Category: Mahkamah

  • Mahasiswa mengaku salah muat naik komen jelik terhadap Agong, PM

    Mahasiswa mengaku salah muat naik komen jelik terhadap Agong, PM

    SEORANG penuntut universiti mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub hari ini atas tuduhan membuat dan memulakan komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri di laman sosial, tahun lepas.

    Pengakuan Muhammad Luqmanulhakim Mohd Aziz, 22, dari Negeri Sembilan direkodkan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8.31 malam 17 April 2021 dengan membuat kenyataan itu di akaun Twitter @hkmlqmn18 dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang dibaca pada 9 malam hari sama di Felda Mempaga, Bentong.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

    Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.

    Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Mat memohon tarikh baharu untuk jatuh hukum bagi membolehkan pihak pendakwaan menyediakan fakta kes dan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun, Muhammad Luqmanulhakim yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan ke paling minimum kerana dirinya belum bekerja.

    “Kami lima beradik dan semuanya masih bersekolah. Ibu bapa saya hadir ke mahkamah hari ini dan mereka bekerja sebagai guru. Kalau boleh, saya mohon jumlah jaminan dikurangkan lagi,” katanya.

    Ahmad Faizadh membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 April sebagai tarikh jatuh hukum. – BERNAMA

  • Jho Low senaraikan Najib antara individu perlu disuap – Leissner

    Jho Low senaraikan Najib antara individu perlu disuap – Leissner

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah salah seorang daripada beberapa pegawai kerajaan dari Malaysia dan Abu Dhabi yang disenaraikan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho sebagai individu yang perlu ‘disuap’ bagi membolehkannya mengumpul dan membelanjakan berbilion wang dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bekas pegawai bank Goldman Sachs ,Tim Leissner memberitahu mahkamah minggu ini.

    Memetik laporan Malaysia Now, Leissner yang merupakan saksi utama pendakwaan bagi perbicaraan rasuah 1MDB rakan sekerjanya, Roger Ng menjelaskan bagaimana Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low melukis beberapa kotak dalam sekeping kertas di mana setiap kotak itu mewakili pegawai dari Malaysia dan UAE yang perlu disogok.

    Selain Najib, seorang lagi pegawai kanan dalam senarai itu adalah Timbalan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan di mana beliau disifatkan oleh Low sebagai seorang lelaki “yang tidak akan bangun dari katil jika mendengar jumlah wang yang kurang dari AS$100 juta”.

    Leissner seterusnya mengatakan Low juga berkata bayaran sogokan kepada pegawai kanan di Malaysia dan UAE “perlu sama dan harus dilihat sama banyak”.

    “Dalam fikiran saya, ia bermaksud kedua-dua pihak perlu dapat wang sebanyak AS$100 juta,” kata Leissner seperti dilaporkan Bloomberg.

    Leissner adalah pegawai atasan Ng di Goldman sebelum menjadi saksi pendakwaan terhadap kesnya.

    Beliau memberikan keterangan sebagai saksi kerajaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah, sementara Ng tidak mengaku bersalah bersubahat sama ada dalam jenayah pengubahan wang haram atau melanggar undang-undang anti rasuah.

    Pertuduhan itu berpunca daripada skandal kewangan terbesar dalam sejarah di mana pihak pendakwaan AS berkata AS$4.5 bilion dari AS$6.5 bilion yang diperolehi daripada jualan bon 1MDB diselewengkan kepada kakitangan kerajaan dan rakan subahat melalui rasuah dan suapan wang.

    Bercakap mengenai pertemuannya dengan Low pada 2012, Leissner berkata dia dan Ng bersetuju untuk mendiamkan berhubung pembayaran tersebut.

    “Rasuah perlu dibayar untuk bolehkan ia (penyelewengan) berlaku, namun kami sentiasa simpan perkara ini antara kami berdua,” katanya.

    Pemeriksaan balas Leissner di kandang saksi ditangguhkan sehingga minggu depan berikutan beberapa bukti baru dikemukakan oleh pendakwaan.

  • 1MDB dakwa Jho Low pengarah bayangan, proksi Najib

    1MDB dakwa Jho Low pengarah bayangan, proksi Najib

    1MALAYSIA Development Berhad (1MDB) mendakwa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah pengarah bayangan dalam syarikat pelaburan strategik itu kerana beliau proksi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memberi arahan kepada lembaga pengarah dan pengurusan kanan 1MDB.

