SEBUAH mahkamah di Amerika Syarikat (AS) diberitahu tentang bagaimana ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low, dan eksekutif Goldman Sachs merancang untuk mendapatkan firma milik kerajaan di Abu Dhabi bagi menjamin pinjaman 1MDB.

Memetik laporan FMT, pendedahan itu dibuat oleh bekas pegawai bank Goldman, Tim Leissner, selepas dipastikan kerajaan Malaysia tidak akan memberi jaminan kedua buat 1MDB.

Leissner, 52, adalah saksi utama dalam perbicaraan Roger Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat FMT, Leissner ditanya mengenai mesyuarat yang disertainya bersama Ng, Low dan Andrea Vella, salah seorang pegawai pelaburan paling kanan Goldman di Asia pada masa itu.

“Ia adalah permulaan di mana kami merancang struktur tentang cara membiayai 1MDB di pasaran antarabangsa. Soalan pertama Vella kepada Low: Bolehkah kerajaan Malaysia memberi satu lagi jaminan buat 1MDB?

“Dalam pembiayaan sebelum ini, yang mengumpul AS$1.25 bilion untuk 1MDB dalam pasaran terbuka, terdapat jaminan kerajaan,” katanya.

Menurut Leissner, Low kemudian berkata, apa yang difahaminya adalah tiada lagi jaminan akan diberikan.

“Kami telah cuba selama beberapa tahun dan setiap kali, mereka kata tidak, jadi jangan berharap.”

Vella kemudian bertanya siapa lagi yang boleh memberi jaminan buat 1MDB kerana ia tidak mempunyai kekuatan kredit untuk mengumpul berbilion dolar.

Kata Leissner dalam keterangannya, Low mencadangkan dana kekayaan berdaulat Abu Dhabi, Aabar Investments PJS, yang menurut Vella, turut tidak mempunyai kekuatan kredit.

Vella kemudiannya mencadangkan syarikat induk Aabar, International Petroleum Investment Co (IPIC), yang mempunyai penarafan kredit sangat baik.

“Jadi menurut pandangan Andrea, IPIC adalah entiti yang tepat untuk dirujuk bagi mendapatkan jaminan di Abu Dhabi,” kata Leissner.

“Jho menjawab, beliau mengenali Pengerusi IPIC Sheikh Mansour dan CEO IPIC Khadem al-Qubaisi, dan akan menyemak perkara ini.

“Memandangkan beliau ada hubungan dengan dua individu ini, beliau ingat mungkin boleh dapatkan induk itu menerusi IPIC.”

Leissner berkata, hasil mesyuarat itu, mereka dapat mencari jalan untuk mendapatkan IPIC untuk menjamin pinjaman 1MDB.

IPIC kemudiannya menjamin dua peringkat bon AS$1.75 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB. Sebagai balasan, 1MDB memindahkan kira-kira AS$2.08 bilion dalam tempoh dua tahun serta deposit keselamatan AS$1.4 bilion kepada sebuah syarikat yang berdaftar di Kepulauan Virgin British bernama Aabar Investments PJS Ltd (Aabar BVI).

Selepas itu, IPIC berkata, Aabar BVI “bukan entiti” dalam kumpulan korporat IPIC dan ia mahupun Aabar tidak menerima sebarang wang daripada 1MDB. Didedahkan kemudian bahawa Aabar BVI adalah syarikat yang diperbadankan oleh Low.

Menurut Bloomberg, Leissner berkata, Low memberitahunya Sheikh Mansour tidak akan menerima kurang daripada AS$100 juta. Sheikh Mansour tidak dituduh atas sebarang salah laku oleh AS.

Leissner menceritakan satu mesyuarat dihadirinya dengan Ng bersama Low di rumah ahli perniagaan itu di kawasan Mayfair di London pada 2012, tidak lama sebelum Goldman memberi kelulusan bagi kerja-kerja berkaitan 1MDB dan mengumpul AS$1.75 billion untuk 1MDB.

Pada mesyuarat itu, katanya, Low mengeluarkan sekeping kertas dan “mula melukis kotak-kotak”. Di sebelah muka surat, terdapat beberapa kotak mewakili pegawai Malaysia yang perlu disogok dan di sebelah lagi kotak untuk pegawai Abu Dhabi.

Menurutnya, Low berkata bahawa di peringkat atasan, bayaran kepada pihak Malaysia dan Abu Dhabi “mesti sama dan dianggap sama”.

“Dalam fikiran saya, itu bermakna kedua-dua pihak perlu mendapat AS$100 juta,” kata Leissner dalam keterangannya.

“Saya tidak boleh kata saya terkejut.” katanya, sambil menambah, pengalamannya bertahun-tahun bekerja dalam pasaran memuncul mengajarnya bahawa rasuah dan sogokan kadangkala dikaitkan dengan projek membabitkan pegawai kerajaan.

Pada akhir pembentangannya, menurut Leissner, Low berkata Leissner dan Ng juga akan “dijaga”.

“Saya sudah tentu gembira kerana akan meraih wang tambahan,” katanya kepada para juri.

“Saya mahu memperoleh lebih banyak wang, walaupun gaji saya tinggi di Goldman Sachs.”

Katanya, selepas mesyuarat itu, dia dan Ng berjalan pulang ke hotelnya.

Dalam perjalanan, katanya, mereka bersetuju tidak akan sebut apa-apa “tentang bayaran itu” kepada sesiapa di dalam atau luar Goldman Sachs kecuali mereka yang turut sama menghadiri mesyuarat itu.

“Sogokan perlu dibayar untuk merealisasikannya, tetapi kami hanya menyimpan (rahsia ini) antara kami berdua,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here