Category: Mahkamah

  • Anggota Rela didakwa bunuh rakan karib

    Anggota Rela didakwa bunuh rakan karib

    SEORANG anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang hari ini atas pertuduhan membunuh rakan karibnya.

    Mengikut pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda, tertuduh Chow Lee didakwa membunuh Fong Swee Fuan, 65, di sebuah bangsal di belakang sebuah tokong Cina, bersebelahan pondok Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Taman Raya Wakaf Tapai kira-kira pukul 1.55 petang pada 23 Julai lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum mahkamah menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah.

    Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut, manakala anak saudaranya cedera parah ditembak rakan baik menggunakan senapang patah dalam kejadian di sebuah pondok Kawasan KRT Taman Raya Wakaf Tapai Marang.

    Dalam kejadian tersebut, mangsa ditemui maut dalam keadaan terduduk di atas kerusi.

    Anak saudara mangsa, Teo Hock Beng, 45, pula dijumpai terbaring di lokasi kejadian dengan kecederaan parah pada bahagian dada dan menerima rawatan lanjut di Hospital Hulu Terengganu.

  • Suri rumah menangis teresak-esak, didenda hina Agong

    Suri rumah menangis teresak-esak, didenda hina Agong

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM9,000 terhadap seorang suri rumah kerana menghina Yang di-Pertuan Agong pada Mei lalu.

    Rosmawati Mohd. Zain, 46, yang menangis teresak-esak mengaku mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui profil Facebook Rosmawati Mohd. Zain.

    Hantaran dibuat 25 Mei lalu pada pukul 7.06 malam dan dibaca pada pukul 1.06 tengah hari, 1 Jun lalu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

    Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, serta boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Mengikut fakta kes, pada hari kejadian anggota polis mendapati terdapat komen daripada profil Rosmawati dengan tangkap layar jelik.

    Hasil siasatan mendapati, akaun itu didaftarkan atas nama Rosmawati dan bertanggungjawab secara sedar melakukan kesilapan tersebut.

    Semasa prosiding, wanita itu yang tidak diwakili peguam mengaku kesal dengan perbuatan yang dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya.

    “Ketika itu saya terlalu tertekan dan meluahkan perasaan di Facebook sehingga menyebabkan saya melakukan tindakan bodoh.

    “Yang Arif, tolonglah kurangkan denda saya kerana tidak mampu membayar denda sebanyak itu,” katanya.

    Rosmawati berkata, empat anaknya masih bersekolah dan anak keduanya akan melanjutkan pelajaran di universiti awam tidak lama lagi.

    Menurutnya, dia cuma seorang suri rumah dan mengharapkan pendapatan suami.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad berkata, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman yang memberi keinsafan kepada tertuduh dan mesej kepada masyarakat supaya tidak sesekali mengulangi jenayah sama.

    “Kes hari ini melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Baginda paling dihormati dalam sistem berperlembagaan, maka saya memohon tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pengajaran,” katanya.

  • Rasuah: Kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah direman bantu siasatan

    Rasuah: Kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah direman bantu siasatan

    LIMA individu termasuk empat kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah di Kedah direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah pada 2019 dan 2020.

    Perintah reman ke atas mereka yang berusia 48 hingga 57 tahun termasuk seorang wanita itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di Alor Setar.

    Menurut sumber SPRM, mereka disyaki menerima rasuah daripada seorang pemilik tanah sebagai balasan mendaftarkan 41 nama pemilik lain ke dalam hak milik tanah tanpa melalui urusan pindah milik tanah yang sah.

    Katanya kelima-limanya ditahan antara 8.20 pagi hingga 4.20 petang semalam di beberapa lokasi di sekitar Alor Setar, Pendang dan Langkawi untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan perkara itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk mengesan jika terdapat individu lain disyaki turut terlibat dalam kes itu.

  • Penjual daging didakwa edar dadah terlepas hukuman gantung

    Penjual daging didakwa edar dadah terlepas hukuman gantung

    SEORANG penjual daging di pasar awam terselamat daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Georgetown hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 59.7 kilogram (kg) tiga tahun lalu.

    Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sahul Hamid Mohd, 44, di akhir kes pendakwaan.

    Dalam penghakimannya beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai milikan terhadap dadah itu.

    “Setelah menilai kes pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh memiliki dadah yang dirampas dan kereta yang mengandungi dadah berkenaan, maka tidak timbul isu pengedaran dadah,” katanya.

    Menurutnya sembilan saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan, namun terdapat percanggahan daripada dua keterangan saksi mengenai tarikh gambar barang rampasan yang diambil sehingga menimbulkan keraguan.

    “Mengikut keterangan saksi juga, tiada cap jari tertuduh yang ditemui dalam kereta mahupun di guni daun kanabis yang dirampas,” katanya.

    Mengikut pertuduhan, Sahul Hamid didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 59,708.4 gram di kawasan parkir kereta Pasa Raya Tesco Extra Sembilang, di Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah pada pukul 3.15 petang, 8 Januari 2018.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari, manakala tertuduh diwakili peguam S. Rethinakumar dan T. Tamilsalvan.

    Sahul Hamid yang berbaju T putih dan seluar jeans kelihatan sebak dan memeluk ahli keluarganya selepas keputusan mahkamah.

  • Pemandu bas tak mengaku salah cabul kanak-kanak perempuan

    Pemandu bas tak mengaku salah cabul kanak-kanak perempuan

    SEORANG pemandu bas sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas pertuduhan melakukan kesalahan seksual ke atas seorang murid perempuan berusia 10 tahun, dua tahun lalu.

    Tertuduh K.Ravichandran, 53, selain itu minta kesnya agar dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

    Dia didakwa menyentuh kemaluan kanak-kanak itu di atas motosikalnya yang dinaiki budak perempuan tersebut ketika dalam perjalanan dari sekolah ke rumah mangsa di sini, antara pukul 1 hingga 1.25 petang, 6 Ogos 2019.

    Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

    Tertuduh juga hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis bagi tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih tiga tahun sepertimana di bawah Seksyen 295 (1A) Kanun Prosedur Jenayah, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Shamini Karunananthan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept depan untuk sebutan semula kes.

  • Warga emas seks luar tabii dengan kambing direman 7 hari

    Warga emas seks luar tabii dengan kambing direman 7 hari

    LELAKI warga emas yang dipercayai melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina sehingga menyebabkan haiwan itu mati di Serendah, Selangor, kelmarin direman selama tujuh hari.

    Perintah reman itu dibenarkan oleh Penolong Pendaftar Mohamad Azrul Muhd Sabri di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini.

    Lelaki berusia 60 tahun itu yang memakai t-shirt dibawa dengan trak diiringi dua anggota polis dari Balai Polis Sentosa.

    Suspek dirakam memasuki perkarangan mahkmah pada pukul 9.20 pagi.

    Mohamad Azrul membenarkan suspek direman bermula hari ini hingga 4 Ogos bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 377/289 Kanun Keseksaan.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan kes terbabit untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.

    Tindakan jijik lelaki warga emas itu melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina dalam kejadian di Kampung Sungai Buaya, Serendah dekat Hulu Selangor, mendapat liputan meluas media semalam.

    Insiden itu hanya diketahui pemilik kambing terbabit setelah dia mendengar kambingnya yang berada di belakang rumah mengeluarkan bunyi pelik kira-kira pukul 1.30 tengah hari, kelmarin.

    Wanita yang juga pemilik kambing itu kemudiannya keluar memeriksa haiwan peliharaannya sebelum mendapati seorang lelaki yang dikenalinya bangun daripada sebelah haiwan berkenaan dalam keadaan separuh bogel.

    Lelaki itu kemudiannya melarikan diri dan hasil pemeriksaan wanita berusia 45 tahun tersebut mendapati haiwan peliharaannya sudah mati dan membuat laporan polis, tidak lama kemudian.

  • Pekebun durian mengaku tidak bersalah ceroboh Hutan Simpan Batu Talam

    Pekebun durian mengaku tidak bersalah ceroboh Hutan Simpan Batu Talam

    LIMA lelaki termasuk dua pekebun durian Musang King mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Raub, hari ini atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Batu Talam di mukim Tras di sini, awal bulan ini.

