POLIS Pulau Pinang menahan empat lelaki warga asing kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki yang juga warga asing yang mayatnya dijumpai dengan kesan tikaman dalam kejadian di Bukit Gedung semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, polis menerima maklumat berhubung satu pergaduhan membabitkan sekumpulan warga asing di kawasan itu pukul 11 malam semalam.

Jelas beliau, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, seorang lelaki warga asing berusia 32 tahun dijumpai terbaring dengan kesan kecederaan tikaman di badan dan disahkan telah meninggal dunia.

“Susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki warga asing berusia 31 hingga 45 tahun di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Kesemua mereka bekerja sebagai tukang cuci; penjaga kedai runcit; buruh binaan dan pekerja kilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian disyaki akibat dendam, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Jelasnya, kesemua warga asing yang ditahan itu direman selama tujuh hari sehingga 28 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here