    1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited selaku plaintif menyatakan demikian menerusi jawapan kepada pernyataan pembelaan Jho Low, yang difailkan Tetuan Skrine di Mahkamah Tinggi di sini, pada 23 Feb lepas.

    1MDB mendakwa, Jho Low mempunyai kewajipan fidusiari terhadap plaintif-plaintif dan pada setiap masa material merupakan pemegang amanah kepada aset-aset kesemua plaintif.

    “Pembelaan yang didakwa oleh defendan pertama (Jho Low) bahawa dia tidak pernah mengaku liabiliti dalam prosiding yang difailkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, kesemuanya adalah tidak relevan,” dakwa 1MDB dalam pernyataan jawapan itu.

    1MDB mendakwa Jho Low telah mendapatkan proksi-proksinya untuk bekerja dalam 1MDB termasuk bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil.

    “Proksi-proksi tersebut memegang jawatan pengurusan kanan utama dalam plaintif pertama (1MDB) antara lainnya untuk memantau pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB, melaksanakan keputusan penting menurut kehendak Jho Low dan Najib bagi memudahkan penggunaan dana plaintif-plaintif dengan niat penipuan Jho Low dan Najib,” dakwa 1MDB dan menambah Najib juga pengarah bayangan 1MDB.

    Menurut 1MDB, Jho Low telah menerima dana milik plaintif-plaintif yang mana beliau mengetahui bahawa dana tersebut milik kesemua plaintif dan wang tersebut telah dipindahkan kepadanya secara pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari.

    “Tindakan (saman) terhadap Jho Low antaranya untuk pemulihan wang amanah kepunyaan kesemua plaintif yang telah diterima Jho Low yang beliau mengetahui bahawa wang tersebut telah dipindahkan kepadanya secara pecah amanah antara lainnya oleh Najib.

    “Oleh itu, defendan pertama (Jho Low) juga adalah pemegang amanah konstruktif plaintif-plaintif berkenaan dengan wang yang diterima olehnya,” kata 1MDB.

    Selain itu, 1MDB mendakwa, setelah dimaklumkan tentang Memorandum Ernst & Young bertarikh 26 Mac 2010, Najib, ketika itu sebagai pihak pemegang saham tunggal 1MDB, Menteri Kewangan (Diperbadankan) bersama dengan penglibatan Jho Low, mengarahkan penyingkiran Ernst & Young sebagai juruaudit bagi 1MDB melalui surat bertarikh 16 Ogos 2020.

    Menurut 1MDB, tindakan itu untuk menyembunyikan kerugian syarikat itu akibat pelesapan dana secara penipuan dan menghalang siasatan serta penemuan fakta-fakta dan bukti material berkenaan dengan penipuan tersebut.

    “Selain daripada AS$700 juta yang telah diterima oleh Jho Low pada 2009, semua wang telah dibayar kepada Jho Low selepas Mac 2010, oleh itu, ia adalah tidak dapat diterima bahawa kausa-kausa tindakan hanya terakru pada Mac 2010 seperti yang didakwa.

    “Dalam apa jua keadaan, tuntutan plaintif-plaintif adalah termasuk pecah amanah secara penipuan oleh Jho Low dan untuk mendapatkan semula daripadanya harta yang dipegang secara pecah amanah bagi pihak plaintif-plaintif yang telah ditukarkan untuk kegunaannya sendiri,” menurut 1MDB,

    Pada 7 Mei tahun lepas, 1MDB dan empat anak syarikatnya, memfailkan saman terhadap Jho Low, ayah dan ibunya Tan Sri Larry Low Hock Peng dan Puan Sri Goh Gaik Ewe, kakaknya May Lin, adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong.

    Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta AS$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

    1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

    Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin and Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.

    Jho Low dalam pernyataan pembelaannya mendakwa, beliau tidak mempunyai sebarang jawatan atau kewajipan fidusiari dalam 1MDB serta empat anak syarikatnya dan saman itu harus ditolak kerana gagal menyatakan kausa tindakan yang munasabah berhubung dakwaan pecah amanah atau kewajipan fidusiari.

    Dakwa Jho Low, beliau tidak pernah menjadi pengarah atau pemegang saham dalam 1MDB atau keempat-empat anak syarikatnya, dan juga bukan ahli lembaga penasihat dana kekayaan negara itu atau sebahagian daripada pasukan pengurusan kelima-lima plaintif. – BERNAMA

  • Jho Low, Goldman Sachs didakwa berkomplot dapatkan AS$3.5 bilion jaminan 1MDB

    Jho Low, Goldman Sachs didakwa berkomplot dapatkan AS$3.5 bilion jaminan 1MDB

    SEBUAH mahkamah di Amerika Syarikat (AS) diberitahu tentang bagaimana ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low, dan eksekutif Goldman Sachs merancang untuk mendapatkan firma milik kerajaan di Abu Dhabi bagi menjamin pinjaman 1MDB.

    Memetik laporan FMT, pendedahan itu dibuat oleh bekas pegawai bank Goldman, Tim Leissner, selepas dipastikan kerajaan Malaysia tidak akan memberi jaminan kedua buat 1MDB.

    Leissner, 52, adalah saksi utama dalam perbicaraan Roger Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia.

    Menurut dokumen mahkamah yang dilihat FMT, Leissner ditanya mengenai mesyuarat yang disertainya bersama Ng, Low dan Andrea Vella, salah seorang pegawai pelaburan paling kanan Goldman di Asia pada masa itu.

    “Ia adalah permulaan di mana kami merancang struktur tentang cara membiayai 1MDB di pasaran antarabangsa. Soalan pertama Vella kepada Low: Bolehkah kerajaan Malaysia memberi satu lagi jaminan buat 1MDB?

    “Dalam pembiayaan sebelum ini, yang mengumpul AS$1.25 bilion untuk 1MDB dalam pasaran terbuka, terdapat jaminan kerajaan,” katanya.

    Menurut Leissner, Low kemudian berkata, apa yang difahaminya adalah tiada lagi jaminan akan diberikan.

    “Kami telah cuba selama beberapa tahun dan setiap kali, mereka kata tidak, jadi jangan berharap.”

    Vella kemudian bertanya siapa lagi yang boleh memberi jaminan buat 1MDB kerana ia tidak mempunyai kekuatan kredit untuk mengumpul berbilion dolar.

    Kata Leissner dalam keterangannya, Low mencadangkan dana kekayaan berdaulat Abu Dhabi, Aabar Investments PJS, yang menurut Vella, turut tidak mempunyai kekuatan kredit.

    Vella kemudiannya mencadangkan syarikat induk Aabar, International Petroleum Investment Co (IPIC), yang mempunyai penarafan kredit sangat baik.

    “Jadi menurut pandangan Andrea, IPIC adalah entiti yang tepat untuk dirujuk bagi mendapatkan jaminan di Abu Dhabi,” kata Leissner.

    “Jho menjawab, beliau mengenali Pengerusi IPIC Sheikh Mansour dan CEO IPIC Khadem al-Qubaisi, dan akan menyemak perkara ini.

    “Memandangkan beliau ada hubungan dengan dua individu ini, beliau ingat mungkin boleh dapatkan induk itu menerusi IPIC.”

    Leissner berkata, hasil mesyuarat itu, mereka dapat mencari jalan untuk mendapatkan IPIC untuk menjamin pinjaman 1MDB.

    IPIC kemudiannya menjamin dua peringkat bon AS$1.75 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB. Sebagai balasan, 1MDB memindahkan kira-kira AS$2.08 bilion dalam tempoh dua tahun serta deposit keselamatan AS$1.4 bilion kepada sebuah syarikat yang berdaftar di Kepulauan Virgin British bernama Aabar Investments PJS Ltd (Aabar BVI).

    Selepas itu, IPIC berkata, Aabar BVI “bukan entiti” dalam kumpulan korporat IPIC dan ia mahupun Aabar tidak menerima sebarang wang daripada 1MDB. Didedahkan kemudian bahawa Aabar BVI adalah syarikat yang diperbadankan oleh Low.

    Menurut Bloomberg, Leissner berkata, Low memberitahunya Sheikh Mansour tidak akan menerima kurang daripada AS$100 juta. Sheikh Mansour tidak dituduh atas sebarang salah laku oleh AS.

    Leissner menceritakan satu mesyuarat dihadirinya dengan Ng bersama Low di rumah ahli perniagaan itu di kawasan Mayfair di London pada 2012, tidak lama sebelum Goldman memberi kelulusan bagi kerja-kerja berkaitan 1MDB dan mengumpul AS$1.75 billion untuk 1MDB.

    Pada mesyuarat itu, katanya, Low mengeluarkan sekeping kertas dan “mula melukis kotak-kotak”. Di sebelah muka surat, terdapat beberapa kotak mewakili pegawai Malaysia yang perlu disogok dan di sebelah lagi kotak untuk pegawai Abu Dhabi.

    Menurutnya, Low berkata bahawa di peringkat atasan, bayaran kepada pihak Malaysia dan Abu Dhabi “mesti sama dan dianggap sama”.

    “Dalam fikiran saya, itu bermakna kedua-dua pihak perlu mendapat AS$100 juta,” kata Leissner dalam keterangannya.

    “Saya tidak boleh kata saya terkejut.” katanya, sambil menambah, pengalamannya bertahun-tahun bekerja dalam pasaran memuncul mengajarnya bahawa rasuah dan sogokan kadangkala dikaitkan dengan projek membabitkan pegawai kerajaan.

    Pada akhir pembentangannya, menurut Leissner, Low berkata Leissner dan Ng juga akan “dijaga”.

    “Saya sudah tentu gembira kerana akan meraih wang tambahan,” katanya kepada para juri.

    “Saya mahu memperoleh lebih banyak wang, walaupun gaji saya tinggi di Goldman Sachs.”

    Katanya, selepas mesyuarat itu, dia dan Ng berjalan pulang ke hotelnya.

    Dalam perjalanan, katanya, mereka bersetuju tidak akan sebut apa-apa “tentang bayaran itu” kepada sesiapa di dalam atau luar Goldman Sachs kecuali mereka yang turut sama menghadiri mesyuarat itu.

    “Sogokan perlu dibayar untuk merealisasikannya, tetapi kami hanya menyimpan (rahsia ini) antara kami berdua,” tambahnya.

  • Bicara saman AS$1.18b SRC terhadap Najib mula 13 Februari 2023

    Bicara saman AS$1.18b SRC terhadap Najib mula 13 Februari 2023

    KES saman AS$1.18 bilion yang difailkan SRC International Sdn. Bhd. terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah ditetapkan untuk perbicaraan selama 16 hari bermula 13 Februari tahun depan.

    Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Suriani Ujang semasa pengurusan kes tersebut yang berlangsung secara dalam talian di Kuala Lumpur, hari ini.

    Pada prosiding itu, Najib diwakili peguam Wan Mohammad Arfan Wan Othman manakala Lisa Yong hadir bagi pihak SRC.

    Mahkamah telah menetapkan tarikh perbicaraan kes itu pada 13 hingga 16 Februari, 20 hingga 23 Februari, 6 hingga 9 Mac dan 13 hingga 16 Mac 2023.

    Pada Selasa lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menolak permohonan Najib untuk menggantung prosiding kes saman itu selepas berpendapat Najib tidak akan diprejudis jika saman tersebut diteruskan ketika beliau menunggu rayuan kes jenayah membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC di Mahkamah Persekutuan.

    Pada 7 Mei tahun lepas, SRC di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas-bekas pengarah syarikat itu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

    Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

    SRC mendakwa Najib telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan.

    Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

    SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Pada 7 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC selepas menolak rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

    Pada hari sama, Najib memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. – Bernama

  • Bekas guru pusat tahfiz mengaku tidak bersalah liwat, amang seksual 6 pelajar

    Bekas guru pusat tahfiz mengaku tidak bersalah liwat, amang seksual 6 pelajar

    BEKAS guru pusat tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini di atas 10 tuduhan meliwat dan melakukan amang seksual terhadap enam pelajarnya.

    Muhammad Jamil Abdul Kadir, 23, kelihatan menangis ketika tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd sebelum dia mengaku tidak bersalah.

    Memetik laporan Harian Metro, tertuduh yang juga bekas warden di pusat tahfiz di Kemaman tersebut didakwa melakukan perbuatan itu terhadap enam pelajar lelaki berusia 11 hingga 13 tahun daripada Disember 2021 hingga Februari tahun ini.

    Dia berdepan dengan tuduhan di bawah seksyen 377C Kanun Keseksaan dan dua pertuduhan di bawah seksyen 377B Kanun yang sama.

    Tertuduh juga turut didakwa empat tuduhan di bawah seksyen 14(d) dan tiga tuduhan di bawah seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017.

    Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah SH Sahul Hamid tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

    “Ia adalah kesalahan serius terhadap kanak-kanak dan tertuduh sebagai warden sepatutnya melindungi kanak-kanak di bawah jagaannya itu,” katanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dikenakan ikat jamin sebanyak RM51,000 bagi semua tuduhan dengan seorang penjamin.

    Selain itu syarat tambahan turut dikenakan terhadap tertuduh iaitu tidak boleh menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan.

