hanyalah sebagai fasilitator kepada rundingan tersebut.

    “Ya,” katanya apabila ditanya tentang perkara itu.

    Dalam kenyataan yang berasingan, Apandi berkata beliau didekati oleh pihak Kobre & Kim yang berpengkalan di Washington DC, Amerika Syarikat untuk berjumpa dengan pejabat Peguam Negara pada penghujung Mei 2022.

    “Saya mengaturkan beberapa pertemuan yang mana wakil Kobre & Kim datang ke Malaysia.

    “Pada mesyuarat itu, yang berlangsung di pejabat Peguam Negara, kerajaan Malaysia diwakili oleh AG (Idris Harun) and pegawainya, serta seorang pegawai kanan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).”

    Menurut Apandi, rundingan itu kelihatan positif semasa sedang berlangsung namun dibatalkan oleh pejabat Peguam Negara secara tiba-tiba.

  • Tak perlu penjelasan panjang, serah kepada pertimbangan PM – Muhyiddin

    Tak perlu penjelasan panjang, serah kepada pertimbangan PM – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan berhubung isu lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

    Katanya, perkara itu tidak memerlukan penjelasan panjang lebar kerana semua keputusan adalah mengikut pertimbangan Perdana Menteri.

    “Saya hendak jawab ringkas dan tak panjang, saya serah pada Perdana Menteri dan ikut pertimbangan yang bijaksana,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Blood Donation Drive di pusat beli belah Mid Valley, hari ini, lapor Astro AWANI.

     Ketika ditanya tentang tindakan kerajaan mengambil langkah berjimat membabitkan semua kementerian dan agensi, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu melihat tindakan itu sebagai wajar, namun ia mesti mengambil kira bebanan semasa rakyat.

    “Itu wajar, tetapi apa pun langkah kerajaan nak ambil, mesti ambil kira supaya ia tidak (menyebabkan) beban meningkat dan bertambah kepada rakyat. (Bagaimana) cara nak dilaksanakan, adakah buat mengejut atau beberapa fasa.

    “Saya tak nak nasihat, saya fikir Menteri Kewangan mesti fahamlah. Kalau kerajaan berterusan seperti ini, ekonomi dan mungkin kewangan negara akan bertambah lebih teruk,” katanya lagi.

    Terdahulu, media melaporkan semua kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan, bagi membolehkan penjimatan itu disalurkan untuk kesejahteraan rakyat.

  • Pelajar IPTA rugi RM18,000 ditipu sindiket kerja e-Dagang

    Pelajar IPTA rugi RM18,000 ditipu sindiket kerja e-Dagang

    SEORANG pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengalami kerugian berjumlah RM18,193.98 selepas ditipu sindiket penawaran kerja menerusi satu platform e-Dagang yang menjanjikan pulangan komisen dalam masa singkat.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pelajar lelaki berusia 22 tahun itu, semalam.

    Beliau berkata, ia bermula apabila pelajar berkenaan tertarik dengan iklan pekerjaan dalam talian di laman sosial yang menggunakan platfrom e-Dagang dan mula berkomunikasi dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp untuk berbincang mengenai pekerjaan itu.

    “Pelajar itu diyakinkan yang dia hanya perlu mengeluarkan modal awal untuk pembelian barangan tertentu dan modalnya nanti akan dibayar serta-merta berserta 10 peratus komisen,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Beliau berkata, tertarik dengan tawaran berkenaan, lelaki itu telah membuat pindahan wang ke tiga akaun bank tempatan yang berbeza sebagaimana arahan pihak sindiket itu.

    Bagaimanapun beliau berkata, pelajar itu merasakan dirinya telah ditipu selepas pihak berkenaan mengarahkannya membuat bayaran modal tambahan, sedangkan bayaran modal dan komisen terdahulu belum diterima.

    Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Kamarul Zaman berkata, seorang warga emas tempatan mengalami kerugian RM529,300 selepas terpedaya dengan penipuan ‘Macau Scam’, apabila dihubungi seorang lelaki kononnya anggota polis yang mendakwa dia terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram.

    Menurut beliau, ia bermula apabila bekas pekerja di sebuah syarikat swasta berumur 85 tahun itu dihubungi lelaki berkenaan pada pertengahan Mei lepas yang memaklumkan bahawa akaun banknya akan disiasat oleh pihak berkuasa.

    “Warga emas itu mengikut arahan lelaki berkenaan dengan memindahkan kesemua wangnya ke dalam satu akaun bank miliknya yang lain dan seterusnya menyerahkan akses perbankan dalam talian akaun berkenaan kepada lelaki itu.

    “Rabu lepas, warga emas itu telah membuat semakan terhadap akaunnya dan mendapati wang telah dikeluarkan tanpa pengetahuannya dan dibayar kepada beberapa pihak yang tidak dikenali,” katanya sambil menambah setelah sedar dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis Khamis lepas. – BERNAMA