KERAJAAN dan pembangkang bersetuju bahawa perjanjian bertulis yang baharu bagi menggantikan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang akan berakhir 31 Julai ini adalah tidak perlu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persefahaman tanpa bertulis demi kepentingan rakyat dan kestabilan politik masih boleh diteruskan.

“Soal sambung atau tidak (MoU) tidak penting, yang penting adalah persefahaman untuk kepentingan rakyat diteruskan.

“Kita sama-sama setuju bahawa tidak perlu perjanjian baharu secara bertulis, tetapi persefahaman untuk kepentingan rakyat bagi menjamin kestabilan politik, boleh teruskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, katanya, beberapa perkara dalam MoU antara kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH), tetap akan dilaksanakan, seperti mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dan undang-undang pendanaan politik.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau akur dengan keputusan parti itu agar tidak meneruskan perjanjian dan telah menyampaikan perkara berkenaan ketika perjumpaan bersama ketua parti-parti pembangkang baru-baru ini.

Ditanya mengenai tarikh tamat MoU berkenaan, Ismail Sabri berkata MoU itu sebenarnya hanya tamat apabila Parlimen dibubarkan.

Katanya, MoU yang ditandatangani itu hanya menyebut Pilihan Raya Umum tidak boleh diadakan sebelum 31 Julai ini dan bukan mengenai tarikh luput perjanjian.

Beliau juga menegaskan, pembubaran Parlimen tidak bergantung pada mana-mana perkara dan ia akan dibubarkan apabila tiba waktunya.

“Apabila saya anggap ia sampai waktu untuk bubar, saya bubarkan (Parlimen), sama ada tahun ini atau tahun depan,” katanya.

Pada 13 September 2021, kerajaan Persekutuan dan PH memeterai MoU itu bagi membentuk kerjasama dwipartisan merangkumi aspek pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here