Category: Kemalangan / Bencana

  • Dua maut selepas melambung, diseret atas jalan raya

    Dua maut selepas melambung, diseret atas jalan raya

    SEORANG lelaki dan seorang wania maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 13 Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, Kota Bharu pukul 12.01 tengah malam tadi.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, lelaki berusia 25 tahun manakala pembonceng wanita berusia 36 tahun melambung sejauh 30 meter (m) sebelum terseret di atas jalan menyebabkan keduanya meninggal dunia serta-merta.

    “Mangsa dipercayai rakan sekerja. Mangsa dipercayai dari arah Kota Bharu menghala ke Perol. Sebuah kenderaan dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal dinaiki mangsa,” katanya ketika dihubungi.

    Mohd. Suhaimi berkata, kenderaan yang melanggar mangsa dipercayai melarikan diri dan berdasarkan penemuan komponen kenderaan di lokasi kejadian, ia mungkin melibatkan sebuah perodua Myvi berwarna oren.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

    “Kami sedang mengesan pemandu serta kenderaan itu dan sebarang maklumat atau saksi dipohon tampil berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Inspektor Mohd. Ikhwan Mamat di talian 013-9638060 untuk membantu siasatan,” katanya.

  • Buat pusingan U:Pesara guru, pemuda maut

    Buat pusingan U:Pesara guru, pemuda maut

    SEORANG pesara guru dan seorang pemuda maut dalam kemalangan di Kilometer 39 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Labok, di Macang pukul 12.30 tengah hari tadi.

    Pesara guru, Ab. Hamid Shua’aib, 73, memandu kereta Proton Iswara dan Mohamad Faizuddin Shamsuddin, 27, yang menunggang motosikal parah serta meninggal dunia di lokasi.

    Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, siasatan awal mendapati Ab. Hamid yang memandu Proton Iswara dari arah Machang menghala ke Kota Bharu dipercayai membuat pusingan U sebaik tiba di tempat kejadian.

    “Bagaimanapun, motosikal ditunggang Mohamad Faizuddin datang dari arah arah sama hilang kawalan dan melanggar bahagian kanan kenderaan itu.

    “Akibat perlanggaran, kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Machang untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Kaki warga emas dibaham buaya semasa cari lokan

    Kaki warga emas dibaham buaya semasa cari lokan

    SEORANG warga emas berjaya menyelamatkan diri selepas kakinya dibaham buaya di Sungai Silabukan, Lahad Datu pukul 4 petang semalam.

    Lelaki berusia 70 tahun itu sempat diselamatkan oleh isteri dan lima rakannya yang turut berada di lokasi.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama enam yang lain berjalan kaki di tepi sungai berkenaan untuk mencari lokan.

    “Tiba-tiba seekor buaya naik ke tepi sungai dan membaham kaki mangsa. Namun dengan bantuan rakan-rakannya, mangsa berjaya diselamatkan dengan memukul bahagian kepala dan mata haiwan berkenaan.

    “Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kaki, tangan kanan dan perut dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi.

    Kata Rohan Shah, mangsa kemudiannya disahkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital terbabit.

    Sebelum itu, satu video berdurasi tujuh saat tular dalam aplikasi WhatsApp memaparkan keadaan mangsa yang dibaham buaya.

  • 10,000 ayam mati di ladang ternakan

    10,000 ayam mati di ladang ternakan

    LEBIH 10,000 ayam mati dalam kebakaran di ladang ternakan ayam Zhang Agriculture Development Sdn Bhd di Jalan Bau-Kuching, Bau, hari ini.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak pada pukul 3.40 pagi.

    Menurut Penolong Pengarah Operasi, JBPM Sarawak, Henderi Ardimansyah, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

    “Setibanya di tempat kejadian, didapati api sudah merebak di keseluruhan struktur reban berukuran 7.5 x 30 meter persegi itu.

    “Kebakaran itu berjaya dikawal pada jam 4.30 pagi dan operasi tamat pada jam 6 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Henderi berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih dalam siasatan.

    Menurutnya berdasarkan maklumat pengusaha ladang ternakan itu, dianggarkan lebih 10,000 ayam mati terbakar dalam kejadian itu.

