Category: Mahkamah

  • Suri rumah didenda RM5,000 sebar berita palsu mengenai COVID-19

    Suri rumah didenda RM5,000 sebar berita palsu mengenai COVID-19

    SEORANG suri rumah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kangar hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebarkan berita palsu berkaitan penularan jangkitan COVID-19, April lepas.

    Nor Sakinah Razelan, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Musyiri Peet dan dia juga berdepan hukuman penjara selama lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

    Nor Sakinah didakwa menggunakan aplikasi status WhatsApp melalui nombor yang didaftarkan atas namanya, dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar pada 10.31 pagi, di Lot 8664 Jalan Pauh, Kampung Belukar, Arau, 18 April lepas.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, tertuduh boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

    Pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri Mohd Nordin Ismail memohon supaya Nor Sakinah yang mempunyai tiga anak dikenakan hukuman setimpal di atas perbuatannya sebagai pengajaran kerana memuat naik berita yang tidak sahih dan benar mengenai penularan COVID-19.

    Peguam Mohd Hapiz Rajali yang mewakili Nor Sakinah merayu agar hukuman diringankan memandangkan tertuduh tidak bekerja manakala suaminya hanya seorang buruh selain menanggung perbelanjaan perubatan seorang anak lelakinya berusia tujuh tahun yang menghidap sakit buah pinggang. – BERNAMA

  • Penyelia asrama sekolah agama didenda RM,8000, penjara sehari terima rasuah

    Penyelia asrama sekolah agama didenda RM,8000, penjara sehari terima rasuah

    MAHKAMAH Sesyen Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman denda RM8,000 dan sehari penjara terhadap seorang penyelia asrama sebuah sekolah agama selepas atas kesalahan menerima suapan berjumlah RM5,800 pada 2017.

    Muhamad Rozi Ahmad Puad, 36, mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM5,800 pada 2017 selepas di hadapan

    Hakim S. Indera Nehru selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

    Sinar Harian melaporkan, tertuduh diperintahkan menjalani tambahan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, Muhamad Rozi sebagai penjawat awam iaitu penyelia asrama di Sekolah Menengah Agama al-Ulum al-Syar’iyyah dalam daerah Bagan Datuk telah memperoleh benda berharga daripada Ahmad Tarmizi Hariff untuk dirinya sendiri suatu suapan iaitu wang tunai RM5,800 melalui akaun bank milik tertuduh pada 31 Julai 2017.

    Wang suapan itu sebagai upah untuk tertuduh tidak membuat sebarang pemotongan terhadap tuntutan kontraktor perkhidmatan bekalan makanan bermasak secara Islam pada Julai 2017.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh yang telah berkahwin tidak diwakili peguam.

  • Mahkamah tangguh keputusan SIS cabar Enakmen Agama Islam Selangor

    Mahkamah tangguh keputusan SIS cabar Enakmen Agama Islam Selangor

    MAHKAMAH Persekutuan di Putrajaya hari ini menangguhkan keputusan berhubung tindakan undang-undang oleh Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) untuk mencabar peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri untuk mengkaji semula fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

    Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menangguhkan keputusan itu selepas mendengar hujah daripada peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS selaku pempetisyen dan Penasihat Undang-Undang Selangor Datuk Salim Soib@Hamid yang mewakili kerajaan negeri Selangor selaku responden.

    Peguam Zainur Zakaria dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang bertindak bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selaku pencelah juga berhujah pada prosiding yang dijalankan secara maya itu.

    “Kami akan CAV (curia advisari vult) perkara ini. Kami tangguhkan kes ini,” kata Hakim Tengku Maimun.

    Panel itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zaleha Yusof, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang.

    Pada 22 Sept tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada SIS untuk meneruskan tindakan perundangannya di Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

    SIS memohon kebenaran itu untuk mendapatkan satu deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak sah.

    Seksyen 66A menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah Enakmen ini.

    Terdahulu, Malik Imtiaz berhujah kuasa semakan kehakiman adalah intrinsik dan wujud dalam kuasa kehakiman mahkamah sivil.

    “Kuasa ini diberikan secara eksklusif di mahkamah sivil. Kuasa tersebut hanya boleh dilaksanakan oleh mahkamah yang ditubuhkan di bawah Bahagian XI Perlembagaan Persekutuan. Seperti yang dinyatakan dalam kes Indira Gandhi, Mahkamah Syariah bukanlah mahkamah seperti itu dan oleh itu tidak boleh menggunakan kuasa semakan kehakiman,” kata peguam itu.

