Category: Mahkamah

  • Kartel daging dituduh kali ketiga, kali ini gubah wang haram RM13.28 juta

    Kartel daging dituduh kali ketiga, kali ini gubah wang haram RM13.28 juta

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SYARIKAT pembekal daging sejuk beku dan pengurus sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen bersama-sama seorang akauntan wanita atas 16 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM13.28 juta yang dilakukan antara Oktober 2018 hingga Disember 2020.

    Ketiga-tiga tertuduh, syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd., yang diwakili pengarahnya, Yong Chee Keong, 40; pengurus, Chong Kim Kuang, 48, dan akauntan, Ng Yee Xin, 37, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Fatimah Zahari selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

    Mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang lagi tertuduh iaitu pengarah syarikat, Tan Siew Huak, 42, yang masih bebas.

    Mengikut rekod, Ly Frozen Food (Chee Keong); Kim Kuang dan Siew Huak telah berdepan dua pertuduhan lain sebelum ini melibatkan sindiket kartel daging import pada Februari dan April lalu.

    Kali ini, mereka didakwa menerima wang hasil pengubahan wang haram sebanyak empat kali berjumlah RM13,278,625.27 daripada sebuah akaun semasa milik LY Frozen Food yang dilakukan dalam tempoh 31 Oktober 2018 sehingga 31 Disember 2020 di dua cawangan bank berbeza masing-masing di Senai, Kulai dan Taman Molek.

    Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda daripada jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

    Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Raihan Rithwan dan Norazihah Asmuni memohon agar mahkamah menetapkan wang jaminan RM1 juta bagi setiap tertuduh.

    Bagaimanapun, peguam, Zamri Idrus dan Saifuzaman Ab. Rahman memohon mahkamah mengguna wang jaminan sebelum ini untuk Ly Frozen Food dan Kim Kuang yang telah membayar jaminan berjumlah RM660,000 untuk pertuduhan terdahulu, selain meminta pengurangan jaminan terhadap Yee Xin.

    Mahkamah kemudian menetapkan Ly Frozen Food dan Kim Kuang membayar RM250,000 menggunakan wang jaminan yang telah dibayar untuk kes terdahulu, sementara Yee Xin diarah membayar RM150,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan.

    Mahkamah turut memerintahkan agar Kim Kuang dan Yee Xin melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali selain menetapkan esok untuk sebutan semula kes.

    Pada 2 Disember tahun lalu, kewujudan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara yang dibungkus semula menggunakan logo halal sebelum dijual di pasaran tempatan dibongkar hasil serbuan pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai membabitkan nilai rampasan RM6.47 juta.

  • Bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah terima RM3.41 juta hasil aktiviti haram

    Bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah terima RM3.41 juta hasil aktiviti haram

    SEORANG bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 14 pertuduhan menerima wang tunai hasil aktiviti haram berjumlah RM3.41 juta pada 2017 hingga 2019.

    Tertuduh, R. Ganesan, 35, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima sejumlah wang antara RM20,000 hingga RM670,000 dengan keseluruhannya berjumlah RM3.41 juta daripada 12 individu yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Taman Inderawasih, Perai antara 22 Ogos 2017 sehingga 23 Oktober 2019.

    Ganesan didakwa melakukan kesalahan itu di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh diwakili peguam Pyara Singh.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM140,000 manakala kes itu akan disebut semula pada 17 Januari depan.

    Mengikut fakta kes, sepasang suami isteri telah membuat pelaburan pada Jun 2019 dengan seorang pegawai bank dengan tawaran pulangan 8.88 peratus bagi setiap enam bulan.

    Mangsa telah dimaklumkan bahawa pelaburan sebanyak RM716,000 hanya boleh membuat wang dividen dan wang pokok tidak boleh dikeluarkan dalam tempoh tiga tahun.

    Bagaimanapun, mangsa tidak pernah menerima pulangan seperti dijanjikan dan pegawai bank tersebut dikatakan melakukan pengubahan wang haram menggunakan wang pelaburan mangsa.

  • Mahkamah tolak saman fitnah kerajaan negeri Sarawak terhadap Presiden PSB

    Mahkamah tolak saman fitnah kerajaan negeri Sarawak terhadap Presiden PSB

    MAHKAMAH Tinggi Kuching hari ini menolak saman fitnah yang difailkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak terhadap Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh berhubung kenyataan beliau mengenai isu cukai jualan negeri (SST) membabitkan Petronas.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Christopher Chin membuat keputusan itu selepas mendapati Kerajaan Negeri Sarawak telah dinamakan secara salah sebagai plaintif, yang sepatutnya dihadkan kepada atau merangkumi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan oleh itu, locus standinya dalam kes ini tidak dibuktikan.

    “(Mahkamah juga mendapati) perkataan yang dipertikai tidak memfitnah plaintif dan oleh itu, mahkamah menolak writ saman serta pernyataan tuntutan plaintif dengan kos RM30,000 tertakluk kepada pentaksir,” katanya.

    Kerajaan Negeri Sarawak memfailkan saman terhadap Soon Koh menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta kerana mendakwa bekas Menteri Kewangan negeri itu telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada 9 Mei lepas mengenai penyelesaian bersama antara plaintif dengan Petronas dalam isu Cukai Jualan Negeri (SST).

    Dalam penghakimannya, Christopher berkata beliau sudah berkali-kali menasihati kedua-dua pihak agar menyelesaikan pertikaian itu menggunakan saluran politik dan bukan melalui mahkamah.

    “Kes ini berakhir selepas perbicaraan selama 10 hari dengan memanggil tujuh saksi plaintif dan tiga saksi defendan yang ternyata telah menghabiskan wang serta masa kedua-dua pihak selain mahkamah ini.

    “(Wang dan masa ini) sepatutnya digunakan untuk memberikan khidmat kepada pengundi dalam usaha meningkatkan rasa legitimasi kerajaan negeri di mata rakyat Sarawak,” katanya.

    Sementara itu, pada sidang media di Pusat Khidmat PSB Bawang Assan hari ini, Soon Koh berkata beliau gembira keputusan Mahkamah Tinggi itu memihak kepadanya.

    Katanya beliau hanya membangkitkan beberapa pertanyaan mengenai isu berkenaan dan bercakap bagi semua rakyat negeri ini selain bertindak sebagai wakil rakyat dan pembangkang di Sarawak.

    “Saya berhak untuk menyuarakan apa yang melibatkan kepentingan awam,” katanya. – BERNAMA

  • Sarjan polis didakwa beri keterangan palsu di mahkamah

    Sarjan polis didakwa beri keterangan palsu di mahkamah

    SEORANG anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan memberi keterangan palsu di mahkamah pada April lepas.

    Mohd Fauzi Zahari, 40, didakwa melakukan perbuatan itu semasa menjadi saksi pendakwaan dalam kes perbicaraan rasuah dan peras ugut melibatkan tujuh anggota dan pegawai pasukan polis marin di Mahkamah Sesyen Dua di Kuantan pada 26 April lepas.

    Dia dituduh telah memberikan tiga keterangan yang tidak selaras dengan kenyataannya kepada seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat SPRM Pahang pada 1 Februari 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa SPRM, Kamariah Seman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

    Bagaimanapun, peguam Datuk Amirul Ridzuan Hanif memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya telah memberi komitmen baik sepanjang siasatan selain perlu menanggung ibu, isteri dan tiga anak masih bersekolah.

    Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

    Mahkamah menetapkan 14 Februari depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

  • Pemandu lori didenda RM2,000 pindah 21 ekor lembu tanpa kebenaran Veterinar

    Pemandu lori didenda RM2,000 pindah 21 ekor lembu tanpa kebenaran Veterinar

    GARA-GARA memindahkan sebanyak 21 ekor lembu hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada Januari lalu, seorang pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Munisipal Seberang Perai, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Denda itu diputuskan Majistret Noor Farah Hazwani Osman ke atas Mohd. Aidil Abdul Halim, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa memindahkan 21 ekor lembu hidup dengan menggunakan sebuah lori bernombor pendaftaran DCD9845 tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Pengarah Negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

    Mohd. Aidil didakwa melakukan kesalahan itu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap di Lebuh Raya Utara Selatan daerah Seberang Perai Selatan di sini kira-kira pukul 10.07 malam pada 29 Januari lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953.

    Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Subseksyen 36(7) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000.

    Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar negeri, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Ketika prosiding hari ini, Mohd. Aidil turut memohon kepada mahkamah untuk mengurangkan denda kerana perlu menyara keluarga termasuk ibu bapa selain menanggung bayaran insurans dan pinjaman rumah.

    Tertuduh turut merayu mahkamah memulangkan lori yang disita memandangkan perlu digunakan untuk mencari rezeki.

    Mahkamah kemudian menetapkan denda RM2,000 atau penjara selama dua bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda selain memerintahkan hasil jualan ternakan sebanyak RM7,200 dilucut hak.

    Difahamkan tertuduh menjelaskan denda tersebut hari ini.

  • JKDM Labuan diperintahkan mahkamah pulangkan kenderaan Brunei

    JKDM Labuan diperintahkan mahkamah pulangkan kenderaan Brunei

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan diperintahkan Mahkamah Sesyen Labuan untuk mengembalikan sebuah kenderaan berdaftar di Brunei kepada pemiliknya selepas dirampas kerana berada di pulau bebas cukai itu melebihi tempoh ditetapkan.

    Hakim Egusra Ali memerintahkan demikian selepas pemilik kenderaan terbabit yang juga seorang ahli perniagaan, Wong Jyh Chyn@James, 30, memohon perintah mahkamah agar kereta pacuan empat roda Toyota Hilux itu dipulangkan kepadanya.

    Egusra memerintahkan JKDM Labuan memulangkan kenderaan terbabit dalam masa empat hari bermula semalam.

    Berdasarkan fakta kes, James membawa masuk kenderaan terbabit dari Brunei ke Labuan pada 20 Februari tahun lalu dan hanya dibenarkan berada di pulau berkenaan selama tiga bulan.

    Bagaimanapun, James tidak dapat kembali ke Brunei bersama kenderaannya berikutan penutupan sempadan negara dan pulau berkenaan hingga menyebabkannya terperangkap di pulau terbabit.

    Selepas menyedari pintu sempadan dibuka semula, James cuba keluar dari Labuan untuk kembali ke Brunei pada 18 Ogos lalu, namun ditahan JKDM Labuan dan kenderaannya dirampas.

    Beliau kemudian membuat permohonan meminta supaya kenderaannya dipulangkan, namun JKDM Labuan enggan berbuat demikian kecuali selepas James membayar bon sebanyak RM10,000 sementara menunggu siasatan selesai.

    Bagaimanapun, James enggan mematuhi bon sementara itu dan syarat yang dikenakan sebelum meminta peguamnya untuk membuat permohonan kepada Mahkamah Sesyen Labuan bagi mendapatkan perintah mahkamah bagi melepaskan kenderaannya dengan segera.

    Dalam prosiding semalam, Peguam Persekutuan Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir menyerahkan satu afidavit yang antara lain menyatakan bahawa James bertanggungjawab memaklumkan kepada JKDM yang beliau tidak dapat kembali dalam tempoh ditetapkan.

    Beliau turut menyatakan tiada sebarang permohonan rasmi berhubung perkara itu dibuat James.

    Peguam James, Datuk Seri Rakhbir Singh bagaimanapun berhujah bahawa beban berkenaan tidak boleh dipindahkan kepada anak guamnya atau mana-mana pemilik kenderaan atas perkara itu bagi memaklumkan JKDM jika sempadan dibuka semula.

  • Rosmah tidak dapat masuk mahkamah sekali lagi

    Rosmah tidak dapat masuk mahkamah sekali lagi

    ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi gagal memasuki Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, status MySejahtera Rosmah hari ini masih menunjukkan bahawa beliau ialah kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

    Sehubungan itu, perbicaraan kes rasuah tenaga solar yang membabitkan dirinya, hari ini tidak dapat diteruskan.

    Pada Rabu lalu, prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membabitkan perbicaraan rasuahnya yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, juga dikosongkan kerana dia tidak dapat memasuki bangunan mahkamah kerana status MySejahtera yang berwarna jingga.

    Semasa prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pagi ini, peguam Jagjit Singh memaklumkan tertuduh tidak dapat memasuki Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kerana status MySejahtera yang masih berwarna jingga.

    “Saya difahamkan pagi ini, statusnya telah disahkan oleh pendaftar mahkamah,” kata peguam itu ketika hakim bertanya jika status MySejahteranya telah kembali kepada warna biru (berisiko rendah).