    Mereka ialah Wong Than Fook, 49, Chiah Kin Seng, 54 dan anaknya Lavin Chiah Zhe Yueng, 21, serta dua warga Indonesia iaitu Kanir, 32, dan Shah Ronny Rusly, 45.

    Chiah dan anaknya serta dua tertuduh warga Indonesia didakwa memasuki kompartmen 175 hutan itu tanpa permit masuk pada 10.36 pagi, 3 Julai lalu manakala Wong didakwa melakukan perbuatan itu pada 10 pagi, 8 Julai lalu.

    Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 47(1)(c) Akta Perhutanan Negara 1984 yang diterima pakai Kerajaan Pahang di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 47(4) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Afidatul Azwa Kamarulanuar menawarkan jaminan RM8,000 kepada Chiah dan Lavin serta RM5,000 untuk Wong manakala tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua warga Indonesia itu.

    Bagaimanapun, peguam Samantha Chong Yin Xin memohon mahkamah membenarkan jaminan diberikan kerana kedua-dua tertuduh itu mempunyai pasport dan permit kerja yang sah selain kesalahan yang dipertuduhkan adalah kesalahan boleh dijamin.

    Beliau juga memohon mahkamah memberikan jaminan munasabah memandangkan jumlah ditawarkan agak tinggi berbanding pendapatan bulanan anak guamnya antara RM1,400 dan RM4,200.

    Peguam itu berkata Lavin masih menuntut di sebuah kolej di ibu negara dan sedang menjalani latihan industri, selain mempunyai janji temu vaksinasi Covid-19 esok.

    “Semua tertuduh difahamkan telah dilepaskan dengan jaminan polis pada hari kejadian dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis serta Jabatan Perhutanan. Mereka hadir ke mahkamah walaupun hanya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat petang semalam,” katanya.

    Turut mewakili tertuduh ialah peguam Chong Kar Yan.

    Hakim Ahmad Faizadh Yahaya membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin kepada semua tertuduh kecuali Lavin, dengan syarat tertuduh warga Indonesia perlu mengemukakan penjamin warga tempatan.

    Jaminan bagi Lavin ditetapkan pada RM2,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 September ini.

  • Doktrin palsu agama Islam: Ibu Yati, 2 individu mengaku tak bersalah

    Doktrin palsu agama Islam: Ibu Yati, 2 individu mengaku tak bersalah

    TIGA individu termasuk bekas wartawan, Wan Norhayati Wan Alias atau lebih dikenali sebagai Ibu Yati mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor hari ini atas pertuduhan menjelaskan doktrin palsu berkaitan agama Islam termasuk melalui Facebook, antara Disember tahun lepas hingga Februari tahun ini.

    Ketiga-tiga tertuduh Wan Norhayati, 42, Noorafiza Ahmad, 46, dan Abdul Hamid Yeop Zainnuddin, 60, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii.

    Wan Norhayati dan Noorafiza masing-masing menghadapi tiga dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 iaitu menjelaskan doktrin yang bertentangan dengan hukum syarak, lapor Bernama.

    Abdul Hamid pula menghadapi dua pertuduhan di bawah seksyen yang sama serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 kerana mempersendakan ayat al-Quran.

    Di bawah Seksyen 7 Enakmen tersebut, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga tahun, denda RM5,000 atau enam sebatan atau kombinasi kesemua hukuman itu.

    Di bawah Seksyen 9 Enakmen yang sama, sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    Wan Norhayati dan Noorafiza dituduh melakukan kesemua kesalahan itu pada 2 Disember hingga 2 Februari lepas menggunakan akaun Facebook masing-masing, sementara Abdul Hamid pula kira-kira pukul 9 malam pada 2 Februari di Taman Dato Razali, Kampung Melayu Ampang dekat sini.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Zainor Rashid Hassim dan kesemua tertuduh diwakili Peguam Wan Amir Akram Zainal Abidin.

    Mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM11,000 kepada Wan Norhayati, RM5,000 kepada Noorafiza dan RM9,000 kepada Abdul Hamid dengan masing-masing dua penjamin dan kesemua mereka perlu melapor diri di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat serta dilarang memuat naik apa-apa status dalam media sosial.

    Kes bagi Wan Norhayati dan Noorafiza akan disebut semula pada 2 November ini manakala Abdul Hamid pada 18 Jan 2022.