    SIS memfailkan permohonan itu pada Januari lepas dan menamakan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden.

    Pada 27 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman SIS untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

    Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Nordin Hassan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan hukum syarak dalam Undang-Undang Syariah sambil menambah bahawa isu fatwa mempunyai kaitan dengan Undang-Undang Syariah dan terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

    Beliau berkata Seksyen 66A adalah ruang untuk memohon semakan kehakiman terhadap jawatankuasa fatwa di Mahkamah Tinggi Syariah.

    Bagaimanapun, rayuan SIS terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman pertubuhan itu belum selesai di Mahkamah Rayuan.

  • Pemegang amanah YAB hanya ‘boneka’, dikawal Zahid

    Pemegang amanah YAB hanya ‘boneka’, dikawal Zahid

    AHLI Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi (YAB) hanyalah ‘boneka’ dikawal oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pelantikan mereka hanya untuk memenuhi kerusi jawatan yayasan itu, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu. 

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, kesemua ahli lembaga pemegang amanah itu tidak membuat sebarang sumbangan dan semua arahan itu datang daripada Ahmad Zahid.

    “YAB pada dasarnya adalah beliau (Ahmad Zahid) kerana beliau adalah penyumbang utama kepada yayasan itu. Pemegang amanah yang lain hanyalah boneka. Seolah-olah Samsuri (Samsuri Tun), Prof Zulkifli (Dr Zulkifli Senteri), Nabil (Muhammad Nabil Saleh) dan Datuk Khairuddin (Datuk Khairuddin Tarmizi) dilantik semata-mata untuk memenuhi kerusi (lembaga pemegang amanah).

    “Ahmad Zahid adalah orang yang mengawal di belakang YAB dan di samping itu, beliau adalah penandatangan tunggal cek YAB. Tertuduh berada dalam kedudukan yang membolehkannya menggunakan dana yayasan, sesuai dengan kehendak dan keinginannya,” hujah Raja Rozela di akhir kes pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid.

    Beliau menambah Ahmad Zahid juga mempunyai keupayaan untuk menentukan aliran masuk dan keluar dana YAB.

    “Pendakwaan berhujah bahawa tertuduh sebenarnya telah menggunakan kuasanya apabila beliau secara tidak jujur menyalahgunakan dana YAB untuk kepentingan peribadinya,” katanya.

    Raja Rozela seterusnya berhujah bahawa pada 4 April 2012, Ahmad Zahid menjadikan dirinya penandatangan tunggal bagi akaun bank YAB.

    “Resolusi itu ditandatangan tertuduh, Muhammad Nabil dan Khairuddin. Pertukaran penandatangan ini berkuat kuasa pada 20 Jun 2013, seperti yang dinyatakan dalam Borang Kemas kini Tandatangan,” tambahnya.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Bernama

  • Komunikasi jelik babit Muhyiddin, Dayalan mengaku tidak bersalah

    Komunikasi jelik babit Muhyiddin, Dayalan mengaku tidak bersalah

    PENGERUSI Pasukan Pekerja Malaysia-Singapura (Pemas) S. Dayalan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman Facebook miliknya, Mei lepas.

    Dayalan, 41, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik berkenaan menggunakan laman profil Facebook ‘Dayalan Sreebalan’ dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 10.03 malam, 30 Mei lepas.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 7.15 petang, 2 Jun 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Dinesh Muthal, yang mewakili Dayalan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga dan memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan kes dijalankan.

    Hakim M. M. Edwin Paramjothy membenarkan Dayalan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Nov ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Pelakon, pengarah, penolong pengarah mengaku miliki dadah

    Pelakon, pengarah, penolong pengarah mengaku miliki dadah

    SEORANG pelakon bersama-sama pengarah dan penolong pengarah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan memiliki dadah.

    Ketiga-tiga tertuduh, Muhamad Niezam Mohd. Zaidi, 29, Mohd. Latif Zami, 49, dan Saiful Zaidrin Ismail, 43, tiba di bangunan mahkamah kira-kira jam 12 tengah hari dengan pakaian lokap polis berwarna ungu.

    Sinar Harian melaporkan, mengikut pertuduhan, kejadian berlaku pada 10 Oktober 2021 jam 7.15 pagi di sebuah rumah di No 835, Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, Kuala Kangsar.

