TIGA aduan mengenai kelibat seekor harimau berkeliaran di Kampung Baru Malaysia dekat Jeli diterima Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan sejak seminggu lalu.
Ia dipercayai datang sama ada dari kawasan hutan Sungai Sator atau Jedok dan membaham seekor kambing ternakan penduduk.
Pengarah Jabatan Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, aduan pertama diterima pada 3 Ogos lalu namun tidak dapat dipastikan spesis sama ada harimau kumbang atau belang.
Menurutnya, aduan kedua pula diterima keesokan harinya iaitu kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi aduan pertama.
“Aduan terbaru pula diterima pagi semalam yang dibuat seorang penduduk yang memaklumkan kambingnya dibaham harimau pada malam Isnin lalu.
“Semasa siasatan dibuat pagi semalam, pihak kami menjumpai kulit kambing yang tersisa dalam kebun getah belakang rumah jiran pengadu dan kami mengesyaki ia angkara harimau sama yang berkeliaran di lokasi dua aduan terdahulu,” katanya dipetik Harian Metro.
Mohamad Hafid berkata, susulan itu pihaknya memasang perangkap yang dinamakan ‘Perangkap Wahab’ dengan meletakkan umpan seekor kambing namun setakat ini masih belum berhasil menangkap haiwan itu.
Katanya, pemantauan dari semasa ke semasa sentiasa dibuat sama ada di lokasi pemasangan perangkap atau kawasan sekitar.
“Kita juga menjalankan khidmat nasihat kepada penduduk untuk mengambil langkah keselamatan yang bersesuaian selain meminta mereka segera menghubungi kami sekiranya ternampak kelibat atau jejak harimau,” katanya.
SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun patah tulang selangka dan luka di bahagian badan apabila melanggar sisi depan sebuah kereta di Jalan Wakaf Aik, Bachok, Kelantan petang semalam.
Memetik Astro Awani, Ketua Polis Daerah Bachok Supt Muhamad Ismail Jamaluddin berkata, kejadian sekitar pukul 3.30 petang itu turut menyebabkan kemalangan antara kenderaan jenis Perodua Myvi dan Proton Exora.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila kanak-kanak lelaki berkenaan melintas jalan dan pada masa sama, sebuah Proton Exora datang dari Jalan Besut menghala Pengkalan Chepa, manakala Perodua Myvi datang dari arah bertentangan.
“Ketika kanak-kanak berkenaan melintas, pemandu Proton Exora mengelak dan memasuki laluan bertentangan sehingga melanggar Perodua Myvi di laluan bertentangan.
“Ia menyebabkan kanak-kanak berkenaan merempuh sisi kanan Proton Exora berkenaan. Bagaimanapun, kedua-dua pemandu, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Muhamad Ismail berkata, kanak-kanak berkenaan ditemani seorang lelaki dewasa yang memimpinnya, namun mangsa dikatakan merentap tangannya dan terlepas dari genggaman sebelum berlari melintas jalan.
Kedua-dua kenderaan berkenaan mengalami kerosakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987.
MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah meminta syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) menghulurkan bantuan kewangan sebagai sumbangan politik kepada UMNO.
Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) V. Mahendran, 38, berkata permintaan Ahmad Zahid itu dibuat semasa dua bekas pengarah UKSB iaitu Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani yang masing-masing merupakan saksi pendakwaan ke-15 dan 16 hadir ke kediaman presiden UMNO itu di Country Height, Kajang.
Beliau berkata ketika itu Ahmad Zahid adalah Menteri Dalam Negeri yang mempunyai kuasa dan pengaruh yang besar dalam merangka dasar dan hala tuju kerajaan serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya.
“UKSB bersetuju untuk memberi bantuan sumbangan politik bagi tujuan untuk memastikan perniagaan UKSB tidak diganggu memandangkan ketika itu ada beberapa syarikat lain yang cuba melobi kerja yang UKSB sedang jalankan iaitu berkaitan dengan urusan visa.
“Hasil siasatan juga menunjukkan bahawa wang tunai tersebut yang diserahkan secara bulanan kepada Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) adalah disediakan oleh David Tan (bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun) atas arahan Harry Lee,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong.
