Category: Mahkamah

  • Reman bomoh didakwa rogol bakal pengantin sambung 5 hari

    Reman bomoh didakwa rogol bakal pengantin sambung 5 hari

    REMAN terhadap bomoh dikenali sebagai Ayah Su atas dakwaan merogol bakal pengantin ketika berubat bagi masalah gangguan makhluk halus di Tendong, Pasir Mas, Kota Bharu disambung lima hari lagi.

    Majistret Muhammad Fitri Mokhtar mengeluarkan perintah tahanan reman tersebut, hari ini.

    Lelaki berusia 67 tahun itu disambung reman sehingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, sambungan reman itu bagi membolehkan pihaknya melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pendakwa raya.

    “Suspek sebelum ini sudah direman selama tujuh hari sejak 16 Oktober lalu,” katanya ketika dihubungi.

    Media sebelum ini melaporkan, bakal pengantin berusia 23 tahun yang dikatakan mengalami gangguan makhluk halus mendakwa dirogol bomoh ketika sedang mendapatkan rawatan pada 14 Oktober lalu.

    Mangsa yang hadir bersama bakal suami, diminta menanggalkan seluar dan sesi ‘rawatan’ dimulakan apabila hanya tinggal mereka berdua di dalam bilik.

  • Najib arah Zahid lanjut kontrak UKSB – Saksi

    Najib arah Zahid lanjut kontrak UKSB – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikut arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai pengendali tunggal sistem Visa Luar Negara (VLN) ke Malaysia di China.

    Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Suriani Ahmad berkata ia berdasarkan catatan minit oleh Najib pada surat bertarikh 23 Mei 2013 yang dihantar kepada Ahmad Zahid yang menyatakan ‘projek ini perlu diteruskan’.

    Semasa disoal peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili bekas timbalan perdana menteri itu mengenai siapa yang memberi arahan itu berdasarkan catatan minit tersebut, Suriani berkata: “Arahan Perdana Menteri.”

    Ketika dirujuk kepada minit lain bertarikh 20 Jan 2014 pada surat berkenaan oleh peguam itu, Suriani berkata: “Minit itu menyatakan ‘YB Datuk Sri Zahid, Sila Bantu Dalam Hal ini. Kontrak ini perlu diteruskan’

    Hamidi: Ia ayat perdana menteri kepada timbalan perdana menteri?

    Suriani: Betul.

    Suriani turut bersetuju dengan Hamidi bahawa beliau juga akan melaksanakan arahan sekiranya diarah oleh ketuanya, Tan Sri Alwi Ibrahim yang merupakan Ketua Setiausaha KDN ketika itu.

    Sebelum ini, saksi pendakwaan kedua Azman Azra Abdul Rahman @ Md Salleh iaitu bekas Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Hal Ehwal Imigresen KDN memberitahu mahkamah bahawa UKSB ada menghantar beberapa surat kepada Najib bagi memohon pertimbangannya untuk mengekalkan syarikat tersebut sebagai pengendali tunggal pengurusan visa ke Malaysia di China.

    Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Gan Peng Kun semasa pemeriksaan semula mengenai catatan minit yang diterima KDN daripada Ahmad Zahid berhubung tempoh lanjutan kontrak VLN, saksi pendakwaan keempat itu menjelaskan ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

    “Pendirian kementerian adalah sekiranya bersetuju untuk buat lanjutan itu, ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa kerana kontrak masih berjalan dan ada banyak masa lagi sebelum ia tamat. Sebab itu saya rasa perlu ada masa dan ruang untuk buat penilaian terlebih dahulu.

    “Kontrak belum tamat lagi. Ada tiga tahun. Satu jangka masa yang panjang. Sepatutnya tiga tahun lagi diberi masa membuat penilaian (pelanjutan kontrak). Itu pendirian kementerian,” katanya.

    Sementara itu, saksi pendakwaan kelima, bekas penolong setiausaha, Bahagian kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Sheeba Kunhmon, 48, berkata Ahmad Zahid menerima gaji serta elaun berjumlah RM44,383.15 setiap bulan bermula dari 2015 hingga 2018 ketika menjawat jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

    “Semasa memegang jawatan itu pada 2015 hingga 2018, Ahmad Zahid menerima RM18,168.15 sebulan manakala elaun RM26,215.

    “Sebagai Menteri Persekutuan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri) antara 2008 dan 2015 adalah RM14,907.20 manakala elaun yang diperoleh sebanyak RM24,320,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh TPR Zander Lim Wai Keong.

    Ketika disoal Lim mengenai sumber gaji yang diterima oleh Ahmad Zahid, Sheeba menjawab: “Dari kerajaan Malaysia.”

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 20 Dis depan. – BERNAMA

  • Pengeluar kuetiau, mi didakwa guna logo halal palsu

    Pengeluar kuetiau, mi didakwa guna logo halal palsu

    SEORANG pemilik sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan menggunakan logo halal tanpa perakuan daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Jun lalu.

