Category: Semasa

  • Lelaki ditahan miliki pistol, parang, sembilan pedang, dua keris

    Lelaki ditahan miliki pistol, parang, sembilan pedang, dua keris

    POLIS menahan seorang lelaki dalam serbuan di Kampung Air Belaga, Ulu Sat, Machang, pada pukul 11.50 malam, Isnin lalu kerana memiliki pistol dan pelbagai senjata tajam.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam serbuan itu pihaknya terpaksa memecahkan pintu hadapan untuk membuat pemeriksaan.

    “Semasa serbuan, berlaku pergelutan dengan seorang lelaki yang berasal dari Gua Musang yang ketika itu berada di atas katil dalam sebuah bilik.

    “Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut menjumpai sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria warna hitam dan sebiji peluru di dalam ‘chamber’,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata, turut ditemui empat butir peluru hidup dalam kelopak, dua bilah keris kecil, sembilan pedang dan sebilah parang berhulu kayu.

    Muhamad Zaki berkata, satu plastik lut sinar mengandungi 165 biji pil berwarna kemerahan, satu straw berisi serbuk warna putih dan empat papan aluminium foil berwarna silver yang mengandungi 20 biji pil warna putih disyaki dadah turut dirampas.

    Katanya, suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau dan empat rekod narkotik itu turut dikesan positif dadah jenis methamphetamine.

    “Suspek direman bermula 16 hingga 29 Ogos untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Kes akan disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (3) akta sama.

  • Rakan, individu terakhir jumpa Zalina – Polis

    Rakan, individu terakhir jumpa Zalina – Polis

    SEORANG rakan kepada Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman, dipercayai individu terakhir bertemu dengan bekas pembaca berita itu sebelum beliau dilaporkan hilang sehingga kini.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata ia susulan keterangan diambil daripada individu berusia 30an itu pada 16 Ogos lepas.

    “Berdasarkan keterangan yang diambil, individu tersebut bertemu dengan Zalina pada Julai 2021 dan ketika pertemuan tersebut, Zalina dalam keadaan sihat serta seperti biasa sahaja.

    “Orang terakhir itu adalah rakan kepada Zalina sahaja dan bukan ahli keluarga atau pekerja binaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, hasil siasatan mendapati individu itu tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan Zalina selain tiada perkembangan terbaru melibatkan kes itu sehingga kini.

    Polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina, 58, daripada anak lelakinya Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

    Polis percaya Zalina masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkannya yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.–Bernama

  • Polis tahan 92 PATI, lapan warga tempatan

    Polis tahan 92 PATI, lapan warga tempatan

    SEBUAH rumah di Kampung Belukar Pauh, Panji di Kota Bharu yang dijadikan transit pendatang asing tanpa izin (PATI) diserbu polis pada pukul 4.40 petang Selasa lalu.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil serbuan tersebut polis menahan 92 PATI warga Myanmar dan tujuh lelaki tempatan dipercayai ‘transporter’ (penghantar).

    “Polis menahan 21 wanita dan 71 lelaki warga Myanmar berusia dari 16 hingga 51 tahun yang masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah.

    “Siasatan awal ke atas tujuh suspek berusia antara 17 hingga 43 tahun mendakwa menerima arahan daripada seorang lelaki tempatan.

    “Transpoter itu memberitahu mereka dibayar sebanyak RM1,500 daripada setiap ejen yang terlibat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata, pada Rabu lalu tindakan susulan dilakukan pada pukul 5.15 pagi terhadap seorang lelaki di Wakaf Che Yeh di Kota Bahru selepas menahan sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru.

    Menurutnya, hasil temubual awal, suspek dipercayai merupakan seorang pengatur ‘transporter’ yang membawa PATI dari Kelantan ke Selangor dan Kuala Lumpur untuk bekerja.

    Muhamad Zaki berkata, kesemua PATI tersebut dikatakan masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram di Sungai Golok dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

    Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua tangkapan ditempatkan di rumah transit tersebut sebelum dihantar keluar dari Kelantan.

    “Kami turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire, sebuah HRV jenis Honda hitam, sebuah Toyota Inova, sebuah kereta jenis Perodua Alza dan sebuah Perodua Bezza.

    “Sebanyak 14 telefon bimbit pelbagai jenis, wang tunai RM4,113, Thai Bhat 1,100 dan 10 kad sim juga dirampas,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • 4 warga asing ditahan bantu siasatan kes tukang cuci maut ditikam

    4 warga asing ditahan bantu siasatan kes tukang cuci maut ditikam

    POLIS Pulau Pinang menahan empat lelaki warga asing kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki yang juga warga asing yang mayatnya dijumpai dengan kesan tikaman dalam kejadian di Bukit Gedung semalam.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, polis menerima maklumat berhubung satu pergaduhan membabitkan sekumpulan warga asing di kawasan itu pukul 11 malam semalam.

    Jelas beliau, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, seorang lelaki warga asing berusia 32 tahun dijumpai terbaring dengan kesan kecederaan tikaman di badan dan disahkan telah meninggal dunia.