  • Lelaki cedera paraglider jatuh dalam kawasan masjid

    Lelaki cedera paraglider jatuh dalam kawasan masjid

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang lelaki cedera apabila paraglider dinaikinya gagal dikawal lalu terjatuh ke dalam kawasan sebuah masjid di Kuala Ketil, Kedah, petang semalam.

    Sumber memaklumkan, mangsa yang berusia 34 tahun dan berasal dari Banting, Selangor memulakan aktiviti luncur udara atau paragliding kira-kira pukul 12 tengah hari di kawasan Pengkalan Hulu, Perak.

    Bagaimanapun katanya, keadaan angin tiba-tiba menjadi kuat menyebabkan dia tidak dapat mengawal paraglider tersebut dan terjatuh di kawasan Masjid Padang Kulim, Kuala Ketil, Kedah.

    Beberapa penduduk melihat keadaan mangsa.

    “Pada pukul 1.30 petang, anggota yang bertugas di Kaunter Aduan Balai Polis Kuala Ketil telah menerima panggilan daripada orang awam yang menyatakan terdapat mangsa terjatuh di pekarangan Masjid Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil.

    “Anggota kaunter aduan kemudiannya menghubungi Klinik Kesihatan Kuala Ketil untuk mendapatkan bantuan ambulans. Pada pukul 1.55 petang, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan mendapati mangsa cedera pada bahagian tulang dengan keadaannya dilaporkan stabil.

    “Bagaimanapun sehingga petang ini, tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian itu,” katanya.

  • Bekas Pengerusi Mara Incorporated dilepas tanpa bebas kes AMLA

    Bekas Pengerusi Mara Incorporated dilepas tanpa bebas kes AMLA

    SEORANG bekas Pengerusi Mara Incorporated Sdn. Bhd. dilepas dan dibebaskan (DNAA) Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM10 juta.

    Keputusan itu dibuat Hakim Suzana Hussin selepas membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk DNAA kes itu terhadap Datuk Mohammad Lan Allani, lapor Sinar Harian.

    Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai berkata, ia melibatkan kes AMLA dan tertuduh akan didakwa semula di Sabah sama ada Februari atau Mac depan.

    Ia tidak mendapat bantahan daripada peguam, Datuk K. Kumarendran dan Teh See Khoon yang mewakili Mohammad Lan.

    Bagaimanapun, See Khoon memohon agar ikat jamin anak guamnya dapat dikurangkan daripada RM400,000 kepada RM300,000.

    “Ikat jamin yang dikurangkan itu akan digunakan oleh anak guam saya bagi kes yang dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu kelak.

    “Mahkamah mempunyai autoriti sama ada menaikkan, mengekalkan atau mengurangkan ikat jamin, malah ia adalah bersifat berterusan,” katanya.

    Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaidi dan Mohd. Shahrom Idris.

    “Bagaimanapun, syarat-syarat lain yang dikenakan terhadap tertuduh dikekalkan,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Allan Suman turut memohon agar perbicaraan 20 lagi pertuduhan terhadap Mohammad Lan yang dijadualkan bermula 24 Januari ini, dilapangkan.

    Ini kerana, katanya, pihak pendakwaan memerlukan sedikit masa untuk mengemas kini senarai saksi yang sebelum ini ditetapkan seramai lebih 70 orang kepada kira-kira 30 saksi sahaja.

    Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh perbicaraan pada 23 Mei depan.

    Pada 5 Februari tahun lalu, Mohammad Lan didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam AMLA.

    Ia membabitkan pemindahan wang RM10 juta daripada akaun Private Banking Portfolio CIMB Bank miliknya ke akaun semasa dan akaun simpanan tetap CIMB Bank Berhad juga milik tertuduh, yang merupakan hasil aktiviti haram di CIMB Bank Jalan Sagunting, Central Building, Kota Kinabalu, pada 10 Disember 2012.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) (AMLA) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Mohamad Lan juga didakwa didakwa atas 20 pertuduhan rasuah berjumlah RM20.45 juta membabitkan hartanah di Melbourne, Australia.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk di Maybank Cawangan Mont Kiara dan Solaris Mont Kiara, dekat sini antara September 2012 dan 26 Julai 2013 dan di CIMB Bank Jalan Sagunting, Central Building, Kota Kinabalu, pada 10 Disember 2012.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah, atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan tersebut dapat dinilai, atau berbentuk wang, atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

  • Tiga maut kereta terputus dua langgar pokok

    Tiga maut kereta terputus dua langgar pokok

    TIGA lelaki maut selepas kereta Proton Saga sebelum terbabas melanggar pokok di Jalan Lintas Batu Sapi ke Batu Lapan, Sandakan, hari ini.

