POLIS mengesahkan dakwaan terdapat kejadian cabul kanak-kanak perempuan melibatkan seorang warga emas di Taman Semilang, Seberang Jaya, Pulau Pinang melibatkan warga emas seperti yang tular di media sosial Facebook adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya menerima dua laporan yang dibuat suspek sendiri yang menafikan dakwaan tersebut selain siasatan lanjut yang dijalankan polis.

Jelasnya, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki warga tempatan berusia 80 tahun itu tinggal di Taman Semilang, Seberang Jaya.

“Keterangan lanjut daripada saksi-saksi kemudian mengesahkan suspek telah nyanyuk dan tidak boleh berkomunikasi dengan baik selain tinggal di taman (perumahan) yang sama dengan kanak-kanak terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial Facebook dakwaan terdapat seorang lelaki yang dikatakan berkelakuan tidak senonoh terhadap kanak-kanak perempuan.

Dalam hantaran tersebut, penulis mendakwa suspek memegang bahagian dada dan kemaluan mangsa selain menasihatkan semua pihak berhati-hati dengan lelaki tersebut yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsanya.

Sementara itu, Cheng San berkata, ibu kepada kanak-kanak terbabit juga telah diambil keterangan dan wanita tersebut memaklumkan lelaki berkenaan dianggap sebagai ahli keluarga sendiri.

Katanya, wanita itu juga telah mengesahkan perkara yang tular itu tidak benar dan menafikan suspek melakukan perkara tidak senonoh terhadap anaknya.

“Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak terus menularkan perkara ini kerana boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan kepada masyarakat khususnya yang tinggal di Seberang Jaya,” katanya.

Tegas beliau, tindakan menularkan (viral) sesuatu maklumat daripada sumber yang tidak sahih dan sah merupakan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan ujarnya, boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here