Mahendran berkata peranan David Tan adalah bagi memastikan UKSB mempunyai wang yang mencukupi untuk memenuhi permintaan Ahamd Zahid.
Sebelum ini, Wan Quoris Shah memberitahu mahkamah sama bahawa bantuan kewangan yang diberikannya kepada Ahmad Zahid bertujuan mengukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai kontraktor Kementerian Dalam Negeri (KDN), selain mendapatkan sokongan daripada ahli politik itu untuk mengurangkan gangguan daripada pesaing-pesaing lain yang menjalankan perniagaan serupa.
Mahendran juga berkata berdasarkan keterangan Harry Lee, David Tan dan Wan Quoris Shah, wang tunai yang dihantar kepada Ahmad Zahid akan dimasukkan ke dalam sampul surat.
“Penyerahan wang tunai tersebut akan dibuat setiap bulan mengikut kesesuaian masa Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) tetapi kebiasannya pada 10 malam di Seri Satria, Putrajaya iaitu kediaman rasmi Datuk Seri Zahid dan Country Heights,” katanya.
Selain itu, saksi pendakwaan ke-18 itu juga berkata peranan utama Wan Quoris Shah sebagai pengarah UKSB tertumpu kepada kerja-kerja perhubungan awam syarikat itu dan bukan dari aspek teknikal.
“Pelantikan Wan Quoris (Wan Quoris Shah) adalah untuk mengembangkan perniagaan dengan cara melobi bagi mendapatkan kontrak-kontrak pembekalan dan perkhidmatan dengan Kerajaan Malaysia,” katanya.
Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa masih berlangsung.
BERANG selepas ditegur seorang warga emas, seorang penagih dadah bertindak menetak lelaki berusia 73 tahun itu dalam kejadian di Kampung Lok Kurai Selanggan, Pulau Gaya, Sabah semalam.
Akibat serangan suspek berusia 45 tahun itu, mangsa cedera di kepala dalam kejadian pada pukul 11 pagi Selasa sebelum dia dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah, siasatan awal mendapati suspek tidak bekerja dan dikatakan mengganggu penduduk dengan membaling batu serta kayu ke rumah penduduk tanpa sebab.
Katanya, suspek yang dipercayai berang kerana ditegur mangsa atas perbuatannya itu, balik ke rumah mengambil sebilah parang.
“Suspek kemudiannya datang kembali dan terus menetak kepala mangsa sehingga luka,” katanya yang dipetik Harian Metro.
Beliau berkata, suspek segera melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran kampung itu selepas melihat kepala mangsa berdarah.
“Sebaik menerima maklumat, polis terus menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lok Urai pada 4.30 petang.
“Sebilah parang sepanjang kira-kira 0.6m yang dipercayai digunakan suspek untuk menyerang mangsa turut dirampas.”
Mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pihak Pengurusan Pusat Membeli Belah Aman Central yang menjadi lokasi penganjuran Minggu Fesyen Kedah 2022 (KFW22) menegaskan bahawa majlis tersebut sememangnya dianjurkan mereka tanpa melibatkan mana-mana pihak lain termasuk kerajaan negeri.
Menurut satu kenyataan dikeluarkan, pihak pengurusan tersebut turut menyatakan rasa kesal terhadap gambar dimuat naik seorang tetamu program tersebut yang langsung tidak mencerminkan kod etika pemakaian ditetapkan mereka.
Menurutnya, kejadian itu amat dikesali dengan pihak mereka akan memastikan etika pemakaian yang ditetapkan dalam apa jua majlis di Aman Central selepas ini, akan dipantau dengan lebih ketat.
“Kami kesal dengan perkongsian foto dari salah seorang tetamu yang hadir ke KFW22 yang mana gambarnya itu tidak mencerminkan kod etika pemakaian ditetapkan penganjur.
“Kami kesal dengan segala kesulitan yang berlaku dan akan memastikan etika pemakaian ditetapkan dalam mana-mana majlis di Aman Central akan dipantau dengan lebih ketat selepas ini,” katanya.
