Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
ANGGOTA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat yang cedera parah akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat, kelmarin, meninggal dunia hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, Pegawai Bomba Mohd. Firdaus Sulaiman, 32, disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat pada pukul 4.15 pagi.
“Jenazah yang kini berada di Hospital Segamat akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Zaitun, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.
“Allahyarham sudah 10 tahun berkhidmat sebagai Pegawai Bomba sejak 3 Disember 2012.

“Bersama-sama kita mendoakan semoga arwah ditempatkan bersama-sama orang beriman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Mohd. Firdaus dan seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang cedera parah, manakala seorang lagi pegawai bomba melecur akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di kilang tersebut.
Selain Mohd. Firdaus, mangsa lain yang cedera ialah Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Syed Putra Syed Mohd Al Atas, 52 dan anggota ERT kilang Mohamad Azuraini Mahrani, 40.

Mohd. Firdaus dan Mohamad Azuraini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat manakala Syed Putra menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.
Secara keseluruhannya seramai 22 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat serta BBP Labis terbabit dalam operasi pemadaman kebakaran di bahagian dandang laluan habuk kayu di tingkat tiga bangunan kilang berkenaan.