    “Susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki warga asing berusia 31 hingga 45 tahun di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

    “Kesemua mereka bekerja sebagai tukang cuci; penjaga kedai runcit; buruh binaan dan pekerja kilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian disyaki akibat dendam, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

    Jelasnya, kesemua warga asing yang ditahan itu direman selama tujuh hari sehingga 28 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

  • Lelaki mati dipercayai dilibas di leher

    Lelaki mati dipercayai dilibas di leher

    SEORANG lelaki ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Merua Batu 3, Jalan Haji Wahab, Parit hari ini.

    Keadaan mangsa, Norzi Jaafar, 58, disedari seorang penduduk kampung sekitar pukul 10.30 pagi selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri di luar pintu rumah dengan darah di sekeliling badan dan pintu serta lampu terbuka.

    Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pemeriksaan mendapati, terdapat kesan kecederaan di leher mangsa dipercayai kesan libasan senjata tajam.

    “Mangsa berkemungkinan meninggal dunia lebih dari 15 jam dari tempoh ditemui, berdasarkan keadaan tompokan darah yang telah beku dan bertukar warna.

    “Mangsa tinggal seorang diri dan kali terakhir lelaki itu dilihat sekitar pukul 6.30 petang semalam ketika berdiri di luar rumah. Mangsa ada menyapa penduduk kampung yang melalui jalan ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Katanya, selepas itu mangsa tidak kelihatan sehingga ditemukan pagi ini oleh seorang penduduk yang datang ke rumah kerana mahu meminjam pam racun,.

    Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, tiada sebarang pergelutan atau kesan pecah masuk rumah di tempat kejadian.

    Katanya, barang-barang berharga milik mangsa termasuk sejumlah wang tunai yang disimpan dalam dompet juga tidak terusik.

    “Jadi buat masa ini, kita menolak andaian bahawa kes ini membabitkan kes samun.

    “Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui motif sebenar kejadian termasuk suspek terlibat, senjata digunakan juga masih belum dapat dikesan,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

    Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • Tiada buat transaksi tapi wang RM10,000 lesap

    Tiada buat transaksi tapi wang RM10,000 lesap

    SEORANG lelaki kerugian apabila pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 lesap selepas ditipu sindiket penipuan kewangan.

    Menurut mangsa yang berusia 40-an dan enggan dikenali, dia membuat pengeluaran itu pada April lalu dan wang berkenaan sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun sebuah bank pada 21 April.

    “Namun, pada hari sama berlaku tiga transaksi iaitu dua pindahan wang dan satu lagi menggunakan e-walet.

    “Apabila saya menghubungi bank, pihaknya mengesahkan terdapat pengeluaran dan pembelian berlaku menggunakan wang di dalam akaun milik saya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya, hari ini.

    Dia sehingga kini hairan bagaimana pihak bank boleh membenarkan transaksi itu berlaku.

    “Saya tidak mengenali individu yang mengeluarkan wang saya itu, ketika bertanya pihak bank mereka memaklumkan tidak dapat berbuat apa-apa.

    “Saya juga membuat laporan polis pada 23 April lalu, dan turut diminta merujuk perkara berkenaan kepada pihak bank,” katanya.

    Sementara itu, Chean Chung berkata, pihaknya memandang serius kelemahan yang wujud pada keselamatan sistem perbankan.

    “Persoalannya mengapa tiada tindakan lanjut daripada pihak bank untuk membuat pengesahan pengeluaran wang berkenaan,” katanya.

    Dalam pada itu, Fahmi Fadzil berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memerangi penipuan kewangan dan scammer.

    “Dianggarkan tiga mangsa bagi setiap jam menjadi mangsa penipuan dengan kerugian sekitar RM30,000 bagi setiap seorang,” katanya.

  • Merusuh: Peniaga buah mengaku salah, diarah berkelakuan baik selama 3 tahun

    Merusuh: Peniaga buah mengaku salah, diarah berkelakuan baik selama 3 tahun

    MAHKAMAH Majistret Ayer Keroh di Melaka hari ini memerintahkan seorang peniaga buah berkelakuan baik selama tiga tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan terlibat dalam kegiatan rusuhan bersenjata sehingga menyebabkan kecederaan, tujuh tahun lepas.

    Majistret Mazana Sinin, yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Boon Jin, 25, turut mengenakan bon jaminan sebanyak RM1,000 dan tertuduh akan didakwa jika gagal berkelakuan baik sepanjang tempoh tersebut.

    Terdahulu, peguam Kent Tan memohon supaya tertuduh dijatuhi hukuman berkelakuan baik atas alasan ketika kejadian, anak guamnya berumur 17 tahun.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama beberapa individu yang masih bebas dengan menggunakan senjata sehingga mendatangkan kecederaan di depan sebuah restoran di Jalan Cheng Baru, Lebuh AMJ di Melaka pada 9 malam 2 Sept 2015 mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nur Shaari. – Bernama

  • Maria Chin dapat kebenaran cabar prosiding komital mahkamah syariah

    Maria Chin dapat kebenaran cabar prosiding komital mahkamah syariah

    AHLI Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah hari ini mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding undang-undang bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan prosiding komital terhadapnya kerana mengkritik keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas isteri seorang ahli perniagaan.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh juga membenarkan permohonan Maria untuk mendapatkan perintah penangguhan prosiding komital di Mahkamah Syariah sementara menunggu permohonan semakan kehakiman itu selesai.

