Category: Mahkamah

  • Kontraktor didakwa atas tuduhan edar 10kg dadah

    Kontraktor didakwa atas tuduhan edar 10kg dadah

    SEORANG kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, atas tuduhan mengedar 10 kilogram (kg) dadah, minggu lalu.

    Yip Simon, 35 tahun, mengangguk faham apabila tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, lapor Astro Awani .

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 10.356kg.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tempat letak kereta, pusat makanan Gunung Rapat Enam Enam, Jalan Raja Musa Mahadi, di Ipoh, pada pukul 4.40 petang, 21 Julai lalu.

    Dia didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan laporan kimia.

    Tiada jaminan ditawarkan dan tertuduh dibenarkan membuat laporan polis yang didakwa peguamnya boleh digunakan dalam mahkamah.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam J. Matthews.

    Ketika ditemui di luar mahkamah, Matthews berkata, isteri tertuduh dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

    Pada 21 Julai lalu, polis menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah jenis methamphetamine seberat lebih 20 kilogram di dua lokasi di Ipoh.

  • Penghantar makanan mengaku didakwa rogol remaja bawah umur

    Penghantar makanan mengaku didakwa rogol remaja bawah umur

    SEORANG penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur, 16 Julai lalu.

    Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Bandar Raya Ipoh, sekitar pukul 12.30 tengah malam pada tarikh berkenaan.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa.

    Mahkamah turut menetapkan 9 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam Mahajoth Singh.

  • Pengarah CZCSB terhutang budi kepada Guan Eng

    Pengarah CZCSB terhutang budi kepada Guan Eng

    PENGARAH syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau terhutang budi kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

    Zarul Ahmad, 62, berkata, beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk mereka-reka keterangan dan mengaitkan nama Lim dalam kes rasuah pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

    “Saya tiada niat untuk mereka cerita terhadap YB Lim kerana saya terhutang budi dengan beliau. Saya kalau boleh tidak mahu mengaitkan beliau dalam mana-mana kes,” katanya pada perbicaraan kes Lim.

    Zarul berkata, beliau mengarahkan bekas pengarah dan bekas Naib Presiden Kanan Kewangan dan Perkhidmatan Korporat CZCSB, iaitu Ibrahim Sahari dan Azli Adam untuk menggunakan invois dan baucar bayaran yang dipalsukan, untuk menutup jejak pembayaran tunai yang dibuat kepada Lim.

    Saksi pendakwaan ke-23 itu dalam keterangannya di mahkamah sebelum ini berkata Lim meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh syarikatnya dalam projek pembinaan itu.

    Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada arahan untuk memalsukan invois dibuat untuk mengelakkan dirinya disiasat dan bukan bagi mempertahankan Lim, Zarul Ahmad berkata langkah membuat invois palsu itu diambil agar nama Lim tidak terdapat dalam mana-mana akaun CZCSB.

    Zarul Ahmad berkata, selepas dibebaskan daripada tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada awal Januari 2018 berhubung siasatan kes rasuah tersebut, beliau telah berjumpa dengan Ibrahim serta Azli dan memberitahu perkara sebenar iaitu invois dan baucar berkenaan adalah pembayaran kepada Lim.

    Ditanya Wan Shaharuddin mengenai dua kenyataan yang dikeluarkannya kepada pihak media pada Julai 2018, Zarul Ahmad berkata, Lim telah mengarahkannya supaya berbuat demikian bagi mengelak CZCSB disiasat lanjut oleh SPRM.

    “Saya terima arahan daripada Lim supaya mengeluarkan kenyataan media itu untuk menampakkan seolah-olah saya dipaksa ketika memberikan kenyataan kepada SPRM berkenaan kes rasuah terowong itu,” katanya.

    Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

    Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 4 Ogos ini. – BERNAMA

  • Pegawai bank tidak dapat sahkan wang RM63,800 milik peribadi Shahrir

    Pegawai bank tidak dapat sahkan wang RM63,800 milik peribadi Shahrir

    SEORANG pegawai bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak dapat mengesahkan sama ada wang berjumlah RM63,800 yang dimasukkan ke dalam akaun bank atas nama sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan, adalah milik peribadi Tan Sri Shahrir Ab Samad.

    Pengurus Perkhidmatan Perbankan, Public Bank Berhad, Tan Kok Kiong, 32, berkata beliau juga tidak dapat mengesahkan duit berkenaan yang dimasukkan menerusi cek bertarikh 22 Mac 2014 ke dalam akaun Public Bank atas nama ZAM Engineering & Construction telah diamanahkan kepada Shahrir.

    Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Shazreen Mohd Hatta, yang mewakili Shahrir pada perbicaraan kes bekas pengerusi Felda itu yang berdepan tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Tan, yang bertugas di Public Bank Cawangan Muar bersetuju dengan cadangan peguam, bahawa beliau tidak dapat mengesahkan sekiranya wang yang masuk ke dalam akaun bank syarikat itu sebenarnya digantikan semula oleh Shahrir.

    Terdahulu, Tan ketika membacakan pernyataan saksinya berkata permohonan pembukaan akaun itu telah dibuat oleh dua individu, Hamidah Basir dan Nur Faizah Zulkifli, selaku rakan kongsi bagi syarikat ZAM Engineering & Construction pada 25 Jan 2013 dan cek berjumlah RM63,800 didepositkan ke dalam syarikat tersebut pada 24 Mac 2014.

    Saksi berkata transaksi kemasukan wang RM63,800 itu merupakan transaksi biasa yang tidak mencurigakan kerana ia bukan jumlah yang besar bagi akaun syarikat.

    Disoal Shazreen jika berlaku keadaan yang mencurigakan dalam transaksi melibatkan cek, pihak bank ada hak untuk tidak meneruskan transaksi berkenaan, Tan menjawab: Betul.

    Shazreen: Baki terakhir dalam akaun Public Bank itu adalah RM529.60 sebelum wang RM63,800 masuk ke dalam akaun bank berkenaan. Adakah kemasukan RM63,800 itu secara tiba-tiba, adalah sesuatu yang mencurigakan?

    Tan: Tidak, kerana syarikat itu sebuah syarikat pembinaan dan mungkin dapat pembayaran untuk kontrak.

    Disoal semula Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat, saksi menyatakan, beliau hanya boleh mengesahkan terdapatnya kemasukan wang namun tidak boleh mengesahkan sumber wang tersebut.

    Sementara itu, Penolong Pengurus Cawangan Malayan Banking Berhad, Salniza Abdul Rahman, 49, memberitahu mahkamah terdapat kemasukan wang RM10,000 melalui sekeping cek ke dalam akaun Maybank Umno Cawangan Taman Kebun Teh, Johor pada 10 Dis 2013.

    Menurut saksi pendakwaan keempat itu, akaun Umno cawangan itu dikendalikan tiga individu iaitu Shahril @ Shahrir Ab Samad selaku Ketua Cawangan ketika itu, Bendahari cawangan Murad Mohd Taib dan Setiausaha Mohd Salaehudin Ali.

    Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur, pada 25 April 2014.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. – BERNAMA

  • Ahli perniagaan dituduh guna ‘Datuk Seri’ tidak diiktiraf

    Ahli perniagaan dituduh guna ‘Datuk Seri’ tidak diiktiraf

    SEORANG ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran “Datuk Seri” yang tidak diiktiraf.

    Mak Hon Leong, 39, didakwa menggunakan dan menikmati gelaran dan panggilan suatu anugerah yang tidak diiktiraf kepadanya dalam urusan perniagaan dan persendirian tanpa restu dan kebenaran oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan di dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Dagang), Sentul pada 9 pagi, 22 Okt 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 yang membawa hukuman denda minimum RM100,000 dan maksimum RM250,000 atau penjara minimum setahun dan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

    Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Mak memohon jaminan dikurangkan kerana tujuan jaminan untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

    “Anak guam saya hadir ke mahkamah hari ini untuk didakwa dan dia bukan seorang ‘flight risk’ ,” katanya yang turut mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan penjamin adalah isteri tertuduh.

    Hakim Nor Hasniah Ab Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Pasangan suami isteri didenda RM20,000 dera anak angkat

    Pasangan suami isteri didenda RM20,000 dera anak angkat

    PASANGAN suami isteri masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi hari ini kerana mendera anak angkat mereka berumur empat tahun.

    Hakim Effandi Nazila Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga, Amira Hamzah, 28, dan suaminya Muhammad Fitri Jasmani Josmani, 30, warga Singapura selepas mereka mengaku bersalah menganiaya kanak-kanak perempuan itu sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Eco Majestic, Semenyih pada 1.25 tengah hari, antara April dan 18 Julai 2022.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

    Mahkamah turut memerintahkan pasangan itu dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, kedua-dua tertuduh merayu hukuman denda minimum atas alasan mereka tiada niat untuk mendera mangsa, sebaliknya bimbang dengan kesihatan anak angkat mereka.

    “Kami tiada niat untuk mendera, sebenarnya kami cuma hendak pastikan dia makan dan tidak kurang zat dalam badan,” kata Muhammad Fitri.

    Hakim Amir memohon hukuman penjara dan denda atas alasan tindakan tertuduh bukannya untuk mendidik tetapi ia dianggap zalim dan tidak adil selain mereka tidak amanah serta tidak bertanggungjawab dalam menjaga mangsa.

    “Kecederaan mangsa bukan satu tempat sahaja tetapi satu badan. Ini boleh menyebabkan kanak-kanak itu trauma seumur hidup dan dia sepatutnya diberi perhatian dan kasih sayang,” katanya.

    Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, seorang pengadu yang juga pekerja kepada Amira melihat majikannya itu memukul kanak-kanak berkenaan menggunakan penyangkut baju dan batang kayu penyapu.

    Pengadu memaklumkan kejadian itu kepada ibu mentua Amira, namun tidak diendahkan sebaliknya dia dimarahi oleh wanita itu.

    Hasil siasatan polis mendapati, mangsa dipukul oleh Amira yang dipanggil ‘mummy’ pada anggota badan dan dua doktor di Hospital Kajang mengesahkan kecederaan dialami kanak-kanak itu selari dengan laporan polis dibuat pengadu.

    Di mahkamah sama, Muhammad Fitri didenda maksimum RM10,000 atau penjara enam bulan selepas mengaku bersalah tinggal lebih tempoh yang dibenarkan di Malaysia.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama pada 2.30 pagi, 22 Julai lepas, mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

    Baru-baru ini, tular video di media sosial yang memaparkan seorang wanita memukul anak angkatnya berusia empat tahun dengan menggunakan batang kayu penyapu kerana enggan makan nasi di sebuah rumah.

  • Kes edar dadah: Pemandu peribadi terlepas tali gantung

    Kes edar dadah: Pemandu peribadi terlepas tali gantung

    SEORANG  pemandu peribadi dibebaskan dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini daripada tuduhan mengedar 47 kilogram ganja, lima tahun lepas.

    Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap lelaki itu.

    Nur Azimuddin Md Noor, 42, yang berasal dari Pulau Pinang itu didakwa mengedar 47.76 kg ganja di Parkir Basement, Vanda Business Park, Jalan Sungai Dua Georgetown pada kira-kira 11.30 malam, 3 Feb, 2017.

    Nur Azimuddin, yang diwakili peguam Abd Rahim Mohamed dan R. Dev Chander, didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Dalam penghakimannya, Mohd Radzi berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen jagaan, kawalan dan pengetahuan berhubung pemilikan dadah berkenaan oleh tertuduh.

    Mahkamah juga mendapati berlakunya percanggahan dalam keterangan saksi-saksi penting pihak pendakwaan.

    Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari memanggil seramai 11 saksi memberi keterangan sejak 1 Nov 2021.

    — BERNAMA

  • Rogol pembantu rumah: ADUN Tronoh dihukum penjara 13 tahun, 2 sebatan

    Rogol pembantu rumah: ADUN Tronoh dihukum penjara 13 tahun, 2 sebatan

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada 2019.

    Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas Yong selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

    Mahkamah kemudian membenarkan Yong diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Abdul Wahab berkata hukuman berat perlu dikenakan bagi memberi teladan kepada Yong dan masyarakat.

    Beliau berkata, ia supaya benar-benar memberi pengajaran dan amaran kepada mereka yang bertindak untuk melakukan kesalahan itu.

    “Sebagai majikan sepatutnya bagi perlindungan kepada warga asing tetapi bertindak semata-mata nafsu serakah,” katanya.

    Pada 31 Mac 2022, pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi iaitu Yong, 52, dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta bapa saudara kepada pembantu rumah itu.

    Yong didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin.

    Sementara itu, Setiausaha di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur, Junjungan Sigalingging ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang menunjukkan sistem perundangan negara ini yang adil. – BERNAMA

  • ADUN Tronoh, Paul Yong bersalah rogol pembantu rumah

    ADUN Tronoh, Paul Yong bersalah rogol pembantu rumah

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada 2019.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed yang membacakan penghakiman kira-kira pukul 10.10 pagi memutuskan Yong bersalah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Beliau juga dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan.

    Yong, memakai kemeja putih, berada di kandang tertuduh kelihatan tenang ketika penghakiman itu dibacakan oleh Abdul Wahab.

    Mahkamah menangguhkan prosiding seketika bagi membolehkan pihak pembelaan menyediakan hujahan rayuan sebelum menjatuhkan hukuman.

    Pada 31 Mac 2022, pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi iaitu Yong, 52, dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta bapa saudara kepada pembantu rumah itu.

    Yong didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah Tinggi sebelum ini, memerintahkan Yong membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. – BERNAMA

  • Saksi terakhir positif COVID-19, bicara kes Ahmad Zahid ditangguh

    Saksi terakhir positif COVID-19, bicara kes Ahmad Zahid ditangguh

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menangguhkan perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) hari ini, ke Jumaat kerana saksi pendakwaan terakhir kes itu dijangkiti COVID-19.

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bahawa saksinya yang merupakan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memaklumkan perkara itu pada lewat malam tadi.

    Raja Rozela berkata pihaknya akan memanggil saksi pendakwaan ke-18 itu selepas dia disahkan pulih daripada jangkitan berkenaan.

    “Pihak kami dimaklumkan pada lewat malam tadi, pegawai penyiasat kes ini positif COVID-19. Jadi, kami tidak dapat memanggil dia hari ini.

    “Kami mohon agar tarikh bicara pada minggu ini dikekalkan. Kami ingin mengambil kira bahawa jika saksi sihat pulih semula, sudah negatif, kami ingin memanggil saksi tersebut hadir pada Jumaat (29 Julai),” katanya.

    Raja Rozela, yang mengetuai pasukan pendakwaan, turut memohon tarikh perbicaraan pada Ogos dikekalkan supaya dapat meneruskan prosiding itu.

    “Sudah banyak tarikh bicara ditetapkan. Kita ada beberapa lagi pada Ogos ini, jika tiada aral melintang, perbicaraan boleh diteruskan ke tarikh itu,” katanya.

    Sebelum ini, mahkamah menetapkan tarikh sambung bicara pada 10, 11, 12 dan 24 Ogos.

    Dalam perbicaraan itu, pendakwaan diwakili Raja Rozela, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob dan Zander Lim Wai Keong manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – Bernama