Category: Mahkamah

  • Prosiding kes ‘Raja Bomoh’ tangguh dua bulan lagi

    Prosiding kes ‘Raja Bomoh’ tangguh dua bulan lagi

    MAHKAMAH Rendah Syariah di Ipoh hari ini menanggguhkan prosiding kes melibatkan Ibrahim Mat Zin atau ‘Raja Bomoh’ yang disiasat atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.

    Hakim Syarie Azman Saad menangguhkan kes itu untuk tempoh dua bulan selepas membenarkan permohonan Pendakwa Syarie, Suhaili Ishak untuk melengkapkan siasatan sebelum mengemukakan kertas pertuduhan.

    “Saya sebenarnya berhasrat untuk tidak memanjangkan tempoh siasatan ini. Saya dengan ini membenarkan penangguhan dua bulan dan ini adalah tempoh penangguhan yang terakhir.

    “Dilepaskan tidak bermaksud tidak didakwa, akan tetapi mengikut prosiding mahkamah, ini adalah tangguhan terakhir. Tidak boleh lama-lama,” katanya memetika laporan Astro Awani, hari ini.

    Azman menetapkan kes Ibrahim, 71 tahun, bersama sepupu, Suliaha Abdul Hamid, 62 tahun, yang dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’, akan disebut semula pada 25 April ini.

    Selain itu, beliau membenarkan permohonan Suliaha untuk menukarkan penjamin ekoran penjamin sebelum ini dijangkiti Covid-19 selain sukar untuk hadir ke mahkamah.

    Pada 7 Januari lalu, Ibrahim dan Suliaha dibebaskan dengan diperintahkan membayar wang jaminan RM3,000 bersama seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

    Kedua-dua individu itu disiasat di bawah Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 di sebuah rumah di Taman Rapat Jaya 1, Ipoh sekitar jam 3.45 petang, 6 Januari lepas.

    Siasatan ke atas mereka itu dibuat susulan satu ritual didakwa menolak musibah banjir yang dilakukan mereka di Dataran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Teluk Intan.

    Rakaman video ritual tersebut kemudian tular dalam media sosial dan mengundang pelbagai reaksi awam.

    Susulan itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.

  • Pengawal keselamatan AADK mengaku tidak bersalah tipu lelaki

    Pengawal keselamatan AADK mengaku tidak bersalah tipu lelaki

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pengawal keselamatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dihadapkan ke di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua tuduhan memperdayakan seorang lelaki untuk memberi RM5,500 bagi membantu membebaskan tunangnya dari sebuah pusat pemulihan dadah.

    Tertuduh, Maslan Atan, 59, mengaku tidak bersalah atas keuda-dua tuduhan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

    Bagi pertuduhan pertama, Maslan Atan, 59, didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 11.10 malam 12 Oktober 2018 di mesin juruwang automatik (ATM) Maybank di Stesen Petron, Pasir Gudang East (F1) Lot 110911, Kilometer (KM) 29 Lebuhraya Pasir Gudang di sini.

    Dia didakwa menipu Muhammad Azam Mat Hassan, 28, untuk menghantar wang sebanyak RM500 menerusi akaun bank miliknya.

    Ia bertujuan membantu membebaskan, Izzairen Sasli, 25, daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok, Kelantan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu Muhammad Azam untuk menghantar wang tunai RM5,000 bagi tujuan sama pada pukul 10 pagi, 18 Disember 2018 di Kafe Bangunan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika, Johor Bahru.

    Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh yang bertugas di AADK Kota Tinggi didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ikhwan Ihsan Jalaluddin, manakala tertuduh diwakili Mohd. Salleh Tugimin.

    Ahmad Kamal membenarkan suspek diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

    Terdahulu, Ikhwan mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh.

    Mohd. Salleh kemudiannya memohon jaminan dikurangkan berikutan Maslan masih menyara isteri dan seorang anak berusia 21 tahun serta memiliki komplikasi kesihatan termasuk darah tinggi.

    Ahmad Kamal menetapkan 24 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.

  • Irwan Serigar mohon batal saman 1MDB tuntut AS$6.59 bilion

    Irwan Serigar mohon batal saman 1MDB tuntut AS$6.59 bilion

    BEKAS Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah memohon untuk membatalkan saman yang difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang menuntut mereka membayar AS$6.59 bilion.

    Permohonan itu difailkan Mohd Irwan selaku defendan kedua di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi firma guaman Tetuan Lavania & Balan Chambers pada 18 Feb lepas terhadap 1MDB sebagai plaintif dalam kes tersebut.

    Berdasarkan dokumen yang diperoleh media menerusi sistem mahkamah, Mohd Irwan mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky Limited serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak boleh dikekalkan memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bilion dan AS$3.5 bilion.

    Mohd Irwan mendakwa, beliau tidak mempunyai sebarang kewajipan kontrak, statutori atau fidusiari terhadap 1MDB kerana pelantikannya sebagai pengarah syarikat itu adalah selepas kerugian yang didakwa dialami 1MDB.

    Mohd Irwan juga mendakwa, apa yang amat mengelirukan ialah Lembaga Pengarah 1MDB sebelum beliau menjadi Pengerusi tidak disaman oleh syarikat itu meskipun pelaburan Brazen Sky dan pembayaran Aabar Investments dilaksanakan semasa pengurusan terdahulu.

    Menurut Mohd Irwan, tuntutan kerugian yang kononnya dialami 1MDB adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah kerana syarikat itu telah memperoleh wang sejurus penyelesaian dicapai dalam tuntutan sivil terhadap pihak lain yang difailkan 1MDB.

    Beliau berkata, tuntutan 1MDB terhadapnya untuk pengembalian wang berjumlah AS$1.265 bilion yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) menurut Award Persetujuan bertarikh 9 Mei 2017 jelas tidak konsisten dengan pendirian yang kini diambil oleh 1MDB dalam permohonan syarikat itu untuk mengetepikan award tersebut dalam Timbang Tara London (permohonan penepian).

    “Sekiranya 1MDB berjaya dalam permohonan (mengetepikan), ia bermaksud 1MDB tidak mengalami sebarang kerugian berbangkit daripada Award Persetujuan.

    “Selanjutnya, kes 1MDB dalam permohonan (mengetepikan) adalah bahawa Lembaga Pengarah 1MDB pada masa itu, termasuk saya, tidak mempunyai pilihan melainkan mengikut arahan wakil pemegang saham iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak (ketika itu),” katanya dalam permohonan itu.

    Mengenai pembayaran 1MDB kepada Arul Kanda menerusi Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan bertarikh 23 Feb 2018, Mohd Irwan mendakwa, tuntutan mengenai perjanjian itu adalah jelas dan tidak boleh dikekalkan.

    Dakwa Mohd Irwan, sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, tugas serta tanggungjawab beliau hanyalah terhadap 1MDB sebagai sebuah syarikat dan bukan Kerajaan Persekutuan ketika itu.

    “Saya bukan seorang lantikan politik mahupun seorang ahli mana-mana parti politik yang berminat dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Dalam apa jua keadaan, keputusan untuk melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan merupakan satu keputusan kolektif oleh Lembaga Pengarah yang mempunyai kuasa sewajarnya untuk membuat keputusan mengenai perkara tersebut,” katanya.

    Peguam Lavinia Kumaraendran, yang mewakili Mohd Irwan, ketika dihubungi berkata, hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Azlinda Ahmad Sharif secara dalam talian dan mahkamah menetapkan 20 April untuk pengurusan kes selanjutnya.

    1MDB, yang memfailkan saman terhadap Arul Kanda dan Mohd Irwan pada Mei tahun lepas, mendakwa kedua-dua defendan telah melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited, yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

    1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada IPIC pada 9 Mei 2017.

    Dakwa 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran yang substansial berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian serta kerosakan.

    Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan. – BERNAMA

  • Mahkamah tolak permohonan Najib gantung prosiding saman SRC

    Mahkamah tolak permohonan Najib gantung prosiding saman SRC

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantung prosiding saman sivil AS$1.18 bilion SRC International Sdn Bhd terhadapnya.

    Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata, Najib, 68, tidak akan diprejudis jika saman itu diteruskan ketika beliau menunggu rayuan kes jenayah membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC di Mahkamah Persekutuan.

    Beliau berkata, mahkamah berpandangan bahawa keputusan rayuan dan permohonan di Mahkamah Persekutuan pada peringkat ini adalah bersifat spekulatif semata-mata.

    “Bagaimanapun, apa jua keputusan (rayuan) di Mahkamah Persekutuan tidak menghalang defendan (Najib) daripada membuat pindaan kepada tuntutannya, tertakluk kepada permohonan yang dibuat dan pendedahan pernyataan pembelaan juga tidak akan memprejudis defendan.

    “Permohonan untuk menggantung prosiding semasa sehingga tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi defendan diputuskan juga tidak dibenarkan kerana garis masa belum ditentukan. Justeru, Mahkamah berpandangan pengurusan saman ini perlu diteruskan dan adalah penting defendan memfailkan pembelaan bagi memastikan saman ini berjalan dengan efisien,” katanya pada prosiding yang berlangsung secara maya hari ini.

    Mahkamah kemudian menetapkan 24 Feb ini untuk pengurusan lanjut kes itu dan Najib turut diarah memfailkan pernyataan pembelaannya menjelang 31 Mac depan.

    Peguam Harvinderjit Singh hadir bagi pihak Najib manakala Datuk DP Naban mewakili SRC, yang merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Semasa prosiding sebelum ini, Harvinderjit berhujah bahawa Najib ingin menangguhkan prosiding saman itu sehingga pelupusan penuh kes jenayah membabitkan RM42 juta dana SRC yang kini di peringkat akhir di Mahkamah Persekutuan selain tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana syarikat itu di Mahkamah Tinggi.

    Pada 7 Mei tahun lepas, SRC di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas-bekas pengarah syarikat itu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

    Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

    SRC mendakwa, Najib telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan.

    Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

    SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Pada 7 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC selepas menolak rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

    Pada hari sama, Najib memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

  • Mahkamah tolak saman Tajuddin terhadap Khalid

    Mahkamah tolak saman Tajuddin terhadap Khalid

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman difailkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad, The New Straits Time Press (M) Berhad (NSTP) dan KiniTV Sdn Bhd berhubung kenyataan fitnah pada sidang media di lobi Parlimen, enam tahun lepas.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu setelah mendapati kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Khalid selaku defendan pertama tidak bersifat fitnah dan dibuat berdasarkan justifikasi, komen berpatutan dan perlindungan bersyarat.

    “Defendan kedua (NSTP) dan ketiga (KiniTV) telah membuat terbitan dengan bona fide (niat yang baik) tentang perkara kepentingan awam dan terbitan yang dibuat adalah adil saksama dan tepat. Oleh itu, tuntutan plaintif terhadap kesemua defendan adalah ditolak dan mengambil kira kepentingan awam tiada kos diberikan,” katanya.

    Latifah dalam penghakimannya berkata, komen Khalid berlaku berikutan sikap keterlaluan plaintif (Tajuddin) semasa prosiding di Parlimen yang menggunakan kenyataan yang tidak mengikut peraturan parlimen terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.

    Beliau berkata, ini disokong oleh keterangan keterangan saksi-saksi Ahli-Ahli Parlimen yang memberi keterangan di mahkamah semasa perbicaraan.

    “Mahkamah juga berpuas hati bahawa komen yang dibuat oleh defendan pertama pada sidang media pertama adalah komen yang berpatutan, berdasarkan kepercayaan yang jujur dan tanpa niat jahat yang berdasarkan fakta-fakta yang berada dalam pengetahuan defendan pertama sendiri,” katanya.

    Latifah berkata, kes itu berlaku berpunca dari plaintif (Tajuddin) semasa di Parlimen pada 21 Nov 2016 yang telah mengeluarkan satu kenyataan yang seksis dan menggunakan bahasa ‘yang tidak mengikut peraturan parlimen’ di dalam ucapannya terhadap Ahli Parlimen Seputeh yang telah mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang terutamanya Khalid.

    Beliau berkata, mahkamah berpendapat tiada keperluan untuk plaintif mengungkapkan perkataan kesat tersebut kepada Ahli Parlimen Seputeh yang pada masa itu tidak timbul apa-apa provokasi dan tiada kena mengena dengan persoalan yang sedang diperbahaskan ketika itu.

    “Semasa menjawab kepada wartawan, plaintif menyatakan bahawa dia menyebut nama keluarga Teresa Kok dan tidak ada motif lain,” katanya dan menambah bahawa alasan plaintif semasa prosiding Parlimen bahawa kenyataan itu hanya merujuk kepada nama Ahli Parlimen wanita itu adalah tidak berasas jika diambil kira konteks keseluruhan kenyataan tersebut dibuat.

    Menurut Latifah, tindakan plaintif yang enggan menarik balik kenyataan seksis tersebut dan memperli serta mengejek Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah menimbulkan provokasi terhadap Khalid.

    “Mahkamah juga berpendapat kenyataan yang dikatakan fitnah oleh defendan pertama (Khalid) bukanlah suatu fitnah jika diambil pada konteks ketika itu dan perkataan ‘sial’ yang digunakan defendan pertama adalah akibat daripada provokasi plaintif,” katanya.

    Latifah berkata, kenyataan yang dibuat oleh plaintif yang ketika itu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani adalah tidak wajar dan mencemarkan institusi Parlimen yang merupakan antara institusi tertinggi negara.

    Beliau berkata, mahkamah juga berpandangan kebebasan bersuara dan perlindungan reputasi terutama dalam Sidang Parlimen yang dihormati perlu diberi perhatian walaupun imuniti diberikan.

    Latifah berkata, mahkamah bersetuju bahawa tindakan defendan kedua (NSTP) hanya melaporkan tentang kejadian secara adil dan tidak bersifat fitnah kerana terdapat justifikasi munasabah terhadap laporan yang dibuat kerana ia dilindungi oleh perlindungan bersyarat.

    Bagi defendan ketiga (KiniTV) pula, yang telah menyiarkan dua video pada sidang media, yang diterbitkan pada 24 Nov 2016, beliau berkata, mahkamah berpuas hati tiada sebarang sifat fitnah dalam kedua-dua video itu.

    “Liputan dalam video tersebut oleh defendan ketiga adalah neutral dan menjadi tanggungjawab profesional kewartawanan untuk melaporkan berita yang neutral dan benar terutama melibatkan kepentingan awam,” katanya yang membuat keputusan itu menerusi emel hari ini.

    Pada 26 April 2017, Tajuddin memfailkan saman itu mendakwa, Khalid mengeluarkan dua kenyataan fitnah terhadapnya termasuk memanggilnya dengan kata-kata kesat ketika mengadakan dua sidang media di lobi Parlimen, masing-masing pada 21 dan 24 Nov 2016.

    Tajuddin mendakwa, kenyataan pertama Khalid diterbitkan NSTP melalui artikel bertajuk ‘Fury over Deputy Minister’s Remark’ pada 22 Nov 2016 dan kenyataan kedua defendan disiarkan di KiniTV pada 24 Nov tahun sama manakala kedua-dua kenyataan itu juga diterbitkan di Youtube yang boleh diakses oleh orang ramai.

    Tajuddin mendakwa kedua-dua kenyataan itu antara lain bermaksud, beliau tidak layak menjadi Ahli Parlimen dan bertindak bertentangan dengan ajaran serta budaya Islam. – BERNAMA

  • Bintara Kanan Maritim Malaysia berdepan 80 tuduhan rasuah

    Bintara Kanan Maritim Malaysia berdepan 80 tuduhan rasuah

    SEORANG penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 80 pertuduhan menerima suapan bernilai RM21,750 sekitar tahun 2017 hingga 2019.

    Tertuduh, Azmawi Zakaria, 47, yang merupakan Bintara Kanan Maritim yang bertugas di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah membuat pengakuan itu ketika semua 80 pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Menurut kertas pertuduhan, Azmawi didakwa menerima suatu benda yang berharga iaitu wang berjumlah RM21,750 daripada seorang individu bernama Neo Siang Joo.

    Semua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 November 2017 hingga 30 Mei 2019 yang mana tertuduh mengetahui Siang Joo mempunyai hubungan rasmi dengan jawatannya sebagai Bintara Kanan Maritim.

    Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Dalam pada itu, Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Mohamad Fauzee Azizan meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan memohon tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah.

    Ini kerana menurut Mohamad Fauzee, kes itu melibatkan saksi pendakwaan yang sama dengan satu lagi kes yang sedang berjalan di mahkamah negeri tersebut.

    Bagaimanapun, peguam tertuduh, P. Taneswaran dan Yuvanes Taruman memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan alasan isteri tertuduh yang merupakan seorang suri rumah hadir ke mahkamah untuk menjadi penjamin dan tertuduh telah memberi kerjasama yang baik.

    Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan selain pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

    Hakim turut membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah dengan tarikh sebutan semula pada 24 Februari ini.

  • Dihalang lupus aset: Najib mohon ketepi injunksi mareva

    Dihalang lupus aset: Najib mohon ketepi injunksi mareva

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan untuk mengetepikan injunksi mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu daripada anak syarikatnya untuk menghalangnya daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta.

    Najib, 69, memfailkan permohonan itu melalui peguamnya Tetuan Shafee & Co, Jumaat lepas.

    Semasa prosiding di Mahkamah Tinggi semalam, Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad menetapkan 6 Mei untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Pekan itu dan melanjutkan injunksi itu sehingga perbicaraan.

    Peguam dari firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership, yang mewakili 1MDB, ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu.

    Pada 8 Feb, Atan Mustaffa membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) bagi injunksi mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited), yang masing-masing merupakan plaintif pertama dan kelima, dalam saman 1MDB terhadap Najib dan beberapa orang lagi.

    Injunksi tersebut juga mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukannya untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman.

    Bagaimanapun, sekiranya beliau memerlukan lebih daripada jumlah itu, beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam1MDB dan Global Diversified.

    Injunksi mareva adalah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.

    Perintah itu juga menyatakan, Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga pada nilai US$681 juta, sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

    Beliau dikehendaki memberikan nilai, lokasi serta segala maklumat aset dan maklumat itu perlu disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima.

    Sekiranya keseluruhan nilai bebas daripada gadaian atau apa-apa sekuriti asetnya di negara ini melebihi AS$681 juta, Najib boleh mengalihkan atau melupuskan aset itu asalkan jumlah nilai tanpa beban kekal berjumlah tidak kurang daripada AS$681 juta.

    Perintah itu juga menyatakan bahawa mana-mana individu dalam prosiding itu atau sebaliknya, yang dimaklumkan mengenai perintah berkenaan tidak seharusnya membantu atau membenarkan pelanggaran perintah, dan mereka boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika berbuat demikian.

    Dalam saman itu, 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified selaku plaintif manakala Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas Pengarah Kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (Ketua Pegawai Operasi 1MDB) dinamakan sebagai defendan.

    Turut dinamakan sebagai defendan ialah Kelvin Tan Kay Jim (bekas Pengarah Pelaburan) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd).

    Saman AS$8 bilion itu adalah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan itu. – BERNAMA

  • Kepala ibu tiri dipenggal, lelaki OKU dituduh membunuh

    Kepala ibu tiri dipenggal, lelaki OKU dituduh membunuh

    SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Gua Musang hari ini atas pertuduhan membunuh ibu tirinya, minggu lepas.

    Abdul Aziz Abdullah, 33, yang merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental mengangguk sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Abdul Aziz didakwa membunuh Rahana Abd Razak, 55, di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Batu Machang, Jerek, antara 3.30 hingga 4.30 petang pada 16 Feb lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 21 April untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat mangsa.

    Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dipercayai membunuh ibu tirinya dengan cara memenggal kepala mangsa menggunakan sebilah parang sehingga menyebabkan leher terputus di dalam bilik sebuah rumah di Jerek.

    Suspek bagaimanapun menyerah diri di Balai Polis Bertam selepas kejadian dan memberitahu telah membunuh ibu tirinya dengan parang. – BERNAMA

  • Ismahalil didakwa edar dadah

    Ismahalil didakwa edar dadah

    PENYAMPAI radio, Ismahalil Hamzah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis tahun lalu.

    Ismahalil, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

    Sinar Harian melaporkan, mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 374.6 gram.

    Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada pukul 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

    Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika disabitkan kesalahan.

    Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala Ismahalil diwakili peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

    Mahkamah menetapkan 24 Mac depan untuk tarikh pengurusan kes.

  • Pakcik durjana dituduh persundalkan anak saudara sendiri

    Pakcik durjana dituduh persundalkan anak saudara sendiri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki didakwa dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Dua, Alor Setar hari ini kerana bertindak sebagai orang tengah bagi memperkenalkan anak saudara perempuannya kepada dua lelaki, bagi tujuan persundalan pada 2020 dan 2021.

    Lelaki berusia 45 tahun itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik kedua-dua pertuduhan tersebut dicabakan oleh jurubahasa terhadapnya di depan Hakim, Harmi Thamri Mohamad.

    Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bertindak sebagai orang tengah bagi memperkenalkan anak saudara perempuannya yang berusia 16 tahun kepada seorang lelaki yang kini berusia 25 tahun bagi tujuan persundalan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sukamari, Pendang antara Mac hingga April 2020.

    Menerusi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sekali lagi bertindak sebagai orang tengah bagi memperkenalkan remaja perempuan itu dengan lelaki lain yang kini berusia 37 tahun bagi tujuan sama.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada Mei 2021 di lokasi sama.

    Pendakwaan kes tersebut dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Siti Nurul Suhaila Baharin mengikut Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun, disebat dan didenda jika disabitkan dengan kesalahan.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dengan tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin.