MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu bahawa terdapat kemasukan wang RM1 juta ke dalam akaun bersama Public Islamic Bank atas nama Tan Sri Shahrir Ab Samad dan isterinya Puan Sri Shahrizan Abdullah melalui cek pada 28 Nov 2013.

Pengurus Perkhidmatan Perbankan, Public Islamic Bank Berhad, Cawangan Bukit Damansara, Mohd Farid M. Alnafiah, 40, berkata salinan cek AmIslamic Bank atas nama Shahrir berjumlah RM1 juta bertarikh 27 Nov 2013 dibuat daripada akaun AmIslamic Bank Berhad bernombor 2022011906.

“Berdasarkan penyata akaun, saya sahkan pada 25 Nov 2013 baki akaun ini (akaun bersama Shahrir dan Shahrizan) adalah sebanyak RM82,324.96 (sebelum kemasukan RM1 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut saksi pendakwaan ke-20 itu, cek RM1 juta itu berjaya diproses dan ‘diclearkan’ berikutan tiada sebarang keraguan pada cek berkenaan.

Saksi itu berkata terdapat pengeluaran RM200,000 melalui cek  bertarikh 2 Dis 2013 daripada Shahrizan menerusi akaun bersama Shahrir (Public Islamic Bank) yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad atas nama Shahrizan dan anaknya, Marisa Diyana Shahrir.

Beliau berkata berdasarkan penyata akaun bank Shahrizan dan Marisa pada 27 Nov 2013 baki akaun adalah RM2,287,589.77 dan baki penutup akaun itu pada 6 Dis 2013 adalah RM2,533,272.24.

Kepada soalan peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili Shahrir, saksi berkata beliau tidak tahu sama ada RM200,000 dikeluarkan Shahrizan adalah wang bayaran balik (refund) daripada Shahrir.

Syed Faisal Al-Edros: Encik Farid ada pengetahuan atau tidak RM200,000 itu merupakan duit ‘refund’ yang Tan Sri Shahrir pinjam daripada isteri (Shahrizan) untuk melakukan aktiviti politik di Johor Bahru dan kerja membaik pulih Projek Puri Langkasuka, Larkin?

Mohd Farid: Tidak tahu.

Saksi juga mengesahkan Shahrir melakukan 20 transaksi bank berjumlah RM1,223,680 dari 4 Jun hingga 17 Okt 2013, namun beliau sekali lagi menjawab ‘tidak tahu’, selepas peguam mencadangkan wang itu digunakan bagi aktiviti politik dan membaik pulih Projek Puri Langkasuka.

Ditanya seorang lagi peguam mewakili Shahrir, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, pengurus bank itu berkata pihak LHDN tidak mengambil keterangannya bagi membantu siasatan kes berkenaan dan SPRM juga tidak merekod percakapannya, tetapi hanya memohon kemuka dokumen.

Sementara itu, Mohd Farid mengesahkan Shahrir telah mengeluarkan cek berjumlah RM115,000 ke akaun bernombor 114329041647 bertarikh 9 Dis 2013; RM10,000 atas nama UMNO Cawangan Taman Kebun Teh bertarikh 7 Dis 2013; RM118,485 atas nama Sutera Auto Sdn Bhd bertarikh 21 Dis 2013; RM10,000 atas nama Cash bertarikh 8 Jan 2014; RM100,000 dan RM200,000 atas nama Syed Mohsin Syed Sagaf, masing-masing bertarikh 6 Feb dan 28 Feb 2014 serta RM63,800 atas nama Zam Engineering & Construction bertarikh 22 Mac 2014.

“Saya juga sahkan terdapat pindahan wang daripada akaun Public Islamic Bank milik Tan Sri Shahrir atas nama YM Auto Wheels Enterprise berjumlah RM180,000 pada 31 Mac 2014 dan saya sahkan permohonan pindahan tersebut dibuat oleh Tan Sri Shahrir berdasarkan kepada tandatangan pada slip,” katanya.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here