Category: Mahkamah

  • Shahrir tidak isytihar pendapatan lebih RM1 juta

    Shahrir tidak isytihar pendapatan lebih RM1 juta

    MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad tidak pernah mengisytiharkan pendapatan melebihi RM1 juta bagi tahun taksiran 2013 hingga 2018 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN, Tuan Zulkfli Tuan Lah, 48, berkata, maklumat itu diperoleh berdasarkan Borang BE Taksiran yang merupakan maklumat pendapatan individu melalui penggajian yang diterima Shahrir.

    “Pendapatan yang diisytiharkan Tan Sri Shahrir pada 2013 (RM87,834), 2014 (RM128,104), 2015 (RM213,394), 2016 (RM189,545), 2017 (RM267,090) dan 2018 (RM193,191). Saya sahkan Tan Sri Shahrir tidak pernah mengisytiharkan sebarang pendapatan melebihi RM1juta bagi tahun-tahun taksiran 2013 sehingga 2018,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 kepada LHDN.

    Saksi pendakwaan ke-21 itu juga mengesahkan bahawa Shahrir telah menggunakan ‘username’ dan ‘password’ miliknya dan telah melaporkan pengisytiharan cukai bagi tahun-tahun tersebut secara e-Filing di laman sesawang LHDN.

    Tuan Zulkfli berkata, berdasarkan peruntukan Seksyen 4 Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) dan kaedah-kaedah, apa-apa perolehan atau keuntungan lain yang diterima selain daripada penggajian, mana-mana individu wajib melaporkan perolehan tersebut kepada LHDN.

    Mohd ‘Afif: Sekiranya seseorang itu menerima wang RM1 juta sebagai suatu sumbangan untuk dirinya atau kepada sesuatu pertubuhan dan sumbangan tersebut dimasukkan ke akaunnya peribadinya, adakah ia perlu diisytiharkan kepada LHDN?

    “Dari segi penaksiran, sekiranya jumlah itu (sumbangan) diterima oleh individu, tidak kiralah untuk apa, sewajarnya ia melaporkan kepada LHDN. Individu itu perlu melaporkannya dahulu kepada LHDN sebelum pihak LHDN tentukan sama ada ia dikenakan cukai ataupun tidak,” jawab saksi itu.

    Semasa ditanya sama ada individu itu boleh mengambil tindakan sendiri dengan tidak mengisytiharkannya (RM1 juta) sebab menganggapnya sebagai sumbangan atau pelaburan, saksi menjawab: “Tidak boleh”.

    Mohd ‘Afif: Berkaitan kes kita pada hari ini, sekiranya Tan Sri Shahrir menerima cek RM1 juta dan wang itu dimasukkan dalam akaun peribadinya, adakah beliau kena laporkan kepada LHDN wang tersebut pada tahun 2013?

    Tuan Zulkfli: Kena laporkan pada tahun diterima iaitu 2013.

    Sementara itu, ditanya peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros mewakili Shahrir sama ada saksi itu atau LHDN tidak menjalankan siasatan berhubung kemasukan RM1 juta ke akaun Shahrir, saksi itu menjawab tidak pasti kerana tiada semakan dibuat mengenainya.

    Tuan Zulkfli berkata, semasa perjumpaan dengan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pegawai tersebut hanya bertanyakan sama ada Shahrir melaporkan RM1 juta kepada LHDN tanpa membawa sebarang dokumen termasuk penyata akaun Shahrir.

    Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.

  • Dua pengarah, seorang pengurus syarikat didenda RM175,950 jual kasut, selipar palsu

    Dua pengarah, seorang pengurus syarikat didenda RM175,950 jual kasut, selipar palsu

    DUA pengarah syarikat dan seorang pengurus masing-masing didenda RM175,950 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, hari ini selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan memperdagangkan 17,595 pasang kasut dan selipar berjenama palsu, tiga tahun lepas.

    Hakim Norashima Khalid turut memerintahkan pengarah syarikat Yap Kian Seng, 60, dan Sun Haixia, 40, serta pengurus Yap Yin Keat, 50, dipenjara dua tahun jika gagal membayar denda.

    Norashima juga mengenakan hukuman denda sebanyak RM263,925 ke atas syarikat Enhengda Sdn Bhd atas pertuduhan terbabit.

    Hakim membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Mengikut pertuduhan, mereka dan syarikat didapati ada dalam kawalan untuk pembekalan apa- apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan bagi kesemua barangan itu seolah-olah barangan berkenaan tertakluk kepada apa-apa hak yang yang berhubung dengan cap dagangan berdaftar jenama berkenaan.


    Barangan itu melibatkan 2,290 unit selipar jenama PUMA, 12,011 unit kasut dan selipar jenama NIKE, 2,844 unit kasut jenama GUCCI serta 450 unit selipar jenama LEVI’S pelbagai saiz dan jenis.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis tanpa nama beralamat di nombor 5 & 7, Hala Perusahaan Kledang Utara 2, Kawasan Perindustrian Menglembu di sini pada kira-kira 11.30 pagi, 18 Disember 2019.


    Pertuduhan ke atas ketiga-tiga individu itu dikemukakan mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(B) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


    Syarikat pula didakwa di bawah Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(A) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15,000 untuk setiap barangan yang diletakkan perihal dagangan palsu, jika sabit kesalahan.


    Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman sehingga proses rayuan di Mahkamah Tinggi Ipoh selesai dengan kesemua tertuduh diikat jamin RM50,000 setiap seorang.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Muhammad Ridzuan Abd Rahim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Asri Osman dan Mohd Fitri Asmuni.

  • 4 termasuk tiga beranak tidak mengaku tuduhan gubah wang haram RM300 juta

    4 termasuk tiga beranak tidak mengaku tuduhan gubah wang haram RM300 juta

    EMPAT individu termasuk tiga sekeluarga mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas 150 tuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM300 juta antara 2018 hingga 2020.

    Kesemua mereka, Abdul Wahab S. Mohd. Mydin, 53; Mohd. Nasri Abdul Rahman, 36; Nur Hafeezah Abdul Wahab, 26, dan Resool Bivi Yusof Gini, 50, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Karim dan Hakim Mazdi Abd. Hamid.

    Mohd. Nasri yang merupakan Pengarah Urusan sebuah syarikat pelaburan didakwa atas keseluruhan 118 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram yang didakwa dilakukannya antara tahun 2018 hingga 2020.

    Sementara itu, Abdul Wahab yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pelaburan pula didakwa atas keseluruhan 30 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram antara tahun 2018 hingga 2020.

    Selain itu, Abdul Wahab turut mempunyai dua pertuduhan yang dibaca bersama isteri, Resool Bivi dan anaknya, Nur Hafeezah.

    Kesemua mereka didakwa menerima, memindah dan menggunakan sejumlah wang dipercayai hasil aktiviti haram untuk kegunaan peribadi seperti pembelian hartanah, saham dan lain-lain.

    Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa buah bank di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk di Pulau Pinang.

    Prosiding kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong.

    Mohd. Nasri pula diwakili peguam, S Raveentharan manakala Abdul Wahab, isteri dan anak mereka diwakili Mashitah Jamaluddin.

    Mahkamah kemudian membenarkan Mohd. Nasri diikat jamin sebanyak RM500,000 bagi semua pertuduhan manakala Abdul Wahab sebanyak RM110,000 dengan seorang penjamin.

    Sementara itu, Resool Bivi dibenarkan diikat jamin RM10,000 manakala Nur Hafeezah sebanyak RM25,000.

    Mahkamah kemudian menetapkan 15 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

  • Penganggur ‘mengamuk’ didenda RM10,000

    Penganggur ‘mengamuk’ didenda RM10,000

    SEORANG lelaki didenda RM10,000 atau 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini kerana melakukan khianat dengan merosakkan kenderaan milik abang serta kakaknya, September lalu.