    Jagjit menjelaskan bahawa pendaftar mahkamah, Catherine Nicholas, turun ke kereta Rosmah yang diletakkan di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, dan mengesahkan status MySejahteranya masih berwarna jingga.

    Mohamed Zaini seterusnya melapangkan tarikh perbicaraan dan memohon pihak pembelaan mengemas kini status Rosmah pada Isnin ini, untuk mengetahui sama ada status MySejahtera masih jingga atau sebaliknya.

    Namun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram mencadangkan supaya prosiding mahkamah jenayah hari ini ditukar kepada prosiding dalam talian hibrid, mengikut peruntukan di bawah undang-undang.

    “Saya cadangkan kita meneruskan prosiding dalam talian hibrid, di mana beliau boleh memberi keterangan dari rumahnya,” kata bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu.

    Menurut beliau, Rosmah boleh memberi keterangan secara dalam talian, sama ada di pejabat peguam mahupun di rumah dengan kehadiran pihak pembelaan dan pendakwaan.

    Mendengar saranan itu, Mohamed Zaini berkata, beliau ada memikirkan pendekatan itu, namun tiada peruntukan undang-undang mengenainya.

    “Saya tidak mahu menjejaskan keseluruhan perbicaraan hanya sebab ia okay pada peringkat ini. Saya mahu lebih berhati-hati,” katanya.

    Beliau kemudian menetapkan tarikh tambahan bagi perbicaraan itu memandangkan masih ada dua saksi pembelaan yang perlu memberi keterangan.

    Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 23 hingga 24 Disember ini dan 13 serta 14 Januari depan untuk perbicaraan kes.

    Rosmah, 69, menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

  • Najib langgar amanah, khianati kepercayaan rakyat – Hakim

    Najib langgar amanah, khianati kepercayaan rakyat – Hakim

    MAHKAMAH Rayuan memutuskan bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan hanya melanggar amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada beliau malah bertindak mengkhianatinya.

    Justeru, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali ke atas Najib iaitu penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd adalah wajar.

    “Kami mendapati Hakim Mohd Nazlan dalam menjatuhkan hukuman bagi setiap daripada tujuh pertuduhan yang dihadapi telah menseimbangkannya dengan kepentingan perayu (Najib) serta kesakitan dan penderitaan yang dihadiahkan beliau kepada negara. Najib bukan sekadar melanggar amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada beliau malah bertindak mengkhianatinya.

    “Dalam keadaan seperti ini, apabila seorang pemimpin politik penting telah diheret ke mahkamah, disabitkan serta dihukum, kami mendapati ini adalah waktu paling sesuai untuk memetik kata-kata bekas Ketua Hakim Negara Raja Azlan Shah semasa baginda menjadi hakim perbicaraan dalam kes Pendakwa Raya lawan Datuk Harun Idris (bekas Menteri Besar Selangor),” katanya dalam penghakiman bertulis setebal 308 muka surat.

    Sebelum menjatuhkan hukuman ke atas Harun, Raja Azlan Shah kata “Saya ulangi apa yang saya katakan sebelum ini iaitu undang-undang tidak pilih kasih. Justeru, adalah mustahil untuk mengabaikan hakikat bahawa anda berada dalam kategori berbeza berbanding mana-mana individu yang pernah saya bicarakan. Adalah mustahil untuk mengabaikan hakikat bahawa di mata berjuta-juta rakyat negara ini, anda adalah seorang patriot dan pemimpin.

     “Malah mereka yang berbeza pandangan politik dengan anda memandang anda sebagai seorang yang bercita-cita tinggi. Anda mempunyai setiap peluang untuk menggapai tahap pencapaian tertinggi namun anda membiarkan ketamakan merosakkan diri.

    “Agak sukar difahami bagaimana seseorang yang berada dalam kedudukan anda tidak dapat mengenal pasti apa itu rasuah. Dengan berbuat demikian, anda bukan sahaja mengkhianati perjuangan parti anda yang selama ini anda pertahankan, tetapi juga sumpah jawatan anda di hadapan Raja Berdaulat, dan paling utama ialah dari segi undang-undang kerana anda adalah tertakluk di bawahnya,” kata Raja Azlan dalam penghakiman itu.

    Semalam, Abdul Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengekalkan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas Najib pada 28 Julai 2020.

    Panel itu membuat keputusan tersebut selepas menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terbabit.

    Najib, 68, masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan pasukan pembelaan telah memfailkan petisyen rayuan semalam. – BERNAMA

  • Bicara saman Muhyiddin vs Puad mula 14 Ogos 2023

    Bicara saman Muhyiddin vs Puad mula 14 Ogos 2023

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan lima hari bermula 14 Ogos 2023 untuk perbicaraan kes saman Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung kenyataan yang didakwa berbaur fitnah di laman Facebooknya berkaitan perintah kuarantin membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

    Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Mohd Puad selaku defendan ketika dihubungi Bernama berkata tarikh perbicaraan kes saman itu ditetapkan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz ketika pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

    “Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 24 Mei 2022 yang akan berlangsung secara dalam talian,” katanya yang turut memaklumkan prosiding hari ini disertai peguam Hayden Tan Chee Khoon mewakili Muhyiddin dan peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff bertindak bagi pihak Mohd Puad.

    Menerusi writ saman yang difailkan dalam kapasiti peribadi, Muhyiddin mendakwa pada 8 Feb lepas, Mohd Puad telah menerbitkan satu hantaran di laman Facebook di bawah nama ‘DrPuad Zarkashi’ dengan tajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat?’.

    Beliau mendakwa hantaran itu boleh diakses oleh pengguna Internet di seluruh dunia dan telah menerima 1,200 reaksi, 215 komen dan 182 perkongsian.

    Katanya hantaran itu merujuk kepada ‘PM’ yang merupakan singkatan kepada Perdana Menteri dan mengandungi kenyataan tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat serta memfitnah beliau.

    Muhyiddin mendakwa kenyataan itu membawa maksud bahawa beliau dan rombongannya enggan menjalani kuarantin selama 10 hari selepas mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia. – BERNAMA

  • UMNO fail permohonan gantung prosiding kes saman SRC

    UMNO fail permohonan gantung prosiding kes saman SRC

    UMNO memfailkan permohonan untuk menggantung prosiding kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap parti politik itu bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada UMNO.

    UMNO selaku defendan memfailkan notis permohonan itu bersama afidavit sokongan menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Hamidi di Mahkamah Tinggi di sini, pada 24 Nov lepas.

    Menerusi afidavit sokongan, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, alasan permohonan itu antaranya defendan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Pesuruhjaya Kehakiman, Quay Chew Soon pada 10 Nov lepas, yang menolak permohonan parti politik berkenaan untuk membatalkan kes saman tersebut dan membenarkan permohonan SRC International, Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran selaku plaintif untuk meminda writ saman dan pernyataan tuntutan.

    “Defendan tidak berpuas hati terhadap kedua-dua keputusan itu dan telah memfailkan dua notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada 17 Nov.

    “Pada hari yang sama juga (10 Nov), Quay membenarkan permohonan defendan untuk penggantungan sementara (interim) prosiding tindakan itu (saman) termasuk pemfailan pernyataan pembelaan dan mengarahkan defendan memfailkan permohonan penggantungan prosiding kes saman tersebut,” kata Mohd Sumali dalam afidavit sokongan itu.

    Mohd Sumali mendakwa, tiada sebarang prejudis kepada plaintif-plaintif sekiranya mahkamah membenarkan permohonan penggantungan prosiding kes saman itu.

    “Sekiranya permohonan ini (penggantungan) tidak dibenarkan oleh mahkamah dan defendan diarahkan untuk memfailkan pernyataan pembelaan, rayuan-rayuan tersebut akan menjadi sia-sia dan akademik kerana jika rayuan-rayuan itu dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan, maka keseluruhan prosiding permohonan ini akan terbatal,” kata Mohd Sumali.

    Sementara itu, peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili UMNO ketika dihubungi Bernama selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noordura Mohamed Din, berkata, mahkamah menetapkan pendengaran permohonan penggantungan kes saman itu di hadapan Quay pada 10 Mac depan secara dalam talian.

    Prosiding hari ini disertai peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili UMNO dan Nur Syafinaz Vani Abdullah mewakili kesemua plaintif.

    Dalam tuntutan saman itu, plaintif mendakwa UMNO mengetahui bahawa wang RM16 juta itu adalah milik SRC International dan parti politik tersebut tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.

    Pada 10 Mei lepas, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

    Kementerian itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC. – BERNAMA