    Akibat kemalangan itu, dua mangsa terhumban ke luar dari kereta manakala seorang lagi tersepit sebelum dikeluarkan anggota bomba.

    Identiti semua mangsa dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu masih belum diperoleh.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 11.40 pagi lalu bergegas ke lokasi dengan lapan anggota bomba.

    Menurutnya, sebaik tiba, didapati berlaku kemalangan membabitkan kereta yang dipercayai terbabas sendiri.

    “Menurut laporan, terdapat tiga mangsa dalam kemalangan itu dengan dua orang dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.

    “Sementara itu, seorang lagi dikeluarkan anggota bomba selepas tersepit lalu diserahkan kepada pihak polis. Semua mangsa dilaporkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Jimmy berkata, identiti semua mangsa belum diperoleh setakat ini dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.06 tengah hari.

  • [VIDEO] Maritim Malaysia cekup bot guna sangkar besi

    [VIDEO] Maritim Malaysia cekup bot guna sangkar besi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Maritim Malaysia menahan sebuah bot tempatan kelas A kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di kedudukan 2.6 batu nautika, barat muara Kuala Kedah, petang semalam.

    Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, bot tersebut ditahan kira-kira pukul 6.50 petang semalam semasa pihaknya membuat rondaan rutin Op Benteng dan Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah.

    “Pemeriksaan dijalankan mendapati bot tersebut menggunakan sangkar besi iaitu peralatan yang tidak dibenarkan untuk menangkap ikan.

    “Bot nelayan tersebut dikendalikan lima kru termasuk tekong yang berumur antara 41 hingga 46 tahun. Seorang daripadanya disyaki warganegara Thailand yang tidak memiliki dokumen rasmi untuk tinggal di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kredit video: Maritim Malaysia

    Tambahnya, bot tersebut didapati melanggar syarat sah lesen di bawah Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 iaitu memiliki peralatan sangkar besi yang tidak dilesenkan ketika di laut.

    Selain itu katanya, bot tersebut juga disyaki melanggar Pekeliling Pelesenan Bil 5/2017 iaitu pelaksanaan syarat lesen vesel menangkap ikan tempatan dengan tidak boleh menggunakan peralatan menangkap ikan selain daripada yang dilesenkan.

    Maritim Malaysia
    Lima kru bot yang ditahan. (Gambar: Maritim Malaysia)

    “Kru bot warganegara Thailand itu pula didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

    “Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Tambahnya, kalangan nelayan diingatkan supaya agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

    maritim malaysia
    Bot nelayan yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan. (Gambar: Maritim Malaysia)

    “Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara.

    “Zon Maritim Kuala Kedah juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dengan setiap maklumat boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 05-7310579,” katanya.

  • Suami isteri rentung, 7 melecur dalam kebakaran 40 rumah

    Suami isteri rentung, 7 melecur dalam kebakaran 40 rumah

    SEPASANG suami isteri rentung manakala tujuh lagi melecur dalam kebakaran membabitkan kira-kira 40 rumah di Kampung Sungai Buaya, Jalan Tawau Lama di Tawau tengah malam tadi.

    Mayat Saiful Rosli, 32, dan isterinya, Jumaidah M Jida, 36, ditemukan anggota bomba awal pagi tadi selepas kebakaran berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada 6.20 pagi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.25 tengah malam tadi dan 25 anggota serta dua jentera diatur gerak ke lokasi.

    “Mangsa yang melecur 86 peratus ialah Abdul Mutalib Suma, 45, manakala seorang lelaki, 26 tahun dan seorang remaja, 18 tahun melecur 17 peratus.