    Teoh Sue Guat, 71, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

    Lelaki itu didakwa menjalankan perniagaan yang telah melanggar Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu menggunakan logo halal tanpa mendapatkan perakuan daripada JAIPk pada 26 bungkus kuetiau dan 11 bungkus mi.

    Logo halal JAKIM

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Angsana Kangsar, Kawasan Perindustrian Kuala Kangsar di sini pada 11 pagi, 22 Jun mengikut Perintah 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azrul Faidz Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 23 November untuk sebutan semula kes.

  • Lelaki dituduh laku seks luar tabii, rogol, samun wanita Myanmar

    Lelaki dituduh laku seks luar tabii, rogol, samun wanita Myanmar

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas empat pertuduhan bersabit kesalahan melakukan persetubuhan luar tabii, rogol dan samun minggu lalu.

    Bagaimanapun tertuduh, Zul Mazuan Zul Hilman@Suresh Kumar, 25, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita warga Myanmar dengan memasukkan kemaluan ke dalam mulut di sebuah rumah di Tingkat Kikik 2, Taman Inderawasih, Perai, Pulau Pinang kira-kira pukul 4 pagi pada 12 Oktober lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

    Sementara itu, dia turut didakwa menyamun mangsa sama sebanyak RM200 di lokasi dan masa yang sama.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa merogol sambil mengacukan pisau pada mangsa sama yang dilakukan di tempat dan masa yang sama.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara di antara 10 tahun sehingga 30 tahun dan sebatan.

    Selain itu, dia turut dituduh menyamun seorang wanita tempatan sebanyak RM200 di Medan Kikik 1, Taman Inderawasih, Prai, Pulau Pinang kira-kira pukul 5.15 pagi pada 9 Oktober lalu.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamarulzaman dan Nur Fazliyana Ahmad.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM50,000 beserta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan terbabit manakala 29 November ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan polis berjaya menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pecah masuk asrama wanita pekerja asing di kawasan perumahan di Perai pada 12 Oktober lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 25 tahun itu ditahan secara berasingan di kawasan SPT sehari selepas kejadian tersebut.

  • Bunuh nenek: Penganggur terselamat daripada tali gantung

    Bunuh nenek: Penganggur terselamat daripada tali gantung

    SEORANG penganggur terselamat daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana membunuh neneknya yang berusia 78 tahun, enam tahun lepas.

    Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Has Zanah Mehat sebulat suara mendapati rayuan Maslizan Muhamad, 42, mempunyai merit.

    Hakim Has Zanah, yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah, berkata hukuman itu diketepikan dan diganti dengan perintah bahawa Maslizan selaku perayu hendaklah dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan selaras dengan peruntukan Seksyen 347 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

    “Isu utama yang dibangkitkan perayu adalah dalihan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan (KK) yang telah ditolak oleh hakim Mahkamah Tinggi. Yang Arif hakim Mahkamah Tinggi telah salah arah kerana tidak menimbang dalihan yang dibawa perayu.

    “Kami mendapati, terdapat hujahan yang mencukupi daripada keterangan saksi-saksi pendakwaan bahawa perayu adalah figura yang bertanggungjawab menyebabkan kecederaan pada si mati dan akhirnya telah membawa kepada kematian.

    “Berdasarkan fakta di atas, kami dengan ini membenarkan sebahagian rayuan perayu berkaitan sabitan dan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang diperintahkan oleh hakim Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Has Zanah.

    Hakim Has Zanah turut memerintahkan perayu ditahan di Hospital Permai, Tampoi, Johor selama mana diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu di bawah Seksyen 348 KTJ.

    Pada 21 Ogos 2018, Maslizan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas didapati bersalah menyebabkan kematian Halimah Taib, 78, di depan sebuah rumah di Kampung Surau Haji Daud, Pengadang Buloh di sini, jam 9.30 pagi pada 7 Sept 2015.

    Terdahulu, peguam Ghazali Ismail yang mewakili Maslizan berhujah bahawa anak guamnya berada dalam keadaan tidak siuman ketika kejadian kerana dia menghidap penyakit mental.

    “Perayu tinggal bersama neneknya (mangsa), dan dia telah mengalami masalah mental yang sangat bercelaru serta tidak dapat tidur kerana sentiasa berhalusinasi. Perayu mendengar bisikan halus iaitu mangsa ingin memberi ‘saka harimau’ kepadanya.

    “Pada malam sebelum kejadian, perayu telah balik ke rumah dari masjid sebelum waktu subuh. Di rumah, perayu tetap tidak dapat tidur hanya sekadar terbaring di atas katil.