    Hakim membenarkan permohonan Maria untuk semakan kehakiman selepas memutuskan beliau tidak mencabar mana-mana bahagian undang-undang Islam yang termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah tetapi beliau mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah berhubung prosiding komital terhadapnya.

    Beliau berkata, Maria (pemohon) mengemukakan permohonan berdasarkan haknya di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.

    “Tidak kira sama ada beliau Ahli Parlimen atau penjaja jalanan, mahkamah tidak akan berdiam diri. Pemohon sudah mengemukakan bahan yang cukup untuk berhujah bahawa prosiding penghinaan itu boleh dicemari dengan ketidakpatuhan prosedur,” kata hakim ketika menyampaikan keputusan melalui prosiding dalam talian.

    Beliau kemudian menetapkan 15 September bagi pengurusan kes.

    Maria, 65, memfailkan permohonan itu pada 3 Mac tahun lalu, menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada masa itu, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Kehakiman Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden pertama hingga ketiga.

    Maria, antara lain, memohon satu perintah certiorari membatalkan tindakan dan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bertarikh 14 Oktober 2019 yang membenarkan Perintah Kebenaran Pengkomitan dan Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan ke atasnya.

    Maria mendakwa pengeluaran perintah dan notis itu adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta menyalahi Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998).

    Pada 4 Disember 2020, Maria diperintah mengemukakan tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah itu.

    Ini berikutan mahkamah berkenaan menolak permohonannya untuk mendapatkan tempoh lanjutan masa bagi mencabar keputusan mahkamah itu membenarkan prosiding menghina mahkamah (komital) dimulakan terhadapnya.

    Permohonan untuk memulakan prosiding komital itu dikemukakan oleh seorang ahli perniagaan berikutan Maria mengeluarkan komen dan mengkritik keputusan mahkamah yang memerintahkan hukuman penjara tujuh hari dijatuhkan terhadap bekas isterinya, Emilia Hanafi kerana mengubah tarikh lawatan anak-anaknya untuk bersama bapa mereka.

    Peguam Rosli Dahlan mewakili Maria manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly bertindak bagi kesemua responden.

  • LCS: Dialog Group nafi CFO syarikat pemegang saham Alizes Marine Limited

    LCS: Dialog Group nafi CFO syarikat pemegang saham Alizes Marine Limited

    DIALOG Group Berhad menafikan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat, Zainab Mohd Salleh adalah salah seorang pemegang saham syarikat pesisir luar pantai, Alizes Marine Limited yang terkait dengan skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).

    Penjelasan itu susulan CFO syarikat berkenaan dikaitkan dengan skandal LCS di media sosial.

    “Kami ingin memaklumkan bahawa CFO dan Setiausaha Syarikat Bersama, Zainab Mohd Salleh telah disalah anggap sebagai seorang pemegang saham Alizes Marine Limited.

    “Beliau merupakan isteri kepada Dr Noor Azmi Mat Adenan, perunding ginekologi-onkologi di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC),” kata kenyataan ringkas syarikat itu di Facebook.

    Mengulas lanjut, Dialog Group menegaskan, sebarang tuduhan palsu yang dilemparkan terhadap syarikat itu termasuk pengarah-pengarah dan kakitangannya tidak akan diambil ringan.

    “Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang atas sebarang tuduhan atau kenyataan yang mengelirukan.”

    Sebelum itu, beberapa muat naik di media sosial mendakwa CFO Dialog Group, Zainab Mohd Salleh mempunyai kaitan dengan skandal LCS melalui syarikat Alizes Marine Limited.

    Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa kertas siasatan dalaman LCS menunjukkan individu bernama Zainab Mohd Salleh terlibat dalam dua syarikat pesisir luar pantai, Alizes Marine Limited dan Alizes Marine Labuan.

    Beliau turut mendakwa Zainab merupakan isteri kedua kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

    Berikutan itu, Dr Abdul Latiff dalam satu kenyataan menafikan Zainab Mohd Salleh adalah isteri beliau.

  • Abang dipenjara 10 bulan ugut bunuh adik

    Abang dipenjara 10 bulan ugut bunuh adik

    MAHKAMAH Majistret Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap seorang buruh kerana mengugut mahu menyebabkan kematian adik perempuannya.

    Keputusan itu dibuat Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas tertuduh, Ashimatuddin Ali, 33, mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah untuk menyebabkan kematian terhadap adik perempuannya berusia 28 tahun sehingga menimbulkan ketakutan terhadap mangsa.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah pada 5.10 petang, 17 Ogos lalu, lapor Harian Metro.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

    Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 18 Ogos lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iffah Nabihah Mohd. Ishak.

    Dalam kejadian itu, tertuduh dikatakan bertindak sedemikian selepas mangsa enggan meminjamkan motosikal miliknya.

    Tindakan itu menyebabkan tertuduh naik angin dan mengugut mahu menyebabkan kematian adiknya.