    Mahkamah juga menetapkan 29 Mac ini untuk sebutan semula kes.

  • Pesakit mental mengaku tak bersalah cederakan bapa tiri

    Pesakit mental mengaku tak bersalah cederakan bapa tiri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pesakit mental mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan bapa tirinya di sebuah rumah di Kampung Ruat, Yan, Kedah, minggu lalu.

    Tertuduh, Mohamad Farol Rafiq Md. Rodzi, 29, membuat pengakuan tersebut dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret, Nadhirah Abdul Rahim di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.

    Dalam pertuduhan dihadapinya itu, tertuduh yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) pesakit mental didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap bapa tirinya, Nordin Ahmad, 72.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 7 pagi, 15 Februari lalu di sebuah rumah di Jalan Masjid, Kampung Ruat, Yan, Kedah.

    Klip video mengenai tindakan lelaki itu turut tular di media sosial dengan kejadian itu difahamkan berlaku disebabkan suspek berang kerana permintaannya untuk mendapatkan duit bagi membeli dadah, tidak dipenuhi.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Hamizah Mat Shah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farahdina Che Bakar.

    Tangkap layar video memaparkan suspek menendang bapa tirinya sebelum visual tersebut tular dalam media sosial

    Sementara itu tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM4,000 oleh seorang penjamin dengan dua syarat tambahan turut ditetapkan ke atasnya.

    Dua syarat tambahan itu adalah, tertuduh tidak dibenarkan mendekati atau menghubungi tertuduh dan dia juga perlu melapor diri di balai polis terdekat, sebulan sekali.

    Dalam masa sama mahkamah turut memerintahkan agar dia dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak bagi menjalani penilaian psikiatri.

    Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Mac depan.

  • Penulis blog dipenjara, denda tumbuk muka abang

    Penulis blog dipenjara, denda tumbuk muka abang

    AKIBAT menumbuk muka abang kandung sehingga lebam kerana enggan memberikan RM400 kepadanya untuk membaiki motosikal, seorang penulis blog dihukum penjara 14 hari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Selayang, Kuala Lumpur, hari ini.

    Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Zailan Yunus, 55, mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Zaidi Yunus, 56, di sebuah rumah di Jalan 23 Selayang Baru, Gombak di sini pada 1.30 tengah hari 18 Februari lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 21 Februari lalu.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Mohd Zailan dan meminta mahkamah mengambil kira kecederaan mangsa serta rekod jenayah tertuduh pada 2020, juga membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 323.

    Peguam M. Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan pula memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh merupakan bapa tunggal yang mempunyai seorang anak. – Bernama

  • Bekas Pengerusi Goldman bincang dapatkan kerja untuk 3 anak Najib

    Bekas Pengerusi Goldman bincang dapatkan kerja untuk 3 anak Najib

    SAKSI  utama perbicaraan rasuah bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng memberi keterangan bahawa bekas Pengerusi Goldman Lloyd Blankfein pada 2009 bertemu dengan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak dan pertemuan itu diadakan dengan agenda.

    Sebagai balasan untuk perniagaan yang memberi keuntungan, Goldman akan mendapatkan pekerjaan kepada tiga anak Najib di bank itu, kata bekas Pengerusi Asia Tenggara Tim Leissner kepada juri dalam keterangan hari kedua pada Selasa mengenai skim 1MDB, lapor FMT.

    Dalam laporan yang dipetik daripada Bloogberg itu Leissner, 52, dengan panjang lebar menggambarkan bagaimana kakitangan bawahannya dan sekumpulan rakan kongsi Goldman melakukan penyelewengan wang 1MDB.

    Dia telah mengaku bersalah atas pengubahan wang haram dan memberi rasuah pegawai asing. Ng, bekas ketua perbankan pelaburan di Malaysia, didakwa bersubahat dengannya untuk pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti-rasuah Amerika Syarikat (AS).

    Ng adalah satu-satunya bekas kakitangan bank Goldman yang dibicarakan dalam skandal itu.

    Leissner memberi keterangan bahawa Ng memberitahunya Najib telah pergi ke New York untuk melawat anak-anaknya di AS untuk cuti Kesyukuran dan bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, merasakan ia satu peluang yang baik untuk Blankfein dan Najib bertemu dan mempromosikan urus niaga bon.

    Selepas bertemu dengan Low, Ng berkata Najib mahu mendapatkan pekerjaan anak-anaknya di Goldman, Leissner memberitahu juri di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York.

