SEORANG remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang melanggar sebatang pokok di Kilometer 11, Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung, pagi tadi.
Semasa kejadian, remaja berusia 19 tahun itu sedang menunggang motosikal bersama-sama seorang wanita berusia 18 tahun dari Apartment Kenanga ke Sungai Choh.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, mangsa telah hilang kawalan lalu melangar pokok di bahu jalan.
“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat di bawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pembonceng mengalami kecederaaan parah dan dibawa ke Hospital Selayang bagi rawatan lanjut.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya memetik laporan Utusan TV.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut.
SEORANG kanak-kanak perempuan kelas Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Tempinis ditemukan lemas di tali air di Kampung Tasik Nibong, Bukit Jeruk di Jabi dekat Besut, semalam.
Mangsa Saidatul Insyirah Abdul Muin, 10, yang mempunyai masalah pembelajaran dikatakan pergi ke tempat kejadian bersama dua yang lain termasuk adiknya, Saidatul Fatimah untuk menyauk anak ikan.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata kejadian yang berlaku sekitar 1.30 tengah hari itu diketahui bapa mangsa Abdul Muin Muhammad, 39, apabila adik mangsa pulang memberitahu bahawa kakaknya dipercayai terjatuh ke dalam tali air tersebut.
“Bapa mangsa segera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 500 meter dari Sekolah Pondok Raudhatul Muhammad, tempat mereka tinggal.
“Terdapat pelajar sekolah pondok tersebut terjun ke dalam tali air itu untuk membantu mencari mangsa sebelum menemukan mangsa tidak lama kemudian,” katanya kepada pemberita.
Abdul Rozak berkata mangsa dibawa naik ke darat dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Jabi oleh bapanya untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun katanya pemeriksaan pegawai perubatan di klinik kesihatan tersebut mendapati mangsa telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Besut kira-kira 6.40 petang tadi untuk bedah siasat,” katanya sambil memaklumkan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
TINDAKAN pantas dan berani seorang lelaki berenang menyeberangi arus deras berjaya menyelamatkan tiga adik-beradiknya serta seorang jiran yang terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Padang Empang, di Baling semalam.
Mohd Nazrol Ramli, 30, berkata ketika mula hujan kira-kira pukul 6 petang, dia dan adik-beradiknya sedang memindahkan perabot serta barangan lain ke tingkat atas rumah kerana bimbang dinaiki air.
“Belum sempat mengalihkan semua barang, kira-kira pukul 7 malam air deras tiba-tiba datang dan membentuk dua laluan seperti sungai menyebabkan rumah saya dan enam rumah lain terkepung oleh air.
“Masa itu, saya dan tiga adik-beradik lelaki serta seorang jiran perempuan terkepung tidak boleh ke mana-mana. Penduduk kampung juga menjerit meminta kami keluar daripada rumah kerana bimbang dirempuh kayu balak,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Menurutnya dia kemudian membawa seorang demi seorang adik-beradik serta jirannya menyeberangi arus deras ke kawasan selamat.
Mohd Nazrol berkata mujur ketika kejadian isterinya, Illiyani Che Mee, 32, dan anak mereka, Nor Ammara Faeqa, 1, terlebih dahulu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang bersama jiran yang lain.
“Ketika menyeberangi arus deras itu, beg saya yang ada telefon dan duit habis basah..tapi waktu itu saya cuma fikir tentang nyawa sahaja. Hari ini bila balik rumah, sedih tengok barang yang tak sempat dipindahkan habis rosak, tikar getah yang baru dipasang juga dipenuhi selut,” katanya.
Rosnani Sahak menunjukkan kawasan yang dilanda banjir di Kampung Padang Empang Baling.
Seorang lagi mangsa, Rosnani Sahak, 44, berkata banjir kali ini tidak seteruk berbanding pada 4 Julai lepas, namun tetap trauma lebih-lebih lagi apabila mengenang rasa letih dan penat ketika banjir pertama dahulu belum habis lagi.
“Ini kali ketiga rumah saya dilanda banjir. Paling teruk pada 4 Julai lepas, kali kedua tak berapa teruk dan kali ini air naik sampai paras pinggang manakala selut setinggi lutut. Bila kali ketiga dilanda banjir kilat, mental dan fizikal rasa tak berdaya,” katanya yang tinggal di Kampung Iboi sejak lima tahun lepas.
Bagi Abdul Rahman Ahmad, 70, tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak berkuasa memandangkan kejadian banjir semakin kerap berlaku di kawasan itu menyebabkan penduduk mengalami kerugian besar akibat kerosakan harta benda.