    Muhamad Niezam dituduh memiliki 1.15 gram dadah berbahaya jenis kanabis yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    tertuduh kedua, Mohd Latif dituduh atas kesalahan sama kerana memiliki 0.3 gram dadah berbahaya jenis kanabis di bawah seksyen sama.

    Tertuduh ketiga, Saiful Zaidrin pula didakwa memiliki 0.38 gram dadah berbahaya jenis methamphetamine yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Ketiga-tiga mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi meminta jaminan sebanyak RM6,000 bagi tertuduh pertama dan kedua manakala RM8,000 bagi tertuduh ketiga.

    Bagaimanapun Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Intan Shafini Mior Shahrin yang mewakili kesemua tertuduh meminta jaminan yang lebih rendah ditawarkan.

    Intan Shafini memberi alasan pengurangan jaminan tersebut disebabkan ketiga-tiga mereka baru sahaja memulakan penggambaran pertama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum.

    Majistret Mohd Shazmeer Zamhari kemudian menetapkan jaminan masing-masing RM3,000, RM2,600 dan RM3,2000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia.

  • Suami isteri tak mengaku dera dua beradik

    Suami isteri tak mengaku dera dua beradik

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEPASANG suami isteri tidak mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan mendera dua beradik lelaki yang berada di bawah jagaan mereka sebelum ini.

    Kedua-dua tertuduh, R. Kartik, 32, dan isterinya, B. Darga Devi, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

    Mengikut pertuduhan pertama, pasangan itu bersama dua lagi individu yang telah dituduh didakwa mendera kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan memukul menggunakan rotan, penyangkut baju dan batang mop; meletakkan pisau panas ke tangan; mencucuh rokok di seluruh badan dan menghantuk kepala ke dinding sehingga mendatangkan trauma dan kecederaan.

    Dalam pertuduhan kedua, mereka sekali lagi bersama-sama dua individu itu didakwa mendera kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun dengan menggunakan cara sama selain mencucuh puntung rokok di kemaluan dan menyiram air panas ke seluruh badan.

    Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 8 malam hingga 1 pagi antara Jun hingga September lalu di Flat Selesa Jaya, Bandar Selesa Jaya, Iskandar Puteri.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh atas alasan perbuatan itu bersifat ganas dan kejam, selain turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mangsa sekiranya didekati tertuduh.

    “Kes ini juga telah dilaporkan dalam media dan mendapat perhatian umum, selain itu kedua-dua tertuduh juga telah melarikan diri selepas polis menahan ibu dan kakak Kartik,” katanya.

    Peguam tertuduh, Munirah Najihah Shaari bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan dalam jumlah yang rendah khususnya buat Darga Devi yang merupakan seorang suri rumah dan mempunyai tanggungan tiga anak kecil berusia 3 dan 2 tahun serta bayi sembilan bulan.

    Kartik pula tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengambil upah memasak serta menjadi penanggung utama keluarga.

    Mahkamah kemudian menetapkan Kartik dibenarkan jamin dengan jumlah RM30,000 manakala Darga Devi sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin dan beberapa syarat tambahan seperti perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke balai polis berhampiran dua minggu sekali dan dilarang mendekati mangsa atau saksi kejadian.

    Wan Mohd. Norisham turut menetapkan tarikh 24 November ini untuk sebuah semula kes dan serahan dokumen.

    Pada 6 Oktober lalu, ibu Kartik, B. Mariamah, 60, dan kakaknya, R. Deeba, 37, telah dituduh di mahkamah namun kedua-duanya mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mendera dua beradik berkenaan.

    Difahamkan, kedua-dua kanak-kanak itu masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru atas kecederaan yang dialami mereka.

  • Dua individu direman bantu siasatan kes suapan babit kontrak RM180,000

    Dua individu direman bantu siasatan kes suapan babit kontrak RM180,000

    MAHKAMAH Majistret Shah Alam hari ini mengeluarkan perintah reman empat hari terhadap dua penjawat awam sebuah agensi kerajaan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima wang suapan daripada pemilik sebuah syarikat swasta sebagai balasan mendapatkan kontrak bernilai lebih RM180,000.

    Perintah reman kedua-dua individu berkenaan termasuk seorang wanita yang bermula hari ini hingga 15 Okt itu dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali selepas membenarkan permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Terdahulu, kedua-dua individu yang berumur 37 dan 40 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini sekitar 9.30 pagi tadi diiringi pegawai SPRM.

    Semalam, media melaporkan SPRM menahan dua kakitangan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada pemilik sebuah syarikat swasta sebagai balasan mendapatkan kontrak bernilai lebih RM180,000.

    Menurut sumber, kedua-dua suspek itu ditahan kira-kira 2.30 petang di sebuah restoran di Putrajaya.

    Sumber berkata mereka disyaki meminta wang suapan kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk syarikat itu mendapatkan kontrak membekal, menghantar serta memasang kelengkapan dan peralatan pejabat yang dianggarkan bernilai lebih RM180,000 daripada agensi berkenaan. – Bernama

  • Zahid adalah bos yang mempunyai kuasa atas YAB

    Zahid adalah bos yang mempunyai kuasa atas YAB

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah ‘bos’ yang mempunyai kuasa serta kawalan penuh ke atas aset Yayasan Akalbudi (YAB).

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, tertuduh, sebagai pemegang amanah YAB, mempunyai kawalan dan kuasa penuh ke atas aset yayasan itu ketika beliau secara tidak jujur telah menyeleweng berjuta-juta ringgit daripada dana YAB.

    Beliau memberi contoh bagaimana Ahmad Zahid boleh mengawal YAB dengan pelantikan dua pemegang amanah baharu pilihan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sendiri iaitu Muhammad Nabil Saleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi bagi menggantikan Samsuri Tun dan Profesor Dr Zulkifli Senteri yang meletak jawatan pada 4 April 2012.

    “Kerusi yang dikosongkan segera diisi oleh dua lagi yang memegang jawatan dalam UMNO Bahagian Bagan Datuk iaitu Muhammad Nabil Saleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi. (Ahmad Zahid ialah Ahli Parlimen Bagan Datuk).

    “Sepintas lalu, pelantikan mereka sebagai pemegang amanah kelihatan seperti biasa-biasa saja. Namun jika anda meneliti siapa mereka, anda akan dapati seorang daripada mereka adalah pembantu peribadi beliau.

    “Mereka mungkin menjadi pemegang amanah seperti beliau (Ahmad Zahid) namun hakikatnya Yang Arif, beliau adalah bos dan masih bos mereka. Jadi adalah tidak keterlaluan jika saya katakan apa yang bos nak, bos akan dapat,” katanya ketika berhujah di akhir kes pendakwaan bagi perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid.

    Raja Rozela juga berkata, pada 4 April 2012, Ahmad Zahid telah menjadikan dirinya sebagai penandatangan tunggal bagi akaun bank YAB.

    “Semasa beliau berkuasalah yang menyaksikan kira-kira 50 cek YAB dikeluarkan dan pengeluaran dana daripada tujuh akaun simpanan tetap. Jumlah terkumpul ialah RM31,082,732.57,” katanya.

    Beliau juga berhujah, Presiden UMNO itu sepatutnya tahu bahawa beliau tidak ada hak menggunakan aset itu walaupun untuk dirinya sendiri.

    Katanya, dengan menggunakan dana itu untuk diri sendiri walaupun mengetahui beliau tidak berhak berbuat demikian, tertuduh telah bertindak secara tidak jujur dengan niat untuk merampas aset YAB dan memperoleh dana itu bagi keuntungan sendiri.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA

  • Lelaki mengaku tidak bersalah guna nama Ahmad Maslan tipu RM50,000

    Lelaki mengaku tidak bersalah guna nama Ahmad Maslan tipu RM50,000

    SEORANG peniaga berusia 54 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menipu dan memperdaya seorang individu sebanyak RM50,000 dengan mengaku sebagai pembantu peribadi kepada bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan. 

    Tertuduh, Kamarul Ramizu Idrus membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus. 

    Mengikut kertas pertuduhan, Kamarul Ramizu didakwa cuba menipu dan memperdaya seorang lelaki berusia 28 tahun pada 6 Julai 2015 untuk menyerahkan wang RM50,000 dengan mempercayai dia merupakan pembantu peribadi kepada Ahmad dan akan mengambil tindakan ke atas lelaki berkenaan yang dikatakan terlibat dalam skim pelaburan emas. 

    Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 28(1)(a) ASPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan dua penjamin. 

    Selain itu, tertuduh turut diarah menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan. 

    Mahkamah kemudian menetapkan 10 Disember ini bagi tarikh pengurusan kes. 

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri dan Pegawai Pendakwa Siti Mastura Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam.