Category: Mahkamah

  • Rogol berkumpulan: 7 remaja direman lima hari

    Rogol berkumpulan: 7 remaja direman lima hari

    Oleh Mohd Lazim Endut

    TUJUH remaja lelaki direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes rogol berkumpulan terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, awal tahun ini.

    Perintah tahanan reman bermula hari ini sehingga Isnin depan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Nor Faezah Abdullah terhadap semua suspek, lapor Harian Metro.

    Semua remaja terbabit ditahan untuk membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan kerana disyaki rogol berkumpulan.

    Mereka disyaki melakukan kesalahan tersebut beberapa kali sebelum ditahan susulan laporan polis dibuat mangsa.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris mengesahkan tujuh remaja lelaki itu ditahan reman selama lima hari.

    Katanya, kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi di sekitar Kota Bharu, semalam.

    “Mereka direman untuk siasatan mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan kerana disyaki rogol berkumpulan.

    “Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut,” ujarnya.

  • Tidak hadir perbicaraan, Hakim berang dengan Najib

    Tidak hadir perbicaraan, Hakim berang dengan Najib

    Oleh Abu Ubadillah Rahman

    HAKIM Mahkamah Tinggi yang mendengar kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak, berang kerana bekas Perdana Menteri itu tidak hadir pada prosiding perbicaraan, pagi ini.

    Sebaik saja perbicaraan kes itu bermula pada jam 9.30 pagi, peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Najib memaklumkan mahkamah, anak guamnya dipanggil ke Istana Negara bagi mengesahkan sokongannya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

    Menurut Rahmat, Najib dan Ahli Parlimen dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    “Bagaimanapun, tidak diketahui masa spesifik untuk Najib akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

    “Najib dijangka beredar dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menuju ke istana pada jam 10.30 pagi,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Mendengar perkara itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah berang dan berkata, Najib seharusnya hadir di mahkamah terlebih dahulu.

    “Yang di-Pertuan Agong memanggil semua Ahli Parlimen untuk menghadap dan beliau sememangnya perlu berada di sana. Namun, laporan media menyatakan, ia akan dilakukan secara berperingkat.

    “Anak guam anda perlu memaklumkan kepada mahkamah jam berapa beliau perlu berada di istana kerana kes ini akan diteruskan,” katanya sebelum menangguhkan perbicaraan selama 10 minit.

    Tambah beliau, perbicaraan itu akan diteruskan dan meminta peguam untuk memaklumkan mengenai pertemuan Najib dengan Agong.

    Namun, mahkamah kemudian memaklumkan perbicaraan kes akan disambung pada jam 2.30 petang.

  • Lesen terbang:’Runner’ JPJ didakwa terima rasuah

    Lesen terbang:’Runner’ JPJ didakwa terima rasuah

    Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM9,500 pada 2017.

    Mohammad Khairie Marzuki, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Zahari Abdul Hamid. 

    Tertuduh didakwa menerima rasuah daripada tiga individu sebagai dorongan kononnya seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dikenali tertuduh boleh mengeluarkan lesen memandu kepada ketiga-tiga individu itu tanpa perlu melalui ujian memandu.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohammad Khairie yang bekerja sendiri sebagai ‘runner’ JPJ, didakwa menerima wang tunai RM3,500 daripada Noor Amira Nordin dan Mohd Syazwan Shafihi, masing-masing sebagai dorongan bagi mengeluarkan Lesen Memandu Kelas B2 dan D, di kawasan parkir di hadapan dan belakang bangunan Kompleks Bukit Jambul, Bayan Lepas, pada 2017.

    Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohammad Khairie didakwa menerima wang tunai RM2,500 daripada Mohamad Zulhilmi Din Selamat sebagai dorongan bagi mengeluarkan Lesen Memandu Kelas D di sebuah pangsapuri di Jalan Rumbia, Bayan Lepas, pada tahun sama.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Ahmad Zahari membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Pulau Pinang dan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

    Mahkamah menetapkan 29 Sept depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Selvaranjini, Mohamad Azlan Basri dan Siti Mastura Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Zaki Shah. – BERNAMA

  • Bicara 1MDB tangguh, Najib perlu hadir mesyuarat BN

    Bicara 1MDB tangguh, Najib perlu hadir mesyuarat BN

    PERBICARAAN kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ditangguhkan ke 2.30 petang tadi kerana bekas Perdana Menteri itu perlu menghadiri mesyuarat penting di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 pagi berhubung pilihan calon untuk jawatan Perdana Menteri.

