Category: Kemalangan / Bencana

  • Bot karam Tanjung Balau: Tiga lagi mayat ditemukan

    Bot karam Tanjung Balau: Tiga lagi mayat ditemukan

    TIGA lagi mayat dipercayai mangsa tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau, di Kota Tinggi, ditemukan pagi tadi.

    Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, dua mayat lelaki dipercayai pendatang tanpa izin itu ditemukan pada 10 pagi manakala satu lagi mayat lelaki pada 10.54 pagi.

    “Dua mayat dijumpai terdampar di pesisir pantai kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian manakala satu lagi mayat ditemukan terdampar lebih kurang 800 meter dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di Kota Tinggi hari ini.

    Terdahulu, lima mayat ditemukan antara 6.45 pagi hingga 7.45 pagi tadi yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.

    Dengan penemuan ini, 19 mayat telah ditemukan berkaitan tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau setakat ini manakala 17 mangsa dipercayai masih hilang.

    Sementara itu, Simon berkata hasil saringan ke atas 14 pendatang tanpa izin yang terselamat mendapati kesemuanya negatif COVID-19.

    Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati susulan penemuan tiga mayat antara 10 pagi dan 10.54 pagi itu, pasukan bertugas mengambil masa kira-kira sejam bagi menguruskan kelapan-lapan mayat yang dijumpai hari ini untuk dihantar ke Hospital Sultan Ismail bagi proses bedah siasat.

    Selain itu, lebih 30 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan tugasan dan rondaan mencari saki baki mangsa.

    Lebih 10 petugas media berkumpul di lokasi kejadian sejak dari awal pagi bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi mencari dan menyelamat.

    Pegawai Daerah Kota Tinggi Datin Paduka Hazlina Jalil turut meninjau lokasi kejadian. – BERNAMA

  • Lelaki maut tertimbus tanah ketika gali emas

    Lelaki maut tertimbus tanah ketika gali emas

    SEORANG lelaki maut akibat tertimbus dalam runtuhan tanah ketika melombong emas di Kampung Air Sejuk di Kuala Terengganu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin berkata dalam kejadian sekitar 5 petang itu, Mohd Johari Mohd Asri, 34, berada di kawasan berkenaan bersama ibu dan bapanya untuk menggali emas di dalam lubang sedalam kira-kira tiga meter sebelum berlaku runtuhan tanah menyebabkan mangsa tertimbus.

    “Pada masa kejadian, cuaca mendung dan hujan lebat turun sekejap-sekejap menyebabkan tanah di kawasan tersebut lembut dan menyukarkan operasi pencarian.

    “Dengan bantuan pihak bomba, mayat Mohd Johari ditemukan pada 7 malam dan berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Afandi berkata usaha mengeluarkan Mohd Johari dilakukan dengan bantuan jentolak kerana tanah liat dan berpasir serta mudah runtuh.

    Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

  • Pemancing maut akibat bot terbalik

    Pemancing maut akibat bot terbalik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pemancing maut apabila bot dinaikinya terbalik di kedudukan 5.5 batu nautika, barat daya Jeti Tanjung Dawai dekat Merbok, hari ini.

    Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, kejadian itu mengakibatkan mangsa, Muhamad Ridhwan Mokhtar, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Katanya, selain mangsa terdapat lima lagi individu yang menaiki bot tersebut namun kesemua yang lain selamat dengan hanya seorang mengalami kecederaan ringan.

    pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu dari pemilik bot tersebut pukul 11.15 pagi yang memaklumkan mengenai kehilangan mangsa.

    “Pihak kami menerima panggilan mengenai kejadian itu dari pemilik bot tersebut pukul 11.15 pagi yang memaklumkan mengenai kehilangan mangsa. Sebaik menerima panggilan itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi terus mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada pukul 11.35 pagi.

    Kejadian bot terbalik mengakibatkan mangsa, Muhamad Ridhwan Mokhtar, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Bot Perkasa 1221 Maritim Pulau Pinang dan Bot Perkasa 1226 Zon Maritim Kuala Kedah diatur gerak ke lokasi kejadian. Setibanya di lokasi tersebut, bot pemancing dinaiki enam individu berkenaan didapati berada dalam keadaan terbalik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Lima individu yang cedera terdiri daripada tekong bot tersebut, Che Roslan Hashim, 49, manakala empat pemancing lain adalah Mohd. Firdaus Zainal Abidin, 36; Engku Mohamad Farizam Fadilah,19; Zulkifli Ahmad, 45; dan Hafizul Ajis Samsudin, 31.

    Tambahnya, kesemua pemancin tersebut termasuk mangsa yang lemas ditemui dalam keadaan memakai jaket keselamatan.

    “Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut manakala empat lagi mangsa yang tidak mengalami kecederaan dibenarkan pulang bersama waris masing-masing.

    “Seorang lagi mangsa yang cedera ringan pula telah terlebih dulu dibawa bot nelayan tempatan ke Jeti berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani untuk diberikan rawatan,” katanya.

  • Juruteknik maut terkena renjatan ketika selenggara lampu limpah

    Juruteknik maut terkena renjatan ketika selenggara lampu limpah

    SUSULAN kematian seorang juruteknik ketika menyelenggara lampu limpah di taman tema air popular di Perak, Ahad lalu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengeluarkan notis larangan meneruskan kerja penyelenggaraan di satu bahagian dalam taman tema air itu.

    Pengarah JKKP Perak, Supian Alias berkata, siasatan pihaknya mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira 12.45 tengah hari itu membabitkan lelaki tempatan berusia 25 tahun.

    “JKKP menghantar sepasukan pegawai penyiasat menjalankan siasatan terhadap kemalangan itu. Hasil siasatan awal, mendapati mangsa telah bekerja selama empat tahun sebagai juruteknik di taman teman air tersebut.

    “Semasa kejadian mangsa sedang menyelenggara lampu limpah berhampiran satu kawasan kolam mandi di taman tema air tersebut yang sering tidak berfungsi. Mangsa ditemui terjatuh ke dalam air dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh rakan sekerjanya.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 1.48 tengah hari pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Supian berkata, susulan siasatan awal itu, JKKP mengeluarkan arahan ‘larangan kacau ganggu’ sehingga tindakan penambahbaikan diambil majikan dan satu notis larangan meneruskan penyelenggaraan telah dikeluarkan kepada majikan kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja penyelenggaraan peralatan elektrik.

    Menurutnya, JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    “JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

    “Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja. Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.

    Beliau berkata, kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).  

  • Pegawai bomba maut terkena letupan kebakaran kilang

    Pegawai bomba maut terkena letupan kebakaran kilang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ANGGOTA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat yang cedera parah akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat, kelmarin, meninggal dunia hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, Pegawai Bomba Mohd. Firdaus Sulaiman, 32, disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat pada pukul 4.15 pagi.

    “Jenazah yang kini berada di Hospital Segamat akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Zaitun, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.

    “Allahyarham sudah 10 tahun berkhidmat sebagai Pegawai Bomba sejak 3 Disember 2012.

    Mohd. Firdaus Sulaiman

    “Bersama-sama kita mendoakan semoga arwah ditempatkan bersama-sama orang beriman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Kelmarin, Mohd. Firdaus dan seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang cedera parah, manakala seorang lagi pegawai bomba melecur akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di kilang tersebut.

    Selain Mohd. Firdaus, mangsa lain yang cedera ialah Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Syed Putra Syed Mohd Al Atas, 52 dan anggota ERT kilang Mohamad Azuraini Mahrani, 40.

    Jenazah Allahyarham Mohd. Firdaus diusung untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Zaitun, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.

    Mohd. Firdaus dan Mohamad Azuraini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat manakala Syed Putra menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

    Secara keseluruhannya seramai 22 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat serta BBP Labis terbabit dalam operasi pemadaman kebakaran di bahagian dandang laluan habuk kayu di tingkat tiga bangunan kilang berkenaan.

  • Motosikal bertembung, dua remaja Orang Asli maut

    Motosikal bertembung, dua remaja Orang Asli maut

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA remaja lelaki berketurunan Orang Asli maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan di Kilometer 31.5 Jalan Kota Tinggi – Kluang berhampiran Kampung Pasir Intan, di Kota Tinggi malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, kedua-dua mereka yang berusia 13 dan 15 tahun mengalami kecederaan parah di kepala akibat pelanggaran secara berhadapan.

    Remaja berumur 13 tahun yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 disahkan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa yang menunggang Demak 110 meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).

    Lokasi kemalangan di Kilometer 31.5 Jalan Kota Tinggi – Kluang berhampiran Kampung Pasir Intan, di Kota Tinggi malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai hilang kawalan dan telah memasuki laluan bertentangan lalu melanggar motosikal jenis Demak 110.

    “Siasatan awal mendapati mangsa berumur 13 tahun berketurunan Orang Asli menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Kota Tinggi menghala ke Kluang.

    “Semasa tiba di lokasi kejadian iaitu kawasan jalan lurus dan gelap tanpa lampu, mangsa telah berlanggar dengan sebuah lagi motosikal dinaiki remaja berusia 15 tahun yang juga keturunan Orang Asli dari arah bertentangan.