Penganjuran KFW22 menimbulkan kontroversi apabila tular di media sosial gambar seorang individu dipercayai transgender mengenakan pakaian mencolok mata.
Mengulas lanjut kenyataan itu menyebut, KFW merupakan acara tahunan di Aman Central bagi mempromosikan pakaian dan jenama-jenama di Aman Central selain turut menampilkan pereka tempatan tanah air.
“Selaku penganjur, kami ingin menegaskan bahawa acara ini diadakan secara tahunan di Aman Central dan tidak dianjurkan mana-mana pihak lain.
“Penganjuran kali ini adalah penampilan semula selepas dua tahun dibatalkan akibat negara dilanda pandemik Covid-19. Pihak penganjur turut telah mendapat semua kelulusan pihak berwajib sebelum majlis dijalankan dan acara ini mendapat sambutan menggalakkan dari pereka-pereka tempatan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, pihak pengurusan pusat membeli-belah tersebut turut menyatakan permohonan maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan kejadian itu.
“Pihak kami sekali lagi memohon maaf atas sebarang kejadian yang menyentuh sensitiviti mana-mana pihak,” katanya.
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mengesan bot dinaiki enam nelayan tempatan dipercayai karam lebih kurang 10 batu nautika dari Pulau Redang, Isnin lepas.
Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira 10 malam dan setakat ini seorang mangsa ditemukan selamat iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun manakala lima lagi termasuk tekong masih belum dapat dikesan.
Beliau berkata bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran TFA 124 itu keluar dari Jeti Pasir Puteh, Kelantan.
“Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan juga telah mengaktifkan Carilamat semalam bagi mengesan bot tersebut. Bot Maritim PERKASA 1234 digerakkan ke kawasan bot tersebut dilapor karam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bagi Carilamat hari kedua, sektor pencarian diperluas sehingga 242 batu nautika dan beberapa aset telah diatur gerak awal pagi tadi seperti Aset Kapal Maritim (KM) REDANG, aset udara Bombardier CL415 bersama bot PERKASA 1234.
Katanya, APMM menyeru kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357.- BERNAMA
BAHANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin hangat diperkata dan diperbualkan oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.
Di sana sini sama ada dari kalangan orang politik, penganalisis sehingga kepada nelayan yang sedang menjahit pukat di hujung kuala terus bercakap mengenai topik tersebut.
Walaupun sehingga ini kerajaan yang memerintah masih belum memberi jawapan berhubung bilakah parlimen bakal dibubarkan, namun beberapa isu berbangkit kebelakangan ini dianggap sebagai ‘signal’ atau bayangan bahawa PRU-15 sudah semakin hampir.
Malah, ada pemimpin parti serta pengalisis politik menjangkakan PRU-15 akan diadakan pada tahun ini juga.
Sebab itulah, kalau diperhatikan kebanyakan parti politik di negara ini sebenarnya sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.
Ia termasuklah parti-parti di bawah Perikatan Nasional (PN) Terengganu yang menyasarkan untuk meraih kemenangan besar di negeri ini pada PRU-15 kali ini.
Sepertimana kata Timbalan Pengerusi Satu PN Terengganu, Senator Datuk Razali Idris sewaktu bercakap dengan WartaRakyat baru-baru ini, pihaknya sentiasa bersedia dan sejak dari awal lagi telah membuat persiapan ke arah itu dengan mengadakan pelbagai aktiviti untuk mendekati rakyat.
Berdasarkan keharmonian serta perpaduan erat dalam PN, Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu serta Pengerusi Bersatu Terengganu membayangkan gabungan itu melalui tiga gabungan parti, iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan dijangka terus kekal memerintah negeri ini.
Keyakinan itu adalah berdasarkan kerjasama serta sambutan luar biasa diberikan masyarakat khususnya ketika pelancaran PN peringkat Negeri Terengganu oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diadakan di perkarangan Masjid Rusila Marang baru-baru ini.
Selain itu faktor penerimaan rakyat Terengganu terhadap PN juga dianggap suatu perkembangan amat membanggakan.
Bagi Razali kehadiran lebih 10,000 orang pengujung termasuk anak-anak muda yang pertama kali menjadi daftar pemilih disifatkan sebagai satu fenomena baharu dalam dunia politik mutakhir ini.
