Category: Mahkamah

  • Penghantar makanan edar kanabis ke tali gantung

    Penghantar makanan edar kanabis ke tali gantung

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MAHKAMAH Tinggi di Johor Bahru hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang penghantar makanan selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 764.90 gram pada 2018.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid membuat keputusan itu terhadap Izad Shahizal Pungot, 41, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Dalam penghakiman ringkas, Hakim Ahmad Kamal menyabitkan tertuduh didapati bersalah dan pembelaan gagal menyangkal anggapan di bawah Seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap kegiatan pengedaran dadah.

    Tertuduh yang merupakan bapa kepada dua orang anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di Pangsapuri Desa Dato’ Hajah Hasnah pada pukul 9.30 malam, 16 Januari 2018.

    Ekoran kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati.

    Sepanjang perbicaraan berlangsung sejak 2019, seramai lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh telah dipanggil memberi keterangan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam, Shaik Saleem S.M. Daud.

  • Cabar Darurat: Rayuan Anwar, 4 wakil rakyat lain gagal

    Cabar Darurat: Rayuan Anwar, 4 wakil rakyat lain gagal

    AHLI PARLIMEN PORT DICKSON, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan empat wakil rakyat lain gagal dalam rayuan mereka untuk membatalkan nasihat Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menggantung Parlimen semasa darurat.

    Memetik laporan Malaysiakini, dalam keputusan sebulat suara hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Has Zanah Mehat menolak rayuan oleh Anwar dan empat wakil rakyat lain.

    Wakil rakyat lain ialah Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub (MP Pulai), Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

    Dalam keputusan sebulat suara hari ini, Has memutuskan bahawa mahkamah sebelum ini tidak tersilap dalam keputusan menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh lima wakil rakyat pembangkang itu.

    Beliau berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar cabaran undang-undang yang dikaitkan dengan isu pengisytiharan darurat oleh Agong.

    Panel itu, yang turut diketuai oleh Vazeer Alam Mydin Meera dan Ahmad Zaidi Ibrahim, sebelum ini telah mendengar hujahan daripada peguam wakil rakyat berkenaan dan peguam kanan Persekutuan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), berhubung rayuan untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman berhubung keabsahan nasihat Muhyiddin kepada Agong.

    Sebelum ini, Anwar, Hassan serta Salahuddin, Johari dan Aziz, telah memfailkan tiga cabaran undang-undang berasingan tetapi serupa terhadap nasihat Muhyiddin untuk penggantungan Parlimen semasa darurat.

    Tiga tindakan undang-undang itu menyasarkan kesahihan keputusan kabinet pimpinan Muhyiddin ketika itu, untuk menasihatkan Seri Paduka supaya mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

    Bagaimanapun, tiga bangku Mahkamah Tinggi yang berasingan memberikan keputusan yang tidak berpihak terhadap tindakan undang-undang oleh Anwar, Hassan serta Salahuddin, Johari dan Aziz.

    Mahkamah Tinggi telah bersetuju dengan hujahan daripada AGC bahawa Perkara 150(6) dan 150(8) Perlembagaan Persekutuan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar cabaran undang-undang yang dikaitkan dengan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.

  • Mahkamah tolak permohonan Najib tangguh keputusan rayuan kes seleweng dana SRC

    Mahkamah tolak permohonan Najib tangguh keputusan rayuan kes seleweng dana SRC

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan penyampaian keputusan rayuannya terhadap hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes salah guna dana SRC International Sdn Bhd.

    Dalam surat ditandatangani timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron berkata permohonan Najib dan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan keputusan itu ke tarikh lain ditolak, lapor portal MalaysiaNOW

    Mereka juga diarahkan untuk memastikan kehadiran di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 8 Disember seperti yang ditetapkan sebelum ini.

    Semalam, Najib memohon Mahkamah Rayuan menangguhkan penyampaian keputusan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukumannya yang dijatuhkan pada Julai tahun lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur..

    Najib disabitkan tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan kira-kira RM42 juta dana 1MDB melalui SRC International.

    Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu keputusan rayuannya.

    Keputusan rayuannya dijadual akan diputuskan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember depan walaupun Najib memohon untuk menangguhkan keputusan itu ke satu tarikh lain berikutan lawatannya ke Singapura.

