TIGA lelaki maut selepas kereta Proton Saga sebelum terbabas melanggar pokok di Jalan Lintas Batu Sapi ke Batu Lapan, Sandakan, hari ini.

Akibat kemalangan itu, dua mangsa terhumban ke luar dari kereta manakala seorang lagi tersepit sebelum dikeluarkan anggota bomba.

Identiti semua mangsa dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu masih belum diperoleh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 11.40 pagi lalu bergegas ke lokasi dengan lapan anggota bomba.

Menurutnya, sebaik tiba, didapati berlaku kemalangan membabitkan kereta yang dipercayai terbabas sendiri.

“Menurut laporan, terdapat tiga mangsa dalam kemalangan itu dengan dua orang dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.

“Sementara itu, seorang lagi dikeluarkan anggota bomba selepas tersepit lalu diserahkan kepada pihak polis. Semua mangsa dilaporkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jimmy berkata, identiti semua mangsa belum diperoleh setakat ini dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.06 tengah hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here