    Ng, yang telah mengembara ke New York untuk bertemu dengan bos Goldmannya, memberitahu Leissner dia telah bertemu sendiri dengan anak-anak Najib, menurut Leissner.

    “Baru sahaja bertemu tiga anak PM di apartmennya, saya bersama Jho di apartmennya,” Leissner membacakan kepada juri daripada e-mel. Dia berkata Ng menambah: “Bertemu dengannya lagi esok dan akan berusaha mendapatkan tiga anaknya untuk menyertai Goldman Sachs.”

    Leissner tidak menyatakan keraguan tetapi sebaliknya dengan penuh semangat menjawab: “Bunyinya bagus, mari kita sertakan mereka.”

    Akhirnya, Leissner memberi keterangan, dia membantu mendapatkan anak perempuan Najib pekerjaan di TPG.

    Sementara itu, Najib menafikan dakwaan tiga anaknya dijamin pekerjaan dengan bank pelaburan multinasional Amerika Syarikat, Goldman Sachs.

    Beliau berkata, keterangan bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner semalam dan laporan media seperti mahu menggambarkan percubaan mereka untuk menyogok beliau.

    “Walaupun tajuk berita media-media tempatan memberi bayangan bahawa saya disogok oleh Goldman Sachs yang tawarkan kepada anak-anak saya bekerja di bank tersebut, apa yang diterangkan oleh saksi, bekas eksekutif Tim Leissner ialah percubaan mereka untuk menyogok saya.

    “Namun ini tidak berlaku dan tiada seorang pun anak saya pernah ditawarkan pekerjaan di Goldman Sachs dan tidak pernah bekerja di bank Amerika Syarikat itu,” katanya di Facebook.

  • Rayuan Anwar kembalikan saman untuk batal sabitan kes liwat gagal

    DATUK Seri Anwar Ibrahim kelmarin gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi mengembalikan semula samannya terhadap kerajaan untuk membatalkan sabitan kes liwat membabitkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

    Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian, dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan presiden PKR itu dan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tepat dalam membatalkan saman pemula Anwar.

    Abu Bakar, yang menyampaikan keputusan itu berkata dakwaan Anwar bahawa ketua pendakwa dalam kes liwatnya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, telah menerima RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, adalah kenyataan semata-mata tanpa bukti sokongan.

    “Oleh itu, kenyataan bahawa Muhammad Shafee tidak bebas sebagai ketua pendakwa, tidak mempunyai sebarang merit.


    “Dalam apa jua keadaan walaupun terbukti wang itu telah dibayar kepada Muhammad Shafee oleh Najib, kami tidak berpendapat ini menjejaskan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan,” kata hakim itu.

    Abu Bakar berkata, keputusan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat Anwar diberikan oleh hakim mahkamah tersebut secara bebas dan tanpa pengaruh atau pengetahuan mengenai sebarang bayaran antara kedua-dua individu itu.

    “Oleh itu tidak menjadi isu jika ada pembayaran tersebut dibuat oleh Najib kepada Muhammad Shafee. Perkara itu menjadi urusan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menyiasat dan Peguam Negara untuk mendakwa jika terdapat pembayaran rasuah dan penerimaan dalam jumlah yang sama,” katanya.

    Beliau berkata Anwar juga tidak dinafikan peluang membela diri sehingga ke Mahkamah Persekutuan dalam kes liwatnya.
    Prosiding mahkamah dijalankan secara dalam talian. 

    Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Nov 2017 yang membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan samannya.

    Dalam saman pemulanya yang difailkan pada 9 Jun 2017, menamakan kerajaan sebagai defendan, Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa beliau tidak mendapat perbicaraan adil dalam prosiding rayuannya berhubung sabitan kes liwat.

    Anwar memohon satu deklarasi bahawa sabitannya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 adalah ultra vires atau di luar kuasa Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak sah.


    Beliau juga memohon perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan juga adalah ultra vires dan oleh itu, terbatal serta tidak sah.

    Afidavit Anwar mendakwa Muhammad Shafee menerima RM9.5 juta daripada Najib untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan berhubung sabitan kes liwat beliau.


    Sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Bagaimanapun, Anwar telah diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

    Peguam J. Leela dan How Li Nee mewakili Anwar manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bagi pihak pendakwaan. Peguam Sarah Abishegam bertindak bagi Muhammad Shafee, yang dibenarkan mencelah dalam rayuan pada 2018. – Bernama