  • Najib mohon tarikh keputusan rayuan SRC pada 8 Disember dilapangkan, minta ditetapkan minggu berikutnya

    Najib mohon tarikh keputusan rayuan SRC pada 8 Disember dilapangkan, minta ditetapkan minggu berikutnya

    DATUK Seri Najib Tun Razak semalam memohon Mahkamah Rayuan agar melapangkan tarikh 8 Dis ini yang ditetapkan untuk keputusan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

    Menurut dokumen daripada Tetuan Shafee & Co yang mewakili Najib yang dihantar kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan, menyatakan permohonan itu dikemukakan atas alasan Najib akan berada di Singapura sehingga 5 Dis ini.

    “Pihak perayu (Najib) dengan rendah diri ingin memohon untuk tarikh tersebut dilapangkan dan tarikh keputusan ditetapkan pada minggu seterusnya iaitu minggu 13 Dis sehingga 17 Dis, atau mana-mana tarikh lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah,” menurut dokumen itu.

    Menurut dokumen itu sejurus pulang dari Singapura pada 5 Dis, perayu  diwajibkan untuk kuarantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Dis dan perayu hanya boleh hadir ke mahkamah atau tempat awam bermula 13 Dis.

    Menurut dokumen itu pihak pendakwa raya  juga telah dimaklumkan berkenaan perkara itu  dan  tidak membantah terhadap permohonan untuk menetapkan tarikh keputusan baru pada minggu di antara 13 Dis hingga 17 Dis.

    Selain itu, dokumen itu menyatakan perbicaraan kes pengubahan wang haram yang dihadapi  peguam yang mewakili Najib, Tan Sri  Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi juga ditetapkan untuk disambung  bicara pada 8 Dis dan  Najib juga mempunyai perbicaraan kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi.

    Menurut dokumen itu  pada minggu seterusnya iaitu 20 Dis sehingga 23 Dis, perbicaraan kes bunuh melibatkan Samirah Muzaffar yang diwakili Muhammad Shafee akan bersambung di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

    Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan media hari ini  memaklumkan keputusan rayuan Najib itu  ditetapkan pada 8 Dis  ini.

    Najib, 68, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International. – BERNAMA 

  • Bunuh kerani wanita: Penolong pegawai perubatan kekal bebas

    Bunuh kerani wanita: Penolong pegawai perubatan kekal bebas

    SEORANG penolong pegawai perubatan di sebuah hospital menarik nafas lega selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan pembebasannya daripada pertuduhan membunuh seorang kerani wanita sebuah sekolah agama di Bukit Pasir, Muar, enam tahun lepas.

    Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim berkata tiada kekhilafan dilakukan oleh hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zurailie Muhamad,

    “Oleh yang demikian, rayuan pendakwa raya selaku perayu ditolak. Keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dikekalkan,” kata Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

    Pendakwa Raya merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Nov 2019 yang mengekalkan pembebasan Zurailie daripada pertuduhan membunuh selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 28 Jan 2018, melepas dan membebaskan lelaki itu tanpa dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan.

    Zurailie didakwa membunuh Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29, yang juga jirannya, di rumah mangsa di di Jalan Sungai Terap, Muar, antara 2.05 petang dan 2.30 petang, 16 Nov 2015.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan pihak pendakwaan tidak dapat menunjukkan kehadiran profil asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh (Zurailie) pada tubuh dan pakaian si mati dan terdapat kelompongan dalam kes pendakwaan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh berhujah bahawa terdapat keterangan mencukupi yang boleh mengaitkan responden (Zurailie) dengan kematian mangsa.

    “Terdapat keterangan saksi pendakwaan yang menyatakan responden berhutang dengan kawannya dan sehari selepas kejadian itu (bunuh), responden telah menyerahkan telefon bimbit si mati kepada seorang individu bagi melunaskan hutangnya selain turut menjual barang kemas si mati di sebuah kedai emas pada harga RM1,000.

    “Keterangan itu menunjukkan responden memiliki telefon bimbit dan barang kemas termasuk rantai leher dan rantai tangan si mati tidak sampai 24 jam selepas kejadian berkenaan,” katanya yang memaklumkan kesanggupan lelaki itu memanjat pagar balai polis dan melarikan diri semasa disoal siasat oleh polis turut menimbulkan keraguan.

    Faizah berhujah tindakan responden berkali-kali memujuk suami si mati agar tidak membenarkan bedah siasat dijalankan ke atas isterinya sesuatu yang pelik kerana sebagai individu yang bekerja di bidang kesihatan, responden sepatutnya tahu pentingnya bedah siasat dilakukan.

    Katanya keterangan saksi pendakwaan menunjukkan suami si mati telah pergi ke tempat kerja keesokan paginya dan semasa kejadian bunuh itu berlaku sekitar 2.30 petang, beliau masih berada di tempat kerjanya di Ulu Tiram, Johor Bahru.

    Faizah juga berkata terdapat DNA si mati pada kukunya menunjukkan mangsa cuba melonggarkan jerutan pada lehernya.

    Peguam Nahdan Rengganathan Abdullah, yang mewakili Zurailie berhujah bahawa tiada apa-apa bukti yang menunjukkan penglibatan anak guamnya dalam mencederakan dan membunuh si mati.

    “Laporan DNA tidak menunjukkan adanya darah atau DNA responden pada tubuh atau pakaian si mati mahupun darah atau DNA si mati dijumpai pada diri atau pakaian responden yang dirampas oleh pihak polis,” katanya.

    Nahdan berkata, pegawai penyiasat juga gagal menjalankan siasatan terperinci berhubung isu berkaitan barang kemas dan telefon bimbit si mati yang kononnya dijual oleh responden.

    Zurailie ketika ditemui media selepas prosiding dengan gembira berkata, ‘Bebas’. – Bernama

  • Enam didakwa tetak dan bunuh Ah Long di Klang

    Enam didakwa tetak dan bunuh Ah Long di Klang

    ENAM individu termasuk dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret Klang, Selangor hari ini atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ di Lorong Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, awal November lalu.

    Tertuduh, Tan Ah Chai, Yeo Ching Lian, Lau Zi Hui dan Yap Soon Kuan kelihatan mengangguk kepala dan faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sarulatha Paramavathar.

    Kesemua empat suspek tersebut yang berusia 18 hingga 36 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 302/34 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Sementara dua lagi tertuduh, Gan Kok Shang dan Tan Yong Seng menghadapi pertuduhan berasingan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bersubahat membunuh.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua enam individu terbabit.

    Jika disabitkan kesalahan oleh kedua-dua seksyen berkenaan tertuduh berdepan dengan hukuman gantung sampai mati.

    Empat tertuduh iaitu Tan Ah Chai, Lau Zi Hui, Gan Kok Shang dan Tan Yong Seng diwakili peguam, Lim Chee Chau, manakala Yeo Ching Lian diwakili peguam, Ng Li Kian dan Yap Soon Kuan pula diwakili Helen Fong.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ain Madihah Zulkifli memaklumkan kepada mahkamah pihaknya sedang menunggu laporan forensik daripada pihak berkuasa, selewat-lewatnya 31 Januari 2022.

    Majistret kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 31 Januari 2022.

    Pada 6 November lalu, media melaporkan seorang lelaki dipercayai ‘ah long’ ditemui mati disyaki ditetak dengan parang oleh dua suspek selepas menikmati makanan bersama dua anak lelakinya di sebuah restoran kopitiam di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

    Dalam kejadian pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 47 tahun itu sempat melarikan diri di celah kenderaan sebelum rebah dan maut.

    Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan 16 suspek yang disyaki bersubahat dan melakukan pembunuhan tersebut.

    Salah faham dan dendam lama sesama ahli kongsi gelap Geng 24 dipercayai merupakan punca mangsa yang juga ahli geng sama telah ditetak suspek. Tangkapan suspek dilakukan di sekitar Muar dan Segamat, Johor.

  • Keputusan rayuan Najib dalam kes SRC 8 Disember ini

    Keputusan rayuan Najib dalam kes SRC 8 Disember ini

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya menetapkan 8 Disember ini untuk keputusan rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

    Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan media hari ini memaklumkan keputusan itu akan disampaikan pada 9 pagi.

    Rayuan kes itu yang didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berlangsung selama 15 hari dan selesai pada 18 Mei lalu.

    Najib, 68, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International.

    Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan CBT dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

    Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pekan itu hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

    Mahkamah membenarkan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan dengan ikat jamin sebanyak RM2 juta berserta dua penjamin.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib. – BERNAMA

  • Ketua pengawal keselamatan, penganggur didakwa menyamar polis, menculik dan membunuh

    Ketua pengawal keselamatan, penganggur didakwa menyamar polis, menculik dan membunuh

    SEORANG ketua pengawal keselamatan dan penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini, atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis, menculik dan membunuh pada 13 November lalu.

    Tertuduh, M. Murugan, 44, dan Wong Yon Kuan, 43, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 364 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret V. Vanita.

    Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, Murugan yang sebelum ini bekerja sebagai ketua pengawal keselamatan manakala Yon Kuan yang tidak bekerja, bersama-sama tiga lagi yang masih bebas dituduh menculik dan membunuh A. Vasudevan, 39.

    Perbuatan itu dilakukan pada 13 November di antara jam 5.40 pagi hingga 9.45 pagi di Bandar Springhill, Lukut, di sini.

    Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum mati manakala Seksyen 364 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun dan sebat.

    Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh bersama tiga lagi yang masih bebas didapati menyamar sebagai polis kepada S. Hindumathy, 38, pada tarikh dan di lokasi sama.

    Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainuddin dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam T Harpal Singh.

    Mahkamah menetapkan 23 Disember depan sebutan semula kes.

  • Lelaki bunuh ibu saudara dihadapkan ke mahkamah

    Lelaki bunuh ibu saudara dihadapkan ke mahkamah

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh ibu saudaranya dalam kejadian dua minggu lalu.

    Sinar Harian melaporkan, Awkim Wah, 40, didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Aw Foong Meng, 73, di sebuah rumah di Kampung Cina, Menglembu antara pukul 11 pagi dan 3.25 petang pada 9 November lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga penganggur selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Januari depan untuk sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas ditemui mati dengan kesan kelar dan tikaman pada leher.

    Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah di tepi katil dalam bilik di rumahnya.

    Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan kelar dan tikaman pada leher dengan senjata berupa pisau masih tertusuk di belakang leher wanita itu.

    Polis kemudian menahan reman seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan anak saudara mangsa dan tinggal bersamanya untuk siasatan lanjut.

  • Firma barang Lubnan kemas saman Rosmah AS$14.57 juta

    Firma barang Lubnan kemas saman Rosmah AS$14.57 juta

    FIRMA barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL akan memfailkan semula saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bagi menuntut ganti rugi terhadap 43 barang kemas bernilai AS$14.57 juta yang didakwa masih berada dalam milikan isteri bekas perdana menteri itu.

    Perkara tersebut dimaklumkan peguam Datuk David Gurupatham yang mewakili Global Royalty ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin hari ini.

    “Pihak kami telah memfailkan afidavit untuk mengesahkan bahawa setelah pemeriksaan oleh wakil Global Royalty pada 25 Okt hingga 3 Nov lepas di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM), hanya satu gelang berlian milik Global Royalty dijumpai daripada 44 barangan kemas yang dituntut oleh Datin Seri Rosmah.

    “Sebelum ini, kami telah menarik balik saman sivil yang difailkan terhadap beliau (Rosmah) pada 2019 kerana perlu mengesahkan sekiranya 44 barangan kemas itu berada di BNM atau tidak…jadi, kami akan memfailkan semula saman sivil itu kerana kami percaya 43 barangan kemas tersebut masih ada dalam simpanan beliau,” kata peguam itu.

    Gurupatham berkata berdasarkan memorandum konsainan, Rosmah perlu membayar jumlah harga barangan kemas tersebut sekiranya beliau tidak memulangkannya semula kepada Global Royalty.

    Barangan kemas itu antara pelbagai barangan yang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018, yang didakwa berkaitan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Sementara itu, Gurupatham berkata, mahkamah telah menetapkan 23 hingga 27 Mei 2022 untuk pendengaran tuntutan pelucuthakan barangan lain yang disita di premis Obyu Holdings termasuk barangan kemas, jam dan beg tangan serta cermin mata.

    “Ia juga termasuk seutas gelang berlian bernilai AS$220,000 milik Global Royalty yang ditemui semasa pemeriksaan di BNM,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin mengesahkan tarikh tersebut.

    Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44. – BERNAMA