“Sejak kebelakangan ini semakin ramai anak-anak muda berusia 18 tahun mulai dekat dan mesra dengan kita.
“Apa yang menarik, mereka datang bertanya kepada kita untuk membantu menjayakan setiap aktiviti secara sukarela tanpa meminta sebarang upah.
“Kita amat bangga dengan sumbangan mereka dan konsep inilah yang akan terus kita terapkan dalam PN Terengganu,” jelas Razali.
Selain anak-anak muda, PN Terengganu juga akan terus mempergiatkan usaha untuk mendekati para pengundi atas pagar agar memilih gabungan tersebut pada PRU-15 nanti.
Dalam PRU-14 pada Mei 2018 lalu, parti Pas yang memenangi majoriti dua pertiga berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN) dengan kemenangan di 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam kerusi Parlimen.
BN Terengganu hanya memenangi 10 daripada 32 kerusi DUN di mana dua daripada lapan kerusi Parlimen iaitu Besut dan Hulu Terengganu.
Kemenangan itu secara tidak langsung mengulangi kejayaan Pas yang pernah membentuk kerajaan negeri pada PRU-10 tahun 1999.
DALAM tempoh enam bulan, RM10 juta lesap hasil penipuan dalam talian daripada kira-kira 600 pembeli di Kuala Lumpur sahaja.
Lonjakan kes seumpama itu berbanding tempoh sama tahun lalu berlaku kerana orang ramai kini bebas menyambut pelbagai upacara keagamaan dan perayaan, selepas semua sekatan pergerakan berkaitan Covid-19 tidak lagi dilaksanakan.
Free Malaysia Today melaporkan, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, enam bulan pertama tahun lalu menyaksikan hanya 494 kes melibatkan kerugian RM3.65 juta di ibu kota.
Bagaimanapun, angka itu meningkat kepada 613 kes bagi tempoh sama tahun ini membabitkan kerugian RM10.64 juta.
“Kes dilihat melonjak ketika tempoh perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya,” katanya kepada FMT.
Beh berkata, kebanyakan kes melibatkan iklan palsu di media sosial yang memancing pembeli.
“Mereka akan meminta anda memuat turun aplikasi tertentu untuk menggantikan fungsi SMS anda, seterusnya mengalihkan anda ke laman sesawang pancing data untuk memasukkan butiran perbankan.
“Begitu saja, duit anda dalam bank lesap,” katanya.
Baru-baru ini, polis turut mengesan semakin banyak kes yang dikaitkan dengan platform TikTok.
“Penipu ini memberikan pautan dalam hantaran mereka yang membawa pengguna media sosial mudah terpedaya kepada mereka,” katanya.
Walaupun polis tidak mendedahkan jumlah kes penipuan melibatkan setiap platform media sosial, mereka berkata, kebanyakan mangsa melaporkan mereka terpedaya ketika cuba membeli gajet, khususnya telefon bimbit.
Daripada 613 kes di Kuala Lumpur tahun ini, 386 kes melibatkan wanita. Bagi tempoh sama tahun lalu, 381 daripada 494 kes dilaporkan adalah lelaki.
Beh berkata, tidak banyak pembelian dibuat dalam talian bagi barangan berkaitan perayaan disebabkan perintah kawalan pergerakan tahun lalu, dengan kebanyakan mangsa dilaporkan cuba membeli aksesori kenderaan serta telefon bimbit.
Beliau menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika membuat pembelian dalam talian, terutama jika harga ditawarkan terlalu hebat untuk dipercayai.
“Anda patut membandingkan harga barang sama ditawarkan di internet. Jika harganya terlalu rendah sehingga tidak masuk akal, berhati-hatilah.
“Dapatkan maklum balas rakan-rakan dan saudara-mara,” katanya.
Pembeli dalam talian juga boleh menyemak dengan polis dengan melayari laman sesawang “semak mule” untuk maklumat lanjut.
DANA pencen angkatan tentera (LTAT) mendedahkan jumlah RM6 bilion yang hangat diperkatakan berkait projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) dibelanjakan untuk “tempahan pukal” peralatan bagi membina kapal-kapal tersebut.
