Category: Mahkamah

  • Lelaki rempuh sekatan jalan raya dituduh cuba bunuh polis

    Lelaki rempuh sekatan jalan raya dituduh cuba bunuh polis

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis dalam kejadian di sekatan jalan raya di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu pada 3 April lalu.

    Tertuduh, Muhammad Luqman Hakim Mohd. Shukri, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia yang bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah hospital kerajaan di sini didakwa dengan niat telah melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Lans Koperal S. K. Acharaa.

    Kesalahan di bawah Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 1.05 pagi pada 3 April lalu dalam kejadian di susur keluar lorong motosikal (menghala ke Jambatan Pulau Pinang) di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, maka boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

    Selain itu, beliau turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa memandangkan mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital tempat tertuduh bekerja.

    Bagaimanapun, Hakim Mazdi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan supaya tertuduh atau sesiapa sekalipun yang dikaitkan dengan tertuduh mengganggu mangsa kes tersebut dalam apa-apa cara sekalipun.

    Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melantik peguam dan menetapkan 20 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula.

    Sebelum ini, Lans Koperal Acharaa, 32, dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian muka selepas dirempuh sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z yang dipandu seorang lelaki ketika sedang bertugas di sekatan jalan raya di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

    Rempuhan itu menyebabkan anggota polis berkenaan terpelanting dan terjatuh di bahagian belakang sebuah kereta Perodua Axia yang sedang berhenti untuk pemeriksaan.

    Difahamkan, mangsa sehingga kini masih menerima rawatan di sebuah hospital namun keadaannya dilaporkan stabil.

  • Remaja bersalah bunuh suami terlepas hukuman gantung

    Remaja bersalah bunuh suami terlepas hukuman gantung

    SEORANG remaja perempuan terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Muar mengarahkannya dipenjara pada satu tempoh sehingga mendapat pengampunan Sultan Johor selepas didapati bersalah membunuh suaminya, lima tahun lepas.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Awang Armadajaya Awang Mahmud membuat keputusan ke atas remaja yang kini berusia 22 tahun tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Mengikut pertuduhan, remaja yang ketika itu berusia 17 tahun didakwa membunuh suaminya, Mohd Firdaus Md Sallehuddin, 28, di sebuah rumah di Jalan Indah 6, Taman Pertama Indah, Sungai Abong, di sini, kira-kira pukul 1.30 tengah hari, 14 Okt 2017.

    Remaja berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Bagaimanapun, Awang Armadajaya dalam penghakimannya berkata, seseorang di bawah umur tidak boleh dikenakan hukuman mati, tetapi boleh dipenjara sehingga mendapat perkenan Sultan Johor.

    “Oleh kerana pada tarikh kejadian kamu berusia 17 tahun 11 bulan dan 10 hari maka kamu ditakrifkan sebagai kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Kamu tidak boleh dijatuhkan hukuman mati. Kamu dijatuhkan hukuman di atas kehendak dan ihsan Sultan Johor sehingga satu masa yang ditetapkan. Kamu boleh merayu kepada Lembaga Pengampunan dan Sultan Johor untuk sebarang peringanan hukuman.

    “Jika kamu dewasa saya terpaksa jatuhkan hukuman mati. Bersyukur kepada Allah kamu terselamat daripada hukuman mati. Saya doakan supaya kehidupan kamu selepas ini menjadi lebih baik, jadi orang bermanfaat, berguna kepada masyarakat dan keluarga. Saya sudah mendengar rayuan peguam kamu yang mana kehidupan kamu penuh dengan dukacita,” katanya.

    Berdasarkan fakta kes, pesalah menikam suaminya menggunakan pisau pemotong sayur di bahagian dada di kediaman milik majikan suaminya yang bekerja sebagai pembantu kedai menjual ayam di sebuah pasar dan kejadian itu berlaku selepas kira-kira lima bulan mereka mendirikan rumah tangga.

    Sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 2017, tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan iaitu pesalah serta bapa angkat dipanggil memberi keterangan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azfar Mahmod dan Mustaqim Sukarno manakala peguam Yoong How Kiat mewakili tertuduh. – BERNAMA

  • Bekas pegawai Goldman, Roger Ng didapati bersalah di mahkamah AS

    Bekas pegawai Goldman, Roger Ng didapati bersalah di mahkamah AS

    BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, yang dibicarakan berhubung skandal global 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didapati bersalah di Mahkamah Amerika Syarikat (AS) semalam.

    Ng, 49, disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan dalam kes itu, termasuk bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah AS dan bersubahat untuk melakukan pengubahan wang haram.

    Astro Awani yang memetik Bloomberg melaporkan, dia berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun, lapor Bloomberg.

      Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan persekutuan selama lapan minggu di Brooklyn, New York, yang menyaksikan pengakuan mengejutkan Tim Leissner, bekas bos Ng.

    Leissner, yang mengaku bersalah, adalah saksi utama terhadap bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc itu.

    Leissner mengakui berbohong secara peribadi dan profesional dalam rompakan berbilion dolar wang 1MDB yang mana Goldman berperanan mengatur tiga urus niaga bon.

    Ia merupakan kemenangan yang sukar oleh AS membabitkan penipuan dana kekayaan negara yang ditubuhkan untuk membantu rakyat dan ekonomi Malaysia tetapi sebaliknya digunakan untuk kepentingan pegawai kerajaan, jurubank dan pengantara dengan anggaran AS$2.7 bilion.

    Jho Low yang didakwa sebagai dalang utama oleh AS, merasuah pegawai kerajaan untuk memenangi perniagaan bagi Goldman, serta AS$1.42bilion untuk dirinya sendiri, bagaimanapun masih bebas.

    Hasil daripada penipuan itu digunakan untuk barangan termasuk kapal layar mewah AS$200 juta dan untuk membiayai filem “The Wolf of Wall Street.”

    Kes itu adalah rekod terburuk Goldman. Pada 2020, sebuah unit Goldman mengakui telah berkomplot untuk melanggar undang-undang antirasuah AS, pengakuan bersalah pertama bagi firma yang ditubuhkan pada 1869 itu.

    Bank itu membayar lebih daripada AS$2.9 bilion, penalti terbesar seumpamanya dalam sejarah AS, dan lebih daripada AS$5 bilion di seluruh dunia untuk peranannya dalam skim penipuan itu.

  • Lapan pengawal keselamatan Filipina dipenjara guna kad pengenalan palsu, milik orang lain

    Lapan pengawal keselamatan Filipina dipenjara guna kad pengenalan palsu, milik orang lain

    GARA-gara menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain, lapan pengawal keselamatan warga Filipina masing-masing dijatuhi hukuman penjara antara empat hingga 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di Shah Alam hari ini.

    Kesemua tertuduh Adzhar Tadjamon, 30; Alim Aunal, 22; Jasim Alano, 27; Asmie Rody, 36; Halid Janul Sallani, 34; Abu Bakar Mausil, 48; Imboy L Insung, 26, dan Abdul Munir Asnan, 30, masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di tiga Mahkamah Majistret berasingan.

    Majistret Sabreena Bakar@Bahari memerintahkan Adzhar, Alim dan Jasim masing-masing dipenjara empat bulan manakala Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan masing-masing terhadap Asmie, Halid dan Abu Bakar.

    Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman pula memerintahkan Imboy dan Abdul Munir masing-masing dipenjara 12 bulan.

    Kesemua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu semalam.

    Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh masing-masing didakwa telah menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain di pos pengawal di sekitar Shah Alam antara 11 dan 11.50 pagi, semalam.

    Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara Zulkarnain Ahmad dan Zulkifli Idris manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

    — BERNAMA

  • Lembaga Pengarah Felcra sedar risiko labur RM150 juta dalam unit amanah

    Lembaga Pengarah Felcra sedar risiko labur RM150 juta dalam unit amanah

    BEKAS Pengurus Besar Kumpulan Kewangan (CFO) Felcra memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa Lembaga Pengarah Felcra menyedari keputusan untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad mempunyai risiko.

    Mohd Azmy Abu Samah, 54, bagaimanapun berkata, beliau memohon cadangan pelaburan itu dipertimbangkan sewaktu membentangkannya pada mesyuarat lembaga pengarah.

    “Namun, keputusan mengenai pelaburan itu tidak dibentangkan atau dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pengurusan Tertinggi (MPT),” katanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, pada perbicaraan kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Saksi pendakwaan ke-26 itu berkata semasa sesi pembentangan, beliau ada memaklumkan Felcra mempunyai wang tunai RM300 juta untuk dilaburkan dan memohon lembaga pengarah mempertimbangkannya.

    Disoal Kumaraendran adakah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felcra, Datuk Ramlee Abu Bakar membangkitkan apa-apa isu semasa pembentangan cadangan pelaburan itu, saksi itu berkata CEO cuma bertanya mengapa pelaburan unit amanah ini tidak dibawa kepada MPT.

    Bagaimanapun, Mohd Azmy berkata tiada bantahan atau perbincangan daripada lembaga pengarah (Felcra) berkaitan pelaburan itu.

    Kumaraendran: Adakah lembaga pengarah meneruskan pelaburan (RM150 juta) itu.

    Mohd Azmy: Ya.

    Saksi itu turut bersetuju dengan cadangan Kumaraendran bahawa pelaburan RM150 juta itu dibuat oleh Felcra pada 18 Mei 2015.

    Mohd Azmy juga bersetuju dengan cadangan Kumaraendran bahawa lembaga pengarah tidak pernah meluluskan sebarang jumlah untuk dilaburkan oleh Felcra.

    Dalam prosiding sebelum ini, Mohd Azmy memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan bersetuju untuk meluluskan pelaburan RM150 juta oleh Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad selepas meneliti tiga kertas cadangan pelaburan dikemukakan Bung Moktar.

    Prosiding bersambung pada 12 April ini.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

  • CEO Cradle Fund dibunuh, bukan mati sebab kebakaran

    CEO Cradle Fund dibunuh, bukan mati sebab kebakaran

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan adalah dibunuh dan bukan disebabkan kejadian kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, pada 2018.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah berkata, kebakaran yang berlaku itu, bukanlah disebabkan satu kemalangan sebaliknya ia adalah satu kebakaran yang dirancang.

    “Tempat kejadian juga adalah merupakan satu ‘staged crime scene’ yang dicipta tertuduh (Samirah Muzaffar) dan dua remaja lain yang dituduh bersamanya,” katanya ketika berhujah pada akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

    Samirah, 47, serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 19 dan 16 tahun dan seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

    Mohd Asnawi berhujah kebakaran itu bukanlah satu kemalangan tetapi merupakan kebakaran yang disengajakan, kerana kebakaran yang berlaku tidak sekata dan kewujudan ‘irregular pattern’ pada dinding bilik serta tiga tempat ‘fire of origin’.

    “Merujuk kepada keterangan pegawai penyiasat, Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli yang merupakan Saksi Pendakwaan ke-15 (SP15), tiga tempat di mana bermulanya kebakaran iaitu di bahagian kepala si mati, bahagian atas katil di mana telefon Blackberry S2 dijumpai dan di dinding di bahagian kanan kepala katil.

    “Hanya tempat ini saja yang mengalami kebakaran manakala tempat lain hanya kesan ‘soot’ (jelaga) serta mencair (melting). Hasil siasatan SP15 juga, kebakaran yang berlaku di bahagian kepala si mati dan di atas katil menunjukkan dua kebakaran yang berbeza.

    “SP15 dalam keterangannya juga menyatakan bahawa bentuk kebakaran pada dinding menunjukkan satu ‘pattern’ berbeza daripada bentuk-bentuk lain, disebabkan itu (pattern), SP15 telah mengambil sampel di dinding tersebut yang ternyata mempunyai sisa petrol setelah dianalisa Aznor Sheda Samsudin, pegawai sains, JBPM (SP14),” katanya.

    Beliau juga berhujah telefon bimbit milik si mati iaitu Blackberry S2 tidak meletup atau ‘overcharging’.

    “Meskipun telefon bimbit boleh menyebabkan letupan, berdasarkan pengalaman Pegawai Turus StaRT (Persenjataan/Komander UPB) Ibu Pejabat Polis Selangor ASP Mohd Sa’ad Mat Nasib (SP35), ia tidak memberi kesan pada badan telefon itu dan bateri hanya akan menendang casing telefon tersebut.

    “Di dalam kes ini, sekiranya telefon Blackberry S2 meletup sekalipun, SP35 menyatakan bahawa ia tidak kuat kerana bateri telefon masih dalam tempatnya, berdasarkan kepada kesan kilat di tapak bateri tersebut yang menunjukkan ia tidak terkena api,” katanya.

    Tambahnya, pihak pendakwaan juga menghujahkan bahawa tidak terdapat kemungkinan terdapat letupan daripada ‘powerbank’.

    “Ini kerana, SP35 menyatakan bahawa sekiranya ‘powerbank’ meletup, semestinya akan terdapat rangka ‘powerbank’ tersebut di tempat kejadian, bagaimanapun di dalam kes ini, SP15 tidak menjumpai sebarang bentuk ‘powerbank’ di tempat kejadian. Jadi, tidak terdapat kemungkinan bahawa yang meletup adalah ‘powerbank’,” ujarnya.

    Justeru, beliau berhujah bahawa punca kematian si mati adalah disebabkan kecederaan dan bukannya kerana kebakaran, berdasarkan keterangan pakar patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng (SP46) menyatakan bahawa satu bedah siasat dijalankan ke atas mayat si mati pada 14 Jun 2018, mendapati terdapat beberapa kecederaan di bahagian kepala.

    “Kecederaan yang membawa kepada kematian adalah kecederaan pertama di bahagian kiri kepala si mati iaitu ‘penetrating wound, measuring 5 x 4 cm a left parietal region’. Berdasarkan keterangan SP46, ia adalah kecederaan fatal (disebabkan objek tumpul) yang menyebabkan kecederaan otak dan pendarahan teruk,” katanya.

    Hujahnya lagi, terdapat ‘conduct’ (kelakuan) oleh tertuduh (Samirah) yang releven di bawah Seksyen 8 Akta Keterangan 1964, yang menunjukkan kaitan di antara kejadian yang menimpa si mati dengan Samirah.

    “Keterangan pengawal keselamatan Raju Kumar Pandit (SP4) menyatakan, pada 14 Jun 2018 lebih kurang jam 12.24 tengah hari, SP4 terima panggilan dari pemilik sebuah rumah terdapat sedikit masalah.

    “SP4 terus ke rumah tersebut dan nampak asap keluar dari rumah itu. SP4 kemudian bertanya kepada tertuduh (Samirah) sama ada telah menelefon bomba atau tidak dan Samirah menjawab, masih belum.

    “Isu yang ingin ditekan di sini adalah kelakuan tertuduh yang tidak membuat panggilan kecemasan, walaupun sudah mengetahui mengenai kewujudan asap di tingkap bilik atas rumahnya,” katanya.

    Hujahan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim bersambung 13 April depan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Pandu kereta dalam laluan motosikal, lelaki dipenjara 5 hari

    [VIDEO] Pandu kereta dalam laluan motosikal, lelaki dipenjara 5 hari

    TINDAKAN seorang lelaki memandu kereta secara melulu dengan menggunakan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan akhirnya membawa padah apabila dipenjara lima hari dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

    Majistret Amanina Mohamad Anuar memerintahkan R.Rhuobanraj, 30, menjalani hukuman itu bermula hari ini dan jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara empat bulan. Tertuduh membayar denda berkenaan.

    Rhuobanraj didakwa memandu kereta dengan cara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain di Lebuhraya Persekutuan pada 5.30 petang, 17 Mac lepas mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.

    Terdahulu, Rhuobanraj yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan ketika kejadian dia tidak sengaja memasuki laluan motosikal selain menyesal atas perbuatan dilakukan.

    “Saya tiada niat jahat untuk potong laluan. Saya tersilap masuk dan hanya dapat keluar dari laluan motosikal itu selepas dimaklumkan oleh seorang pak cik (penunggang motosikal) yang kemudian menunjukkan jalan keluar dari tempat kejadian.

    “Saya tidak berapa pandai jalan di Kuala Lumpur. Saya bekerja di Bangsar dan terpaksa ulang-alik ke Seremban untuk menjaga ibu saya yang merupakan ibu tunggal yang tidak bekerja,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana kesalahan tertuduh adalah serius yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain terutama penunggang motosikal. – BERNAMA

  • Mahkamah kembalikan pasport Zahid untuk umrah

    Mahkamah kembalikan pasport Zahid untuk umrah

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kini boleh mengerjakan ibadah umrah selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, membenarkan permohonannya agar pasportnya dikembalikan.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Presiden UMNO itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihak pendakwaan tidak menerima arahan bagi membantah permohonan itu.

    Beliau seterusnya berkata, memandangkan tarikh Ahmad Zahid menunaikan umrah bertembung dengan tarikh perbicaraan pada 26 hingga 28 April, maka hari yang dilapangkan itu perlu diganti dengan tarikh baharu.

    Terdahulu, peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata, pihak pembelaan berharap pasport anak guamnya itu akan dikeluarkan hari ini kerana dia memerlukannya untuk permohonan visanya.

    “Anak guam saya akan berlepas dari 21 April hingga 30 April dan berjanji bahawa pasport akan dikembalikan sebelum 5 Mei,” katanya.

    Hakim Sequerah kemudian menetapkan 13 dan 15 April serta 1 Julai sebagai tarikh ganti untuk perbicaraan.

    Sebelum ini, mahkamah menetapkan 23-26 Mei, 27-30 Jun, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22 dan 26-29 Sept, 17-20 dan 31 Okt, serta 1-3 Nov, 7-10 Nov untuk perbicaraan.

    Pada 13 April, Ahmad Zahid akan memberi keterangan dalam perbicaraan pembelaannya terhadap 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

    Pada 24 Jan tahun ini, Hakim Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap semua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

    Pada Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan pemulangan sementara pasportnya bagi membolehkan beliau menerima rawatan perubatan untuk sakit belakang dan leher daripada pakar terkemuka di Munich, Jerman. – BERNAMA

  • Pemandu teksi wanita dituduh eksploitasi peminta sedekah lelaki

    Pemandu teksi wanita dituduh eksploitasi peminta sedekah lelaki

    SEORANG pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mengeksploitasi seorang individu bagi tujuan meminta sedekah tahun lepas.

    Nurul Hidayah Md Nor, 30, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

    Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Hidayah didakwa memperdagangkan lelaki berusia 27 tahun yang bukan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi di bawah Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 dengan menyuruhnya meminta sedekah di tempat awam sedangkan dia mampu mempunyai mata pencarian lain.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Seremban dan Senawang antara Mei hingga 7 Nov 2021, mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat sebulan sekali selain tidak dibenarkan mendekati mangsa sehingga kes selesai.

    Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Mei untuk serahan dokumen. – BERNAMA

  • Ismail Sabri tak pernah rayu untuk terus jadi Perdana Menteri

    Ismail Sabri tak pernah rayu untuk terus jadi Perdana Menteri

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau tidak pernah merayu kepada mana-mana parti politik untuk mengekalkan sokongan mereka terhadapnya supaya terus menjadi Perdana Menteri.

    Perkara itu dinyatakan Ismail Sabri, 62, selaku plaintif bagi menjawab pembelaan yang difailkan oleh pemilik Agenda Daily Media Enterprise, Muhamad Izwan Mohd Zubit, yang disaman berhubung penerbitan artikel bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan’ yang didakwa memfitnah Perdana Menteri.

    Ismail Sabri mendakwa, beliau percaya bahawa Muhamad Izwan tidak hadir pada ceramah yang diadakan di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera pada 29 Jan lepas.

    “Dalam ceramah itu, saya telah memberi ucapan yang dirujuk oleh berita-berita yang diterbit oleh surat khabar tempatan. Pada masa material sebelum penerbitan artikel itu, defendan tidak menghubungi saya untuk mendapatkan pengesahan atau penjelasan berkenaan dengan ucapan di konvensyen berkenaan.

    “Sebaliknya, defendan telah secara melulu merujuk kepada artikel-artikel yang diterbit oleh surat khabar tempatan semasa menerbitkan artikel itu yang mengandungi kenyataan-kenyataan fitnah terhadap saya,” kata Ismail Sabri di dalam jawapan kepada pembelaan itu yang difailkan pada 6 April.

    Ismail Sabri turut mendakwa artikel berkenaan secara keseluruhan memfitnahnya selain mendakwa ia membawa maksud bahawa beliau tidak jujur, licik dan mementingkan diri sendiri serta terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan menggunakan apa cara sekali pun.

    Dakwa plaintif, defendan (Muhamad Izwan) telah gagal menjalankan ‘kewartawanan bertanggungjawab’ ketika menerbitkan artikel itu.

    Ismail Sabri mendakwa semasa menulis artikel itu, defendan dipengaruhi atau didorong oleh niat jahat kerana pada masa itu, defendan tahu bahawa Pilihan Raya Negeri Johor akan diadakan pada 12 Mac dan matlamat defendan adalah untuk memperkecilkan dan menjejaskan reputasi plaintif sebagai seorang ahli UMNO dan perdana menteri.

    “Alasan yang digunakan oleh defendan untuk kononnya menunjukkan ‘kewartawanan bertanggungjawab’ adalah sama sekali tidak berasas dan tidak boleh dipertahankan,” dakwa perdana menteri.

    Pada 4 Mac, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ismail Sabri untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap Muhamad Izwan, bagi mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 27 April.

    Pada 18 Feb, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya defendan memadamkan artikel yang diterbitkan, dan daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan beliau.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya, mendakwa pada 30 Jan lepas, Agenda Daily Media menerbitkan artikel di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif.

    Beliau mendakwa artikel itu antaranya membawa maksud bahawa, beliau terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun, dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya, selain mendakwa tempohnya sebagai perdana menteri adalah tempoh yang paling singkat di dalam sejarah Malaysia.

    Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai perdana menteri telah tercemar, dan penerbitan itu juga telah menyebabkan emosinya terganggu dan kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel itu boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya.

    Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman web dan media sosial yang dikendalikan oleh defendan, selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa terhadap plaintif.

    Sementara itu, Muhamad Izwan, 37, dalam pernyataan pembelaannya mendakwa beliau dan syarikat itu telah melaksanakan sikap kewartawanan yang bertanggungjawab semasa menulis dan memuat naik artikel dalam laman webnya berkaitan Ismail Sabri.

    Muhamad Izwan turut menafikan sekeras-kerasnya bahawa artikel berkenaan mengandungi kenyataan yang bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap plaintif. – BERNAMA