    Memetik laporan Bernama, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Najib untuk menghentikan bicara sesi pagi pada 10.45 pagi kerana Ahli Parlimen Pekan itu perlu menghadiri mesyuarat itu.

    “Bolehkah saya menyatakan untuk rekod bagi mengelakkan keraguan bahawa saya membenarkan permintaan tertuduh kerana berikutan isu semasa negara pada masa ini, dan saya rasa pentingnya mesyuarat ini untuk mencapai resolusi.

    “Jadi ia hanya disebabkan perkara ini dan saya tidak mahu tanggapan bahawa permohonan pada mesyuarat lain atau acara lain dibenarkan. Hanya permohonan ini. Saya benarkan beliau untuk menghadiri mesyuarat ini tetapi kita harus teruskan semula pada 2.30 petang. Jadi jumpa anda pada 2.30 petang,” tegas hakim itu.

    Terdahulu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah, parti Barisan Nasional (BN) akan mengadakan mesyuarat penting hari ini berhubung pemilihan calon jawatan perdana menteri pada 11 pagi ini.

    “Anak guam saya adalah penasihat BN, beliau perlu berada di sana bersama Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan pemimpin parti yang lain untuk membuat keputusan,” kata peguam itu.

    Prosiding pagi ini dimulakan dengan keterangan Mohd Hazem Abd Rahman, 49, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, dalam pemeriksaan balas oleh Muhammad Shafee mengenai transaksi berjuta-juta wang daripada 1MDB.

    Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

    Semalam, Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat khas di tempat yang sama untuk membincangkan calon parti untuk jawatan perdana menteri, yang namanya akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan semalam pula memaklumkan, semua Ahli Dewan Rakyat diminta menghantar surat akuan bersumpah kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9.

    Surat akuan itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum 4 petang hari ini, atau ia tidak akan diambil kira.

  • Pemuda menyamar doktor diarah jalani khidmat masyarakat 120 jam

    Pemuda menyamar doktor diarah jalani khidmat masyarakat 120 jam

    SEORANG pemuda dari Bandar Baru Semariang diarahkan menjalani perintah khidmat masyarakat selama 120 jam atas kesalahan menyamar sebagai doktor di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

    Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zubaidah Sharkawi terhadap Shah Hairil Izman Dave, 20, setelah meneliti laporan sosial dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.

    Tertuduh pada 6 Julai lalu mengaku bersalah di atas pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

    Oleh itu, mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar laporan sosial dan seterusnya menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

    Mahkamah kemudiannya memutuskan tertuduh dijatuhi hukuman Perintah Khidmat Masyarakat sebanyak 120 jam agregat dalam tempoh satu tahun mengikut Seksyen 293(1)(e) Kanun Tatacara Jenayah.

    Tertuduh didakwa menyamar sebagai pegawai perubatan (doktor) pada 16 Jun sehingga 1 Julai 2021 di PPV Stadium Perpaduan Petra Jaya, di sini.

    Siasatan polis juga mendapati tertuduh memiliki pas kakitangan palsu Hospital Umum Sarawak (HUS).

    Difahamkan, tertuduh pernah pergi ke HUS kira-kira 32 kali untuk menyamar sebagai doktor.

    Dia juga dikatakan telah membeli peralatan seperti baju scrub berwarna merah dan biru, stetoskop, oksimeter nadi dan menempah cap atas nama Dr. Shah Hairil Izwan.

    Tertuduh bagaimanapun ditahan polis di PPV Stadium Perpaduan Petra Jaya kira-kira pukul 3 petang pada 1 Julai 2021.

    Ini selepas seorang doktor lelaki berusia 25 tahun yang juga pengadu mendapati tertuduh mempamerkan perbuatan mencurigakan di PPV tersebut.

    Pengadu kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Empat lelaki didakwa hina Yang di-Pertua Negeri Melaka

    Empat lelaki didakwa hina Yang di-Pertua Negeri Melaka

    EMPAT lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam, akhir bulan lepas.