Memetik Free Malaysia Today, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata, membuat “tempahan pukal” bagi enam kapal adalah lebih murah berbanding dengan membeli peralatan secara individu.
Beliau juga berkata, sebahagian besar daripada RM9 bilion dalam kontrak itu dibelanjakan untuk “reka bentuk asas dan terperinci” yang dijalankan oleh Naval Group, penggerak utama dalam sektor tentera laut Perancis.
“RM9 bilion untuk enam kapal bawah kontrak asal bermakna harga satu kapal lebih kurang RM1.5 bilion,” katanya di Facebook semalam.
Nazim menyebut bahawa Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) membelanjakan hampir RM1.9 bilion untuk satu kapal LCS mereka yang dibuat di Perancis, manakala AS membina kapal mereka dengan kos RM2.4 bilion setiap satu kerana ia “lebih canggih”.
Beliau turut mengesahkan bahawa kapal-kapal berkenaan sedang dibina di limbungan Lumut.
Katanya, beliau terlibat secara langsung dalam merangka pelan pemulihan projek LCS bersama Kementerian Pertahanan dan tentera laut.
“Bawah kontrak sekarang, pembinaan keenam-enam kapal ini perlu dibuat dalam masa yang sama,” tambahnya.
Pada Isnin, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, LCS yang dibina oleh BNS akan siap dalam masa “sekurang-kurangnya satu atau dua tahun”.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen minggu lepas mendedahkan bahawa tiada satu kapal pun siap walaupun Putrajaya membelanjakan RM6 bilion untuk projek yang diberikan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) melalui rundingan terus itu.
LTAT mempunyai 61% saham dalam BNS.
PAC berkata, BNS tidak mengendahkan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.
Nazim juga berkata, projek LCS telah mewujudkan peluang pekerjaan bagi hampir 3,000 jurutera dan 400 vendor tempatan dalam pelbagai bidang.
Katanya, sebahagian daripada wang yang dimaksudkan untuk kapal itu digunakan untuk melunaskan hutang syarikat terdahulu yang perlu ditampung oleh Boustead Holdings dan BNS selepas mengambil alih projek itu.
Nazim berkata, Jemaah Menteri memutuskan untuk meneruskan projek itu pada April selepas mempertimbangkan tiga opsyen.
“(Salah satu opsyen) pelan penstrukturan semula BNS ini diteliti oleh pihak kerajaan di pelbagai peringkat, termasuk jawatankuasa Jemaah Menteri, yang mengambil masa selama lapan bulan,” katanya.
GARA-gara berpakaian seksi, penganjur Minggu Fesyen Kedah 2022 (KFW22) akan dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung penampilan model dipercayai terlibat dalam peragaan acara terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd. Hayati Othman berkata, tindakan akan diambil sekiranya penganjur didapati melanggar peraturan ditetapkan.
Malah beliau berkata, penganjur juga tidak memohon permit dan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui semakan awal yang dilakukan.
“Saya menerima aduan mengenai penganjuran KFW22 yang menampilkan model dengan pakaian yang mencolok mata.
“Pihak saya akan memanggil penganjur, meminta penjelasan dan mengenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.
Sejak semalam, tular di media sosial gambar model yang berpakaian seksi pada KFW22 di sebuah pusat beli-belah di sini yang berlangsung selama tiga hari pada minggu lalu.
Dr Mohd. Hayati berkata, penganjur KFW22 sepatutnya mematuhi peraturan serta syarat-syarat melalui kelulusan lesen hiburan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Kota Setar.
“Walaupun pertunjukan fesyen antara acara yang dibenarkan di dalam Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997, namun diharapkan pakaian yang diperagakan mestilah sopan bersesuaian dengan budaya timur,” katanya.
Beliau menjelaskan, KFW22 di luar bidang kuasa pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), manakala urusan kebenaran dan lesen dikeluarkan oleh pejabat daerah.
“MBAS hanya menjalankan tugas-tugas pemantauan untuk memastikan syarat serta peraturan yang ditetapkan dipatuhi pihak penganjur,” jelasnya.