    “Selain itu, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berumur antara enam hingga 12 tahun melecur antara 1 hingga 6 peratus dan semua mangsa melecur dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    Dalam pada itu, mangsa kebakaran Mala Tipung, 46, ketika ditemui Bernama menangis teresak-esak apabila mendapati rumahnya yang ditinggalkan kosong selama seminggu itu musnah dalam kebakaran.

    “Saya ke tempat kerja suami seminggu lalu di Sungai Burong Teck Guan, pagi ini saya balik, baru saya tahu rumah kami terbakar, semua tinggal jadi debu, satu barang pun tidak dapat diselamatkan,” katanya hari ini.

    Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hasoni Basiah, 34, berkata, ketika kejadian beliau sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat pada pintu rumah oleh sahabatnya, bernama Awil.

    “Saya buka pintu, kawan saya Awil sudah berteriak ‘api’ dan saya tengok api besar sudah di belakang rumah saya, melihat api marak saya kejutkan isteri dan adik ipar, untuk menyelamatkan diri, ” katanya menambah dia hanya sempat mengambil dokumen penting sebelum lari keluar dari rumah.

    Nur Anita Saddu, 30, pula berkata, dia suami serta dua anaknya sempat menyelamatkan diri selepas mendengar salakan kuat anjing seperti memberi amaran sesuatu berlaku sebelum kedengaran suara jiran menjerit memberitahu berlaku kebakaran.

    “Ketika kami keluar rumah, api sudah merebak ke rumah jiran, saya cuma sempat bawa keluar baju anak manakala suami sempat pindahkan kereta ke tempat selamat,” katanya.

    Selain itu Abbas Tenri, 49, berkata, dua surat lahir anaknya tidak sempat diambil dan musnah bersama barangan lain dalam kebakaran itu.

    “Saya dan tujuh anak selamat cuma ada dua surat lahir anak saya tidak sempat ambil, saya juga bingung esok anak-anak akan mula sekolah tetapi barang-barang sekolah mereka semua musnah,” katanya.

  • Jumlah mangsa banjir di tiga negeri berkurangan

    Jumlah mangsa banjir di tiga negeri berkurangan

    SITUASI banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa bencana alam itu di tiga negeri terus menurun pada petang tadi.

    Di JOHOR, jumlah mangsa yang terjejas banjir terus mencatatkan penurunan kepada 3,770 orang daripada 1,069 keluarga yang masih ditempatkan di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang berbanding 3,872 individu daripada 1,090 keluarga pagi tadi.

    Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, empat daerah masih terjejas dengan Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,809 orang, diikuti Muar (1,182), Tangkak (705) dan Batu Pahat (74).

    “Terdapat enam PPS telah ditutup hari ini dengan empat daripadanya di Segamat iaitu Balai Raya Kampung Awat Batu Anam, Sekolah Agama Mukim Jabi, Surau Kampung Lubuk Lanjut dan Balai Raya Kampung Mensudut Pindah selain Sekolah Agama Bukit Gambir dan Sekolah Kebangsaan Sawah Ring di Tangkak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut mengingatkan semua penduduk agar sentiasa berwaspada berikutan lima sungai mencatatkan aras bahaya iaitu Sungai Muar di Liang Batu, Sungai Muar di Panchor, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar; dan Sungai Endau di Kampung Labong, Mersing.

    Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 369 orang daripada 99 keluarga petang tadi berbanding 389 orang (105 keluarga) pagi tadi dengan kesemuanya berlindung di tiga PPS di Jasin.

    Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun setakat jam 4 petang tadi dengan 364 orang ditempatkan di 10 pusat pemindahan berbanding 493 individu di 11 PPS pagi tadi.

    Selain itu, beberapa jalan masih lagi ditutup antaranya Jalan Triang 1, Jalan Batu Bor di Bera, Jalan Ibam-Kampung Aur, Jalan Kampung Lubuk Batu (Rompin), Jalan Teluk Ganchong Lepar (Pekan), Jalan Serengkam (Maran) dan Jalan Kota Gelanggi-Lepar Utara (Jerantut).

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan aras air di Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang di Maran, Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub) dan Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi (Bentong) kekal melepasi tahap waspada petang Sabtu. – Bernama