    Hukuman diputuskan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas tertuduh, Norazizul Lizam Miskun, 47, mengaku bersalah terhadap pertuduhan, lapor Harian Metro.

    Dia yang tidak bekerja dituduh sengaja melakukan khianat iaitu dengan cara mengambil pasu bunga, lalu menghempas pada cermin kereta milik abangnya, Noor Hadi, 53, dan kakak, Nor Baiza, 49, sehingga menyebabkan cermin pecah serta mangsa kerugian RM25 atau lebih.

    Kesalahan dilakukan di Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, di Shah Alam pada 4 petang, 25 September 2022 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Keseksaan.

    Di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani, tertuduh turut mengaku bersalah memasukkan dadah jenis THC, Amphetamine, Methamphetamine ke dalam tubuh badannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 26 September 2022.

    Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

    Mahkamah menetapkan 21 November depan untuk serahan laporan patologi sebelum hukuman dijatuhkan dan tertuduh dibenar diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

    Sementara itu, Norazizul juga berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap anggota polis, Mohd. Ridzuan Marsudi, 32, dengan menggunakan parang yang mungkin boleh menyebabkan kematian.

    Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Rihaida Rafie di Mahkamah Sesyen di Shah Alam.

    Mahkamah menetapkan 21 Disember untuk sebutan semula kes itu dan tertuduh dibenar diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta perintah tambahan, dilarang mengganggu atau mendekati mangsa dan saksi.

    Terdahulu, semua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman, Saidah Fasihah Che Yusoff dan S. Reetha.

  • Kes rayuan Rosmah 14 November hadapan

    Kes rayuan Rosmah 14 November hadapan

    TARIKH baharu pengurusan kes rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak ditetapkan pada 14 November hadapan.

    Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn berkata, semasa pengurusan kes dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron tadi, peguam Datuk Jagjit Singh memaklumkan bahawa mereka masih belum mendapatkan rekod rayuan.

    Poh berkata, peguam itu juga memohon supaya rayuan anak guamnya terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan yang menolak permohonan supaya hakim menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu dan membuat keputusan mengenai kes solar itu, didengar dahulu.

    “Saya memberitahu pendaftar bahawa pihak pendakwaan tidak membantah terhadap rayuan Rosmah supaya hakim menarik diri itu didengar terlebih dahulu,” kata Poh ketika dihubungi.

    Mahkamah kemudian menetapkan 14 November untuk pengurusan kes seterusnya bagi menyemak pemfailan petisyen rayuan.

    Bagaimanapun, seorang lagi peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu bahawa mereka masih belum memfailkan petisyen rayuan.

    Pada 1 September lalu, Mohamed Zaini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta ke atas Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah.

    Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

    Bagaimanapun, beliau hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana hakim mengarahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

    Mahkamah juga memerintahkannya dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

    Rosmah dituduh atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

    Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

    Rosmah kemudiannya memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya itu pada 2 September.

    Beliau turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan kes itu.

  • Saksi jumpa Jho Low di rumah Najib

    Saksi jumpa Jho Low di rumah Najib

    BEKAS Pengarah Bukan Eksekutif AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, bahawa beliau menemui ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low di rumah Datuk Seri Najib Tun Razak di Kenny Hill, Bukit Tunku, pada 2011 lalu.

    Cheah Tek Kuang, 75, berkata demikian semasa prosiding membabitkan bekas Perdana Menteri, yang berdepan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Menurut saksi pendakwaan ke-39 itu, kedatangannya ke rumah pemimpin UMNO itu adalah bagi membincangkan urusan pembukaan akaun baharu.

    “Setibanya di sana, saya nampak ada beberapa kereta, Jho Low juga ada dalam salah sebuah kenderaan itu.

    “Saya tidak tegur dia, kami kemudiannya dibawa ke bilik berasingan,” katanya ketika soal balas daripada peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, lapor Sinar Harian.

