Category: Mahkamah

  • Tukang cat rumah dihukum gantung sampai mati edar dadah

    Tukang cat rumah dihukum gantung sampai mati edar dadah

    SEORANG tukang cat rumah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengedar dadah pada 2018.

    Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Sabri Hamzah, 49, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Dalam alasan penghakiman, mahkamah mendapati tertuduh mempunyai pengetahuan berhubung dadah itu.

    “Tertuduh cemas ketika diserbu pihak polis dan cuba melarikan diri.

    “Alasan tertuduh mahu mengambil sarang burung di belakang rumah adalah tidak munasabah.

    “Di atas sabitan itu, tertuduh dihukum mati iaitu digantung hingga mati dan barang kes dilupuskan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 186.43 gram methamphetamine di kawasan semak belakang rumah tidak bernombor di Kampung Tasik Hulu, Gual Sitok, Rantau Panjang, pukul 7 petang, pada 31 Januari 2018.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hassan.

    Muhammad Hasif dalam rayuannya berkata, tertuduh yang mempunyai empat anak berusia tujuh hingga 17 tahun itu kesal dengan kesilapannya itu dan berjanji tidak akan melakukannya lagi.

  • Wanita mengaku salah guna kad pengenalan palsu sejak 20 tahun lalu

    Wanita mengaku salah guna kad pengenalan palsu sejak 20 tahun lalu

    SEORANG ibu tunggal tiga anak warga Filipina dijatuhi hukuman penjara tiga bulan di Mahkamah Majistret di Ayer Keroh hari ini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu sejak lebih 20 tahun lalu.

    Tertuduh, Elenita Maisog, 51, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nabiha Mohd Noor.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati tanpa kuasa yang sah dan sebab munasabah telah memiliki kad pengenalan palsu atas nama Nuria Rahman yang beralamat di Sungai Udang, Melaka, lapor Astro Awani.

    Kesalahan itu dikesan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri Melaka pada pukul 3 petang, 9 Jun 2022 lalu.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kantin sekolah berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksima RM 20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Mengikut fakta kes, hasil semakan nombor kad pengenalan berkenaan merujuk kepada individu bernama ‘Sapina’ dan tertuduh mengaku nama sebenarnya adalah Elenita Maisog dan berasal dari Misamis Occidental, Filipina.

    Difahamkan, tindakan itu dikesan selepas tertuduh tampil ke pejabat JPN Melaka bagi proses pendaftaran tiga anaknya.

    Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Ahmad Amirul Ahmad Jamal memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira wanita itu sudah menggunakan kad pengenalan berkenaan sejak 21 tahun yang lalu.

    Beliau turut memohon tertuduh diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen selepas selesai tempoh pemenjaraan bagi tujuan pengusiran.

    Nabiha pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman penjara tiga bulan dari tarikh ditangkap pada 9 Jun 2022 lalu.

    Tertuduh tidak diwakili peguam.

  • UKSB salur sumbangan melalui UMNO Rembau – Saksi

    UKSB salur sumbangan melalui UMNO Rembau – Saksi

    BEKAS pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa pihaknya ada menyalurkan sumbangan kepada UMNO Bahagian Rembau yang ketika itu Khairy Jamaluddin merupakan Timbalan Ketua Bahagian.

    Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, 42, berkata sumbangan antara RM50,000 dan RM200,000 untuk bantuan politik, bencana serta aktiviti kemanusiaan itu, tidak diberikan secara terus kepada bekas Menteri Beliau dan Sukan itu yang lebih dikenali sebagai KJ.

    Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin semasa pemeriksaan utama mengenai cara beliau membantu Khairy, saksi itu menjawab, “Bantuan politik kepada KJ bukan sahaja di peringkat bahagian, ia juga peringkat nasional kerana ketika itu dia adalah ahli politik peringkat nasional.

    “Sebagai contoh jika berlaku bencana dan sebagainya saya akan bantu, untuk program bantuan kemanusiaan, kalau ada Pilihan Raya Kecil (PRK) saya akan bantu juga,” katanya.

    Saksi pendakwaan ke-16 itu juga berkata beliau memberikan bantuan kewangan kepada Khairy mengikut keadaan (keperluan), dan tidak memberikannya secara bulanan.

    “Sumbangan untuk KJ, saya tidak bagi terus, saya urus sendiri. Maksudnya, kalau ada program yang perlukan bantuan saya akan bantu, saya boleh kawal dari segi kegunaan kewangan.

    “Sudah pasti untuk KJ dia tiada kaitan dengan hal ini (kontrak Visa Luar Negara, VLN) dan tiada peruntukan besar untuknya. Tetapi, VLN berkait dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) adalah menteri yang bertanggungjawab masa itu, dan beliau juga adalah timbalan presiden UMNO, saya fikir tanggungjawabnya lebih besar,” katanya.

    Sebelum itu, saksi pendakwaan ke-15, Harry Lee Vui Khun bekas pengarah UKSB memberitahu mahkamah bahawa catatan ‘KJ’, dan bomoh antara perkataan yang tertera di dalam buku ‘faraid’ UKSB yang dikemukakan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Buku faraid UKSB yang juga dikenali sebagai Buku 555 di dalam perbicaraan kes Ahmad Zahid, adalah lejar yang mencatatkan bayaran yang dibuat oleh UKSB kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri, bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa. – BERNAMA

  • Reman suspek kes rogol remaja 19 tahun lalu disambung

    Reman suspek kes rogol remaja 19 tahun lalu disambung

    TEMPOH reman suspek lelaki yang terlibat dalam kes rogol remaja 19 tahun lalu disambung tiga hari lagi bermula esok.

    Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi membenarkan tempoh reman sehingga Khamis ini bagi membolehkan siasatan terhadapnya dijalankan, lapor Sinar Harian.

    Lelaki itu sebelum ini ditahan di sekitar Bagan Serai, Perak pada Khamis dan direman selama empat hari berakhir hari ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

    Suspek yang berpakaian lokap warna ungu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Parit Buntar sekitar pukul 8.50 pagi diiringi polis.

    Media sebelum ini melaporkan, polis berjaya menahan seorang lelaki disyaki terlibat kes rogol di Bagan Serai selepas 19 tahun berjaya meloloskan diri daripada pihak berkuasa.

    Tangkapan terhadap suspek dilakukan hasil padanan data profil asid deoksiribonukleik (DNA).

    Dengan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan kes rogol yang berlaku pada tahun 2003.

  • Buruh dituduh rogol anak kandung 14 tahun

    Buruh dituduh rogol anak kandung 14 tahun

    SEORANG buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di Pasir Mas, hari ini, atas pertuduhan merogol anak kandungnya pada bulan lalu.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah, Rozaidi Yaakob.

    Menurut laporan Berita Harian, tertuduh berusia 39 tahun itu didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun tanpa kerelaan di sebuah rumah di Tanah Merah, kira-kira pukul 12 tengah malam 31 Mei lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 376 (2) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 10 hingga 30 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

    Sebelum ini, Ahmad Syafiq tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan pertuduhan membabitkan kesalahan serius.

    Mahkamah kemudian menetapkan 15 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes di hadapan hakim Mahkamah Sesyen.

  • Siti Bainun paksa Bella makan nasi goreng cili

    Siti Bainun paksa Bella makan nasi goreng cili

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini diberitahu, remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella disuap secara paksa sepinggan nasi goreng bersama jumlah cili yang banyak oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali.

    Saksi pendakwaan kelapan, Suhana Zam, 40, membuat pendedahan tersebut ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad.

    Menurut Suhana, tindakan Siti Bainun itu dilihat ketika bersama-sama beberapa penghuni berada di Rumah Bonda untuk makan tengah hari.

    “Saya nampak Siti Bainun letak sepinggan nasi goreng dan cili dipotong yang pada saya nisbah cili tu banyak berbanding nasi.

    “Dia (Siti Bainun) gaul dan nampk dia pegang dagu Bella untuk suapkan Bella…Bella mengelak tapi terpaksa makan sebab dipaksa..Dalam hati saya kenapa jadi macam ini?.

    “Saya terkejut tapi tidak cakap apa-apa sebab tidak mahu ada tegur dengan Siti Bainun pada waktu itu sebab bimbang dan tak pasti reaksi dia (Siti Bainun),” katanya dalam sesi pemeriksaan utama, hari ini, lapor Harian Metro.

    Dalam sesi sama, Suhana memaklumkan dia melihat keadaan Bella yang tidak terurus dengan kesan lebam pada muka remaja itu ketika datang ke Rumah Bonda pada 13 Jun 2021 selepas diajak Siti Bainun untuk makan ‘king crab’.

    Beliau berkata, ketika tiba pukul 5 petang di rumah berkenaan, dia terkejut apabila nampak rambut Bella sudah dipotong pendek dengan potongan tidak kemas.

    “Saya nampak bahagian kanan muka Bella ada lebam sebesar tapak tangan dari atas kening hingga bawah mata.

    “Muka Bella ketakutan sangat dan ini adalah keadaan Bella paling teruk, rambut ‘tobek’ dan berbaju lengan panjang. Ketika itu saya agak emosional dan ada bertanyakan kepada Siti Bainun kenapa teruk sangat keadaan Bella.

    “Siti Bainun memaklumkan Bella bergaduh (dengan penghuni lain) dan hanya letak ubat sendiri tanpa bawa ke klinik.

    “Dalam hati saya dah marah…saya tidak tanya lebih lanjut sebab tidak mahu bergaduh…saya nampak Bella beberapa kali dan dalam hati saya kata ini tidak betul..saya rasa marah dengan keadaan Bella,” katanya.

    Suhana juga memaklumkan dia dan beberapa rakan rapat dengan Siti Bainun mengambil masa untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keadaan Bella kerana bimbang remaja itu akan disorok selain mereka tidak lagi boleh bertemu.

    Terdahulu, Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Bekas ADUN Sedili mengaku tidak bersalah mencabul wanita

    Bekas ADUN Sedili mengaku tidak bersalah mencabul wanita

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Muar hari ini atas pertuduhan mencabul seorang wanita, Januari lepas.

    Tertuduh, Rasman Ithnain, 54, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

    Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan seorang wanita berusia 27 tahun di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vellfire, di Muar kira-kira 5 petang, 13 Jan lepas.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos mencadangkan tertuduh diikat jamin RM5,000.

    Bagaimanapun, peguam Muhammad Mohd Nasir dan Muhammad Izzad Syafiq Ismail yang mewakili Rasman merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guam mereka memberi kerjasama sepanjang siasatan polis.

    Amalina Basirah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Julai untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

    Mahkamah turut menetapkan 16 hingga 18 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan. – BERNAMA

  • Rumah Bonda saman JKM Wilayah Persekutuan KL

    Rumah Bonda saman JKM Wilayah Persekutuan KL

    PERTUBUHAN Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Rumah Bonda, memfailkan saman terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL), bagi memohon perintah supaya rumah perlindungan itu dibuka semula.

    Saman pemula itu difailkan Rumah Bonda melalui pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali selaku plaintif, melalui Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers di Mahkamah Majistret di sini pada 7 Jun lalu, dengan menamakan Pengarah JKM WPKL sebagai defendan.

    Dalam saman itu, plaintif memohon perintah supaya defendan menanggalkan ‘Lak’ yang telah dibuat pada 12 Julai 2021 ke atas premis itu di Taman Setapak, dan memohon perintah agar plaintif boleh menggunakan premis berkenaan bagi maksud lain selain daripada pusat jagaan, selain memohon kos dan relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

    Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama saman itu, Siti Bainun berkata, beliau telah menerima Notis Lak daripada JKM WPKL, yang memaklumkan bahawa Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.

    Dakwa Siti Bainun, tindakan lak yang dibuat pada 12 Julai 2021 atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 adalah tidak adil, tidak mengikut prinsip pentadbiran dan undang-undang administratif yang wajar, memandangkan JKM WPKL telah mengetahui bahawa rumah perlindungan tersebut sedang dalam proses permohonan pendaftaran.

    “Pada 20 April 2022, Rumah Bonda telah menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKM WPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan), di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993 dan Rumah Bonda telah membuat bayaran penuh kompaun itu pada 25 April 2022,” katanya menerusi afidavit sokongan.

    Menurut Siti Bainun, beliau kecewa apabila dimaklumkan oleh Pegawai Penguatkuasa JKM WPKL bahawa, Rumah Bonda hanya boleh dibuka melalui satu perintah mahkamah walaupun kompaun telah dijelaskan sepenuhnya.

    “Saya sebagai pengerusi Rumah Bonda dan mewakili seluruh ahli jawatankuasa berakujanji bahawa, sekiranya mahkamah memberikan perintah menanggalkan lak tersebut, saya dan Rumah Bonda tidak akan menggunakan premis tersebut sebagai pusat jagaan, sehinggalah premis tersebut didaftarkan di bawah Seksyen 10 Akta Pusat Jagaan 1993,” katanya.

    Dakwa Siti Bainun selepas tindakan lak dilaksanakan, beliau, ahli jawatankuasa dan sukarelawan tidak lagi mempunyai akses untuk memasuki Rumah Bonda, sekali gus menyukarkan usaha-usaha permohonan pendaftaran rumah perlindungan itu dan tidak boleh menjalankan kerja-kerja amal yang lain, seperti penyediaan makanan bagi gelandangan dan pusat bank makanan.

    “Rumah Bonda sehingga kini terpaksa membayar sewa bulanan bagi premis itu berjumlah RM2,800 sebulan, meskipun tidak dapat menggunakan premis berikutan tindakan Lak oleh JKM WP KL dan sejak 12 Julai 2021, Rumah Bonda telah menanggung kos sewa hampir setahun tanpa peluang memanfaatkan premis berkenaan,” katanya.

    Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Majistret Nur Syafiqah Noorinda pada 22 Jun ini. – BERNAMA

  • Peniaga kuih didakwa cabul wanita di bilik hotel

    Peniaga kuih didakwa cabul wanita di bilik hotel

    SEORANG peniaga kuih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini, atas tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita di sebuah hotel, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Muhammad Hafiez Z Rosli, 27, membuat pengakuan itu selepas mendengar pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari dalam prosiding didengar Majistret Nabihah Mohd. Noor.

    Mengikut pertuduhan dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 26 tahun dengan mencabul mangsa di bilik sebuah hotel di Taman Melaka Raya, Melaka Tengah, pada 19 Oktober 2020, lapor Harian Metro.

    Muhammad Hafiez didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang berasal dari Kampung Sri Repah, Tampin, Negeri Sembilan merayu jumlah itu dikurangkan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan diarah tidak mendekati atau mengganggu mangsa.

    Kes disebut semula 25 Julai depan untuk lantikan peguam bela.

  • 10 lelaki didenda gagal perjelas wang RM3.14 juta dalam akaun

    10 lelaki didenda gagal perjelas wang RM3.14 juta dalam akaun

    MAHKAMAH Majistret Ampang hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan penjara tiga bulan terhadap setiap seorang daripada 10 keldai akaun selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan gagal memberi penjelasan berhubung perolehan wang dalam akaun bank membabitkan jumlah RM3.14 juta.

    Pertuduhan terhadap lelaki berusia antara 29 hingga 51 tahun itu membabitkan pemandu lori, kontraktor, nelayan, pengawal keselamatan dan peniaga dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim, lapor Harian Metro.

    Tertuduh terdiri daripada Mohamad Saifuddin Ismail, Mohammad Anas Kamarudin, Muhammad Ariff Ahmad Tajuddin, Muhamad Helmi Ahmad, Mohd. Syukur Maula Muhamad Desa, Mohd. Hafiz Kamis, Muhammad Ikhwan Iswandy Ramli, Mohd. Nizam Mat Jasat, Khairul Mizan Mohamad Johari dan S. Vikneswaran.

    Mengikut kertas pertuduhan, semua lelaki itu tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan bagaimana memperoleh sejumlah wang milik guru swasta berusia 31 tahun berjumlah antara RM40,000 hingga RM2.3 juta di dua bank di Ampang, antara 20 Februari hingga 4 April lalu.

    Oleh demikian, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

    Mengikut fakta kes pula, guru itu menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri kononnya sebagai ketua pegawai operasi dari Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Februari lalu.

    Lelaki itu menyatakan guru berkenaan mempunyai tunggakan cukai selama 15 bulan berjumlah RM17,600.76 atas syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa.

    Guru itu kemudian diminta membuka akaun bank baharu sebelum maklumat perbankan diserahkan kepada lelaki berkenaan.

    Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili semua tertuduh itu, Mohd. Faiz Fahmy Abdul Razak memohon hukuman denda seringan-ringannya tanpa dipenjara selepas anak guam mengaku bersalah yang secara tidak langsung menjimatkan masa mahkamah.

    “Hukuman juga perlu mengambil kira pendapatan dan tanggungan di bawah mereka.

    “Dalam kes ini, anak guam adalah mangsa dan tidak sedar akaun bank digunakan pihak ketiga. Mereka tidak memperoleh apa-apa manfaat atas kerugian yang ditanggung pengadu,” katanya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran memohon hukuman dikenakan terhadap semua tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan pengajaran.

    “Selaku pemegang akaun, tertuduh perlu mengambil tahu transaksi yang berlaku dalam bank sendiri lebih-lebih lagi jika ia membabitkan jumlah yang besar.

    “Mahkamah juga perlu mengambil kira kekerapan kes yang mana hampir setiap hari kes ini dituduh di mahkamah, selain kerugian yang ditanggung oleh mangsa,” katanya.