    Muhamad Ali Aswad Asngadu, 28, Mohd Hermy Rahim, 34, Ahmad Zaki Yamani Zainon, 45, dan Mohd Hafizuddin Rahmad, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

    Kesemua tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet melalui laman profil Twitter milik masing-masing secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen bersifat jelik ke atas Mohd Ali pada 28 Julai lepas.

    Hantaran komen dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain itu telah dibaca pengadu pada 29 Julai sekitar pukul 1.07 pagi di Ujong Pasir, Kampung Atap di sini.

    Kesemua tertuduh, masing-masing bekerja sebagai jurutera, ahli perniagaan, jurujual dan penyelia itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

    Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Timbalan Pendakwa Raya N. Sivasangari menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 setiap seorang selepas mengambil kira kerugian yang dialami mangsa.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Sept depan dengan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis pada setiap bulan serta tidak mengganggu saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.

    Peguam Saiful Ambar Abdullah mewakili Ahmad Zaki Yamani manakala tiga tertuduh lain diwakili peguam P. Purshotaman. – BERNAMA

  • Kes rogol ADUN Tronoh:Tiada kesan air mani dijumpai – Jabatan Kimia

    MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini dimaklumkan bahawa analisis yang dijalankan oleh Jabatan Kimia Malaysia ke atas beberapa eksibit dalam kes rogol membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong tidak menemukan kesan air mani.

    Pegawai Sains Jabatan Kimia Bahagian Forensik Nor Aidora Saedon berkata eksibit yang dihantar kepadanya untuk dianalisis termasuk pakaian dari tempat kejadian iaitu baju, seluar, seluar dalam serta keratan tilam.

    “Saya telah menjalankan ujian asid fosfatase bagi mengenal pasti kehadiran air mani dan saya juga telah melihat beberapa tompokan yang ditandakan sebelum ia dihantar kepada saya. Keputusan ujian menunjukkan bahawa tiada kesan air mani dijumpai pada pakaian-pakaian tersebut.

    “Ujian asid fosfatase adalah ujian yang sahih bagi pengenalpastian ujian air mani maka kenapa ia tiada, tidak dapat saya jawab,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

    Saksi pendakwaan ke-17 itu juga berkata kesan air mani pada mop pula tidak dapat dikesan dengan ujian itu atas beberapa faktor antaranya kerana ketiadaan air mani, telah dibasuh dengan bersih atau ada namun terlalu sedikit dan telah mengalami degradasi akibat suhu melampau (suhu tinggi dan kelembapan tinggi).

    Nor Aidora turut memaklumkan pengesanan air mani melalui proses ‘polilight’ bukan satu analisis pengesahan dan ia hanya dilakukan sebelum analisis asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia.

    Beliau berkata analisis itu turut tidak mengesan kehadiran DNA pada beberapa helai rambut atas beberapa faktor iaitu ketiadaan akar rambut yang masih mempunyai DNA serta belum mengalami degradasi dan jika ada, DNA itu telah mengalami degradasi akibat suhu tinggi atau kelembapan melampau.

    Ketika disoal balas oleh peguam Datuk Rajpal Singh, saksi itu bersetuju bahawa ujian polilight bukan hanya melibatkan kehadiran air mani tetapi juga cecair lain sama ada biologi atau air teh yang boleh menunjukkan hasil warna hampir sama.

    Katanya laporan kimia turut mengesan satu profil DNA campuran daripada ekstrak sel bukan sperma terdiri daripada sekurang-kurangnya dua individu pada putik kapas yang mana DNA yang terdapat adalah lemah dan tidak konklusif hingga tiada perbandingan dapat dilakukan dengan spesimen darah yang diterima.

    Turut memberi keterangan Juruanalisa Siasatan Audio Video Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia Cheras ASP Latifah Abdul Aziz sebelum prosiding ditangguhkan pada 5 petang dan bersambung pagi esok.

    Pendakwaan dikendalikan Azlina dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin manakala pembelaan diketuai Rajpal.

    Mahkamah telah mendengar keterangan 18 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula 5 April lepas.

    Yong, 51, didakwa atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia di kediamannya di Meru Desa Park di sini antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019 mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

    Yong telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.- BERNAMA

  • Kemuka tuntutan palsu: Kontraktor dipenjara selepas gagal bayar denda RM1.5 juta

    Kemuka tuntutan palsu: Kontraktor dipenjara selepas gagal bayar denda RM1.5 juta

    SEORANG kontraktor terpaksa meringkuk dalam penjara selepas gagal membayar denda RM1.5 juta kerana menggunakan dokumen palsu ketika membuat tuntutan berjumlah RM512,090 kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2014 dan 2015.