    Tek Kuang berkata, memandangkan Jho Low tidak terbabit dengan AmBank, beliau kurang mengenali ahli perniagaan itu secara peribadi malah mereka hanya bertemu beberapa kali.

    Meskipun begitu, beliau berkata, Jho Low mempunyai satu tabiat tiba lambat dalam satu-satu majlis.

    Muhammad Shafee: Selain rumah Najib, di mana anda bertemu dengan Jho Low.

    Tek Kuang: Majlis sosial, mesyuarat mungkin juga minum petang.

    Muhammad Shafee: Anda tahu, Jho Low ada tabiat beri hadiah. Adakah dia beri hadiah pada anda?

    Tek Kuang: Tidak, tidak, saya tidak perlukan hadiah.

    Muhammad Shafee: Bagaimana dengan telefon pintar, Blackberry?

    Tek Kuang: Tidak, saya ada telefon sendiri, Nokia.

    Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

  • Mahkamah syariah arah Anggota Hizbut Tahrir lantik peguam

    Mahkamah syariah arah Anggota Hizbut Tahrir lantik peguam

    SEORANG anggota Hizbut Tahrir Malaysia diarahkan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini untuk melantik peguam kerana disyaki melanggar fatwa Negeri Sembilan yang mengharamkan ajaran itu.

    Hakim, Kamal Bashah Ahmad Tajuddin memberi tempoh itu kepada tertuduh, Jamaluddin Maidin Syed, 46, dari Seremban bagi membolehkan pendakwaan diteruskan terhadapnya.

    Sepatutnya hari ini, prosiding terhadap tertuduh akan bermula mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

    Jamaluddin berkata, dia akan melantik peguam namun membantah bon jaminan yang diberikan kepadanya sebelum ini.

    Bagaimanapun Kamal Bashah meminta tertuduh menyatakan ketidakpuasan hati itu melalui peguamnya untuk disebut dalam prosiding akan datang.

    Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 23 November pukul 9.30 pagi.

    Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Suhaizad Saifuddin.

    Terdahulu, Jamaluddin yang memakai baju kameja berpetak dan berkopiah tiba di pekarangan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan pada pukul 9.20 pagi dengan ditemani beberapa pengikut ajaran Hizbut Tahrir.

    Media pada Oktober tahun lalu melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan lelaki berkenaan di pejabat penguat kuasa jabatan itu pada 27 Oktober.

    Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, Jamaluddin ditahan kerana disyaki melanggar fatwa Negeri Sembilan yang mengharamkan ajaran Hizbut Tahrir mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

    “Turut ditahan, isteri Jamaluddin yang berusia 46 tahun serta anak perempuan berusia 22 tahun di rumah mereka di Taman Bandar Seremban Selatan di Seremban.

    “Mahkamah Syariah membenarkan jaminan setiap seorang RM2,500 dengan seorang penjamin,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • LHDN tarik rayuan berkaitan cukai pendapatan terhadap anak Najib

    LHDN tarik rayuan berkaitan cukai pendapatan terhadap anak Najib

    LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) menarik balik rayuannya, yang difailkan di Mahkamah Rayuan, berhubung samannya terhadap anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa bagi mendapatkan RM10.3 juta cukai pendapatan tidak dibayar.

    Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Nooryana Najwa berkata LHDN memfailkan notis untuk tidak meneruskan rayuan itu pada Isnin.

    “Anak guam kami telah menyelesaikan kes cukainya selepas ejen cukainya dan LHDN berbincang mengenainya,” katanya semasa dihubungi hari ini.

    Wee berkata rayuan LHDN yang dijadualkan didengar hari ini.

    LHDN merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos 2020 yang menolak permohonannya untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Nooryana Najwa bagi mendapatkan semula RM10.3 juta cukai pendapatan yang belum dibayar.

    Pada 24 Julai 2019, kerajaan Malaysia memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan menerusi LHDN, di Mahkamah Tinggi, menamakan Nooryana Najwa selaku defendan.