“Saya minta kerajaan buat benteng yang lebih elok dan kukuh di sepanjang sungai bagi mengelak limpahan air apabila hujan lebat ,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling Lt Pertahanan Awam (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata setakat pukul 4 petang ini, 128 mangsa daripada 36 keluarga masih ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Terbuka Kampung Padang Empang dan Dewan Masjid Al Huda Kampung Hangus.
SEORANG remaja lelaki maut akibat lemas di Air Terjun Puncak Janing di Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah hari ini.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden, Mulkiaman Manzar berkata, terdapat saksi yang melihat mangsa, Ahmad Apnan Mohd. Rais, 17, menjerit meminta tolong sebelum tenggelam dan hilang dari pandangan.
“Saksi mendakwa mangsa yang berasal dari Simpang Makan, Langgar datang ke lokasi tersebut untuk mandi-manda bersama lapan rakannya. Dia bagaimanapun dikatakan tiba-tiba menjerit meminta tolong sebelum tenggelam,” katanya.
Beliau berkata, Pegawai Perubatan Hospital Kuala Nerang yang turut hadir ke lokasi kejadian mengesahkan yang mangsa telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat. Siasatan awal mendapati kematian mangsa tidak mempunyai unsur jenayah dengan kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.29 tengah hari.
“Lima anggota bomba bergegas ke lokasi dan menggunakan kaedah ‘gripping iron’ bagi melakukan operasi dan menyelamat. Mayat mangsa kemudiannya ditemukan kira-kira pukul 1.12 tengah hari,” katanya.
SEORANG lelaki warga emas maut dalam kebakaran di rumahnya di Taman Bukit Permata, Bukit Siput, Segamat, pada awal pagi tadi.
Mangsa, Mustaffar Batin yang berusia 61 tahun dipercayai terperangkap dalam biliknya di bahagian atas rumah dua tingkat tersebut.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 2.18 pagi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata, seranai 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
Ujarnya, mereka dibantu masing-masing sebuah satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Fire Rescue Tender (FRT).
Seorang warga emas melecur sebelum maut dalam kebakaran di rumahnya di Taman BUkit Permata, Bukit Siput, Segamat, hari ini.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal berkeluasan kira-kira 4 x 7 meter. Kebakaran berlaku di tingkat atas dan telah mengakibatkan kemusnahan 30 peratus daripada keseluruhan rumah
“Mangsa ditemui di bilik tingkat atas dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan cedera melecur 20 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi.
Menurut Mazuki, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi tamat pada pukul 7.34 pagi.
SEORANG pekerja maut akibat tersepit di antara kren dan penghadang besi di sebuah kilang di Taman Perindustrian Tanjung Pelepas di Iskandar Puteri semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nazran Omar berkata, mangsa merupakan warganegara Nepal dikenali Das Chandan Kumar, 20, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.50 petang, seramai 11 anggota dan sebuah jentera serta satu utiliti Hilux ke lokasi kejadian.
“Mangsa didapati tersepit di antara kren dan penghadang besi sewaktu anggota bomba tiba di lokasi kejadian.
“Anggota bertindak menggunakan peralatan khas ‘Rescue Cutter’. Pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
BANJIR kilat di Baling semalam secara keseluruhannya menjejaskan sebanyak 74 rumah penduduk di 13 kampung yang terletak di bawah pentadbiran Balai Polis Baling dan Balai Polis Kupang.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, lima kampung yang terjejas terletak di bawah pentadbiran Balai Polis Baling manakala lapan lagi terletak di bawah pentadbiran Balai Polis Kupang.
“Lima kawasan terjejas di bawah Balai Polis Baling adalah Taman Bayu Sejahtera, Kampung Sungai Batu, Taman Bayu Indah , Taman Bayu Indah 2 dan Taman Bayu Permai.
Jambatan Bailey ditutup sementara kepada semua kenderaan dan pejalan kaki akibat banjir
“Sementara lapan kawasan di bawah pentabiran Balai Polis Kupang yang dimasuki air adalah Kampung Iboi, Kampung Bendang Bechah, Kampung Hangus, Kampung Bendang Padang, Kampung Tok Saba, Kampung Masjid Iboi, Kampung Lata Chelak dan Tanjung Nering,” katanya.
Semalam, Sungai Kupang yang terbabit dengan tragedi aliran puing serta banjir lumpur meragut tiga nyawa pada 4 Julai lalu, melimpah buat kali ketiga akibat hujan lebat selama kira-kira sejam sejak pukul 5 petang.
Jambatan Bailey yang dibina untuk kegunaan sementara penduduk Kampung Iboi didapati mengalami kerosakan struktur kerana terdapat pokok yang tersangkut padanya.
Beberapa klip video yang tular di media sosial jelas menunjukkan air sungai berwarna kemerah-merahan melimpah dari sungai tersebut dan memasuki rumah penduduk.
Shamsudin menambah, air sungai tersebut telah pun surut kira-kira pukul 1 pagi tadi.
“Melalui pemerhatian kasar, Jambatan Bailey yang dibina untuk kegunaan sementara penduduk Kampung Iboi didapati mengalami kerosakan struktur kerana terdapat pokok yang tersangkut padanya.
Terdapat dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Kampung Padang Empang dan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus.
“Disebabkan itu, jambatan tersebut ditutup sementara kepada semua kenderaan dan pejalan kaki,” katanya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, terdapat dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Kampung Padang Empang dan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus.
“Di PPS Kampung Padang Empang, seramai 96 mangsa terdiri dari 31 keluarga berteduh di situ sementara PPS Masjid Al Huda pula menempatkan 34 keluarga dari enam keluarga,” katanya.
PENDUDUK Kampung Iboi di Baling sekali lagi berdepan pengalaman menakutkan apabila air dari Sungai Kupang yang pernah membadai kawasan tersebut pada 4 Julai lalu, sekali lagi melimpah hari ini.
Meskipun limpahan itu tidaklah seteruk seperti yang berlaku dalam kejadian menyayat hati mengorbankan tiga nyawa pada awal Julai lalu, limpahan air tersebut yang jelas berwarna kemerah-merahan cukup untuk mendatangkan kerisauan kepada penduduk setempat.
Difahamkan kejadian iu berlaku akiba hujan lebat selama lebih sejam bermula kira-kira pukul 6 petang tadi.
Menurut Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Iboi, Nor Mohamad Che Hussin, limpahan air sungai tersebut menyebabkan benteng pasir yang dibina dibawa arus.
“Jambatan Bailey yang dibina sebagai penghubung sementara bagi penduduk kampung merentasi sungai itu juga terpaksa ditutup demi keselamatan,” katanya.
Tambahnya, ketika ini penduduk sentiasa bersiap-sedia sekiranya keadaan menjadi lebih buruk.
Pada 4 Julai lalu, lebih 1,000 rumah dan premis perniagaan terjejas akibat banjir yang berlaku manakala 17 buah rumah lagi rosak teruk.
Kejadian itu mengorbankan tiga individu iaitu Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ibunya, Salmah Mat Akib serta menantu Salmah, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang mengandung empat bulan.
SEORANG pemancing yang terjatuh dalam Sungai Sembayong di Kota Tinggi, kelmarin selepas bot dinaiki berlanggar dengan sebuah bot lain, ditemukan mayatnya semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Al Hasra Mohamed berkata, Mayat Mohd. Fauzi Husin ditemukan pada pukul 3.20 petang.
“Operasi pencarian dilakukan dalam radius 400 meter dari kawasan mangsa yang berusia 33 tahun dipercayai jatuh dengan menggunakan teknik ‘surface searching’ dan selaman sebelum berjaya menemukan mangsa.
“Mangsa dijumpai tersangkut pada salah satu pukat bot nelayan tempatan. Operasi pencarian turut dibantu oleh penduduk kampung dan beberapa buah bot nelayan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Al Hasra berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 5.15 petang.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.11 petang Ahad melibatkan dua buah bot berukuran panjang empat dan sembilan meter.
Kemalangan tersebut mengakibatkan tiga pemancing yang berada dalam bot empat meter semuanya tercampak ke dalam laut.
Mohd. Mumtaz Hamzah, 38, dan seorang lagi mangsa yang hanya kenali sebagai Kamisan, 29, diselamatkan orang awam namun seorang daripadanya cedera dan dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili menggunakan kenderaan awam manakala Mohd. Fauzi hilang.
SEORANG lelaki maut manakala rakannya parah dipercayai terkena bom ikan di kawasan Hutan Lipur Lata Kekabu di Lenggong, hari ini.
Mangsa, 44, maut di tempat kejadian manakala rakannya, 40, pula dibawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kejadian sekitar jam 3 petang itu berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang menangkap ikan, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan laporan lanjut akan menyusul.
Tular dalam media sosial beberapa keping gambar menunjukkan keadaan salah seorang mangsa yang berlumuran darah dipercayai terkena bom buatan sendiri itu.