    “Kira-jam jam 10 pagi, perayu telah terdengar bunyi tapak kaki berjalan di luar rumah. Perayu telah membuka tingkap dan sangat terkejut serta takut apabila melihat mangsa seperti harimau dan cuba menerkamnya. Perayu terus ke dapur mendapatkan pisau lalu mengelar leher harimau tersebut,” kata peguam itu.

    Tambah Ghazali, saksi pembelaan kedua iaitu seorang pakar perunding psikiatri telah merumuskan perayu menghidap penyakit ‘schizophrenia’ yang merupakan sejenis penyakit mental yang digejali oleh pemikiran seperti delusi (iaitu kepercayaan palsu yang dipegang teguh tanpa boleh digoyah langsung), halusinasi, kecelaruan perasaan, perubahan tingkah laku serta kemerosotan fungsi psikososial.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhana Khalid berkata perbuatan (tingkah laku) perayu menunjukkan bahawa dia berada dalam keadaan yang waras ketika menyebabkan kematian tersebut.

    “Keterangan saksi pendakwaan kelima (SP5) yang merupakan jiran si mati memberitahu bahawa beliau nampak si mati terbaring dan perayu ada duduk mencangkung di sebelah si mati sambil berkata: “Saya minta maaf Pok Ki, kita bunuh doh dia (merujuk kepada si mati)”.

    “SP2 seorang anggota polis dalam keterangan menyatakan bahawa semasa hendak menangkap perayu yang sedang berlegar-legar di tempat kejadian, perayu mengatakan ‘aku nak serah diri’ sambil menghulurkan tangannya ke hadapan.

    “Selain itu, penemuan senjata yang digunakan untuk menetak si mati adalah atas maklumat perayu sendiri dan ia diterima oleh mahkamah,” katanya. – Bernama

  • Permohonan Najib gantung prosiding kes saman SRC didengar 3 Dis ini

    Permohonan Najib gantung prosiding kes saman SRC didengar 3 Dis ini

    PERMOHONAN bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggantung prosiding saman sivil SRC International Sdn Bhd terhadap beliau atas dakwaan melakukan pecah amanah jenayah dan melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)(KWAP) kepada SRC, akan didengar pada 3 Dis ini.

    Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib ketika dihubungi Bernama berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

    “Notis permohonan penggantungan prosiding kes saman itu telah difailkan semalam.

    “Permohonan itu dibuat kerana anak guam kami (Najib) mahu kes jenayah membabitkan SRC yang kini di peringkat rayuan dan kes membabitkan dana SRC berjumlah RM27 juta yang masih belum dibicarakan, diselesaikan terlebih dahulu,” katanya selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Suriani Ujang, hari ini.

    Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan kes itu kini dalam peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.

    Pada 7 Mei lepas, SRC di bawah pengurusan baharu telah memulakan tindakan perundangan terhadap Najib dan beberapa bekas pengarahnya iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

    SRC, yang juga anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah.

    Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

    Beliau adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

    SRC, yang kini milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman itu selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – Bernama

  • Dua anggota polis mengaku tidak bersalah lepaskan pesalah dadah

    Dua anggota polis mengaku tidak bersalah lepaskan pesalah dadah

    DUA anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan menerima rasuah agar tidak mengambil tindakan terhadap pesalah dadah.

    Koperal Sebestino Bong, 42, dan Lans Koperal Haikal Ibrahim Abdullah, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Menurut pertuduhan, Sebestino yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud berhadapan dua pertuduhan iaitu menerima suapan sebanyak RM300 daripada seorang lelaki supaya tidak diambil tindakan terhadapnya di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 pada 6 Jun 2017.

    Tertuduh kedua, Haikal Ibrahim yang bertugas sebagai koperal di IPD Kota Belud pula berhadapan dengan sembilan pertuduhan membabitkan nilai suapan sebanyak RM1,570antara 23 Mei 2017 hingga 6 Julai 2018.

    Wang yang diterima tertuduh adalah sebagai dorongan untuk tidak diambil tindakan terhadap seorang lelaki di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

    Kedua-dua tertuduh dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Sekysen 24(1) akta yang sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap Sebestino sebanyak RM6,000 bersama deposit RM3,000, seorang penjamin tempatan dan diarah untuk melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Lahad Datu selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan.

    Sementara itu, Haikal Ibrahim dibenarkan ikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM8,000 bersama deposit RM4,000 dan seorang penjamin tempatan selain diminta untuk melaporkan diri kepada SPRM Sandakan dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan.

    Kedua-dua tertuduh sebelum itu memohon rayuan kepada mahkamah supaya wang jaminan mereka dikurangkan kerana perlu menanggung keluarga masing-masing.

    Mahkamah turut menetapkan 29 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh.

  • Buruh dijel 10 tahun selepas mengaku salah miliki dadah

    Buruh dijel 10 tahun selepas mengaku salah miliki dadah

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas seorang buruh kerana memiliki dadah jenis methamphetamine dua tahun lalu.

