POLIS menahan seorang lelaki dalam serbuan di Kampung Air Belaga, Ulu Sat, Machang, pada pukul 11.50 malam, Isnin lalu kerana memiliki pistol dan pelbagai senjata tajam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam serbuan itu pihaknya terpaksa memecahkan pintu hadapan untuk membuat pemeriksaan.

“Semasa serbuan, berlaku pergelutan dengan seorang lelaki yang berasal dari Gua Musang yang ketika itu berada di atas katil dalam sebuah bilik.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut menjumpai sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria warna hitam dan sebiji peluru di dalam ‘chamber’,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, turut ditemui empat butir peluru hidup dalam kelopak, dua bilah keris kecil, sembilan pedang dan sebilah parang berhulu kayu.

Muhamad Zaki berkata, satu plastik lut sinar mengandungi 165 biji pil berwarna kemerahan, satu straw berisi serbuk warna putih dan empat papan aluminium foil berwarna silver yang mengandungi 20 biji pil warna putih disyaki dadah turut dirampas.

Katanya, suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau dan empat rekod narkotik itu turut dikesan positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek direman bermula 16 hingga 29 Ogos untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Kes akan disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (3) akta sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here