    Menurut penyataan tuntutan, LHDN mendakwa Nooryana Najwa gagal mengemukakan Borang Nyata Orang Perseorangan mengikut Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Taksiran 2011 sehingga 2017.

    LHDN mendakwa sehingga kini, defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM10,335,292.36.- BERNAMA

  • RM1 juta masuk akaun bank Shahrir bersama isteri – Pengurus bank

    RM1 juta masuk akaun bank Shahrir bersama isteri – Pengurus bank

    MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu bahawa terdapat kemasukan wang RM1 juta ke dalam akaun bersama Public Islamic Bank atas nama Tan Sri Shahrir Ab Samad dan isterinya Puan Sri Shahrizan Abdullah melalui cek pada 28 Nov 2013.

    Pengurus Perkhidmatan Perbankan, Public Islamic Bank Berhad, Cawangan Bukit Damansara, Mohd Farid M. Alnafiah, 40, berkata salinan cek AmIslamic Bank atas nama Shahrir berjumlah RM1 juta bertarikh 27 Nov 2013 dibuat daripada akaun AmIslamic Bank Berhad bernombor 2022011906.

    “Berdasarkan penyata akaun, saya sahkan pada 25 Nov 2013 baki akaun ini (akaun bersama Shahrir dan Shahrizan) adalah sebanyak RM82,324.96 (sebelum kemasukan RM1 juta),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Menurut saksi pendakwaan ke-20 itu, cek RM1 juta itu berjaya diproses dan ‘diclearkan’ berikutan tiada sebarang keraguan pada cek berkenaan.

    Saksi itu berkata terdapat pengeluaran RM200,000 melalui cek  bertarikh 2 Dis 2013 daripada Shahrizan menerusi akaun bersama Shahrir (Public Islamic Bank) yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad atas nama Shahrizan dan anaknya, Marisa Diyana Shahrir.

    Beliau berkata berdasarkan penyata akaun bank Shahrizan dan Marisa pada 27 Nov 2013 baki akaun adalah RM2,287,589.77 dan baki penutup akaun itu pada 6 Dis 2013 adalah RM2,533,272.24.

    Kepada soalan peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili Shahrir, saksi berkata beliau tidak tahu sama ada RM200,000 dikeluarkan Shahrizan adalah wang bayaran balik (refund) daripada Shahrir.

    Syed Faisal Al-Edros: Encik Farid ada pengetahuan atau tidak RM200,000 itu merupakan duit ‘refund’ yang Tan Sri Shahrir pinjam daripada isteri (Shahrizan) untuk melakukan aktiviti politik di Johor Bahru dan kerja membaik pulih Projek Puri Langkasuka, Larkin?

    Mohd Farid: Tidak tahu.

    Saksi juga mengesahkan Shahrir melakukan 20 transaksi bank berjumlah RM1,223,680 dari 4 Jun hingga 17 Okt 2013, namun beliau sekali lagi menjawab ‘tidak tahu’, selepas peguam mencadangkan wang itu digunakan bagi aktiviti politik dan membaik pulih Projek Puri Langkasuka.

    Ditanya seorang lagi peguam mewakili Shahrir, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, pengurus bank itu berkata pihak LHDN tidak mengambil keterangannya bagi membantu siasatan kes berkenaan dan SPRM juga tidak merekod percakapannya, tetapi hanya memohon kemuka dokumen.

    Sementara itu, Mohd Farid mengesahkan Shahrir telah mengeluarkan cek berjumlah RM115,000 ke akaun bernombor 114329041647 bertarikh 9 Dis 2013; RM10,000 atas nama UMNO Cawangan Taman Kebun Teh bertarikh 7 Dis 2013; RM118,485 atas nama Sutera Auto Sdn Bhd bertarikh 21 Dis 2013; RM10,000 atas nama Cash bertarikh 8 Jan 2014; RM100,000 dan RM200,000 atas nama Syed Mohsin Syed Sagaf, masing-masing bertarikh 6 Feb dan 28 Feb 2014 serta RM63,800 atas nama Zam Engineering & Construction bertarikh 22 Mac 2014.

    “Saya juga sahkan terdapat pindahan wang daripada akaun Public Islamic Bank milik Tan Sri Shahrir atas nama YM Auto Wheels Enterprise berjumlah RM180,000 pada 31 Mac 2014 dan saya sahkan permohonan pindahan tersebut dibuat oleh Tan Sri Shahrir berdasarkan kepada tandatangan pada slip,” katanya.

    Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.- BERNAMA

  • Bicarakan di mahkamah bukan pada awam, kata Sri Ram kepada peguam Najib

    Bicarakan di mahkamah bukan pada awam, kata Sri Ram kepada peguam Najib

    TIMBALAN Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram hari ini memberi amaran kepada peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk tidak adakan perbicaraan di media berhubung kes rasuah RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad melibatkan bekas perdana menteri itu.

    Bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa kenyataan media dibuat Muhammad Shafee semalam seperti satu serangan terhadap pendakwaan yang menuduh mereka menyembunyikan bukti dalam kes tersebut.

    “Yang Arif, terdapat serangan secara langsung terhadap pihak pendakwaan bagi pihak tertuduh (Najib), beliau (Muhammad Shafee) berkata bahawa pihak pendakwaan gagal untuk mendedahkan transaksi itu. Sepatutnya, tertuduh menjalankan perbicaraannya di mahkamah dan bukannya pada masyarakat umum. Saya tidak boleh menjawab secara terbuka dan suatu yang tidak wajar untuk menjawab secara terbuka,” katanya.

    Beliau berkata pihak pendakwaan akan perlu memohon untuk menghalang pihak pembelaan bercakap dengan media, jika mereka meneruskan perbuatan ini.

    Semalam, Muhammad Shafee menyatakan bahawa aliran masuk duit ke dalam akaun Najib pada Februari dan Jun 2011 berjumlah kira-kira RM60.6 juta (kira-kira AS$20 juta) adalah daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi, Putera Faisal Turki Al Saud.

    Pihak pembelaan mendakwa bahawa dana itu merupakan sebahagian daripada hadiah kepada Najib daripada bekas Gabenor Wilayah Madinah, Saud Abdulaziz Majid Al Saud.

    Peguam itu berkata pihak pendakwaan hanya menyatakan mengenai dua transaksi pindahan, tetapi tidak menyatakan lima lagi pindahan ke dalam akaun Najib antara Ogos 2011 dan Ogos 2012, yang didakwa daripada Putera Turki dan Kementerian Kewangan Riyad berjumlah kira-kira AS$180 juta.

    Muhammad Shafee juga telah menyatakan surat daripada bekas gabenor yang dialamatkan kepada Najib, yang menyatakan jumlah derma yang dibuat kepada bekas perdana menteri itu.

    Pada perbicaraan hari ini Sri Ram menjelaskan bahawa surat yang sama telah dikemukakan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd dan hakim perbicaraan, bersama hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, telah menolak bukti itu.

    “Jika mereka mahu bergantung kepada surat yang sama di dalam domain awam, anda tidak boleh katakan kami (pihak pendakwaan) menyembunyikan (maklumat itu), ia tidak relevan,” katanya, dan menambah bahawa kesnya adalah untuk membuktikan bahawa duit 1MDB masuk ke dalam akaun tertuduh.

    Pada ketika ini, seorang lagi peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed mencelah dengan mengatakan bahawa kes itu perkara yang berbeza dan tiada kena mengena dengan perbicaran masa ini.

    “Yang Arif, Tan Sri Muhammad Shafee akan menjawab berkaitan perkara ini di mahkamah esok pagi,” katanya dan menambah Muhammad Shaefee tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana beliau tidak sihat.

    Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Sequerah berkata mahkamah akan menunggu jawapan Muhammad Shafee mengenai perkara itu esok.

    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan bersambung petang ini.- BERNAMA