    Nazrul Idham Abu Nasir, 44, dihantar ke Pusat Koreksional Kamunting di Perak untuk menjalani hukuman penjara selama 36 bulan.

    Dia berdepan enam pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, bagi setiap pertuduhan berkenaan.

    Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman denda RM500,000 atau penjara 12 bulan bagi pertuduhan pertama, kedua dan keenam selepas Nazrul Idham mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

    Bagi tiga lagi pertuduhan, mahkamah mengguna pakai pertimbangan di bawah seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

    Nazrul Idham didakwa menggunakan lima invois palsu atas nama Hatching Technology Sdn Bhd berkaitan perkhidmatan membekal dan menyediakan perkhidmatan pakej latihan Pusat Kecemerlangan Industri: Pembangunan Modal Insan Dalam Sektor Pemborongan dan Peruncitan yang setiap satunya berjumlah RM98,518.

    Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di depan UUM pada 10 Mac 2015.

    Bagi pertuduhan kedua hingga kelima pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Kerjasama Universiti Industri (CUIC) UUM antara 17 Mac 2015 hingga 19 Mei 2015.

    Bagi pertuduhan keenam, Nazrul Idham didakwa menggunakan satu invois berkaitan perkhidmatan membekal dan menyediakan pakej latihan ‘dashboard’ untuk peserta program anjuran CUIC di Universiti Malaya, Kuala Lumpur bertarikh 21 Jan 2014 dan invois Hatching Technology Sdn Bhd bagi membuat tuntutan berjumlah RM19,500 .

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CUIC UUM di Sintok pada 30 Jan 2014.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Evawani Farisyta Mohammad.- BERNAMA

  • Dua pemimpin Amanah bergaduh mengaku tidak bersalah

    Dua pemimpin Amanah bergaduh mengaku tidak bersalah

    SEORANG ahli Jawatankuasa Amanah Perak, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Naib Ketua Wanita Amanah Kawasan Teluk Intan pada 14 Oktober tahun lalu.

    Tertuduh, Safarizal Saleh, 43,membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Adilah Mokhtar.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mengakibatkan kecederaan kepada Zulaiha Mohd Azam di Hotel Rivertel, Jalan Changkat Jong di sini, pada pukul 9.30 malam.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Shuh Yuan, manakala tertuduh diwakili peguam, Akhiruddin Mohamad Taib.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 20 Oktober ini.

    Sementara itu, di mahkamah sama, Zulaiha, 32, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap Safarizal.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

    Pendakwaan kes dibuat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

    Tertuduh yang diwakili peguam, Tejal Harash kemudiannya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 Oktober ini.

    Media sebelum ini melaporkan seorang wanita mendakwa ditumbuk, manakala kakaknya dikasari ketika menghadiri satu mesyuarat sebuah parti politik.

    Mereka mendakwa menerima jemputan menghadiri mesyuarat itu tetapi dihalang masuk ketika tiba di lokasi kejadian sebelum berlaku sedikit kekecohan.

  • Datuk Bandar JB bebas dengan ikat jamin berhubung siasatan kes rasuah

    Datuk Bandar JB bebas dengan ikat jamin berhubung siasatan kes rasuah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MAHKAMAH Majistret Johor Bahru hari ini membebaskan bekas Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud yang didakwa terlibat rasuah bagi projek berkaitan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan memberitahu, Majistret Normadiana Mamat

    membenarkan suspek yang juga bekas Datuk Bandar MBIP dengan jaminan RM50,000 tanpa deposit beserta seorang penjamin.

    “Beliau perlu hadir melapor diri pada tarikh yang ditetapkan ke Pejabat SPRM.
    Siasatan masih lagi dijalankan,” jelas kenyataan itu, hari ini.

    Rabu lalu, bekas Datuk Bandar Johor Bahru itu dikenakan tahanan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah ketika beliau menjawat jawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Islandar Puteri (MBIP).

    Beliau yang juga berusia 60 tahun itu didakwa telah menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek-projek yang dilaksanakan di bawah kendalian MBIP sewaktu menjadi Datuk Bandar.

    Siasatan terhadap beliau dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.