    Azmi Ismail, 44, dari Bukit Payong, Marang mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan Hakim Dazuki Ali.

    Mengikut pertuduhan, Azmi didakwa mempunyai kawalan terhadap dadah jenis methamphetamine seberat 67.43 gram di sebuah kandang kambing di Kampung Mak Kemas, Bukit Payong, Marang, pukul 9.30 malam, pada 14 Ogos 2019.

    Azmi didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama, lapor Sinar Harian.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Hayyatuddin Muhamad.

    Mohd. Hayyatuddin sebelum itu memohon agar Azmi dikenakan hukuman ringan memandangkan anak guamnya membuat pengakuan bersalah sekali gus menjimatkan masa serta kos mahkamah.

    Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pemeriksaan polis di kandang kambing berkenaan menemui sejumlah 198 biji pil berwarna merah dan dua biji berwarna hijau disyaki dadah jenis methamphetamine yang diletakkan dalam satu beg sandang berwarna hitam.

    Turut ditemui dalam beg yang diletakkan di atas lantai kandang kambing berkenaan ialah wang berjumlah RM1,800 disyaki hasil jualan dadah dan sebuah telefon bimbit jenama Oppo.

  • Sertai perarakan kematian, 12 lelaki dihadapkan ke mahkamah

    Sertai perarakan kematian, 12 lelaki dihadapkan ke mahkamah

    SERAMAI 12 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menyertai perarakan kematian sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 13 Oktober lalu.

    Bagaimanapun, tujuh daripada mereka mengaku bersalah manakala empat daripada mereka serta seorang remaja berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

    Mereka yang mengaku bersalah R. Kumar, 39; G. Rukumaran, 33; M. Kanes Kumaar, 28; A. Elango, 35, A. Veera Putthiran, 19; S. Muniswaran, 30 dan S. Rishantheren, 23.

    Kesemua mereka dijatuhi hukuman denda RM3,500 serta penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Sementara itu, D. Stephen Dass, 35; M. Sivasangar, 49; K. Harjun, 18; Mazlan Hassan Sha, 35 dan remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

    Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 24 November depan.

    Mahkamah turut membenarkan remaja berusia 17 tahun diikat jamin RM1,500 dengan syarat hanya boleh dijamin oleh ibu atau bapanya.

    Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa melanggar arahan Ketua Pengarah Kesihatan dengan cara menjalankan perarakan kematian bagi tujuan keagamaan di dalam kawasan tempatan jangkitan.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Besar Kerian Kedah, Sungai Jawi dalam daerah Seberang Perai Selatan kira-kira pukul 2 petang pada 13 Oktober lalu.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 9 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 3) 2021 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 17(1) peraturan yang sama.

    Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman manakala tujuh yang mengaku bersalah diwakili peguam, Anbananthan Yathiraju dan selebihnya tidak diwakili peguam.

  • Dua pegawai SPRM didakwa tipu penguat kuasa RM40,000

    Dua pegawai SPRM didakwa tipu penguat kuasa RM40,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menipu seorang penguat kuasa untuk menyerahkan RM40,000 bagi menyelesaikan kes yang sedang disiasat agensi tersebut pada Khamis lalu.

    Amir Izham Isahak, 32 mengaku bersalah sementara Wan Kamarul Za’im Mansor, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Mereka didakwa secara bersama-sama sebagai agen kerajaan iaitu Penolong Penguasa P29 SPRM Kluang dan Penguasa P42 SPRM Cawangan Kluangd an SPRM Johor Bahru, bagi mencapai niat bersama telah menipu dengan memperdayakan seorang individu.

    Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa menipu dengan memperdayakan seorang individu dengan curang mendorongnya menghantar harta iaitu wang tunai RM40,000 kepada kedua tertuduh dengan balasan kononnya mereka boleh membantu menyelesaikan kes yang disiasat SPRM ke atas individu terbabit.

    Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran dalam daerah Simpang Renggam, pukul 7.57 malam pada 14 Oktober lalu.

    Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala Amir Izham diwakili Mohd Salleh Togimin dan Wan Kamarul Zaim pula diwakili Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias.

    Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM35,000 terhadap kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah.

    Bagaimanapun, peguam Wan Kamarul Zaim, memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM10,000 kerana tertuduh perlu menanggung isteri yang hamil tiga bulan serta empat anaknya.

    Hakim kemudian memerintahkan Wan Kamarul Zaim dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan 24 November ditetapkan sebagai sebutan semula kes.

    Sementara itu, peguam Mohd. Salleh Togimin kemudian memohon mahkamah supaya keputusan kes Amir Izham ditangguhkann ke tarikh lain.

    Amir Izham turut dibenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

    Mahkamah kemudian memutuskan kes Amir Izham disebut semula pada 24 November depan.