    “Akibat daripada kemalangan itu penunggang motosikal Honda EX5 mengalami cedera parah
    pada bahagian kepala dan kaki telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Hussin berkata, mangsa kedua yang turut mengalami cedera parah pada bahagian kepala telah dibawa ke hospital oleh ambulans sebelum disahkan meninggal dunia semasa dirawat.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca sebenar kejadian juga masih dalam siasatan.

  • Pasangan suami isteri warga emas maut motosikal masuk longkang

    Pasangan suami isteri warga emas maut motosikal masuk longkang

    SEPASANG suami isteri warga emas berusia 66 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai terbabas ke dalam longkang dalam kejadian di Jalan Pengkalan Machang, Butterworth, Pulau Pinang semalam.

    Kejadian itu dikatakan berlaku kira-kira pukul 8 pagi ketika pasangan berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Desa Murni, Butterworth ke tempat kerja mangsa wanita di bahagian pulau.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati ketika tiba di lokasi kejadian motosikal jenis Modenas berwarna merah yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan.

    Motosikal dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar batu penghadang di atas longkang sebelah kiri sebelum masuk ke dalam longkang

    “Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar batu penghadang di atas longkang sebelah kiri sebelum masuk ke dalam longkang.

    “Penunggang dan pembonceng tercampak ke tepi kiri longkang dan kedua-duanya yang didapati mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas di sini untuk dibedah siasat.

  • Mayat mangsa kemalangan bot ditemui

    Mayat mangsa kemalangan bot ditemui

    SEORANG daripada dua mangsa kemalangan bot di Sungai Perlis, Kangar pada Khamis lalu, ditemukan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa dikenali Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39 ditemukan kira-kira jam 7.46 pagi tadi.

    Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap, kira-kira 20 meter tidak jauh dari lokasi kemalangan bot.

    “Kita percaya ketika kejadian mangsa tenggelam di lokasi kemalangan menyebabkan mayatnya sukar ditemukan. 

    “Apabila masuk hari ketiga, mayat mula timbul dan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat,” katanya.

    Beliau ditemui media ketika melakukan tinjauan lokasi kemalangan bot Sungai Perlis, hari ini.

    Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 79 anggota terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

    “Fokus utama kita hari ini adalah untuk mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang iaitu Abdul Rashid Md Derus, rakan kepada Mohd Faizal.

    “Kita juga akan menggunakan kepakaran penyelam serta Unit Anjing Pengesan (K9) dari JBPM Perlis di mana anggota penyelam akan menyelam semula di kawasan kemalangan untuk mencari sekiranya mayat seorang lagi mangsa berada di kawasan itu,” katanya.

    Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. 

  • Warga emas rentung dalam kebakaran di rumah

    Warga emas rentung dalam kebakaran di rumah

    SEORANG lelaki warga emas rentung dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Tanjung Rendang, Pasir Mas, pukul 4 pagi tadi.

    Abdul Manaf @ Zakaria Ismail, 71, dilaporkan rentung 90 peratus dan rumahnya juga musnah dalam kebakaran tersebut.

    Anak mangsa, Anilisida Abdul Manaf, 40, berkata,

    Kejadian itu disedarinya, anak mangsa, Anilisida Abdul Manaf, selepas mendengar letupan kecil ketika dia sedang membuat kuih untuk jualan.

    “Sejurus mendengar, saya terus bergegas ke rumah ayah yang terletak bersebelahan dengan rumah.

    “Pada waktu itu, api sedang marak. Saya dan suami serta anak-anak tidak sempat berbuat apa-apa kerana asap tebal,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

  • Tukang kayu Indonesia maut digilis jentolak

    Tukang kayu Indonesia maut digilis jentolak

    SEORANG lelaki warga Indonesia yang datang untuk membeli barang maut selepas digilis sebuah jentolak dalam kejadian di sebuah pusat perniagaan di Kilometer 29 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, Jempol, hari ini.

    Kejadian pada pukul 12 tengah hari itu membabitkan mangsa seorang tukang kayu berusia 45 tahun dengan sebuah jentolak yang dipandu seorang lelaki berusia 66 tahun.

    Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa datang ke premis berkenaan untuk membeli barangan membuat rumah.

    “Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa pemandu jentolak sedang melakukan kerja di dalam premis tersebut.

    “Semasa proses memindah barangan, pemandu jentolak sudah memanggil dan meminta mangsa beralih ke kawasan selamat namun ketika hendak mengundur pemandu tidak mengetahui mangsa sudah berada di belakang jentolak menyebabkan mangsa terus digilis.

    “Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol bagi tujuan bedah siasat.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.